home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SRI PERDANA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/02/85 
Tajuk/Title  	: 	A DINNER IN HONOUR OF H.E. MR. 
			JAVIER PEREZ DE CUELLAR, SECRETARY 
			GENERAL OF THE UNITED NATIONS 




 Yang Amat Berhormat Dato Seri Abdul Rahim Tamby Chik, Ketua Menteri
Melaka; Yang Mulia Encik Affendi, Pengerusi Lembaga Pengarah
Petfina; Dif-Dif Kehormat; 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Petfina kerana menjemput
saya merasmikan kilang memproses minyak pelincir dan minyak alat ubah
ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Syarikat ini di atas kejayaannya
dalam bidang pengeluaran petroleum products ini.

2. Seterusnya saya turut berbangga dengan adanya penyertaan Bumiputera
dalam industri yang berasaskan petroleum ini. Walaupun bilangan bumiputera
belum begitu ramai lagi tetapi dari apa yang dapat dilihat mereka dapat
mengendalikan perusahaan ini dengan memuaskan. Saya juga diberitahu bahawa
Syarikat Petfina ini mempunyai kerjasama yang erat dengan Syarikat Fina
dari Belgium dari mana Petfina telah mendapat berbagai kerjasama teknikal
yang telah memberi kesan kepada syarikat tempatan ini. Saya harap
kerjasama ini dapat ditingkatkan demi kemajuan dan kepentingan bersama.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

3. Kerajaan semasa mengkaji dasar-dasar dan strategi-strategi
perindustriannya telah menyedari tentang perlunya diadakan satu strategi
perindustrian yang bersepadu. Antara lain strategi ini memerlukan satu
perancangan yang terperinci bagi sektor pembuatan atau
'manufacturing'. Kerajaan merasai penekanan haruslah diberikan kepada
'penggabungan sektor' atau 'sectoral-mix' yang sesuai. Gabungan ini
perlulah menunjukkan dengan jelas nya perhubungan di antara berbagai
peringkat kegiatan pengeluaran dan corak kegiatan yang saling
bergantung. Perancangan ini seharusnya mewujudkan rantaian atau 'linkages'
yang lebih erat di antara sektor pembuatan dengan sektor-sektor lain dan
di antara industri-industri dalam sektor pembuatan sendiri. Justeru itu
rantaian ini akan mempunyai pengaruh ke atas punca dan penggunaan barang
di dalam dan luar negeri. Ianya juga boleh memberi kesan ke atas berbagai
faktor pengeluaran atau 'factors of production'. Perancangan seperti ini
akan mengambil kira juga hal-hal mengenai meluaskan pembangunan,
pengagihan pendapatan dan imbangan pembayaran.

4. Dengan itu Kerajaan akan menyediakan satu Pelan Induk Perindustrian
atau 'industrial master plan' yang menyeluruh dan lengkap. Pelan ini akan
menyediakan rangka-kerja yang terperinci mengenai kegiatan berbagai sektor
dan juga sektor industri kecil supaya sumber-sumber ekonomi di negara ini
dapat digunakan secara optimum dan supaya matlamat pembangunan negara
tercapai. Pelan ini akan menyediakan 'profile' industri yang sesuai,
keluasan pasaran, keupayaan yang sedia ada, serta permintaan dan penawaran
berbagai jenis barang. Ianya akan menggariskan usaha yang harus
dilaksanakan bagi menyatukan industri yang sedia ada dengan kegiatan
mengeluarkan bahan mentah dan kegiatan memproses bahan ini
seterusnya. Dari segi guna tenaga pula, institusi latihan yang sedia ada,
termasuklah universiti-universiti, akan mengubah-suai semula kegiatan
latihan yang dijalankan, sesuai dengan keperluan mengikut pelan induk
tersebut. Kerajaan akan cuba menentukan juga bahawa sistem maklumat
industri yang efisien akan wujud di negara kita ini.

