Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGUNAN KUWASA, JALAN RAJA LAUT,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 14/05/85
Tajuk/Title : UPACARA PEMBUKAAN RASMI
BANGUNAN KUWASA
Yang Berhormat Menteri Kewangan,
En. Daim Zainuddin;
Yang Berbahagia Tan Sri Thong Yaw Hong,
Pengerusi Lembaga Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana menjemput saya ke
Majlis ini dan seterusnya untuk merasmikan Bangunan KUWASA
ini.
2. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang ditubuhkan sejak
sebelum merdeka lagi telah berjaya memberi perlindungan
sosial dan kewangan kepada ahli-ahli untuk kehidupan mereka
khususnya selepas bersara. Ini dapat dilakukan melalui
berbagai kemudahan pengeluaran wang simpanan. Saya berharap
KWSP akan berusaha memikirkan sekim-sekim lain bagi membantu
ahli-ahlinya.
3. KWSP telah berkembang dengan pesatnya daripada segi
jumlah caruman dan juga ahli. Aset terkumpul KWSP telah
meningkat lebih
daripada 20.2 ribu juta ringgit dan ahlinya pula sekarang
seramai kira-kira 4.6 juta orang. KWSP adalah kumpulan wang
simpanan yang terbesar dan yang terpenting sekali di negara
kita. Justeru itu KWSP berpotensi sebagai sumber hutang
yang besar untuk kepentingan negara. Misalannya KWSP telah
menyediakan sebanyak 2,320 juta ringgit melalui pembelian
surat-surat jaminan Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu.
Ini merupakan 72.7% daripada jumlah bersih keperluan
pembiayaan dalam negeri Kerajaan Persekutuan. Ini jelas
menunjukkan pentingnya KWSP sebagai sumber wang dalam negeri
untuk pembangunan negara. Di samping itu pekerja-pekerja
yang menjadi ahli akan mendapat faedah daripada peminjam
yang terjamin.
4. Saya berbangga kerana semakin hari semakin ramai ahli
KWSP yang telah mendapat faedah daripada sekim pengeluaran
wang simpanan bagi membeli rumah. Setakat ini, sejumlah
115,326 orang ahli telah mendapat faedah di bawah sekim ini
dan KWSP telah mengeluarkan sejumlah 475.8 juta ringgit bagi
tujuan tersebut. Di sini saya berharap KWSP akan menggubal
cara-cara lain yang bersesuaian bagi membolehkan
ahli-ahlinya menggunakan lebih luas lagi wang simpanan
mereka di KWSP.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Tahun ini masih dianggap tahun pemulihan ekonomi negara
selepas beberapa tahun kemelesetan ekonomi dunia. Tetapi
pemulihan ekonomi diramalkan tidak serancak atau secepat
tahun lalu. Ramalan ini berdasarkan kepada pertumbuhan
ekonomi yang sederhana tahun ini bagi negara-negara
perindustrian utama dan seterusnya akan memberi kesan ke
atas pertumbuhan ekonomi negara kita yang masih lagi
bergantung kepada pasaran eksport. Walaupun demikian kita
masih lagi boleh memperbaiki ekonomi kita jika kita sanggup
berusaha meningkatkan produktiviti kita -- iaitu
mengurangkan kos dan menjadikan barangan kita lebih bersaing
atau 'competitive' di pasaran dunia. Di samping itu, kita
perlu mengurangkan perbelanjaan pembelian barangan dari luar
negeri dengan menyokong kempen membeli barangan buatan
Malaysia.
6. Usaha yang dapat kita lakukan bukanlah perkara baru,
tetapi perkara yang pernah kita bincangkan, tetapi amalannya
sahaja patut dipertingkatkan. Tidak ada gunanya kita
mengeloh dan meratap berkenaan kemelesetan ekonomi dunia
jika kita tidak sanggup membuat apa yang kita mampu buat
sendiri untuk memulihkan ekonomi kita.
7. Agensi-agensi awam hendaklah memainkan peranan yang
lebih utama bagi menjamin ekonomi yang kukuh. Satu perkara
yang kurang ditekankan oleh agensi-agensi awam atau
badan-badan Kerajaan ialah kos atau perbelanjaan.
