home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BANGUNAN PARLIMEN 
Tarikh/Date 	: 	30/03/85 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PERAYAAN 25 TAHUN 
			PARLIMEN MALAYSIA 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.

Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri; Yang Berhormat Yang
di-Pertua Dewan Negara; Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Rakyat; Yang
Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pusat Perayaan 25 Tahun Parlimen
Malaysia; Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan
Menteri; Ahli-Ahli Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan
puan-puan sekalian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
rahmat dan izinNya, dapat saya hadir bersama di Majlis yang bersejarah
pada pagi ini. Saya mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan terima
kasih kepada Jawatankuasa Pusat Perayaan yang telah berusaha menyusun
beberapa aktiviti bagi menyambut Perayaan 25 Tahun Parlimen Malaysia.

Para hadirin sekalian, 

2. Sesungguhnya Perayaan 25 Tahun Parlimen Malaysia mempunyai erti yang
amat besar kepada negara dan rakyat. Dalam usia 25 tahun itu, Parlimen
Malaysia merupakan lambang yang unggul dan bahagian yang penting dalam
proses demokrasi di negara kita. Perayaan ini membuktikan kematangan
sistem berpolitik dan sistem pemerintahan negara berasaskan kepada prinsip
Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Sistem Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan ini telah diterima oleh rakyat
Malaysia daripada semua keturunan, setelah diperjuangkan oleh para pejuang
kemerdekaan negara dengan semangat patriotisme yang luhur. Sistem ini
telah dipupuk perkembangannya dan dipelihara sehingga mewujudkan
kestabilan negara. Kestabilan ini telah membolehkan rakyat menikmati
keamanan dan kemajuan dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan sebagainya
hingga ke hari ini. Walaupun demikian, kebebasan yang kita nikmati
tidaklah bersifat mutlak, tetapi tertakluk kepada sekatan-sekatan tertentu
yang perlu kita adakan terutamanya dalam masyarakat majmuk
kita. Sekatan-sekatan itu pula tidaklah dikenakan dengan
sewenang-wenangnya tetapi dibuat berdasarkan kehendak rakyat melalui
Parlimen.

3. Saya gembira mendapati sebilangan besar bekas Ahli-ahli Parlimen turut
hadir bersama di Majlis ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan bekas ahli
Parlimen memberi makna yang besar kepada kita oleh kerana mereka merupakan
tokoh-tokoh yang telah banyak memberi sumbangan kepada kejayaan Sistem
Demokrasi Berparlimen di negara ini, sama ada dari parti Kerajaan atau
parti-parti pembangkang, dan negara dan rakyat menghargai jasa bakti
tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Bersempena dengan peristiwa yang
bersejarah ini, saya percaya kita akan dapat membaharui tali silatulrahim
di antara satu sama lain sambil mengenang kembali akan peristiwa-peristiwa
menarik yang telah berlaku dalam Parlimen ini. Sumbangan tokoh-tokoh itu
sedikit sebanyak akan dipaparkan melalui pamiran Sejarah dan Perkembangan
Parlimen yang akan kita saksikan sebentar lagi.

4. Dalam Sistem Demokrasi Berparlimen, rakyat mempunyai suara mutlak dalam
menentukan Kerajaan yang memerintah sesebuah negara. Sejak negara kita
mencapai kemerdekaan, sistem pemerintahan negara ditentukan melalui
pilihanraya yang bebas yang diadakan dalam tempoh masa selewat-lewatnya
lima tahun sekali. Melalui pilihanraya, rakyat memilih wakil-wakil mereka
yang diamanahkan untuk melaksanakan harapan dan hasrat rakyat berlandaskan
semangat dan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Negara. Walaupun
demokrasi mengutamakan kehendak majoriti, tetapi kita tetap berpegang
teguh kepada prinsip-prinsip keadilan terutama kepada kumpulan minoriti
yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Para hadirin sekalian, 

5. Di majlis yang bersejarah dan amat bermakna ini, wajarlah kita merenung
kembali liku-liku yang telah kita lalui dalam mengamalkan Sistem Demokrasi
Berparlimen. Dalam tempoh lebih satu dekad yang pertama sejak negara
mencapai kemerdekaan, Sistem Demokrasi Berparlimen yang kita amalkan telah
membolehkan kita meletakkan asas-asas yang kukuh dalam bidang pembangunan
sosial dan keselamatan. Dalam tempoh itu, kita telah berjaya menggubal
Dasar Pelajaran Kebangsaan, melaksanakan projek-projek pembangunan
khususnya di luar bandar dan mengatasi ancaman terhadap keselamatan negara
kita dari dalam dan luar negeri. Kejayaan ini adalah hasil daripada
tindakan tegas Kerajaan dan sokongan yang padu daripada rakyat. Hakikat
sokongan rakyat terbukti melalui dua pilihanraya umum yang diadakan dalam
tempoh tersebut.

