Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/04/85
Tajuk/Title : SEMPENA PAMERAN 100 TAHUN
PEWTER MALAYSIA
Yang Berhormat Dato Dr. Sulaiman Daud, Menteri Kebudayaan, Belia dan
Sukan; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan
puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah menjemput
saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan Pameran ini.
2. Pameran ini menggambarkan perkembangan industri pewter selama seratus
tahun. Perintis-perintis industri ini hanya mempunyai perkakas yang
primitif sahaja semasa menjalankan tugas-tugas mereka. Di samping itu pula
tidak terdapat insentif-insentif seperti taraf perintis mahupun dorongan
penempatan, tidak ada perlindungan tarif dan tidak ada subsidi dan
sebagainya. Namun begitu mereka bersungguh-sungguh dan berkat ketabahan
hati mereka, maka lahirlah industri pewter Malaysia hari ini. Semangat
perintis seperti inilah yang kita mesti tanamkan dalam pengusaha-pengusaha
hari ini -- semangat untuk mencuba sesuatu yang baru, dan bukan sekadar
melakukan apa yang orang lain sedang lakukan.
3. Seperti mana kita maklum salah satu daripada industri-industri terawal
di Malaysia ialah industri perlombongan bijih timah. Meskipun bijih timah
mempunyai sejarah yang lama, negara kita memproses kurang daripada 4%
daripada pengeluaran kita. Salah satu pemerosesan tempatan yang
menggunakan bijih timah ialah industri pewter.
4. Penggunaan bahan-bahan mentah tempatan bagi diproses kepada barangan
separuh siap dan barangan siap pada relatifnya belum lagi
menggalakkan. Ini adalah satu keadaan yang Kerajaan berazam untuk
mengubah. Kerajaan pada dasarnya akan memberi galakan bagi
mempertingkatkan penggunaan bahan-bahan mentah tempatan dalam industri
perkilangan. Sebagai contoh, Kerajaan telah memperkenalkan satu rebat
untuk penggunaan bijih timah dua tahun dahulu. Rebat sebanyak $700 se tan
bijih timah yang diproses di dalam negara adalah bagi menggalakkan lebih
banyak lagi logam itu diproses di Malaysia sendiri kepada barangan siap
seperti pewter ini. Dengan harga bijih timah sekarang kira-kira $29,150
satu tan, rebat sebanyak $700.00 itu merupakan potongan harga kira-kira
2.5%.
5. Akan tetapi bahan-bahan mentah yang lebih murah adalah hanya satu
faktor yang mungkin menyumbang kepada kejayaan pengusaha-pengusaha
kita. Adalah penting juga bagi rekabentuk-rekabentuk, kaedah-kaedah
pembuatan dan strategi-strategi pemasaran yang betul digunakan. Hal-hal
ini adalah lebih penting apabila kita menghadapi pasaran eksport. Dalam
kes industri pewter, lebih daripada setengah pengeluaran mereka
dieksportkan dan dengan itu rekabentuk-rekabentuk dan kaedah-kaedah
pembuatan sudah tentu berpengaruh bagi meningkatkan penjualan pewter di
pasaran dunia.
6. Dengan sejarah yang begitu lama di Malaysia, industri pewter telah
secara dekat dikenalpasti dengan kebudayaannya sebagai suatu kraftangan
Malaysia. Jika kita melawat ke Sweden, berkemungkinan kita akan membawa
balik barang-barang kaca Sweden, dari Ireland Kristal glass, dan dari
Negeri Thai pula hasil-hasil suteranya. Bagi para pelancung ke negara kita
pula, pewter adalah buah tangan bagi dibawa balik ke negara mereka.
7. Saya ingin juga menyentuh tentang satu lagi industri yang telah lama
bertapak di negara kita. Industri yang saya maksudkan ini ialah industri
tembaga. Hasil kerja tangan tembaga ini memang mempunyai pasarannya,
tetapi ianya terhad kepada pasaran tempatan sahaja. Hasil kerja tangan ini
jarang mendapat sambutan daripada para pelancung luar negeri. Mungkin
sambutan dingin ini disebabkan oleh reka-bentuk yang kurang menarik dan
yang tidak memenuhi cita-rasa atau "taste" para pelancung luar
negeri. Mungkin kerana pengeluaran terlalu terhad. Mungkin juga cara
pembuatan dan pemasarannya tidak begitu tersusun.