5. Dengan adanya pelan induk ini kelak, kita berharap setiap industri itu
akan menyebabkan munculnya industri-industri yang berkaitan, sama ada
sebagai pembekal input dan alat-alat untuk satu-satu peringkat pengeluaran
barangan, atau sebagai pengguna barangan yang dikeluarkan. Pada masa ini
kaitan antara industri itu tidak digunakan dengan maksimum. Misalannya,
negara kita adalah pengeluar alat letronik yang kedua besarnya di
dunia. Tetapi malangnya industri yang boleh menggunakan alat-alat letronik
ini untuk pengeluaran barangan siap boleh dikatakan tidak ada. Oleh yang
demikian alat-alat letronik itu dieksport sahaja tanpa menghasilkan
penyerapan teknologi baru atau tambah-nilai. Saya yakin dengan adanya
pelan induk itu nanti, pembangunan perindustrian di negara ini akan lebih
pesat dan lebih tersusun lagi.

6. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada Petfina kerana
dapat menggunakan hasil sampingan petroleum kita bagi diproses kepada
minyak pelincir dan barangan yang lain. Pengeluaran minyak pelincir ini
adalah selaras dengan konsep penggabungan yang saya sebutkan sebentar
tadi.

7. Kerajaan juga sedar akan betapa pentingnya jentera Kerajaan sendiri
dikemas dan proses birokrasi direngkaskan. Proses birokrasi sekarang ini
adalah di antara perkara yang mengecewakan ramai mereka yang ingin
melabur. Susunan yang dicadangkan akan menghapus seberapa yang boleh
segala halangan 'red-tape' terhadap pembangunan industri. Penggunaan
manual pejabat atau 'office manual' dan fail meja akan diwajibkan bagi
setiap pegawai yang terlibat.

8. Kerajaan juga sentiasa menggalakkan penyebaran industri ke
kawasan-kawasan selain dari bandar-bandar perindustian yang besar. Dewasa
ini lebih tiga suku daripada pengeluaran pembuatan di Malaysia datangnya
dari 5 pusat iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Perak dan Pulau
Pinang. Kerajaan ingin menyebarkan industri pembuatan ke semua negeri,
terutama negeri-negeri yang kurang maju. Jika Kerajaan negeri berminat
untuk mendapat pelaburan dengan pesatnya, maka birokrat di peringkat
negeri serta anggota Kerajaan negeri, seperti juga Kerajaan Persekutuan,
hendaklah menggunakan 'minyak pelincir' dengan cukup untuk menentukan
segala urusan berkenaan dengan pelaburan berjalan dengan licin, teratur
dan cepat.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

9. Perusahaan petroleum merupakan salah satu perusahaan yang penting
kepada negara kita. Perusahaan petroleum selain daripada mendatangkan
hasil yang besar kepada negara, juga merupakan sebagai salah satu bidang
perusahaan yang memberi peluang pekerjaan yang besar. Walau bagaimanapun,
perkembangan bidang petroleum di negara kita adalah berdasarkan kepada
keperluan dan kepentingan negara. Di sini ingin saya tegaskan bahawa atau
nasionalisma petroleum tidak semestinya membawa keuntungan kepada
negara. Pelaburan dalam bidang petroleum hendaklah dibuat secara rasional
dengan mengambil-kira pengaliran tukaran asing, hasil negara dan
pencepatan proses pembangunan negara. Tidak ada gunanya kita berbangga
dengan milik sendiri jika kita rugi sepanjang masa, terutama apabila di
waktu yang sama orang lain mendapat keuntungan daripada perusahaan
petroleum kita.

10. Kita bernasib baik kerana kita mempunyai minyak dan gas asli dan kita
pula telah mengusahakan pengeluaran dan penggunaannya secara
berhati-hati. Di samping itu juga, badan yang bertanggungjawab mengenai
perusahaan petroleum, iaitu PETRONAS, giat menjalankan usaha-usaha
mencari-gali minyak dan gas asli. Usaha-usaha ini bukan sahaja sukar untuk
dijalankan, tetapi juga memerlukan kepakaran serta pelaburan yang begitu
tinggi. Usaha-usaha yang dijalankan oleh PETRONAS telah banyak
mendatangkan hasil. Mencari-gali minyak dan gas asli ini memerlukan
pelaburan wang yang begitu banyak dan kita pula tidak dapat menentukan
sama ada usaha-usaha tersebut akan berjaya serta mendatangkan
keuntungan. Dengan perkataan lain usaha mencarigali mempunyai risiko. Di
sini kecekapan pengurusan dinilai bukan daripada segi berani menghadapi
risiko, tetapi daripada segi mentaksir peratusan risiko yang akan
dihadapi. Jika risiko adalah terlalu tinggi, ianya patut diagih-agihkan di
antara beberapa pihak. Demikianlah yang sering dibuat oleh bank dan
syarikat insurans.

