home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	05/05/85 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA PERASMIAN MUSABAQAH MEMBACA 
			AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN 
			(DISAMPAIKAN OLEH Y.A.B. TIMB. 
			PERDANA MENTERI DATO MUSA HITAM) 




 Assamulai'kum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahir Rahmanir Rahim Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wataala oleh kerana dengan limpah kurnia dan izinNya maka
Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan dapat kita adakan
lagi. Semoga kita semua mendapat hidayah dan keredaan Allah Subhanahu
Wataala. Di samping itu adalah diharapkan Musabaqah ini akan melahirkan
kesedaran yang lebih tebal terhadap kemuliaan serta kesucian ayat-ayat
Allah Subhanahu Wataala yang diturunkan untuk panduan hidup manusia di
dunia dan akhirat.

2. Majlis Musabaqah membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang diadakan pada
setiap tahun adalah sebahagian daripada usaha-usaha serta ikhtiar pihak
Kerajaan ke arah mempertingkatkan kebahagiaan serta kesempurnaan hidup,
sepertimana yang dituntut oleh Islam. Oleh itu adalah diharapkan majlis
ini akan menimbulkan keinsafan kita akan kesucian agama Islam, di samping
memahami serta menghayati intisari Al-Quran di dalam segenap aktiviti
kehidupan di dunia ini bagi mencapai kebahagiaan di akhirat kelak.

Muslimin dan Muslimat sekalian, 

3. Perpaduan merupakan satu kunci kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat
bersatu tenaga dan fikiran untuk melaksanakan sesuatu untuk kebajikan
bersama. Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi
berbagai tugas hidup. Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan boleh
menghasilkan kejayaan yang luar biasa. Sebab itu apabila terdapat umat
Islam bersatupadu, maka kejayaan yang cemerlang akan dicapai. Sebaliknya
apabila perpecahan berlaku di kalangan umat, maka buruklah akibatnya. Atas
sebab inilah kita telah memilih "Perpaduan Asas Keutuhan Ummah" sebagai
tema Musabaqah tahun ini.

4. Walaupun di zaman ini kita sedang melihat kesedaran beragama yang luar
biasa di kalangan umat Islam, tetapi kesedaran ini tertumpu kepada
beberapa perkara sahaja. Persaudaraan di kalangan umat Islam sering
diperkatakan tetapi sebaliknya kita lihat negara-negara Islam berperang
sesama sendiri; kita lihat orang Islam terbahagi kepada beberapa puak dan
mereka bermusuh di antara satu dengan yang lain. Kumpulan-kumpulan baharu
diciptakan dan mereka mengasingkan diri dari yang lain, bahkan ada yang
menganggap cuma mereka sahaja yang Islam.

5. Keadaan ini amat menyedihkan. Kita disuruh menyeru kepada kebaikan. Di
antara yang baik ialah perpaduan umat. Tetapi semasa kita mendengar seruan
ini, di masa itu juga suara yang sama melaungkan unsur-unsur yang
menidakkan seruan perpaduan itu. Perkara-perkara titik-bengik yang boleh
memecahkan umat diutarakan sehingga berlakulah bermacam-macam masalah yang
melemahkan umat dan akhirnya umat Islam diperkecilkan oleh pihak
lain. Semua ini adalah jelas dan nyata tetapi perpecahan di kalangan umat
Islam masih juga berterusan.

6. Sejarah Islam bermula dengan perpaduan. Di bawah pimpinan Rasullullah
s.a.w., pengikut-pengikut Islam yang segelintir itu sekata, sehati,
berdakwah secara sulit atau sesama sendiri, kemudiannya bermuafakat
berdakwah secara terbuka selepas Islam dianuti oleh lebih ramai lagi
penduduk Mekah. Mereka bersama-sama berhijrah ke Madinah, dan kemudiannya
dengan perpaduan antara Muhajirin dan Ansar, mereka dapat mendirikan
Kerajaan Islam yang kukuh yang kemudian dapat kembali ke Mekah dengan
jayanya. Perpaduan juga diamalkan oleh ke empat-empat Khalifah Al-Rashidin
-- penyerahan kuasa dilakukan dengan mengambil kira perpaduan iaitu
pemilihan mengikut suara terbanyak, dan tindak-tanduk tidak memihak kepada
sesuatu suku kaum, serta tidak mengikut hawa-nafsu. Akhirnya Islam dapat
berkembang ke seluruh dunia berkat daripada perpaduan dan contoh teladan
yang baik dan positif.

