Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 04/04/85 Tajuk/Title : SEMPENA PELANCARAN KEMPEN BELILAH BARANGAN BUATAN MALAYSIA (AKAN DISAMPAIKAN OLEH YANG BERHORMAT MULIA TENGKU RAZALEIGH HAMZAH MENTERI PERDAGANGAN DAN PERINDUSTRIAN) Yang Berhormat Menteri-Menteri; Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pemandu Belilah Barangan Buatan Malaysia kerana menjemput saya untuk merasmi dan melancarkan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia. 2. Kempen ini adalah amat penting bagi kita semua kerana kejayaannya akan dapat membantu aspirasi kita menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur, maju dan 'resilient'. Saya amat gembira kerana Kempen ini adalah diusahakan secara usaha sama antara agensi-agensi Kerajaan, firma-firma swasta dan pertubuhan sukarela. Gabungan tenaga antara pihak-pihak berkenaan mencerminkan bukan sahaja usaha ke arah matlamat yang sama malah melambangkan keharmonian hasil dasar Persyarikatan Malaysia. Saya berharap kerjasama seperti ini dapat diperluaskan kepada setiap bidang hidup kita. 3. Dewasa ini negara-negara perindustrian menggunakan 'mass-production' dan teknologi tinggi dalam keluaran mereka. Pengeluaran secara 'mass-production' akan mendatangkan 'economies of scale' yang diharapkan, tetapi cara itu memerlukan pasaran yang besar. Kebanyakan negara-negara ini mempunyai jumlah penduduk yang ramai dan dengan itu mempunyai pasaran tempatan yang besar bagi barangan keluaran mereka. Tetapi bagi negara-negara kecil yang tidak mempunyai ramai penduduk, masalahnya yang utama ialah kesusahan mencapai 'economies of scale' ini kerana pasaran tempatan yang kecil atau miskin. Sebaliknya negara-negara maju akan dapat mengeluarkan barangan dengan murah dengan adanya 'economies of scale' ini. Dengan kos pengeluaran yang rendah ini, negara-negara tersebut akan mendapat keuntungan daripada pasaran tempatan mereka sendiri. 4. Oleh kerana negara-negara maju ini telah memperolehi keuntungan di pasaran tempatan mereka sendiri, maka negara-negara itu boleh mengeksport barangan mereka tanpa keuntungan yang banyak. Justeru itu negara-negara membangun yang kurang maju daripada segi perindustrian dan yang tidak mempunyai 'economies of scale' dalam pengeluaran mereka akan menjadi tumpuan barangan lebihan itu, atau 'dumping place', dengan harga yang amat murah. Ada kalanya mereka sanggup menjual dengan harga yang terlalu murah sehingga merugikan, tetapi kerugian di satu-satu negara membangun dapat ditampung dengan keuntungan di tempat lain, sama ada di pasaran tempatan mereka atau di negara-negara membangun yang tidak dapat memberi saingan atas barangan import mereka. Justeru itu ada kalanya tidak mungkin bagi pengusaha-pengusaha tempatan kita bersaing dengan barangan import berikutan amalan 'dumping' itu tadi. 5. Tindakan yang biasa diambil oleh negara kecil dan miskin untuk melindung barang buatannya ialah dengan menaikkan tarif import. Biasanya tarif tersebut tinggi juga sehingga dapat memberi perlindungan yang sepatutnya kepada industri-industri tempatan. Tindakan seperti ini akan menyebabkan para pengguna tempatan terpaksa membayar harga tinggi bagi barangan import. Bagi industri-industri tempatan yang mendapat perlindungan Kerajaan pula, mereka mendapat keuntungan kerana persaingan barang-barang import berkurangan. Yang malangnya, beberapa unsur negatif akhirnya akan timbul berikutan dengan perlindungan seperti itu. Antaranya ialah industri-industri tempatan tidak efisien dan mutu barangan tidak meningkat. Sebaliknya industri-industri tempatan akan gagal sekiranya tidak diberi perlindungan. 6. Kerajaan berasa serba salah bagi menghadapi masalah ini. Perlindungan dengan sendirinya tidak berfaedah dalam jangka panjang. Yang diperlukan ialah kenaikan produktiviti daripada segi mutu dan harga sehingga perlindungan dapat dikurangkan, jika tidak dihapuskan sama sekali. Pengusaha mestilah sedar akan hakikat ini. Dalam usaha meningkatkan keupayaan negara dalam industri pembuatan, pengguna tidak harus dijadikan mangsa buat selama-lamanya. Tuan-tuan dan puan-puan, 7. Sebenarnya pembelian barangan tempatan yang meningkat bermakna berkuranglah barangan yang diimport. Bayaran yang berkurangan ke atas import akan mengurangkan aliran keluar tukaran asing. Pengaliran keluar tukaran asing yang berkurangan akan menjadikan imbangan bayaran negara bertambah kukuh. Sementara itu pembelian barangan tempatan yang bertambah akan juga meningkatkan peluang pekerjaan bagi penduduk negara ini di industri-industri tempatan. Ini dapat kita lihat dengan jelas dengan adanya penubuhan berbagai jenis kilang pembuatan di negara ini, dan penduduk tempatan memperolehi peluang pekerjaan yang semakin meningkat. Peluang pekerjaan adalah salah satu cara kita meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat negara ini. 8. Seperkara lagi yang harus kita fikirkan ialah memperolehi kemahiran dan teknologi melalui penubuhan industri-industri barangan. Pekerja-pekerja tempatan bukan sahaja mendapat kemahiran tetapi akan diberi latihan selanjutnya bagi meningkatkan lagi keupayaan dan kecekapan sesebuah kilang itu dalam menghasilkan barangan mereka. Dengan adanya kemahiran dan