Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI TELEVISYEN DAN
RADIO MALAYSIA
Tarikh/Date : 31/12/84
Tajuk/Title : PERUTUSAN TAHUN BARU
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Saudara-saudari sekalian,
Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana sekali lagi kita
diizinkan menyambut tahun baru, iaitu tahun 1985. Pada hari genapnya tahun
1984 dan bermulanya 1985, sementara kita bergembira, kita juga harus
merenung sejenak, merenung tentang negara kita dan diri kita dalam negara
ini.
2. Saya biasa menyebut tentang betapa kita harus bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wataala kerana negara kita ini bebas dari segala jenis
malapetaka seperti ribut taufan, banjir yang dahsyat, gempa bumi dan
gunung berapi, kemarau yang berpanjangan atau musim salji yang menimbus,
kebuluran seperti yang melanda Afrika sekarang dan lain-lain lagi
malapetaka. Sebaliknya negara kita subur, tidak terlalu panas, penuh
dengan sumber alam dan makanan yang cukup. Tidak ada siapa yang mati
kebuluran kerana selain dari bantuan yang boleh diperolehi dari Kerajaan,
jiran dalam masyarakat kita tidak mungkin begitu kekeringan perasaan
kemanusiaan sehingga sanggup melihat jirannya mati kelaparan.
3. Kita juga harus bersyukur kerana sejak merdeka kita tidak mengalami
jenis-jenis malapetaka buatan manusia.
Selain dari rusuhan kaum pada tahun 1969 kita tidak diserang dengan
rusuhan-rusuhan dalam negeri atau serangan perang dari luar
negeri. Walaupun ada usaha untuk membakar perasaan perkauman dikalangan
kaum-kaum dan fanatisme melalui salah tafsir agama, majoriti rakyat
menolak kegiatan ini. Parti-parti politik yang cuba membesar dan
memburukkan masalah-masalah sosial seperti pembangunan tempat-tempat
tertentu dan kecemaran alam sekitar juga tidak berjaya mencetuskan
huru-hara yang mereka harapkan. Pada keseluruhannya negara kita aman dan
makmur jika kita iktiraf hakikat sebenar dan tidak membutakan mata dan
hati kita.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang.
4. Sementara kita bersyukur dengan apa yang ada, kita juga harus ingat
bahawa masa berlalu dan kehidupan manusia dan masyarakatnya tetap
berubah. Tidak ada masyarakat manusia yang kekal dengan keadaannya pada
paras yang sama selama-lamanya. Sesuatu masyarakat akan menjadi semakin
maju atau semakin mundur dengan pengaliran masa. Negara yang mundur boleh
menjadi maju sehingga mengatasi negara-negara maju yang terkenal dan
negara yang maju pula, kerana lalai atau amalan-amalan yang tidak sihat,
akan menjadi lemah, ketinggalan zaman, bahkan luput sama sekali.
Demikianlah dengan beberapa negara dan empayar dalam sejarah.
Saudara-saudari sekalian,
5. Negara kita Malaysia baharu sahaja muncul dan tahun ini umurnya
meningkat kepada 28 tahun. Kita masih muda jika dibandingkan dengan
kebanyakan dari negara-negara yang terkenal dalam sejarah dunia. Sebagai
negara yang muda kita berpeluang mempelajari bukan sahaja dari sejarah
kita sendiri, tetapi juga dari sejarah negara-negara lain, yang telah
maju, yang masih maju, yang telah mundur dan yang masih mundur.
6. Inilah yang dibuat oleh Kerajaan setiap kali kita membentuk sesuatu
dasar atau mengambil sesuatu langkah.
Niat Kerajaan ialah supaya kita mengelak dari melakukan apa-apa yang boleh
membawa mudarat kepada negara dan penduduknya, khususnya warganegara.
7. Kita menyeru kepada perpaduan umpamanya, kerana kita tahu akan
kestabilan dan kekuatan yang diasaskan kepada perpaduan. Di Malaysia yang
berbilang kaum dan agama kita menyeru supaya orang-orang Melayu
bersatu-padu, bumiputera bersatu-padu, dan kaum yang ada di Malaysia semua
bersatu-padu sebagai satu bangsa Malaysia. Memang benar kita belum lagi
dapat melupakan kaum asal kita, tetapi ini tidak sepatutnya menghalang
perpaduan nasional.
