home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : BANGUNAN PNB, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 04/05/85 Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN BANGUNAN PNB Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Datuk Musa Hitam; Yang Berbahagia Tun Ismail Mohamad Ali; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Saya berasa sangat gembira dan bangga kerana dapat bersama tuan-tuan dan puan-puan sempena perasmian Bangunan Permodalan Nasional Berhad pada malam ini. 2. Pada bulan April 1981, iaitu empat tahun yang lalu, saya telah berucap di Majlis Pelancaran Sekim Amanah Saham Nasional. Saya telah menerangkan latarbelakang dan peranan tiga organisasi yang diberi tanggungjawab mempercepatkan peningkatan penyertaan masyarakat Bumiputera di sektor coporate. Organisasi yang dimaksudkan ialah Yayasan Pelaburan Bumiputera, Permodalan Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional Berhad. 3. Ketika itu peranan dan penubuhan ketiga organisasi ini belum begitu terkenal, tetapi setelah Sekim ASN dilancar dan menerima sambutan yang baik, ianya kini tidak payah di perkenalkan dengan lanjutnya. Sejak ia ditubuhkan, Yayasan Pelaburan Bumiputera telah menerima peruntukan Kerajaan sebanyak $2,731.5 juta. Peruntukan ini adalah di antara yang terbesar sekali di kalangan agensi-agensi Kerajaan yang ditugas untuk menjalankan program-program Penyusunan Semula Masyarakat dalam bidang perdagangan dan perindustrian. Yayasan ini pula telah menyalurkan peruntukan itu kepada PNB untuk dilabur. Dengan adanya sumber yang besar ini, PNB telah berkembang sebagai sebuah institusi pelaburan terbesar di negara ini. 4. Perkembangan PNB boleh diukur dari saiz pelaburannya. PNB memulakan operasinya dipertengahan tahun 1978 dengan modal dibayar sebanyak 100 juta ringgit. Pada akhir tahun tersebut, PNB telah melabur dalam 21 buah syarikat dengan kos pelaburan sebanyak 51 juta ringgit. Sehingga kini PNB dan Sekim ASN telah melabur sebanyak 5,515 juta ringgit dalam 178 buah syarikat. Satu lagi petunjuk prestasi PNB ialah keuntungannya -- daripada 4.5 juta ringgit keuntungan sebelum cukai pada tahun 1978 kepada 295.3 juta ringgit pada tahun lalu. Ini jelas menunjukkan bahawa dalam tempoh enam tahun, PNB telah berkembang dan bertapak sebagai sebuah institusi pelaburan terulung di negara ini. 5. Kejayaan yang sama juga telah dicatit oleh Sekim ASN. Sehingga kini lebih satu pertiga mereka yang berkelayakan, iaitu kira-kira 1.73 juta orang, telah menyertai Sekim ASN. Sekim ASN juga telah berjaya mengumpulkan kira-kira 1,719 juta ringgit simpanan para pelabur. 6. Kejayaan PNB dan ASN setakat ini bolehlah dibanggakan bukan sahaja oleh kakitangan PNB, tetapi juga oleh semua pihak yang terlibat seperti agensi-agensi awam yang telah bersama-sama menjayakan sekim penabungan dan pelaburan ini. Di samping kita berbangga dengan pencapaiannya setakat ini, adalah diharapkan pihak PNB dan Sekim ASN akan terus mengamalkan pengurusan yang cekap bagi mempastikan kejayaan yang dicapai ini bukan sahaja dapat diteruskan, tetapi juga dipertingkatkan lagi. Sekarang PNB sudahpun mempunyai bangunannya sendiri dan diharapkan ianya akan diuruskan dengan lebih berkesan lagi dan memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada pelabur-pelabur Sekim ASN. Saya berharap