6. Sungguhpun demikian, keutuhan Sistem Demokrasi Berparlimen telah
tercabar selepas pilihanraya umum tahun 1969. Peristiwa 13 Mei merupakan
satu peristiwa yang mendukacitakan dalam sejarah Demokrasi Berparlimen di
negara ini. Tetapi, dengan sikap bertanggungjawab Kerajaan dan dengan
kepercayaan serta mandat yang diberi oleh rakyat, kita telah berjaya
memulihkan keadaan dan kembali kepada Sistem Demokrasi Berparlimen. Kita
bangga kerana mempunyai pemimpin-pemimpin pada masa itu yang berpegang
teguh kepada prinsip-prinsip demokrasi dan benar-benar mengutamakan hak
mutlak rakyat. Kepada mereka kita terhutang budi buat
selama-lamanya. Pendirian pemimpin-pemimpin kita pada masa itu menguatkan
lagi keyakinan rakyat terhadap Sistem Demokrasi Berparlimen.

7. Berpandukan kepada pengalaman kita pada tahun 1969, kita insaf bahawa
kebebasan yang tidak terhad tidak mungkin diamalkan dalam masyarakat
majmuk di negara kita. Oleh itu, demokrasi di negara ini telah diubahsuai
mengikut kehendak dan keperluan masyarakat kita. Kita dapati bahawa
perbincangan-perbincangan yang tidak terhad, tuduhan dan provokasi pihak
yang tidak bertanggungjawab, akan menyalakan api perkauman dan
mengakibatkan ketegangan di kalangan masyarakat. Dengan adanya kesedaran
itu, kita telah mengeluarkan beberapa perkara yang sensitif daripada
diperbincangkan. Semua pihak, terutamanya generasi muda perlu sedar
mengenai sekatan-sekatan tersebut, dan sebab-sebabnya mengapa
sekatan-sekatan tersebut diadakan, supaya mereka tidak mudah
diputarbelitkan oleh golongan-golongan tertentu yang sentiasa mengambil
kesempatan untuk mengukur kebebasan yang kita amalkan mengikut kebebasan
yang diamalkan di negara-negara lain.

8. Di sini harus kita ingati bahawa demokrasi dibentuk untuk kepentingan
manusia dan bukan manusia yang harus dibentuk untuk kepentingan
demokrasi. Tidak ada sistem yang baik semata-mata kerana bentuk sistem
itu. Sistem dengan pengamal sistem mestilah bertindak secara rasional dan
'complementary' sebelum sesuatu yang baik boleh wujud daripada sistem
tersebut.

9. Dalam demokrasi, seperti juga dalam sistem lain, jika manusia
menyalah-gunakan sistem sehingga mendatangkan keburukan kepada masyarakat
umum, maka demokrasi kerana demokrasi perlu difikirkan semula. Demokrasi
memberi kebebasan kepada kita, tetapi kebebasan itu tidaklah sehingga kita
dan demokrasi juga akan musnah. Oleh sebab itu parti komunis tidak
dibenarkan. Mereka berhasrat menggunakan demokrasi untuk mendapat kuasa
supaya dengan kuasa itu mereka dapat menghapuskan demokrasi. Tindakan
mengharam parti komunis pada permukaannya adalah tidak demokratik tetapi
tujuannya ialah untuk memelihara demokrasi. Begitu juga dengan
tindakan-tindakan lain yang sepintas lalu merupakan penapian terhadap
demokrasi tetapi sebenarnya dalam jangka panjang bertujuan memelihara
demokrasi.

