Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL EQUATORIAL, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	23/11/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM GAPENA 




Yang Berbahagia Profesor Ismail Hussein, Ketua Satu GAPENA; En. Gerald
F. Cox, Pengerusi ESSO Malaysia; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan
puan-puan, 

Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa GAPENA kerana
menjemput saya ke majlis malam ini. Kepada penulis-penulis jemputan dari
luar negeri, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat datang ke
Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

2. Saya mengucapkan tahniah kepada masyarakat penulis Malaysia kerana
telah menunjukkan satu semangat kesatuan yang gigih. Dengan semangat
kesatuan itu, pertubuhan-pertubuhan penulis telah dapat menjalankan
program-program bagi kemajuan penulisan dan bahasa kita. Kegiatan
pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan seperti GAPENA adalah penting bagi
menambah usaha yang dijalankan oleh pihak Kerajaan sendiri dalam bidang
bahasa dan sastera. Inisiatif dan usaha pembinaan mestilah datang juga
daripada rakyat sendiri. Kerajaan hanya dapat memberi dorongan dan
galakan. Pertubuhan-pertubuhan seperti GAPENA haruslah dapat
menggemblingkan buah fikiran dan tenaga rakyat, dan seterusnya melakukan
pelbagai usaha dalam memperkayakan bahasa dan persuratan. Dengan itu, apa
jua kerjasama yang erat antara badan-badan bahasa dan sastera dengan
institusi-institusi kemajuan bahasa yang ditubuhkan oleh Kerajaan tentulah
akan memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa dan sastera kita.

3. Di dalam ucapan saya di persidangan Pertemuan Dunia Melayu di Melaka
pada akhir tahun 1982, saya menyebut tentang perlunya membina satu bahasa
dan satu kebudayaan Impian kita untuk membentuk satu bangsa yang bersatu
padu dengan Kebudayaan Kebangsaan adalah hasrat kita semua.

4. Dalam pembinaan Kebudayaan Kebangsaan itu, Bahasa Kebangsaan tentulah
menjadi bahagian yang utama. Pihak Kerajaan telah melakukan apa sahaja
yang patut daripada segi pembinaan dan pengiktirafan bahasa dan sastera
kebangsaan. Kerajaan telah melaksanakan dasar bahasa itu dengan tegas
melalui Dasar Pelajaran Kebangsaan dan generasi baru kita telah dididik
dengan baik dalam bahasa itu sehingga ke peringkat universiti. Bahkan
bahan-bahan bacaan, istilah-istilah dan ejaan dan penggunaan bahasa telah
diterbit dan diselaraskan dalam konteks serantau yang lebih luas.

5. Dari segi sastera pula, Kerajaan memang selalu memberikan galakan yang
kuat. Anugerah Sastera dan Hadiah Sastera adalah merupakan galakan besar
yang diberikan oleh Kerajaan. Pusat-pusat pengajian tinggi kita pula telah
membentuk jabatan-jabatan pengajian bahasa dan sastera, penulisan kreatif,
dan komunikasi massa. Semuanya adalah untuk mempertingkatkan lagi daya dan
nilai Bahasa Kebangsaan.

6. Saya sedar yang pelaksanaan Bahasa Kebangsaan kita itu bukanlah tanpa
masaalah, terutama daripada segi penggunaannya dalam penghidupan kita
sehari-hari, seperti di kalangan pihak swasta di bandar-bandar. Tetapi
kita haruslah lihat perkara ini secara rasional. Kita di sini haruslah
berhati-hati agar keazaman kita untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan tidak
mengancam keperluan kita kepada bahasa-bahasa ilmu dan kemajuan dan
perkembangan di sekeliling kita. Bahasa ilmu dan nilai-nilai asing yang
positif adalah penting bagi memperkuatkan sistem pendidikan kita, bagi
memindah teknologi dan ilmu pengetahuan dari luar, malah penguasaan
bahasa-bahasa lain akan memperkuatkan Bahasa Kebangsaan kita sendiri.

7. Kita harus ingat bahawa pembangunan Bahasa Kebangsaan ke peringkat yang
didapati sekarang dicapai oleh kerana ada di antara kita yang dapat
menguasai bahasa-bahasa asing. Tanpa penguasaan ini peminjaman perkataan
asing akan terhad kepada peminjaman bunyi perkataan sahaja tanpa
makna. Jika bunyinya sahaja yang dipinjam tetapi maknanya lain, maka
adalah lebih baik kita tempah bunyi perkataan kita sendiri. Sebenarnya,
meminjam bunyi perkataan tanpa tafsirannya akan mengelirukan kita
semua. Banyak perkataan Arab, Inggeris dan lain-lain yang digunakan oleh
kita, tetapi tidak mempunyai makna asal perkataan itu.

8. Ini berlaku kerana kurangnya penguasaan bahasa lain. Oleh itu, jika
kita ingin memperkayakan bahasa kita, bukan sahaja pakar-pakar bahasa
perlu menguasai bahasa asing, tetapi juga setiap daripada kita yang
terpelajar dan ahli profesional hendaklah menguasai sekurang-kurangnya
satu bahasa asing. Di zaman moden ini orang yang terpelajar biasanya
menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa. Ini tidak bermakna kita
menderhaka kepada Bahasa Kebangsaan kita. Sebaliknya ia menolong kita
memperkayakan bahasa kita di samping memperluaskan ilmu yang dimiliki oleh
kita. Hari ini kita masih boleh menterjemahkan tulisan daripada bahasa
asing. Saya khuatir jika perasaan kebangsaan kepada bahasa mengongkong
kita, akan terputuslah kita daripada punca-punca ilmu yang diterokai oleh
bangsa lain.