7. Perpaduan adalah juga ciri yang penting yang telah menyumbang kepada
tamadun Islam yang gemilang. Islam telah berkembang secara besar-besaran
hingga ke negara-negara di luar Semenanjung Arab selepas wafat Nabi
Muhammad s.a.w. Islam bertapak di Sepanyol dan Perancis di barat, dan
China dan Filipina di timur. Pengembang dan para pendakwah Islam di
negara-negara tersebut bukan sahaja arif tentang agama tetapi arif juga
mengenai beberapa bidang ilmu. Mereka bukan dikenali dengan kuda dan unta,
tetapi pakar dalam bidang astronomi, pelayaran, senibina, bermacam-macam
aspek perubatan, mencipta ilmu hisab baru seperti aljibra dan berbagai
lagi ilmu yang telah memanfaatkan tamadun manusia.

8. Malangnya selepas kira-kira lapan abad Islam berpengaruh di barat
Eropah, tamadun Islam telah merosot. Salah satu faktor penting yang
mengakibatkan merosotnya kegemilangan Islam itu ialah perpecahan
ummah. Kemerosotan tidak berakhir di barat Eropah, tetapi berterusan di
timur Eropah pada abad yang ke-18. Ini diikuti di Asia Tengah pada suku
pertama abad ini dan ianya masih berlaku dengan terlepasnya beberapa
wilayah Islam kepada pengaruh asing. Ada negara-negara Islam yang
berperang sesama sendiri atau terlibat dalam peperangan proksi dan ramai
orang-orang Islam yang telah terkorban. Yang lebih sedih lagi ialah ramai
umat Islam terpaksa melarikan diri ke negara-negara bukan Islam bagi
mendapatkan perlindungan. Memang benar di zaman nabi ada orang Islam yang
terpaksa melarikan diri ka Habsyah, tetapi ketika itu tidak ada negara
Islam.

9. Perpecahan umat Islam masih berterusan. Bukan sahaja perbalahan berlaku
sesama sendiri, bahkan peperangan saudara dan peperangan antara
negara-negara Islam juga berlaku. Inilah satu sebab kita dihina dan
dipermain-mainkan. Beberapa negara Islam yang lemah diperalatkan sebagai
proksi bagi pertelagahan antara kuasa-kuasa besar. Umat Islam yang
berpecah-belah dan lemah itu sedar akan hal ini tetapi kerana tidak
berpegang kepada prinsip perpaduan umat, maka berbunuh-bunuhlah mereka
sesama sendiri.

10. Perpecahan bukan sahaja tidak membolehkan kita menggubal sesuatu yang
jitu dan yang merangkumi jangka panjang untuk kebajikan bersama, tetapi
ianya memberi kesempatan kepada musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan serta
menghancurkan pembangunan negara dan umat Islam. Ini sangat membimbangkan
dan sekiranya ia terus berlaku, kita umat Islam akan menghadapi zaman
kegelapan. Kita akan menghadapi satu zaman yang lebih gelap daripada apa
yang pernah kita alami sebelum ini.

11. Sekarang sudah tiba masanya bagi kita semua mengingati sesama sendiri
akan pentingnya perpaduan sebagai unsur utama menjaga keutuhan ummah, dan
sebagai asas kejayaan masa depan. Kita hendaklah mengembangkan mesej atau
pesanan yang dituntut oleh Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan
semoga mendapat keredhaanNya. Umat Islam hendaklah bertekad supaya usaha
ini berjaya.