10. Tafsiran demokrasi tidaklah sama antara sebuah negara dengan negara
yang lain. Ada negara yang menggelar dirinya sebagai negara demokratik
tetapi mengamalkan sistem yang autokratik. Ada juga negara yang begitu
demokratik daripada segi kebebasan kepada golongan minoriti sehingga hak
majoriti terancam. Sebenarnya tidak ada demokrasi yang 'ideal', yang tidak
cacat di dunia ini. Semua demokrasi, di timur atau di barat, di negara
maju atau negara membangun, adalah cacat. Kita di Malaysia tidak perlu
berasa terhina dan 'apologetic' kerana sistem demokrasi kita berbeza
dengan sistem yang diamalkan oleh negara-negara lain. Sistem kita adalah
untuk keadaan di negara kita. Yang penting ialah sistem ini memberi
pilihan kepada rakyat memilih Kerajaan dan Kerajaan itu tidak diberi hak
memerintah secara diktator. Dan selewat-lewatnya lima tahun sekali
Kerajaan mestilah menyerah diri kepada rakyat untuk mereka menentukan sama
ada memberi mandat yang baru atau mandat itu diberikan kepada pihak lain
pula. Tidak ada sesiapa di dunia ini yang boleh berkata bahawa pilihanraya
di Malaysia tidak bebas. Ianya bebas dan tidak pernah berlaku parti
Kerajaan memenangi 100 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan. Parti
pembangkang tetap mendapat tempat. Jika bilangan mereka kecil, itu adalah
keputusan rakyat. Malaysia ialah sebuah negara demokratik dengan Sistem
Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dan kita berbangga dengan
sistem yang kita amalkan ini.

Para hadirin sekalian, 

11. Kestabilan dan kemantapan politik di bawah Sistem Demokrasi
Berparlimen telah membolehkan Kerajaan merangka, menggubal dan seterusnya
melaksanakan strategi-strategi pembangunan negara. Bagi kita, pembangunan
yang pesat akan membolehkan semua pihak mengecap nikmat kemakmuran dan
kesejahteraan dalam hidup masing-masing. Atas kesedaran inilah Kerajaan
telah melancarkan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan membasmi kemiskinan
tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat Malaysia bagi mencapai
perpaduan serta mengekalkan keamanan dan keselamatan negara. Dasar Ekonomi
Baru adalah untuk faedah rakyat negara ini.

12. Dalam usaha-usaha pembangunan, Kerajaan juga menggalakkan pertumbuhan
aktiviti-aktiviti ekonomi untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan,
menambah kemahiran, menggalakkan penggunaan teknologi moden dan apa yang
lebih penting ialah mempertingkatkan daya pengeluaran, pendapatan dan
kemakmuran negara. Di samping itu Kerajaan akan terus menggalakkan
penglibatan sektor swasta dalam usaha Kerajaan untuk memesatkan
pembangunan negara, meningkatkan kecekapan dan mencapai produktiviti yang
lebih tinggi. Atas kesedaran inilah Kerajaan melaksanakan dasar
Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia tanpa membelakangkan Dasar Ekonomi
Baru.

13. Di samping itu juga Kerajaan telah menitik-beratkan pelajaran dan
pendidikan. Kemudahan-kemudahan pelajaran yang kita sediakan di negara ini
adalah bertujuan untuk memupuk perpaduan negara dan memenuhi keperluan
tenaga rakyat terlatih. Sistem pelajaran dan latihan membolehkan rakyat
Malaysia melibatkan diri sepenuhnya dalam pembangunan
negara. Kemudahan-kemudahan pelajaran yang diberikan oleh Kerajaan, sama
ada di dalam atau di luar negara, adalah dibiayai oleh rakyat dan
merupakan pelaburan untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan negara pada
masa hadapan. Oleh itu rakyat berhak mendapat pulangan yang positif
daripada pelaburan itu. Dalam hubungan ini, perlulah disedari bahawa
segala kemudahan yang diberi dan disediakan oleh Kerajaan mestilah
digunakan untuk memenuhi hasrat dan harapan rakyat. Saya menyeru para
pelajar, khususnya di institusi-institusi pelajaran tinggi, sama ada di
dalam mahupun di luar negeri, supaya menumpukan masa dan perhatian kepada
tanggungjawab mencari ilmu. Mereka patutlah berwaspada terhadap
tindak-tanduk mana-mana golongan yang sengaja memburuk-burukkan sistem
pemerintahan negara kita yang kita amalkan semenjak merdeka. Mereka
haruslah sentiasa sedar bahawa dengan wujudnya sistem pemerintahan secara
demokrasi, mereka mendapat kebebasan dan kemudahan untuk mencari ilmu.