8. Janganlah kita bercakap seolah-olah tidak ada sentimen perkauman dan
kita menolak hakikat kaum, tetapi di samping itu kita timbulkan
bermacam-macam perkara yang menyempitkan lagi perkauman di kalangan
kaum-kaum tertentu. Janganlah kita cuba bermain dengan api perkauman
kerana ia amat bahaya. Perpaduan tidak akan wujud jika api perkauman
ditiup tanpa tanggungjawab.
9. Dalam usaha untuk membangunkan negara, Kerajaan juga menyeru kepada
kebersihan, kecekapan, amanah, disiplin, kerajinan dan teladan yang boleh
memimpin ke arah kebaikan.
Apakah nilai-nilai ini tidak baik dan tidak akan membawa kepada kebaikan.
10. Kebersihan ialah sebahagian dari iman bagi orang Islam. Tidak ada
ibadat yang boleh dilakukan dalam keadaan yang kotor. Begitu juga bagi
penganut agama lain dan kaum-kaum yang ada di Malaysia. Kita semua tahu
akan kebaikan dan kemuliaan kebersihan. Yang menjadi masalah ialah
kadang-kadang kita membiar tabiat yang kotor menguasai kita.
Ataupun kita membenar perasaan tidak bertimbangrasa menguasai kita. Kita
mengotor, kerana kesannya akan dirasai oleh orang lain.
11. Kempen kebersihan dibuat bukan kerana kepentingan Kerajaan tetapi
kerana kepentingan rakyat keseluruhannya.
Apakah kita suka dikelilingi dengan sampah-sarap dan bangkai yang
busuk. Tentulah tidak. Tetapi jika kita membuang sampah di keliling rumah,
di jalan-jalan atau di taman-taman, tidak mungkin ada pekerja yang menurut
kita sepanjang masa untuk mengutip sampah yang kita buang. Di zaman
penduduk yang tidak ramai, sampah tidak begitu banyak dan sempat pihak
yang bertanggungjawab membersihkannya. Tetapi di zaman penduduk
berjuta-juta, ini tidak mungkin. Jika kita muliakan kebersihan kitalah
yang patut menjaga kebersihan disekeliling kita. Jika kita ingin mengambil
angin di taman, jagalah kebersihan taman. Jagalah kebersihan di mana juga
kita berada.
12. Apakah rayuan daripada Kerajaan untuk menjaga kebersihan merupakan
suatu penindasan, suatu tuntutan yang tidak munasabah, suatu cara untuk
melarikan diri daripada tanggungjawab? Bersama-samalah kita
berfikir. Alangkah baiknya jika kita dikelilingi dengan alam yang serba
bersih.
13. Kita seru kepada amanah kerana amanah, selain daripada menjadi nilai
yang mulia, tetap akan membawa kebahagiaan kepada kita. Tidak ada suatu
kerja yang boleh dilakukan tanpa amanah. Kita tidak mungkin membuat
sendiri semua kerja kita. Sudah tentu dalam Kerajaan atau firma, kita
dikehendaki menjalankan arahan orang lain. Jika amanah tidak ada semua
kerja akan gagal mencapai maksudnya.
Pembangunan tidak boleh dilakukan, perniagaan firma akan terbatas,
penguatkuasaan undang-undang dan aturan-aturan tidak boleh
dilangsungkan. Bahkan tiada suatu kerja kecil seperti menghantar surat,
mengutip cukai, memeriksa bungkusan, menukar cek boleh berjalan dengan
licin. Pendek kata tanpa amanah, tidak mungkin masyarakat hidup tenteram
dan bahagia. Sebab itu kita seru kepada amanah.
14. Kita harus ingat bahawa sepertimana kurang amanah dipihak orang lain
akan menjejaskan kerja kita, kurang amanah di pihak kita akan menjejaskan
kerja orang lain.
Masyarakat yang dipenuhi oleh orang-orang yang tidak beramanah tentulah
akan menjadi beban kepada kita semua.
Jikalau Kerajaan menyebut tentang amanah sehingga membosankan, sebabnya
tentulah jelas. Janganlah pula kita bertekun untuk mencari atau mencipta
peristiwa kurang amanah di pihak Kerajaan atau orang-orang tertentu
semata-mata kerana ingin menggagalkan kempen ke arah amalan yang baik
ini. Jika ada perbuatan kurang amanah di sisi Kerajaan kita patut berani
mendedahkannya secara terbuka supaya dapat kita memperbaikinya. Janganlah
melempar fitnah di belakang Kerajaan dan memburukkan orang-orang tertentu
kerana ia merupakan satu jenis rasuah juga. Perbuatan itu boleh menjadi
alasan kenapa kita tidak perlu menyambut seruan Kerajaan supaya kita
beramanah dan mengelak daripada rasuah.