Para Muslimin dan Muslimat sekalian, 

12. Adalah jelas bahawa masalah perpecahan yang berlaku di kalangan
masyarakat kita pada hari ini berpunca daripada sikap dan tindak tanduk
umat Islam sendiri. Di dalam kitab suci Al-Quran, Allah menjelaskan bahawa
segala kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini adalah akibat daripada
tindakan manusia. Dengan itu kita haruslah berusaha dan mengambil
langkah-langkah yang wajar supaya hasrat kita untuk menebalkan semangat
perpaduan akan tercapai.

13. Setiap individu mempunyai pendapat dan pandangan tersendiri terhadap
sesuatu persoalan yang timbul di dalam masyarakat Islam. Pertelagahan
pendapat di kalangan masyarakat Islam tidak seharusnya dijadikan sebagai
racun yang akan melumpuh dan melemahkan perpaduan Islam. Ajaran Islam
mengajak kita berbicara dan berunding dengan cara yang baik melalui
prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam.

14. Umat Islam janganlah lebih suka menyalahkan orang lain tetapi tidak
nampak kesalahan diri sendiri. Kesalahan orang lain sukar diperbetulkan
kerana ia memerlukan tindakan pihak lain itu. Sebaliknya jika kita mencari
dan mempastikan kesalahan sendiri, kita akan dapat bertindak
membetulkannya. Kita tahu umpamanya peperangan di kalangan negara-negara
Islam digalakkan oleh kuasa-kuasa besar yang sering membekal alatan
perang. Mereka tidak akan berhenti memberi galakan supaya kita terus
berperang. Pemilihan sama ada kita akan terus berperang atau berhenti
adalah terletak pada keputusan kita. Tetapi kita memilih untuk
berperang. Tidak ada gunanya kita menyalahkan orang lain. Kitalah yang
salah. Kitalah yang membenarkan syaitan mempengaruhi kita. Selagi kita
tidak iktiraf hakikat ini, selama itulah kita akan diperalatkan oleh orang
lain.

15. Perpecahan dan pemusuhan antara orang Islam berlaku kerana keangkuhan
yang ketara di kalangan kita yang membelakangkan ajaran Islam. Pada
pandangan Islam, tidak sesiapa pun mempunyai hak untuk menilai keimanan
dan ketakwaan seseorang yang mengakui dirinya Islam dan tidak melakukan
sesuatu kesalahan besar dalam Islam seperti mempersekutukan Allah atau
mengakui ada nabi selepas Nabi Muhammad. Islam dan apa yang terdapat di
lubuk hati seseorang yang mengakui dirinya Islam hanya Allah Subhanahu
Wataala yang mengetahuinya. Kita hanya dipertanggungjawabkan untuk
mengajak manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Oleh itu Islam
menganjurkan supaya sesuatu usaha ke arah kebaikan mestilah dilakukan
dengan cara yang baik, sederhana dan rasional. Oleh itu sebarang tindakan
yang dibuat secara melulu dan kekerasan dengan mengenepikan kepentingan
umum, dan bercanggah dengan ajaran Islam, serta lebih banyak membawa kesan
negatif terhadap kehidupan manusia, adalah termasuk perbuatan berdosa dan
sia-sia.

16. Sebaliknya kesederhanaan dalam segala aspek kehidupan adalah yang
paling sesuai bagi orang Islam. Kesederhanaan ini akan menghalang kita
daripada bertindak secara melampau atau ekstrim. Allah Subhanahu Wataala
melarang kita daripada berkelakuan atau bertindak secara melampau seperti
yang dijelaskan di dalam Al-Quran, bahawa sesungguhnya Allah Taala tidak
suka orang-orang yang melampau. Sifat ini akan mengelakkan kita daripada
menyakiti hati rakan dan taulan, dan sekiranya berlaku kesilapan, kita
akan bersedia maaf bermaafan. Inilah salah satu nilai hidup yang akan
membawa perpaduan kepada ummah.

