home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	28/11/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA ULANG 
			TAHUN KE-30 PERSATUAN PEMBORONG-
			PEMBORONG BINAAN MALAYSIA (MASTER 
			BUILDERS ASSOCIATION MALAYSIA) 




Yang berbahagia Dato Yeoh Tiong Lay, Presiden Persatuan
Pemborong-pemborong Binaan Malaysia; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan
puan-puan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Pemborong-Pemborong Binaan
Malaysia kerana menjemput saya dan isteri saya ke Majlis ini. Saya juga
mengucapkan tahniah kepada Persatuan ini sempena ulang tahunnya yang
ke-30. Terima kasih juga saya sampaikan kerana pemberian pingat emas oleh
Persatuan ini.

2. Memandangkan bahawa bidang pembinaan sedang bergerak dengan begitu
pesat di negara kita ini, maka sudah tentulah para pengusaha pembinaan
mempunyai peluang-peluang yang semakin bertambah. Kita dapat lihat bahawa
pembinaan pesat ini bukan sahaja terdapat di Kuala Lumpur tetapi juga di
seluruh negara. Pelawat-pelawat dari luar negeri memang kagum dengan kadar
pembinaan di negara ini. Ini adalah salah satu bukti bahawa negara kita
stabil, ekonomi kita berkembang dan bertambah maju dari hari ke hari.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

3. Kerajaan yang stabil, negara yang aman dan ekonomi yang kukuh memang
dikehendaki oleh semua, terutama sekali oleh ahli-ahli perniagaan seperti
tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Dengan terdapatnya keadaan yang
sedemikian, banyak lagi perniagaan dapat dijalankan dan ini akan membawa
kepada peluang-peluang dan juga keuntungan yang lebih. Ada pula yang akan
mendapat keuntungan yang lebih besar kerana lebih pintar dan lebih
cekap. Memang benar, ada juga yang tidak berjaya tetapi saya rasa
bilangannya tidak begitu besar dan perkara seumpama ini tidaklah asing
dalam perniagaan. Tetapi pada keseluruhannya, ahli-ahli perniagaan di
negara ini menikmati kejayaan dan kemakmuran yang lebih jikalau
dibandingkan dengan masa-masa yang lalu terutamanya sebelum negara
mencapai kemerdekaan. Lebih tepat lagi perkembangan ekonomi menjadi lebih
pesat semenjak tertubuhnya Dasar Ekonomi Baru -- yang mana ini adalah
bertentangan dengan ramalan-ramalan yang dibuat apabila Dasar Ekonomi Baru
digubal.

4. Kerajaan memang menggalakkan lebih banyak lagi penyertaan pihak swasta
dalam usaha mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara. Peranan swasta kian
bertambah dan ia merupakan salah satu strategi Kerajaan untuk menggalakkan
pelaburan oleh perlabur-pelabur tempatan dan asing. Ini bererti Kerajaan
menyediakan peluang dan ianya patut mendapat sambutan daripada para
pengusaha dan peniaga.

5. Sayugia diingatkan bahawa ahli-ahli perniagaan kita dalam usaha mereka
untuk meluaskan perdagangan dan perniagaan mereka, mestilah menentukan
bahawa usaha-usaha ini dijalankan dengan penuh tanggungjawab. Amatlah
penting ahli-ahli perniagaan kita bersikap jujur, beramanah dan
berdisiplin. Mereka mestilah menentukan bahawa apa-apa jua perjanjian yang
dibuat hendaklah ditunaikan dan tidak berlaku sebarang penyelewengan. Jika
syarat dan janji diabaikan maka kepercayaan pelanggan akan hilang. Ini
bukan sahaja akan merugikan peniaga yang terlibat tetapi juga akan
mengurangkan kepercayaan orang lain terhadap bangsa dan negara kita. Saya
berharap para peniaga dan para pengusaha kita akan sentiasa bersikap
bertanggungjawab dan tidak menyalahguna dan mensia-siakan peluang-peluang
yang ada.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

6. Di samping menguruskan perniagaan masing-masing, tuan-tuan haruslah
sedar tentang betapa pentingnya ditingkatkan usaha untuk membantu
rakan-rakan yang lain dalam perusahaan pembinaan ini khususnya
kontraktor-kontraktor bumiputera supaya mereka dapat bergiat dengan lebih
aktif lagi. Memang benar terdapat kontraktor-kontraktor bumiputera yang
aktif dalam bidang pembinaan ini, tetapi saya rasa bidang ini boleh
menampung lebih ramai lagi kontraktor-kontraktor bumiputera. Dalam erti
kata lain, kerjasama yang lebih di antara kontraktor-kontraktor bukan
bumiputera dengan kontraktor-kontraktor bumiputera merupakan salah satu
faktor penting bagi menentukan kejayaan dan kemajuan bidang ini.