14. Di samping itu, di tangan belia dan para pelajarlah terletaknya masa
depan negara ini. Justeru itu fikiran para pelajar janganlah dikongkong
oleh satu-satu pertimbangan yang sempit sahaja, tetapi sebaliknya
memikirkan kepentingan masa depan yang jauh. Sesuatu perkara yang dianggap
menguntungkan bagi jangka pendek mungkin mendatangkan mudarat dalam jangka
panjang. Bagi mereka yang berfikiran waras kebaikan dalam jangka
panjanglah yang lebih menguntungkan. Pendapat ini disokong dengan jelas
seperti yang kita lihat dalam masyarakat yang maju. Saya menganggap
sebagai satu cabaran kepada para pelajar dan para belia kita bagi meneliti
sedalam-dalamnya pengertian dan pertimbangan masing-masing sama ada ianya
bermanfaat bagi masa depan atau tidak. Saya, walau bagaimanapun, mempunyai
keyakinan bahawa para belia dan para pelajar kita adalah matang dan
bertanggungjawab.

Para hadirin sekalian, 

15. Sebagaimana termaklum, Parlimen kita telah meluluskan persempadanan
baru kawasan-kawasan pilihanraya di seluruh negara, kecuali negeri
Sarawak. Tindakan ini adalah selaras dengan hakikat bahawa tugas dan
tanggungjawab seseorang Wakil Rakyat itu bertambah berat disebabkan oleh
pembangunan yang pesat. Mereka juga adalah penghubung antara Kerajaan
dengan rakyat dan diharap dapat membantu dalam menyelesaikan
masalah-masalah rakyat khususnya dalam bidang pembangunan. Pada kesempatan
ini, sukalah saya mengingatkan wakil-wakil rakyat supaya sentiasa sensitif
terhadap hasrat dan harapan rakyat. Dalam melaksanakan amanah rakyat, kita
hendaklah sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan
diri. Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, kita perlulah bersikap
adil dan saksama dalam melayani keperluan dan aspirasi rakyat.

Para hadirin sekalian, 

16. Adalah jelas dan nyata bahawa Sistem Demokrasi Berparlimen yang kita
amalkan ini adalah sistem yang sebaik-baiknya dalam suasana masyarakat
majmuk di negara ini. Melaluinya, kita telah berjaya mewujudkan kestabilan
politik dan keamanan di negara kita. Dengan izin Allah Subhanahu Wataala,
kita telah berjaya membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat dan
negara. Melalui sistem ini juga kita telah dapat meningkatkan lagi syiar
Islam. Adalah menjadi satu tanggungjawab yang murni bagi kita untuk
berusaha sedaya upaya mempertahankan Sistem Demokrasi Berparlimen di
negara ini. Dengan izin Allah Subhanahu Wataala, harapan dan hasrat rakyat
supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang aman, maju, bersatu padu dan
bermaruah akan tercapai di bawah Sistem Demokrasi Berparlimen.

17. Sempena dengan Perayaan 25 Tahun Parlimen Malaysia, pameran mengenai
Sejarah dan Perkembangan Parlimen Malaysia akan diadakan. Perayaan dan
pameran ini diharapkan akan menjelaskan lagi hakikat bahawa Parlimen
merupakan institusi yang unggul dalam amalan Demokrasi Berparlimen di
negara ini. Di samping menjelaskan hakikat ini, sejarah dapat juga memberi
beberapa renungan yang patut kita perhatikan bersama, terutama kepada
anak-anak muda. Beberapa episod sejarah yang negatif hendaklah dielakkan
sementara episod-episod lain yang memberi pengajaran pula kita perjuangkan
dengan semangat yang kukuh serta amalan yang tidak mengenal penat lelah.

18. Akhir kata, saya dengan sukacitanya merasmikan Perayaan 25 Tahun
Parlimen Malaysia serta Pameran Sejarah dan Perkembangan Parlimen
Malaysia.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
 

 



 
Google