Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DI ISTIADAT PERTABALAN
Tarikh/Date : 15/11/84
Tajuk/Title : ISTIADAT PERTABALAN KEBAWAH DULI
YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA
YANG DI-PERTUAN AGONG YANG KELAPAN,
Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Almutawakkil
Alallah Sultan Iskandar, Yang Di-Pertuan Agong Malaysia, dengan kemuliaan
dan kebesarannya.
Ampun Tuanku,
Pada saat yang bersejarah serta gilang-gemilang ini, bersempena dengan
hari Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku,
patik bagi pihak Ahli-Ahli Jumaah Menteri, Pegawai-pegawai Kerajaan, dan
seluruh rakyat Malaysia dari segenap lapisan dan keturunan kaum, dengan
perasaan riang gembira dan dari hati yang jujur, mengangkat sembah takzim
serta merafak ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Tuanku, kerana telah dipilih dan dilantik sebagai Raja Memerintah bagi
seluruh Negara Malaysia, dan sebagai Yang di-Pertuan Agong Yang Kelapan.
2. Patik juga merafak sembah untuk menyampaikan ucapan setinggi-tinggi
tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah, di atas
perlantikan Seri Paduka Baginda menjadi Raja Permaisuri Agong.
Ampun Tuanku,
3. Negara kita telah merdeka selama lebih 27 tahun dan selama itulah
rakyat telah hidup dalam aman, makmur dan bahagia. Dengan izin Allah
Subahanahu Wataala, adalah diharapkan keadaan ini akan berterusan dan
berpanjangan.
4. Di samping itu Kerajaan Tuanku sedang berusaha menanam nilai-nilai
positif di kalangan rakyat bagi menempa sebuah negara yang makmur dan
progresif. Kerajaan Tuanku berharap rakyat negara ini akan semakin cekal,
berdisiplin dan tekun berusaha, bukan sahaja bagi manfaat dan kebajikan
diri masing-masing tetapi juga bagi kesejahteraan negara.
5. Negara kita telah berjaya mengatasi kesan buruk akibat daripada
kemelesetan ekonomi dunia. Dengan keadaan ekonomi dunia yang beransur
pulih, kadar kemajuan negara kita dijangka akan meningkat semula pada
tahun-tahun akan datang. Kita berharap keadaan optimistik ini akan memberi
galakan kepada para peniaga, pengurus-pengurus, pengusaha-pengusaha dan
semua lapisan rakyat untuk terus meningkatkan lagi usaha masing-masing.
6. Keadaan keselamatan dalam negeri adalah terkawal. Patik semua berdoa ke
hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga keselamatan dalam negeri akan terus
tenteram. Walaupun begitu, Kerajaan memang sentiasa berwaspada terhadap
anasir-anasir yang ingin memecah-belahkan rakyat.
7. Dalam hubungan antarabangsa pula, negara kita akan terus memainkan
peranan yang aktif dalam rangka kerjasama dengan negara-negara
ASEAN. Adalah diharapkan kerjasama serantau ini akan menjamin kestabilan
dan kemakmuran negara kita dan jiran-jiran di kawasan Asia
Tenggara. Kerajaan Tuanku akan mempergiatkan lagi usaha bekerjasama dan
memberi bantuan teknikal kepada negara-negara membangun yang
memerlukannya.
Ampun Tuanku,
8. Mengambil sempena hari yang bersejarah dan saat yang mulia ini, patik
bagi pihak Ahli-Ahli Jumaah Menteri, Pegawai-Pegawai Kerajaan dan sekalian
rakyat, merafakkan sembah ikrar taat setia Kebawah Duli Seri Paduka
Tuanku.
9. Akhirul-kalam, patik semua berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala,
Yang Maha Pengasih lagi Yang Maha Pemurah, mudah-mudahan dilanjutkan usia
Kebawah Duli Tuanku dan usia Kebawah Duli Raja Permaisuri Agong. Patik
semua juga berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala menganugerahkan Kebawah
Duli Tuanku, di dalam sihat walafiat, aman sentosa dan sejahtera.
Amin Ya Rabbul 'Alamin
|