Jikalau kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak sedia berkongsi,
memang benar kita masih lagi mendapat keuntungan. Tetapi cara sedemikian
merupakan keuntungan dari segi jangka pendek sahaja. Sekiranya ia terus
dilakukan, maka akibatnya ialah kerugian kepada semua pihak dalam jangka
panjang. Sebaliknya pula kontraktor-kontraktor bumiputera yang mengadakan
usahasama hendaklah memainkan peranan yang bermakna dan tidak terhad
kepada menjadi 'contact man' sahaja. Begitu juga dengan yang menjalankan
usaha sendiri.

Janganlah serah semuanya kepada 'sub-contractor' sehingga tidak langsung
dilihat di 'worksite'. Janganlah menjadi kontraktor yang tidak mempunyai
pegawai, jurutera dan kakitangan yang digajikan sendiri. Amalan-amalan
seperti ini tidak akan meningkatkan kecekapan, kerana kontraktor binaan
mesti menghadapi seribu satu masalah pengurusan yang memerlukan
penyelesaian setiap hari. Cuma dengan melibatkan diri secara langsung
dengan urusan harian barulah kecekapan dan kepintaran dapat
diperolehi. Mereka yang mencari jalan senang dengan cuma mendapat seberapa
banyak kontrak yang boleh untuk diurus oleh orang lain, akan kekal sebagai
pengurus yang tidak berupaya. Kaum bumiputera tidak dapat berbangga
walaupun mereka ini menjadi jutawan sepuluh kali ganda.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

7. Pada akhir-akhir ini terdengar pendapat dan pandangan bahawa kononnya
Kerajaan memberi keutamaan dan keistimewaan kepada kontraktor-kontraktor
asing dalam memberi kerja-kerja pembinaan yang besar. Dan sesudah
diberikan kerja-kerja ini, mereka juga mendapat kemudahan-kemudahan lain
seperti bekalan air, elektrik dan sebagainya dengan cepat dan
senang. Kononnya juga, kontraktor-kontraktor tempatan yang diberi
kerja-kerja pembinaan Kerajaan tidak diberi layanan yang serupa. Juga
terdengar sungutan bahawa sekiranya Kerajaan memberi kemudahan-kemudahan
yang diberikan kepada kontraktor-kontraktor asing itu kepada
kontraktor-kontraktor tempatan pula, maka kontraktor-kontraktor tempatan
juga boleh mengendalikan kerja-kerja mereka dengan cepat, sempurna dan
baik.

8. Saya ingin menarik perhatian kepada keadaan tidak lama dahulu sebelum
apa yang dianggap sebagai kebanjiran kontraktor asing berlaku. Apakah
keadaan pada masa itu? Tidak ada banyak projek pembinaan yang besar, baik
dalam rancangan Kerajaan ataupun rancangan swasta. Swasta mempunyai cuma
dua tiga projek besar sahaja. Kebanyakan daripada kontrak-kontrak binaan
yang besar dimenangi oleh kontraktor-kontraktor asing dari
Eropah. Prestasi mereka tidak memuaskan dan kos mereka tinggi. Beberapa
daripada projek ini terbengkalai kerana beberapa sebab sehingga ada yang
terpaksa dibina semula dengan belanja yang amat tinggi. Masa yang diambil
untuk pembinaan biasanya panjang. Ada juga beberapa projek yang dimenangi
oleh kontraktor-kontraktor tempatan. Kos mereka juga tinggi dan mereka
mengambil masa yang amat panjang. Cara tradisional masih lagi
digunakan. Tidak ada cara-cara baru yang diperkenalkan. Peranan bumiputera
dalam kontrak yang besar hampir tidak ada. Mereka tidak menjadi kontraktor
utama atau sub-kontraktor atau pekerja mahir atau tidak mahir. Hampir
semua jurutera bumiputera pada masa itu bekerja semata-mata dengan
Kerajaan.

9. Inilah keadaan yang terdapat di waktu Kerajaan mencadangkan sistem
'turnkey', dan sesudah itu kontraktor-kontraktor dari Timur berjaya
mengganti kontraktor-kontraktor Barat. Walaupun ada satu dua kontraktor
tempatan yang membuat tawaran tetapi persaingan yang sebenar ialah antara
kontraktor Barat dengan kontraktor Timur. Kontraktor tempatan tidak begitu
terlibat. Sudah tentu kontraktor bumiputera tidak sama sekali tersingkir
kerana penyertaan kontraktor-kontraktor dari Timur. Mereka tidak pun mampu
membuat tawaran.

10. Penyertaan kontraktor dari Timur telah menyebabkan berlakunya
perubahan dalam bidang pembinaan. Mereka dapat mengurangkan kos,
memperkenalkan sistem-sistem yang baru dan mempercepatkan kerja. Mungkin
ini secara kebetulan atau 'incidental' sahaja, tetapi hakikatnya ialah
tidak beberapa lama selepas kedatangan kontraktor Timur 'building boom'
pun telah berlaku.

