Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA TRENGGANU, TRENGGANU,
Tarikh/Date : 18/11/84
Tajuk/Title : PERASMIAN PERTANDINGAN SYARAHAN
DALAM BAHASA MALAYSIA PERINGKAT
KEBANGSAAN BAGI SEKOLAH-SEKOLAH
RENDAH JENIS KEBANGSAAN
Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan
sekalian, Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur
kerana telah menjemput saya ke Majlis ini. Saya juga mengucapkan tahniah
kepada Jawatankuasa tersebut kerana daya usaha mengadakan pertandingan
ini. Saya telah diberitahu bahawa tahun ini sekolah-sekolah Rendah Jenis
Kebangsaan Tamil juga turut serta dalam peraduan ini.
2. Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan adalah sebahagian daripada sistem
pelajaran Malaysia. Ia membuktikan penerimaan bahawa negara ini ialah
negara berbilang kaum di mana bahasa-bahasa ibunda penduduknya diberi
tempat. Namun demikian kedudukan Bahasa Kebangsaan adalah istimewa dan
sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ibunda yang bukan Bahasa
Kebangsaan, juga perlu memberi keutamaan kepada Bahasa Kebangsaan.
3. Penerimaan ini bukanlah setakat pengakuan sahaja tetapi hendaklah
secara bersungguh-sungguh. Pada malam ini kita akan dapat menyaksikan
pencapaian oleh sekolah-sekolah jenis kebangsaan dalam menguasai Bahasa
Malaysia. Saya yakin bahawa kesungguhan ini akan terbukti. Namun demikian
kesungguhan ini hendaklah juga ditunjuk oleh pihak-pihak lain yang
terlibat dengan persekolahan di negara ini. Sebenarnya tidak banyak
daripada negara-negara berbilang kaum yang mempunyai dasar yang begitu
'liberal' seperti negara kita Malaysia.
Para hadirin sekalian,
4. Kita patutlah bersyukur bahawa negara kita aman dan makmur. Kerana
wujudnya keadaan ini, kita telah dapat membangun dengan pesat dan rakyat
telah dapat mengecapi nikmatnya. Dasar-dasar dan rancangan-rancangan
pembangunan kerajaan adalah bertujuan untuk meninggikan lagi taraf hidup
rakyat. Segala usaha ini dapat dijalankan dengan adanya perpaduan,
keamanan dan kerjasama. Oleh itu amatlah penting bagi kita menentukan
bahawa keadaan ini sentiasa dipelihara.
5. Tanggungjawab menjamin negara aman dan makmur adalah tanggungjawab kita
bersama. Kesedaran ini mestilah juga disemaikan di kalangan muda-mudi
kita, khususnya mereka yang dilahirkan selepas Merdeka. Anak-anak kita
mestilah diberitahu mengenai latar belakang serta pengorbanan yang
dilakukan dalam mencapai kemerdekaan. Mereka juga patut diberitahu tentang
pengorbanan yang masih perlu dibuat oleh semua kaum, untuk kebaikan kita
semua. Di negara yang majmuk ini, tidak akan ada sesuatu kaum yang boleh
mendapat semua kehendak hati mereka.
6. Kita bersyukur bahawa negara kita telah dapat yang dapat menjalinkan
perpaduan rakyat. Pemilihan ini yang telah kita sama-sama persetujui
adalah sangat wajar. Dengan ini bilangan penduduk negara ini yang fasih
dalam Bahasa Malaysia semakin hari semakin meningkat. Bahkan hampir
keseluruhan anak-anak muda daripada semua kaum boleh menggunakan Bahasa
Malaysia dengan cekap. Penggunaan Bahasa Malaysia telah juga diperluaskan
ke bidang-bidang teknikal, undang-undang dan perdagangan. Ini membuktikan
kemampuan Bahasa Malaysia berfungsi bukan sahaja sebagai alat perpaduan
tetapi juga sebagai bahasa dalam pentadbiran, perdagangan, pendidikan dan
lain-lain. Malahan Bahasa Kebangsaan kini merupakan bahasa yang
berpengaruh di rantau ini.
7. Peraduan syarahan bagi murid-murid yang bahasa ibundanya bukan Bahasa
Melayu, bukan sahaja akan membuktikan kebolehan murid-murid ini tetapi
juga akan memberi galakan kepada murid-murid lain. Ia juga akan
membuktikan bahawa penguasaan Bahasa Kebangsaan adalah mudah jika
dipelajari dan digunakan dengan tekun. Bahasa ibunda masing-masing tidak
akan terjejas semata-mata kerana mempelajari dengan bersungguh-sungguh
Bahasa Kebangsaan. Oleh itu janganlah sesiapa sengaja menghalang
pengajaran dan penggunaan Bahasa Kebangsaan.
8. Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
tahniah kepada semua murid yang telah mengambil bahagian dalam peraduan
ini. Kepada mereka yang tidak berjaya memasuki pertandingan akhir ini,
berusahalah lagi dengan lebih bersungguh-sungguh. Kepada mereka yang
berjaya, berusahalah juga supaya dapat dipertingkatkan lagi mutu Bahasa
Malaysia, Bahasa kita.
Terima kasih.
|