apa-apa kejayaan yang dicapai jangan melalaikan kita dengan berpuas hati tentang kejayaan yang lepas. Sebaliknya kejayaan yang dicapai harus dijadikan penggalak untuk kita bertapak dengan lebih yakin, lebih cekap dan tepat lagi. 7. Kita mesti sedar bahawa salah satu tujuan Sekim ASN ini ialah membahagi-bahagikan kekayaan dan faedah dari pelaburan dalam syarikat-syarikat kepada seramai-ramai bumiputera di negara ini. Lagi ramai bumiputera yang melabur melalui ASN, lagi berjayalah kita mengagihkan hasil pelaburan di bawah Sekim ini. Dengan itu banyak lagi usaha dan pelaburan yang mesti dilakukan ke arah mencapai matlamat ini dan justeru itu setiap kakitangan PNB hendaklah jangan lupa akan matlamat akhir penubuhan organisasi ini. 8. Di samping itu, masih ramai lagi bumiputera yang layak melabur melalui Sekim ASN ini yang belum menyertainya. Diharapkan mereka yang belum berbuat demikian, terutama pekerja bergaji di sektor swasta, akan sedar bahawa peluang seperti ini tidak mungkin terdapat di negara-negara lain. Gunakanlah peluang keemasan ini untuk menjamin masa depan masing-masing, serta membantu usaha negara mengimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum-kaum di negara ini. Tuan-tuan dan Puan-puan, 9. Kerajaan telah menubuhkan beberapa perbadanan dan syarikat, termasuklah PNB ini, Bank Bumiputera, Bank Pertanian, UDA, PERNAS dan lain-lain lagi. Dengan sokongan Kerajaan kebanyakan perbadanan dan syarikat ini telah mengalami kemajuan dan perkembangan yang menggalakkan. Malangnya terdapat juga satu-dua perbadanan atau syarikat yang terlalu cepat berbangga dengan pencapaian awalnya dan unsur-unsur kelalaian mulai meresap di peringkat pengurusan. Akibatnya, tahap pencapaian mulai menurun, manakala kos mulai meningkat pula. Walaupun hal ini tidak begitu menular sangat, tetapi secara kasarnya gejala ini sudah lama terdapat dan masih lagi menjadi unsur yang kurang disenangi. 10. Walaupun disokong oleh Kerajaan dan diberi keutamaan dalam apa-apa urusan dan permohonan, badan-badan dan syarikat-syarikat Kerajaan ini patutlah mengganggap unsur kos, seperti kos pengurusan, kos projek dan kos penyenggaraan atau 'maintenance', sebagai unsur penting seperti dalam pengurusan firma-firma swasta. Usaha mengurangkan kos operasi ini hendaklah sentiasa difikirkan supaya kejayaan yang lebih besar dapat dicapai. Kejayaan serta keuntungan bagi negara dan masyarakat mestilah sentiasa tertanam dihati para pengurus sekalian. Apa-apa keuntungan adalah bagi masyarakat. Harus diingat bahawa firma-firma swasta pun mempunyai tanggungjawab sosial, apatah lagi badan-badan dan firma-firma yang ditubuhkan oleh Kerajaan. Perbadanan-perbadanan dan syarikat-syarikat Kerajaan bertanggungjawab menghasilkan sebanyak manfaat yang boleh kepada negara dan masyarakat. 11. Saya sedar bahawa keuntungan bukan kriteria yang paling utama bagi perbadanan dan syarikat Kerajaan. Tetapi kekesanan dari segi kos dan pencapaian objektif-objektif adalah relevan. Dengan itu perbadanan-perbadanan dan syarikat-syarikat Kerajaan hendaklah menyusun langkah bagi menurunkan kos. Pihak pengurusan pun janganlah cuba berlumba-lumba membandingkan diri mereka dengan 'kelumayanan' pihak pengurusan swasta. Yang sebenarnya kita mudah nampak kelumayanan pengurusan swasta yang berjaya sahaja, tetapi tidak pula nampak terhadap