8. Saya yakin industri tembaga mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan
yang lebih besar dalam ekonomi negara terutama bagi industri pelancungan
di negara kita. Ianya berupaya menjadi satu bahan yang boleh menarik para
pelancung. Salah satu langkah yang harus difikirkan ialah memperbaiki
reka-bentuknya, oleh kerana reka-bentuknya sekarang hanya dapat memenuhi
cita-rasa penduduk tempatan seperti alat-alat yang digunakan untuk upacara
pertunangan dan perkahwinan. Malangnya reka-bentuk seperti ini tidak dapat
menarik minat para pelancung luar negeri. Justeru itu saya rasa ada
baiknya pengusaha tembaga tempatan bekerjasama dengan institusi pelajaran
tinggi seperti Institiut Teknologi MARA dan Universiti Teknologi Malaysia
untuk mendapatkan nasihat mengenai reka-bentuk dan cara menggunakan
teknologi yang lebih baru dalam pengeluaran tembaga. Saya berharap perkara
ini akan dipertimbangkan sewajarnya oleh pengusaha-pengusaha tembaga
tempatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Saya berharap industri pelancungan dan industri-industri lain yang
mempunyai kaitan dengan pelancungan akan memikirkan juga mengenai identiti
Malaysiaan. Kalau kita berbangga dengan pantai-pantai tropikal yang indah
dan nyaman, kita bukan sahaja mendapat saingan dengan negara kawasan Asia
Tenggara tetapi juga dengan negara-negara lain yang mempunyai iklim yang
sama. Dengan itu kita haruslah memberi perhatian kepada beberapa perkara
bagi meningkatkan pelancungan ke negara kita.
10. Dalam hal ini, kita mula-mulanya harus menyediakan kemudahan-kemudahan
dan perkhidmatan-perkhidmatan yang cekap bagi para pelancung, sama ada
para pelancung tempatan atau luar negeri. Banyak tempat di negara kita
yang mempunyai keindahan asli, tetapi kalau tidak disediakan
kemudahan-kemudahan asas, sudah tentulah ini tidak dapat menggalakkan para
pelancung. Faktor inilah yang membezakan antara pusat pelancungan yang
terkenal dengan tempat-tempat yang belum dimaju dan dikenalkan. Dari
perspektif ini saya memang sedar bahawa usaha-usaha sedang dibuat untuk
meningkatkan kemudahan-kemudahan untuk para pelancung. Saya yakin industri
pelancungan ini jika benar-benar dimajukan akan menjadi punca pendapatan
yang penting untuk ekonomi negara.
11. Di samping itu negara kita mestilah mencari sesuatu yang dapat menarik
para pelancung ke negara kita. Salah satunya ialah memperkenalkan
ciri-ciri yang sukar hendak diperolehi di negara-negara asing -- sesuatu
yang dapat menonjolkan 'identiti Malaysia'. Sebagai contoh, pewter
keluaran negara ini seharusnya menggambarkan ciri-ciri negara ini, sama
ada dari segi rekabentuknya atau gambaran-gambaran yang dibayangkan
melalui hasil pewter itu. Pewter negara kita memang telah mempunyai
identitinya sendiri dan inilah yang menarik perhatian, terutama para
pelancung luar negeri. Saya berharap usaha yang berterusan dapat
dijalankan bagi meningkatkan lagi imej negara melalui hasil-hasil yang
dapat mencerminkan identiti serta kekayaan kebudayaan Malaysia.
12. Kita telah juga memperkatakan tentang pentingnya rekabentuk bangunan
yang mempunyai identiti kita sendiri. Bilangan bangunan di negara kita
yang menonjolkan identiti negara semakin bertambah dan adalah diharapkan
usaha-usaha ini akan dapat diteruskan.
13. Salah satu aspek yang dapat difikirkan juga ialah dari segi makanan
Malaysia dan faktor 'fast food'. Semakin hari semakin banyak kedai makan
yang menyediakan makanan jenis 'fast food' ini. Ianya bukan sahaja disukai
oleh orang ramai tetapi juga oleh para pelancung luar negeri, terutama
mereka yang melancung dengan ongkos yang terhad. Malangnya 'fast food'
sekarang ini kebanyakannya berjenis 'burger' dan sebagainya yang merupakan
'franchise' dari luar negeri. Di sini saya berpendapat konsep 'fast food'
ini boleh diterima, tetapi jenis makanan yang disediakan haruslah
diubahsuai kepada jenis makanan Malaysia. Mungkin kita mengadakan 'fast
food' jenis kita sendiri seperti satay, nasi lemak, laksa, nasi goreng dan
lain-lainnya yang boleh dicuba di pasaran tempatan kita. Saya percaya jika
usaha ini dirancang dengan teratur dan faktor-faktor lain seperti
kebersihan, cara penyediaan dan usaha-usaha memperkenalkannya ditekankan,
tidak ada sebab mengapa usaha-usaha ini tidak mendapat sambutan.
14. Sebagai mengakhiri, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Muzium
Negara dan Syarikat Selangor Pewter kerana mengadakan Pameran ini. Dengan
ini saya dengan sukacitanya membuka Pameran 100 Tahun Pewter Malaysia ini
dengan rasminya.
Terima kasih
|