teknologi yang diperlukan barulah negara kita dapat mengeluarkan barangan dengan cekapnya terutama untuk dieksport. Eksport yang meningkat bermakna keuntungan bagi perusahaan tempatan dan cukai pendapatan yang meningkat bagi Kerajaan dan manfaatnya akan dapat disalurkan kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan. 9. Seperti yang kita semua maklum industri-industri yang berjaya bukan sahaja bermakna keuntungan kepada tuan punya atau para pemegang saham, tetapi juga keuntungan bagi negara melalui pembayaran cukai pendapatan. Cukai yang meningkat yang diperolehi oleh Kerajaan akan membolehkan negara memperuntukkan perbelanjaan yang lebih untuk projek-projek pembangunan. Kita boleh juga mengkaji hal ini dari perspektif pusingan tabungan atau 'circulation of fund'. Sekiranya Kempen kita ini berjaya tabungan dalam negeri akan mengalir berterusan di dalam negara kita sendiri. Ini bermakna pusingan ini akan menggalakkan pengusaha-pengusaha kita mengeluarkan barangan yang bermutu. Barangan yang bermutu ini bukan sahaja menguntungkan para pengguna tempatan tetapi juga menjadikan barangan itu lebih 'competitive' bagi dieksport. 10. Dapatlah kita rumuskan bahawa pengguna-pengguna tempatan dalam jangka panjang akan mendapat faedah dari pembelian yang bertambah barangan buatan Malaysia. Di sini patutlah kita sedar bahawa barangan bermakna juga perkhidmatan-perkhidmatan, atau 'services', yang dikendalikan oleh individu-individu dan institusi-institusi Malaysia. Ini bermakna Kempen ini menggalakkan juga kita semua menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan tempatan seperti insurans, perkapalan dan pengangkutan, perkhidmatan profesional dan pelancongan dalam negeri. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 11. Tadi kita telah dirumuskan bahawa pembelian barangan tempatan akhirnya akan memberi keuntungan jangka panjang pada para pengguna. Dengan itu kita mestilah sanggup berkorban dalam jangka pendek. Pengorbanan ini mungkin dalam konteks harga yang tinggi sedikit bagi sesuatu jenis barangan tempatan. Saya yakin para pengguna Malaysia akan sanggup membuat pengorbanan pada peringkat awal ini kerana akhirnya negara kita akan bertambah maju, mengeluarkan barangan yang bermutu, mengurangkan aliran keluar tukaran asing dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara bagi melaksanakan lebih banyak projek-projek pembangunan, serta membolehkan juga negara kita maju selangkah lagi ke arah matlamatnya sebagai sebuah negara perindustrian. 12. Selaras dengan pengorbanan para pengguna ini para pengusaha barangan tempatan tidak harus mengambil kesempatan dengan pengorbanan para pengguna ini. Sebaliknya mereka hendaklah berusaha meningkatkan kecekapan dalam pengeluaran mereka. Dengan cara ini mereka bukan sahaja dapat mengeluarkan barangan yang bermutu, bahkan dapat juga akhirnya mengenakan harga yang berpatutan kepada pengguna tempatan. Dengan kos pengeluaran yang berkurangan, mereka akan dapat memberi saingan yang lebih bermakna. Di peringkat inilah pengorbanan para pengguna negara ini akan semakin berkurangan dan akhirnya akan memberi manfaat seperti yang kita harap-harapkan. 13. Usaha-usaha hendaklah dibuat dalam bidang kemajuan barangan atau 'product development' supaya sektor perkilangan negara dapat menghasilkan berbagai-bagai jenis barangan untuk memenuhi kehendak dan citarasa pengguna-pengguna. Jika pekilang-pekilang tempatan berbuat demikian, maka akan lebih luaslah lagi asas perkilangan atau 'manufacturing base' negara, dan ini akan membolehkan negara menawarkan lebih banyak barangan, baik di pasaran dalam negeri mahupun luar negeri. 14. Kerajaan pula akan memberi segala kemudahan dan galakan kepada pihak pengeluar tempatan untuk meninggikan mutu barangan masing-masing. Pekilang-pekilang tempatan haruslah mengeluarkan barangan yang menepati piawaian-piawaian yang telah sedia ada. Sekarang ini terdapat tidak kurang daripada 1000 piawaian yang telah digubal oleh Institut Piawai dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia atau SIRIM. Piawaian dan kawalan mutu di negara-negara maju lazimnya dibuat oleh sesuatu sektor industri yang berkenaan tanpa dipaksa-paksa atau dikuatkuasakan melalui undang-undang. Saya yakin bahawa sekiranya pekilang-pekilang tempatan juga mengikuti jejak langkah pekilang-pekilang luar negeri, maka akan bertambahlah lagi kepercayaan pengguna-pengguna tempatan terhadap barangan buatan negara sendiri. Tuan-tuan dan Puan-puan, 15. Perlu ditegaskan di sini bahawa walau apa sekali pun strategi dan program-program yang dirumus dan disusun, kejayaan tidaklah akan dicapai sekiranya orang ramai tidak menyokong usaha-usaha itu. Dalam pada itu saya berharap dengan pelancaran Kempen ini para pengusaha dan para pengguna akan tampil kehadapan, atau sanggup memainkan peranan utama menjalankan segala aktiviti dan program untuk menjayakan Kempen ini. Semoga dengan sokongan dan kerjasama semua pihak dan lapisan masyarakat, Kempen ini akan mendapat kejayaan, dan membantu menjadikan negara lebih sejahtera. 16. Dengan ini, saya dengan amat sukacitanya melancarkan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia dengan rasminya. Terima kasih