11. Ramai juga 'property owners' yang mengambil kesempatan harga murah
untuk memulakan rancangan pembangunan mereka. Dengan 'building boom' ini
juga telah muncul ramai kontraktor tempatan termasuk kontraktor bumiputera
yang sedar akan peluang-peluang kontrak yang wujud. Dalam keadaan ini,
tentulah mereka terpaksa bersaing dengan kontraktor Timur. Malangnya dalam
persaingan ini mereka telah gagal. Kerajaan tidak mempunyai dasar untuk
menyebelahi kontraktor Jepun atau Korea. Dasar Pandang Ke Timur ialah
untuk mempelajari etika kerja dan cara-cara mengurus dan bukan untuk
memberi kontrak kepada kontraktor Jepun atau Korea. Jika mereka dapat
kontrak, ini adalah kerana tawaran harga mereka lebih rendah. Tetapi, di
samping itu kita juga dapat lihat beberapa kontraktor tempatan sudah dapat
menurun kos dan menggunakan teknik baru serta bekerja dengan lebih
cepat. Saya yakin mereka sekarang lebih 'competitive' dan telahpun
memenangi beberapa kontrak besar.

12. Dipandang sepintas lalu, perkembangan dalam bidang pembinaan mungkin
merugikan kontraktor tempatan. Tetapi ini adalah sementara sahaja. Saya
yakin dengan adanya lebih banyak pembangunan dan kecekapan serta sistem
dan kos baru, kontraktor tempatan akan dapat lebih banyak peluang dalam
'building boom' yang berterusan ini. Kerajaan tetap akan memberi layanan
yang lebih kepada kontraktor tempatan terutama bumiputera jika kos, mutu
kerja dan kecekapan mereka hampir sama dengan kontraktor asing. Ini ialah
kerana kita tidak suka pengaliran tukaran wang ke luar
negeri. Kontraktor-kontraktor tempatan hendaklah menggabungkan diri mereka
supaya mereka berupaya bersaing dengan kontraktor asing.

13. Secara tidak langsung pembanjiran kontraktor dari Timur telah membawa
perkembangan yang baik bagi 'construction industry' dan kepada ekonomi
negara. Di mana dahulu tidak ada kontraktor tempatan, sekarang sudah ada
ramai, termasuklah kontraktor bumiputera. Sedikit demi sedikit,
projek-projek telah berjaya direbut oleh kontraktor tempatan. Usahasama,
'sub-contract', pekerja terlatih semuanya telah bertambah. Jika
kontraktor-kontraktor tempatan dapat menyerap sistem binaan dan pengurusan
yang baik dan dapat pula mendirikan syarikat-syarikat pembinaan yang lebih
besar dan cukup lengkap, saya yakin satu hari nanti kontraktor Malaysia
akan dapat bersaing dan memenangi kontrak-kontrak antarabangsa. Oleh itu,
janganlah nampak yang negatif sahaja. Banyak kebaikan kerana kedatangan
kontraktor dari Timur dan kita akan dapat keuntungan daripada perkembangan
ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

14. Bukan menjadi dasar Kerajaan untuk membiayai orang asing. Kerajaan
sanggup rugi sedikit asalkan rakyat sendiri mendapat nikmat. Tetapi
janganlah kita lekas menyalahkan Kerajaan sebelum kita periksa dengan
teliti sesuatu perkara itu dan mengkaji peranan diri sendiri. Kaji juga
kontrak-kontrak yang dahulu tidak mungkin kita dapat tetapi sekarang sudah
kita dapat -- termasuklah kontraktor-kontraktor bumiputera. Kaji juga
bagaimana sekarang kita sanggup mencari sistem baru dan menurunkan
kos. Kaji juga peluang-peluang latihan dan peluang-peluang kerja terutama
kepada bumiputera. Apakah benar tidak ada sedikit pun kebaikan yang telah
berlaku akibat daripada penyertaan kontraktor dari Timur walaupun bukan
kerana dasar Kerajaan? Jika kita mahu keadilan daripada Kerajaan,
lakukanlah keadilan kepada Kerajaan. Lihatlah apa yang telah terjadi
kepada orang lain di zaman kemelesetan ekonomi dunia ini. Apakah
pembangunan yang sedang berlaku di Malaysia memberi gambaran adanya
kemelesetan di sini? Bersyukurlah, kerana di waktu orang lain dilanda
kesusahan, kita dapat menikmati kesenangan.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

15. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada Persatuan
Pemborong-pemborong Binaan Malaysia sempena ulangtahunnya yang ke-30 dan
berharap agar Persatuan ini akan terus memberi sumbangan kepada
usaha-usaha pembangunan di negara ini.

Terima kasih. 
 
 



 
Google