nasib dan risiko mereka yang gagal. Risiko dan kegagalan yang ditakuti oleh pihak swasta tidak relevan sangat kepada perbadanan-perbadanan dan syarikat-syarikat Kerajaan. Ini adalah kerana risiko dan kegagalan akan ditanggung bersama oleh Kerajaan dan masyarakat. Oleh itu adalah diharapkan pihak pengurusan perbadanan-perbadanan dan syarikat-syarikat Kerajaan tidak akan membandingkan dengan kelumayanan yang diterima oleh rakan-rakan sejawat masing-masing di firma-firma swasta yang berjaya sahaja. 12. Saya yakin pihak pengurusan PNB dan Sekim ASN tidak akan membiarkan kelalaian seperti ini menjadi satu gejala pada masa depan. Adalah diharapkan kakitangan PNB akan berusaha lebih kuat lagi bagi mencapai objektif-objektif yang telah pun disusun bagi organisasi ini. Berlumba-lumbalah mencapai kejayaan semoga kejayaan ini akan dihargai oleh negara dan masyarakat kita. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 13. Menyentuh tentang Bangunan PNB ini, saya berbangga ianya dapat dibina dalam tempoh 29 bulan, iaitu seminggu lebih awal dari tarikh yang ditetapkan. Kejayaan ini adalah satu perkara yang patut direnung oleh kontraktor-kontraktor tempatan. Sekiranya dikaji dengan teliti, ada beberapa perkara yang perlu kita pelajari. Yang pertamanya bangunan ini didirikan tanpa cerucuk atau piling. Sebaliknya ia mengguna rakit atau raft. Teknik ini jarang atau mungkin tidak pernah digunakan bagi bangunan besar di Malaysia. Tetapi yang diutamakan ialah cara penggunaan teknologi itu serta etika kerjanya. Kita dapati bahawa mereka yang mengurus bukan sahaja mempunyai sistem yang baik dan disiplin yang ketat, tetapi mereka berjaya menanam semangat dan etika kerja yang baik di kalangan pekerja dan sub-contractor tempatan yang bekerja bersama mereka. Jika mereka gagal mendapat kerjasama orang tempatan, mustahil mereka dapat menyudahkan bangunan ini dalam masa yang singkat dengan qualiti yang baik. Ini bermakna bahawa orang Malaysia mempunyai potensi yang baik jika ada pengurusan dan sistem yang boleh mencungkil potensi ini. 14. Sekarang kita dapati banyak bangunan mencakar langit di bandaraya ini, dan perkembangan ini melambangkan pembangunan Kuala Lumpur. Bangunan yang cantik sahaja belum memadai dan tanggungjawab pemilik bangunan bukan selesai di situ sahaja. Apa yang lebih mencabar lagi ialah bagaimana mengurus bangunan tersebut supaya ianya sentiasa kelihatan cantik dan kemas pada tahun-tahun akan datang. Kita tidak mahu melihat keadaan bangunan dengan rekabentuk yang menarik dan menelan belanja yang besar, tetapi kurang diambil berat tentang penyelenggaraan dan keselamatan. Sekitar bangunan juga perlulah diberi perhatian. Orang biasa mengatakan bandaraya yang penuh dengan bangunan yang mencakar langit tidak ubah seperti 'hutan konkrit'. Kita boleh menyangkal pandangan ini dengan menanam pokok dan bunga yang bukan sahaja memberi tempat berteduh tetapi mengindahkan alam sekitar. Saya sedar semakin hari semakin banyak bangunan yang telah melaksanakan 'landscaping' yang baik dan saya berharap usaha-usaha ini akan diteruskan supaya Kuala Lumpur akan menjadi 'Kota Taman' yang indah satu hari kelak. Tuan-tuan dan Puan-puan, 15. Dengan ini saya dengan sukacitanya membuka Bangunan Permodalan Nasional Berhad ini dengan rasminya. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |