Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	15/05/85 
Tajuk/Title  	: 	PERHIMPUNAN BELIA ANTARABANGSA 




Yang Berhormat Datuk Dr. Sulaiman bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan, Belia
dan Sukan; Yang Berbahagia Pengerusi Jawatankuasa Hari dan Minggu
Belia; Yang Berbahagia Presiden, Majlis Belia Malaysia dan Ahli-Ahli
EXCOnya; Dif-Dif Kehormat; 

Saudara-saudari sekalian. 

Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
kurniaNya dapat kita bersama-sama di upacara yang sangat bermakna bukan
sahaja bagi belia negara ini, tetapi juga peserta dari negara-negara
luar. Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Belia Malaysia dan
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kerana menjemput saya untuk
merasmikan Hari Belia Antarabangsa 1985 ini.

2. Adalah sangat wajar Majlis Belia Malaysia dan Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan memilih tema perayaan Hari dan Minggu Belia tahun ini
supaya sama dengan tema Tahun Belia Antarabangsa, iaitu 'Penyertaan,
Pembangunan, Perdamaian'. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah
mengisytiharkan tahun 1985 sebagai Tahun Belia Antarabangsa atas dasar
memahami betapa pentingnya masyarakat belia diberi pengiktirafan yang
sewajarnya dan diberi peluang untuk menyertai secara langsung dalam
menyelesaikan isu-isu yang penting yang dihadapi oleh belia di negara
masing-masing. Kerajaan Malaysia memang memberi pandangan yang sangat
berat terhadap kegiatan-kegiatan belia serta perkembangannya. Dengan
adanya penyertaan belia yang gigih dan dedikasi, usaha Kerajaan untuk
membangunkan kaum belia serta mengatasi masalah-masalahnya akan menjadi
lebih berkesan lagi.

3. Saya difahamkan bahawa di antara projek utama yang akan dilaksanakan
oleh Majlis Belia Malaysia dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
ialah kempen secara besar-besaran untuk memperbanyakkan bilangan ahli
persatuan belia. Ini dianggap penting kerana tanpa penyertaan yang aktif
kita tidak akan dapat menghindarkan penglibatan belia dalam berbagai
gejala yang tidak sihat. Walau bagaimanapun adalah tidak memadai kita
berusaha untuk meramaikan ahli sahaja tanpa dapat mengekalkan keahlian
mereka. Adalah diharapkan bahawa persatuan-persatuan belia di peringkat
kebangsaan, negeri, daerah dan kampung dapat bergerak dengan daya usaha
sendiri tanpa terlalu sangat bergantung kepada bantuan orang ramai atau
Kerajaan. Kegiatan belia hendaklah diasaskan kepada kemampuan mereka. Jika
rancangan yang dibuat itu munasabah, pembiayaan yang tinggi tidak
diperlukan. Sekarang ini terdapat terlalu banyak pungutan derma sehingga
untuk menghiburkan diri sendiri pun diharap para dermawan mengeluarkan
derma. Badan-badan sukarela kerap mengadakan majlis jamuan di hotel-hotel
besar untuk mengutip derma. Oleh kerana jamuan itu diadakan di
tempat-tempat yang terkemuka, belanja jamuan sudah tentunya tinggi dan
banyak wang terpaksa digunakan untuk membayar kos mengadakan jamuan
itu. Sebenarnya duit derma hendaklah digunakan sepenuhnya untuk
kerja-kerja amal. Persatuan belia hendaklah mengasingkan diri daripada
kegiatan meminta-minta tanpa berusaha sendiri terlebih dahulu.

4. Pembangunan merupakan salah satu tema Tahun Belia Antarabangsa. Tenaga
belia adalah salah satu sumber yang penting bagi pembangunan negara. Di
negara kita lebih kurang 76% penduduknya adalah di bawah umur 35
tahun. Oleh hal yang demikian, pembinaan belia secara sistematik di negara
ini sangatlah penting bagi memperolehi kehasilan yang maksima untuk
pembangunan negara. Pembinaan belia juga seharusnya berasaskan prinsip
yang kukuh. Di sini saya suka menyentuh sedikit beberapa prinsip yang
terpenting bagi menjamin pembinaan belia yang kita
ingini. Pemimpin-pemimpin belia semestinya mempunyai sifat-sifat
kepemimpinan yang matang serta mampu menggalakkan penyertaan yang aktif
daripada ahli persatuan dalam usaha pembangunan negara. Belia-belia
hendaklah sentiasa mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara supaya negara
dapat membangun dalam suasana yang harmoni. Mereka hendaklah juga sentiasa
berusaha meninggikan taraf keilmuan supaya dengan ilmu pengetahuan yang
cukup akan dapat menyumbangkan tenaga yang lebih berkesan kepada
pergerakan belia tanahair dan seterusnya antarabangsa. Memandangkan bahawa
maju mundurnya sesebuah negara bergantung kepada sistem nilaian yang
diamalkan, Belia Malaysia hendaklah menentukan bahawa nilai-nilai yang
baik seperti kerajinan, disiplin, keikhlasan, kejujuran dan kebersihan
menjadi sebahagian daripada nilai-nilai yang menggerakkan mereka.