11. Memandangkan kepada hal ini, PETRONAS sekarang sedang memikirkan
kemungkinan untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat petroleum asing
bagi menjalankan kerja-kerja mencari-gali. Di kawasan-kawasan yang
memerlukan pelaburan yang lebih besar lagi, PETRONAS mungkin memberikan
kontrak carigali kepada syarikat-syarikat yang pakar dalam bidang ini
seperti yang dibuat oleh kebanyakan syarikat gergasi petroleum. Jika kita
ingin mendapat teknologi carigali, kita boleh tempatkan pakar kita dengan
syarikat yang diberi kontrak itu. Dengan cara ini kita tidak perlu melabur
wang yang banyak untuk alatan dan kerja carigali.

12. Negara tidak akan mengalami kerugian sekiranya usaha-usaha mencarigali
ini diberikan kepada syarikat-syarikat kontraktor pakar. Sebaliknya banyak
perbelanjaan akan diselamatkan yang mana ini akan menjadi hasil negara dan
digunakan untuk faedah rakyat. Teknologi yang memerlukan kepakaran kita
dan pelaburan yang boleh menguntungkan negara amatlah banyak. Kita tidak
harus mengejar semua teknologi dan semua perusahaan dengan kemampuan yang
sedikit yang ada pada kita sekarang ini. Sebaliknya kita harus memilih
beberapa bidang tertentu sahaja dan kita tumpukan tenaga dan peruntukan
kita yang sedikit untuk menguasai sepenuhnya bidang-bidang itu. Tidak ada
negara di dunia ini yang pakar dan menguasai semua teknologi dan
perusahaan. Jika kita tahu memilih bidang-bidang yang sesuai, kemajuan
kita tidak akan terjejas.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

13. Menyentuh tentang barangan yang berasaskan petroleum ini, saya
berharap pengusaha-pengusaha tempatan akan mengkaji kemungkinan
mengeluarkan minyak pelincir dengan menggunakan minyak-minyak keluaran
tempatan yang lain daripada petroleum seperti minyak kelapa sawit. Ini
bukanlah perkara baru oleh kerana minyak kelapa sawit telah terbukti boleh
digunakan untuk pengeluaran minyak disel dan sebagainya. Dengan itu usaha
mestilah dijalankan untuk meningkatkan penggunaan bahan-bahan tempatan
seperti minyak kelapa sawit ini supaya usaha meningkat nilai barangan atau
'value-added' bahan-bahan mentah keluaran tempatan akan lebih berjaya
lagi. Dalam usaha ini kita tidak perlu segan-segan mengadakan
'collaboration' dengan makmal-makmal penyelidikkan di negara-negara
lain. Baru-baru ini PORIM telah mengadakan kerjasama dengan Jepun dalam
bidang pengeluaram vitamin E dan minyak diesel dan juga dalam penggunaan
minyak sawit yang tidak ditapis untuk enjin kereta dan traktor. Ini adalah
cuma satu usaha yang kecil sahaja dalam bidang R & D. Di negara maju 4%
daripada perbelanjaan kasar diuntukkan kepada R & D. Nyatalah bahawa di
Malaysia, kita perlu membelanjakan wang yang lebih banyak untuk R & D
daripada apa yang diperuntukkan sekarang.

14. Berbalik kepada perusahaan minyak pelincir, saya berbangga dengan
minat dan usaha untuk mengadakan satu perusahaan yang boleh mengurangkan
pengaliran tukaran asing serta menambah bidang perusahaan kita. Saya harap
lain-lain 'entrepreneurs' di Malaysia akan berusaha mencari
perusahaan-perusahaan lain berasaskan kepada minyak yang perlu diadakan di
negara ini. Janganlah apabila sahaja satu jenis perusahaan dimulakan, maka
berduyun-duyunlah pelabur memasuki bidang yang sama.

15. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Petfina dan
juga Kerajaan Negeri Melaka kerana menjemput saya ke sini pagi ini. Dengan
ini, saya dengan sukacitanya membuka Kilang Petfina ini dengan rasminya.
Terima kasih. 
 
 



 
Google