Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : LUMUT, PERAK,
Tarikh/Date : 20/11/84
Tajuk/Title : PEMBUKAAN RASMI MARKAS PANGLIMA
ARMADA TLDM
Yang Amat Berhormat, Menteri Besar Perak;
Yang Berhormat, Timbalan Menteri Pertahanan;
Yang Berbahagia, Ketua Setiausaha Kementerian
Pertahanan; Yang Berbahagia, Panglima Tentera Laut;
Dif-Dif Kehormat;
Para hadirin sekalian.
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang
telah melimpahkan kurnia dan keizinanNya untuk kita
bersama-sama pada hari ini bagi merasmikan pembukaan Markas
Panglima Armada dan Sistem Komunikasi Tentera Laut Diraja
Malaysia.
2. Markas Panglima Armada ini adalah markas operasi TLDM
yang terbesar yang bertanggungjawab atas segala operasi
kapal-kapal TLDM. Manakala sistem komunikasi TLDM pula
adalah sistem komunikasi yang termoden di kawasan ini, mampu
berhubung terus dengan unit-unit TLDM di seberang laut
sejauh lebih kurang dua ribu hingga lima ribu batu notika
dengan menggunakan sistem
komputer. Dengan ini, adalah jelas kepada kita bahawa TLDM
telah maju ke hadapan dengan kelengkapan yang moden dan
sofistikated sejajar dengan perkembangan dan permodenan TLDM
keseluruhannya. Permodenan dan pembesaran TLDM adalah perlu
memandangkan tanggungjawabnya yang kian bertambah.
3. Perkembangan TLDM juga adalah daripada segi kapal-kapal
yang besar dan moden yang boleh dibanggakan. Kerajaan telah
banyak membelanjakan wang dalam mengadakan berbagai
infrastruktur bagi keselesaan para anggota TLDM yang semakin
bertambah. Saya percaya kemudahan-kemudahaan ini akan
digunakan dengan sepenuhnya.
4. Kemodenan peralatan sesuatu angkatan tentera tidak
semestinya menjaminkan kemenangan. Apa yang diperlukan juga
ialah anggota-anggota yang berdisiplin, bermotivasi,
dedikasi dan efisien. Ini adalah kerana para anggota
tenteralah yang akan menggerakkan peralatan itu, merekalah
yang akan menentukan kemudahan-kemudahan ini dapat digunakan
dengan sepenuhnya dan mereka jugalah yang akhirnya akan
dapat menjaminkan kejayaan dan kemenangan. Justeru itu saya
ingin menekankan di sini bahawa disiplin, kemahiran,
motivasi dan kecekapan anggota tentera tidak boleh diabaikan
dan anggota-anggota tentera pula mestilah sentiasa bersikap
positif dan berani dalam menjalankan tugas-tugas seharian
mereka.
Para hadirin sekalian,
5. Tentera laut tidak akan dapat melaksanakan tugas-tugas
dan tanggungjawabnya dengan sempurna tanpa disiplin.
Disiplin adalah tulang belakang angkatan tentera. Maka
dengan itu setiap anggota perlu mempunyai taraf disiplin
yang tinggi. Angkatan tentera kita memang mempunyai
disiplin yang tinggi. Namun demikian usaha-usaha perlu
diteruskan pada setiap masa untuk meningkatkan lagi mutu
disiplin di kalangan anggota tentera.
6. Kita bersyukur bahawa negara kita aman dan sejahtera.
Keadaan ini wujud kerana terdapatnya perpaduan dan
keharmonian yang telah membenarkan kita membangun dengan
pesat. Namun demikian angkatan tentera kita hendaklah
sentiasa berwaspada memandangkan akan
pergolakkan-pergolakkan yang berlaku di rantau ini.
Walaupun kita mempunyai rakan untuk memberi pertolongan
sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini,
tetapi kita mesti ingat bahawa akhirnya pertahanan dan
keselamatan negara kita terletak di tangan kita sendiri.
Janganlah kita terlalu berharap kepada pihak yang lain
apabila menghadapi sesuatu. Pertolongan yang mereka akan
beri, walau jujur sekalipun, sudah tentu terhad. Kitalah
yang akan menentukan nasib dan masa depan negara kita.
7. Akhir kata saya berharap semua pegawai dan anggota
TLDM, akan menjalankan tugas masing-masing dengan penuh
dedikasi dan bertanggungjawab.
8. Dengan ini saya dengan sukacitanya membuka dengan rasmi
Markas Panglima Armada TLDM ini.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
|