15. Kita semua tahu lain-lain seruan Kerajaan dibuat untuk kebaikan kita
bersama. Saya tidak perlu jelaskan satu persatu kenapa kita perlu cekap,
berdisiplin, rajin, menunjuk kepimpinan yang baik dan sebagainya. Kita
semua tahu. Tetapi akan ada di kalangan kita mereka yang bukan sahaja
tidak mahu mengamalkan nilai-nilai yang mulia ini, tetapi sengaja cuba
menghalang amalannnya.
16. Ada yang berkata disiplin akan menjadikan kita robot.
Ini adalah falsafah yang di bawa oleh satu golongan orang Barat. Mereka di
antara kita yang terpengaruh dengan pendapat ini sebenarnya sudah menjadi
robot orang Barat atau "dummy ventriloquist" Barat. Amatlah nyata bahawa
jika kita berjaya kita akan mengancam kehidupan mewah mereka yang dahulu
menguasai semua teknologi dan keupayaan. Oleh kerana mereka tidak lagi
mempunyai kuasa secara langsung ke atas kita, sekarang mereka cuba
menguasai secara tidak langsung fikiran dan nilai hidup kita. Jika kita
kaji latar-belakang mereka di antara kita yang sering mempermainkan dasar
Kerajaan, kita akan kenal dalang yang menggerakkan mereka.
Janganlah kita terpedaya oleh mereka ini. Nilai baik memang baik dan akan
membawa kebaikan kepada kita.
Saudara-saudari sekalian,
17. Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi negara maju dalam masa yang
lebih singkat dari yang diperlukan oleh lain-lain negara yang
membangun. Kita mempunyai cukup sumber alam, tanah yang subur, bebas dari
berbagai jenis malapetaka dan infrastuktur yang sudahpun tinggi. Yang
diperlukan lagi untuk menjadikan Malaysia negara yang maju ialah
sifat-sifat yang mulia lagi tinggi yang boleh mempertingkatkan keupayaan
dan daya pengeluaran atau produktiviti kita.
18. Jika Kerajaan mendesak tanpa bosan supaya kita mengamalkan beberapa
nilai yang mulia, tujuannya bukanlah semata-mata kerana kepentingan negara
tetapi juga kerana kepentingan setiap warganegara Malaysia. Bagi mereka
yang beragama Islam amalan nilai-nilai ini juga dituntut dan dimuliakan
oleh agama. Bagi yang bukan beragama Islam nilai-nilai yang menjadi
tumpuan adalah nilai yang universal yang diterima sebagai baik oleh semua.
Saudara-saudari sekalian,
19. Di kalangan setengah masyarakat permulaan tahun dianggap sebagai
tarikh yang sesuai untuk membuat resolusi yang akan dituruti oleh diri
sendiri sepanjang tahun. Tidak ada satu sebab kenapa seluruh rakyat
Malaysia tidak boleh membuat resolusi bersama untuk tahun 1985 ini dan
seterusnya.
20. Oleh itu saya ingin menyeru kepada semua pihak, sama ada dalam
Kerajaan atau firma-firma swasta, dan kepada setiap orang warganegara
Malaysia supaya membuat resolusi tahun 1985 agar segala slogan-slogan ke
arah kebaikan yang dianjurkan oleh Kerajaan diamalkan dengan jujur dan
ikhlas.
Saya menyeru supaya kita semua mengamalkan sifat-sifat bersih, cekap dan
beramanah, supaya kita rajin dan berdisiplin, supaya kita semua menunjuk
teladan yang baik, dan supaya kita selalu bertanya apakah khidmat kita
kepada agama, bangsa dan negara.
21. Insya-Allah kita akan memperolehi kebahagiaan di dunia dan di
akhirat. Insya-Allah negara kita akan menjadi maju dan aman.
Saudara-saudari sekalian,
22. Sambutlah tahun baru 1985 dengan gembira dan berjanjilah kepada diri
sendiri yang kita akan berusaha meninggikan lagi maruah dan kebahagiaan
bangsa dan negara kita Malaysia.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu'alaukum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|