17. Hanya dengan perpaduan barulah ummah, termasuk umat Islam di Malaysia,
dihormati dan disanjung tinggi. Kalau keluarga jiran kita tidak sehati dan
sentiasa bergaduh dan berpecah, pada kelazimannya bukan saja kita tidak
senang dengan kelakuan mereka, tetapi juga akan memandang rendah terhadap
keluarga tersebut. Begitu juga pandangan dan anggapan para penganut agama
lain terhadap umat Islam sekiranya kita berpecah. Kepada mereka yang
kurang arif mengenai Islam, agama Islamlah yang akan dipersalahkan,
padahal sebenarnya umat Islam sendiri yang gagal mengamalkan lunas-lunas
Islam.

18. Usaha bagi memupuk perpaduan di kalangan masyarakat Islam adalah
tanggungjawab semua umat Islam. Golongan alim ulamak dan cendikiawan Islam
perlu bekerjasama serta memberikan pandangan yang positif bagi mengatasi
masalah yang dihadapi. Umat Islam di zaman ini perlu mempunyai fikiran
yang terbuka dengan mengambil kira perkembangan dan keperluan semasa. Umat
Islam pada hari ini juga harus memahami serta mengakui realiti
disekeliling mereka. Oleh itu bagi mengatasi persoalan yang dihadapi, maka
kita amat memerlukan pandangan yang positif dan praktikal, sesuai dengan
kehendak ajaran Islam yang menolak segala unsur-unsur negatif dan ekstrim.

19. Kita dapati ramai juga dari umat Islam yang seolah-olah tidak puas
hati dengan kelonggaran yang diberi oleh Allah s.w.t. supaya agama Islam
tidak menjadi beban yang berat kepada penganutnya. Mereka ini menolak
segala kelonggaran dalam Islam dan menjadikan yang sunat itu
wajib. Apabila mereka melihat orang lain tidak mahu menerima cara mereka,
maka mereka dengan mudahnya mengecamkan orang lain itu sebagai tidak
Islam. Dengan ini maka terbentuklah bermacam-macam kumpulan di kalangan
umat Islam yang bermusuh-musuhan antara satu dengan yang lain.

20. Kita berusaha untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian sebagai
menunaikan kewajipan yang dituntut oleh Islam dan bagi menghidupkan Sunnah
Rasulullah s.a.w. yang menghendaki supaya umatnya hidup secara berjemaah
dan bertindak secara kolektif dalam menyelesaikan persoalan
masyarakat. Rasulullah dan para sahabat serta pengikut Baginda berjaya
menyebarkan syiar Islam atas asas-asas perpaduan yang kukuh di kalangan
mereka walaupun masyarakat Islam pada masa itu dianggap sebagai golongan
minoriti.

21. Di samping itu kita hendaklah mengikis fikiran sempit atau mengelakkan
daripada mentafsir Islam secara sempit. Pengajaran Al-Quran keseluruhannya
hendaklah kita fahami benar-benar supaya fahaman agama kita tidak
terkongkong dengan tafsiran-tafsiran yang tidak selaras dengan pengajaran
Islam yang sebenarnya. Kalau tidak, maka akan timbullah berbagai tafsiran
sehingga ada yang menyatakan dunia ini dimiliki oleh orang kafir. Dengan
anggapan yang salah itu mereka mengasingkan diri dari hal-hal dunia
sehingga mereka menjadi golongna yang kolot yang mudah jatuh ke bawah
kuasa-kuasa lain. Setelah jatuh di bawah kuasa lain maka dengan mudahnya
mereka di pisah dari agama Islam.

Para Muslimin dan Muslimat, 

22. Kita semua mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama ke arah
mewujudkan sebuah masyarakat dan negara sepertimana dituntut oleh
Islam. Bagi mencapai hasrat tersebut maka setiap umat Islam di negara ini
harus mempunyai sikap yang bertanggungjawab, amanah serta bersih daripada
segala sifat-sifat keji dan daripada tindak-tanduk yang hanya akan
menjatuhkan maruah umat Islam sendiri. Kita perlu mendisiplinkan diri
dengan melakukan amalan-amalan hidup seperti yang dianjurkan oleh Islam.

23. Akhir kata, dengan nama Allah Yang Amat Pemurah Lagi Amat Mengasihani,
saya dengan sukacitanya membuka Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat
Kebangsaan yang Ke-27 ini dengan rasminya.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
 




 
Google