Agensi-agensi Kerajaan jangan memikirkan kalau kos
pengurusan mereka tidak menjadi masalah kerana punca wang
mereka besar dan dibantu oleh Kerajaan. Sesuatu kelalaian
dan gejala buruk sudah tentu memberi kesan buruk juga. Di
sini akhirnya setiap anggota perkhidmatan awam dan negara
akan menanggung beban yang berat akibat daripada sebarang
kelalaian. Sebaliknya agensi-agensi awam haruslah
berhati-hati dan menjaga kos dan segala perbelanjaan,
terutama bagi projek-projek supaya tidak melebihi daripada
yang dianggarkan. Kecekapan pengurusan wang dan sikap
bertanggungjawab mestilah wujud pada setiap agensi dan
pegawai.
8. Kerajaan pula akan sentiasa berusaha mengawal rapi
perbelanjaan Kerajaan, bahkan belanjawan negara dua tahun
yang lalu telah dikurangkan bersesuaian dengan keupayaan
kewangan negara. Sekarang ini kita mengambil kira
perbelanjaan agensi-agensi yang dikenali sebagai 'agensi
luar belanjawan' atau 'off-budget agencies'. Sebuah
jawatankuasa antara agensi yang dipengerusikan oleh Unit
Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan
bagi mengawasi secara rapi perbelanjaan agensi-agensi
tersebut. Perbelanjaan agensi-agensi tersebut akan dikawal
seperti jabatan-jabatan Kerajaan yang lain apabila Kerajaan
menyediakan anggaran perbelanjaan negara, terutama bagi
Rancangan Malaysia Kelima. Sebelum ini, agensi-agensi luar
belanjawan ini dikelaskan sebagai sektor swasta dan
agensi-agensi itu bebas menggubal belanjawan masing-masing.
Kerajaan telah juga mengenal pasti 14 pihak berkuasa awam
bagi pengawasan segera ke atas perbelanjaan mereka.
Kerajaan akan menganalisa dan menggubal dasar-dasar yang
difikirkan bersesuaian. Ini merupakan satu contoh di mana
Kerajaan mengambil tindakan ke atas perbelanjaan
agensi-agensi awam dan perbelanjaan Kerajaan seluruhnya
supaya selaras dengan keupayaan atau kedudukan kewangan
negara. Di samping tindakan ini, agensi-agensi awam
hendaklah berusaha sendiri ke arah cita-cita menurunkan
perbelanjaan ini. Jika sekarang ini kita tidak terperangkap
dengan hutang yang besar seperti beberapa buah negara di
Amerika Latin, sebabnya ialah kerana kita cepat bertindak.
Pengorbanan yang kita buat sekarang akan menjadikan masa
depan kita lebih cerah.
9. Selaras dengan seruan ini, saya berharap pihak
pengurusan KWSP akan sentiasa mengamalkan pengurusan
kewangan yang berhati-hati dan 'prudent'. Langkah ini bukan
sahaja akan memelihara kepentingan ahli-ahlinya, tetapi juga
nama baik badan-badan awam.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10. Menyentuh Bangunan KUWASA ini, saya berharap langkah
ulung KWSP memasuki sektor harta akan memberi keuntungan
kepada ahli-ahlinya. Oleh kerana sebahagian besar ruang
pejabat di Bangunan ini akan disewa, langkah ini akan
memberi contoh kepada perbadanan dan syarikat Kerajaan
tentang mengutamakan hasil -- iaitu hasil sewa -- daripada
mendirikan bangunan bagi meluaskan lagi ruang pejabat
masing-masing. Kalau menambah ruang pejabat yang
benar-benar diperlukan tidaklah menjadi halangan, tetapi
meningkatkan ruang pejabat untuk meningkatkan 'prestige'
adalah membazir. Justeru itu sekiranya terdapat ruangan
lebih yang boleh disewa, usaha menyewakannya haruslah
dilakukan. Dari perspektif ini, saya mengucapkan syabas
kepada pihak Lembaga KWSP yang memilih mendapatkan hasil
daripada menambah ruang pejabat sendiri.
11. Di samping itu saya berharap KWSP akan meningkatkan
kecekapannya dalam memberi perkhidmatan kepada ahli-ahlinya.
Sebarang kritikan yang diterima hendaklah diteliti dengan
fikiran yang terbuka dan mengambil langkah-langkah yang
perlu bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang didapati.
12. Akhirnya sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima
kasih kepada Lembaga KWSP dan semua kakitangannya kerana
menjemput saya ke upacara ini. Dengan ini saya dengan
sukacitanya membuka Bangunan KUWASA ini dengan rasminya.
Terima kasih.
|