9. Dengan yang demikian tugas kita sekarang ialah mencari perimbangan yang
sesuai di antara penggunaan Bahasa Kebangsaan dengan bahasa-bahasa ilmu
dunia. Perimbangan ini kalau dihujahkan kepada masyarakat kita secara
logik tidaklah harus menimbulkan apa-apa kesangsian atau
tentangan. Sehubungan dengan itu kita seharusnya memperkukuhkan penggunaan
Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perhubungan sehari-hari dan dalam
kehidupan biasa; ini termasuklah juga sebagai bahasa dalam mempamer dan
mengiklankan barang-barang dagangan di kedai-kedai dan di pusat membeli
belah.

10. Di samping itu kita harus juga perkukuhkan penggunaan Bahasa
Kebangsaan sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa kebudayaan yang
tinggi. Adalah tugas golongan terpelajar kita yang menguasai bahasa-bahasa
asing untuk memindahkan kekayaan ilmu pengetahuan dunia ke dalam Bahasa
Kebangsaan. Dalam usaha untuk meluaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan
sebagai bahasa kebudayaan tinggi, usaha bersama dan kerjasama antara
individu dan institusi-institusi mestilah ditingkatkan. Di samping itu
pula haruslah ada sesuatu yang menarik minat para pembacanya. Di sinilah
terletaknya peranan masyarakat penulis dan seniman iaitu untuk mengarang
atau mencipta karya-karya yang bermutu yang dapat memikat pembaca dan
penontonnya. Adalah tugas penerbit-penerbit kita juga, terutama surat
khabar bahasa kebangsaan, untuk meningkatkan mutu rencana yang
disiarkannya, sesuai dengan cita-cita kita untuk memperluaskan lagi
penggunaan Bahasa Kebangsaan.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

11. Pada kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada GAPENA
yang telah berjaya bekerjasama dengan pelbagai pihak swasta dalam
projek-projek sastera. Pada malam ini, kita lihat, misalnya, beberapa
projek yang diusahakan dengan kerjasama Syarikat Esso Malaysia. Saya
mengucapkan terima kasih kepada mereka ini yang berani menampilkan diri
untuk turut bersama membina bahasa dan kesusasteraan kebangsaan
Malaysia. Saya ingin menarik perhatian bahawa konsep penswastaan Kerajaan
juga harus diperluaskan dalam lapangan pembinaan bahasa dan kebudayaan
oleh kerana bahasa dan kebudayaan perlu dibina dengan daya usaha dan
inisiatif rakyat sendiri. Peranan Kerajaan hanyalah setakat memberi
galakan dan dorongan.

12. Bagaimanapun di sini saya ingin menegaskan betapa perlunya pelbagai
pihak di luar Kerajaan ikut serta dalam pembinaan bahasa dan persuratan
kebangsaan kita. Misalnya, banyak daripada bahan-bahan yang kita perlukan
sekarang dalam bahasa kebangsaan, seperti buku-buku ilmu pengetahuan dan
kebudayaan yang tinggi, belum lagi boleh diterbitkan secara komersial,
oleh kerana jumlah penggunanya masih terbatas. Oleh itu penerbitan
buku-buku seperti ini perlu diberi bantuan kewangan. Saya percaya pihak
swasta kita yang mampu sudah tentu akan dapat memberi sumbangan yang
bererti supaya buku-buku seperti ini dapat diterbitkan.

13. Dalam hal ini saya amat gembira dengan wujudnya beberapa badan lain
seperti Yayasan Karyawan, Zamalah Sastera, serta juga Yayasan Seni yang
ditubuhkan tidak lama dahulu. Melalui pertubuhan-pertubuhan seperti ini,
pihak swasta dan rakyat dapat ikut menyalurkan sumbangan mereka. Saya rasa
melalui proses sedemikian, kita lambat-laun akan dapat mewujudkan
badan-badan yang khusus yang diusahakan atas inisiatif rakyat bagi
menerbitkan satu-satu karya bahasa seperti 'kamus kebangsaan' ataupun
untuk menerbitkan 'ensiklopedia kebangsaan'.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

14. Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang 'Pertandingan Cerpen
ESSO-GAPENA Kelima' dan 'Hadiah Sastera Remaja ESSO-GAPENA Ketiga'. Kepada
mereka yang tidak berjaya saya berharap mereka akan terus mengasah bakat
masing-masing dan turut menyertai peraduan-peraduan masa depan. Saya juga
mengucapkan tahniah kepada Syarikat ESSO Malaysia yang mengumumkan 'Hadiah
Drama' malam ini. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih
kepada GAPENA kerana menjemput saya dan isteri saya. Kepada hadirin
sekalian, bersama-samalah kita mendaulat dan memperkayakan Bahasa
Kebangsaan dan Kebudayaan Kebangsaan kita.

Terima kasih. 
 

 



 
Google