Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT 
Tarikh/Date 	: 	16/11/84 
Tajuk/Title  	: 	MEMBENTANGKAN USUL UCAPAN TAHNIAH 
			DAN IKRAR TAAT SETIA KEPADA DULI 
			YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA 
			YANG DI-PERTUAN AGONG 




Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mengemukakan usul seperti berikut:- "Bahawa satu ucapan
setinggi-tinggi tahniah dan lafaz ikrar taat setia Dewan ini
dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar atas pemilihan Baginda menyandang
jawatan Yang Di-Pertuan Agong Malaysia".

Tuan Yang di-Pertua, 

Semalam, 15 November, seluruh rakyat telah merayakan dengan penuh
kegembiraan Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang
Ke-lapan. Istiadat Pertabalan itu ialah satu amalan tradisi yang merupakan
kemuncak kepada proses pemilihan seorang Raja Berperlembagaan.

2. Dengan izin Allah Subhanahu Wataala, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar telah dipilih oleh Duli-Duli
Yang Maha Mulia Raja-Raja untuk menaiki takhta Kerajaan sebagai Raja
Memerintah bagi seluruh Malaysia selama tempuh lima tahun. Saya yakin
Kerajaan dan rakyat akan mendapat manfaat yang bertambah daripada
pemerintahan seorang Raja yang berpengetahuan dan berpengalaman serta yang
sentiasa memberi perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap kesejahteraan
rakyat dan kemajuan negara.

3. Sesungguhnya pertabalan Seri Paduka Baginda merupakan satu peristiwa
bersejarah dalam sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan
yang kita amalkan. Seri Paduka Baginda merupakan teras pemerintahan beraja
dan mercu dalam sistem Parlimen di negara ini. Seri Paduka Baginda juga
menjadi lambang perpaduan dan tumpuan taat setia seluruh rakyat.

Tuan Yang di-Pertua, 

4. Kita sedang berusaha bersungguh-sungguh ke arah menjadikan negara kita
lebih aman, makmur, bersatupadu dan bermaruah. Oleh yang demikian, kita
tidak patut lalai terhadap ancaman daripada golongan-golongan dan
anasir-anasir yang sengaja hendak menggugat azam dan tekad serta usaha
kita untuk mencapai matlamat ini. Dalam menghadapi cabaran-cabaran
sedemikian, negara memerlukan taat setia yang tidak berbelah-bahagi
daripada rakyat. Ini menjadi lebih rumit oleh kerana dalam masyarakat kita
yang berbilang kaum dan yang mengamalkan sistem demokrasi terdapat
golongan-golongan yang sengaja menggunakan isu-isu politik, agama dan
perkauman untuk kepentingan sendiri. Oleh yang demikian, adalah mustahak
bagi semua pihak mengutamakan kepentingan negara dan mengukuhkan perpaduan
antara satu sama lain.

Tuan Yang di-Pertua, 

5. Mengambil sempena peristiwa yang bersejarah ini, bagi pihak Dewan yang
mulia ini, saya dengan perasaan sepenuh ikhlas mempersembahkan ucapan
setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar atas pemilihan Baginda sebagai Yang
Di-Pertuan Agong yang Ke-lapan. Saya dan Ahli-ahli Yang Berhormat berikrar
akan menumpukan taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong. Semoga Allah Subhanahu Wataala akan memakbul dan
memberkati doa kita supaya Malaysia akan bertambah aman, makmur dan
bersatupadu dalam tempuh pemerintahan Seri Paduka Baginda. Saya juga
berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala melimpahkan taufik dan hidayahNya
kepada Seri Paduka Baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong,
selamat sejahtera bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan penuh
daulat dan kebesaran.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya memohon mencadangkan. 
 



 
Google