5. Para belia tidak harus berpuas hati dengan pencapaian setakat ini
kerana belia serta negara masih lagi menghadapi bermacam-macam masalah. Di
antaranya ialah merebaknya penyalah-gunaan dadah di kalangan belia. Dadah
adalah malapetaka yang mesti diperangi oleh kita semua secara
habis-habisan. Penagih-penagih menjadi beban bukan sahaja kepada keluarga
mereka tetapi juga kepada masyarakat dan negara. Jikalau tidak
diberhentikan dengan cepat, penyalah-gunaan dadah akan membawa maut
sebelum belia yang terlibat mengenal hidup dewasa. Tindakan yang positif
mestilah diambil oleh persatuan-persatuan belia dengan mempelbagaikan
kegiatan persatuan supaya minat kepada persatuan serta aktivitinya dapat
menghindarkan muda-mudi daripada tercebur dengan penyalah-gunaan dan
jenayah dadah. Kita hendaklah lebih menitik-beratkan langkah-langkah
pencegahan daripada langkah-langkah pengubatan serta pemulihan dan
daripada segi ini, para belia boleh memainkan peranan yang berkesan dengan
menjadikan persatuan-persatuan mereka tempat bagi mendorong belia-belia
menikmati aktiviti-aktiviti yang sihat dan berfaedah.

Saudara-saudari sekalian, 

6. Satu lagi cabaran besar yang dihadapi oleh kita semua ialah untuk
meningkatkan lagi perpaduan dan persefahaman di kalangan masyarakat majmuk
Malaysia ini. Tugas ini memanglah berat, tetapi matlamat ini boleh dicapai
sekiranya setiap rakyat memberikan sumbangan yang ikhlas dan
bersungguh-sungguh. Dasar-dasar Kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar
Pelajaran Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan merupakan beberapa
dasar pokok yang bertujuan membentuk satu identiti Malaysia. Dalam hal ini
adalah wajar bagi belia daripada semua kaum di negara ini mengadakan
berbagai aktiviti bersama. Ini perlu kerana persatuan belia sungguhpun
syarat keahliannya terbuka kepada semua kaum, adalah mengikut majoriti
terdiri daripada satu-satu kaum. Ada beberapa persatuan belia yang
keahliannya dikhaskan untuk kaum-kaum yang khusus sahaja. Untuk memupuk
semangat persaudaraan dan persefahaman di antara kaum, adalah wajar bahawa
usaha-usaha yang lebih dijalankan supaya belia-belia kita dapat bercampur
gaul dan beramah mesra dengan lebih meluas lagi. Amalan-amalan yang boleh
memisahkan belia kita hendaklah diberhentikan dengan segera.

Saudara-saudari sekalian, 

7. Perkembangan sains dan teknologi, makin merapatkan perhubungan di
antara satu negara dengan negara lain. Semangat kerjasama dan
bantu-membantu hendaklah sentiasa dipertingkatkan serta diikuti dengan
program-program yang konkrit dan positif. Belia-belia kita juga wajarlah
terus aktif dalam pergerakan belia antarabangsa supaya pendedahan dan
perkongsian pengalaman dapat menyumbang ke arah persefahaman antarabangsa.

8. Dalam usaha kita untuk terus memajukan negara, kita hendaklah sentiasa
berfikir dan menganggap diri sebagai 'Malaysian'. Kita mestilah lebih
mementingkan negara Malaysia secara keseluruhannya daripada mementingkan
perasaan kedaerahan atau kenegerian. Dalam hal ini, rancangan-rancangan
belia hendaklah mengaitkan aspek pembinaan identiti Malaysia secara
menyeluruh supaya perkembangan yang sihat dan murni tidak akan dipengaruhi
oleh unsur-unsur negatif. Para belia seterusnya hendaklah memperbaiki
strategi dan langkah mereka serta meningkatkan penglibatan mereka dalam
usaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang lebih kukuh dan
makmur. Untuk ini apa yang lebih penting di kalangan belia ialah
menekankan nilai-nilai sejagat atau nilai-nilai bersama seperti
hormat-menghormati, cintakan tanahair, inginkan persahabatan dan
keamanan. Ini memerlukan penglibatan, keazaman dan pengorbanan yang tinggi
daripada semua belia di negara ini.

9. Akhirnya saya berharap usaha-usaha baik yang telah dimulakan dalam
Tahun Belia Antarabangsa ini akan berterusan dan dengan harapan ini saya
dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Hari Belia Antarabangsa 1985
ini.

Terima kasih.



 
 



 
Google