Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 15/06/85
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI,
1405 HIJRAH/1985 MASIHI
Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd Alhamdulillah,
sekali lagi kita umat Islam dapat merayakan kemenangan kita; kemenangan
melawan nafsu sepanjang satu bulan, bulan Ramadan yang mulia. Ibadat
puasa, sebagai satu daripada Rukun Islam, adalah juga salah satu cara
untuk menimbulkan perasaan keinsafan serta kesyukuran kita kepada Allah
Subhanahu Wataala, yang telah mencucurkan kepada kita bermacam-macam
nikmat.
2. Esok kita semua menyambut Hari Raya Puasa. Kita menyambut hari yang
mulia ini dengan segala adunan dan juadah, berpakaian baru dan cantik
dengan perhiasan yang berwarna-warni. Memanglah kita digalakkan menikmati
segala hidangan dan bergembira, tetapi janganlah kita menyambut hari yang
mulia ini sehingga khayal dengan keseronokan semata-mata. Sebaliknya kita
hendaklah menyambut hari besar ini mengikut lunas-lunas yang digalakkan
oleh Islam. Hari Raya tetap hari untuk bergembira, tetapi hari kebesaran
ini harus menitik-beratkan juga dua unsur -- pertamanya dengan
membanyakkan amalan-amalan yang membuktikan kesyukuran dan keduanya dengan
takwa dan ibadat.
3. Marilah kita bersama-sama mewujudkan satu 'masyarakat yang bersyukur'
di kalangan rakyat Malaysia, terutama umat Islam. Kita bersyukur kepada
Allah Subhanahu Wataala ke atas kesihatan yang dikurniakan kepada kita
untuk menunaikan ibadat puasa selama sebulan; kita bersyukur kerana kita
diberi rezeki bagi menampung diri dan keluarga; kita bersyukur kerana
negara aman dan damai; kita bersyukur kerana tidak ditimpa mala-petaka
yang memusnahkan harta dan nyawa; dan kita bersyukur atas segala-gala yang
kita nikmati setiap hari. Allah Subhanahu Wataala berfirman bahawa jika
kita mahu menghitung nikmat-nikmat Allah nescaya kita tidak akan terdaya
menghitungnya. Malangnya kita bukan sahaja tidak cuba menghitungnya,
tetapi kerapkali kita lupakan sama sekali akan nikmat-nikmat itu.
4. Perasaan syukur akan menjadikan kita Muslimin dan Muslimat yang insaf,
bertakwa dan kuat berpegang kepada lunas-lunas yang diredai oleh Allah
Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala menjanjikan nikmatNya yang
bertambah kepada orang yang bersyukur. Pada hari yang mulia ini marilah
kita bersama-sama bersyukur, bukan sahaja dengan takbir dan tahmid, tetapi
juga dengan merenung sejenak akan pemberian Allah yang kita nikmati
sepanjang hari, sepanjang bulan, sepanjang tahun bahkan sepanjang
masa. Renungan-renungan seperti ini akan membolehkan kita membandingkan
diri kita dengan penduduk-penduduk di negara-negara lain, dan akan
kelihatan lebih jelas keuntungan atau kelebihan yang ada pada kita, serta
di mana pula letaknya kelemahan atau kekurangan kita. Beberapa buah negara
telah dilanda mala-petaka seperti banjir, angin-taufan, kemarau panjang,
kebuluran, diserang oleh penyakit ganjil dan sebagainya. Akibatnya ialah
kehilangan harta dan nyawa dengan keazaban yang tidak terhingga. Terdapat
juga masyarakat yang dilanda peperangan, sama ada berperang dengan negara
lain atau peperangan saudara atau berbunuh sesama sendiri. Betapa sedihnya
mereka yang kehilangan suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak dan saudara-mara
tanpa sebarang faedah. Dalam keadaan demikian, bukan sahaja mereka
bersedih dengan kehilangan, kerosakan dan kecederaan yang dialami, tetapi
juga mereka tidak dapat menunaikan ibadat dengan tenteram dan
khusyuk. Tidak ada satu pun manfaat kepada umat Islam daripada peperangan
sesama mereka yang sedang berlaku di beberapa buah negara. Amatlah sia-sia
pembunuhan yang berlaku di antara orang-orang Islam terutamanya di Asia
Barat, pembunuhan yang tidak diasaskan kepada mempertahankan Islam tetapi
semata-mata kerana dendam yang tidak terkawal antara orang Islam dengan
orang Islam.
5. Sebaliknya kita di Malaysia sangat bertuah kerana tidak mengalami
segala mala-petaka dan keazaban itu. Di negara ini, keluarga yang miskin
sekalipun tidak mengalami kebuluran seperti yang berlaku di beberapa buah
negara. Peluang untuk memperbaiki diri daripada segi rohani dan jasmani
sentiasa terbuka. Anak petani hari ini, seorang menteri hari esuk; seorang
pelayan pejabat dua-tiga dekad lalu, seorang jutawan sekarang ini; anak
seorang daif hari ini, seorang imam ulung hari esuk; dan seorang yang
bermaruah dan menebalkan disiplin sepanjang waktu mungkin menjadi pemimpin
esuk-lusa. Rakyat tidak tertekan atau terkongkong dan hak asasi
masing-masing yang tidak bercanggah dengan kepentingan masyarakat adalah
terpelihara. Inilah negara kita. Tiada halangan untuk kita beribadat,
bahkan tempat-tempat ibadat semakin hari semakin bertambah dan semakin
selesa.
6. Rakyat yang berumur di negara ini yang pernah mengalami peperangan
dunia, penjajahan oleh bangsa-bangsa lain, serta keganasan komunis sebelum
kemerdekaan negara, mungkin lebih menyedari nikmatnya keadaan aman dan
tenteram. Malangnya sebahagian kecil rakyat negara kita tidak menginsafi
pentingnya keamanan, kestabilan dan ketenteraman. Sebaliknya mereka
sengaja memecah-belahkan masyarakat dengan membesar-besarkan
perkara-perkara kecil dan suka bertindak dengan melulu, tanpa memperduli
tindak-tanduk mereka boleh mendatangkan gejala buruk. Mereka kurang
bersyukur ke atas apa yang diperolehi oleh mereka sendiri dan apa yang
diusahakan oleh negara. Mereka tidak bersyukur dapat beribadat tanpa
gangguan di negara yang mempunyai setengah sahaja penduduknya beragama
Islam, tidak bersyukur dengan berbagai kemudahan beribadat yang
disediakan, tidak bersyukur dengan kedudukan yang mulia dan utama bagi
Islam di negara ini dan yang paling sedihnya tidak bersyukur dengan
usaha-usaha menanam nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara. Apabila
kurang bersyukur timbullah kebongkakan, dan kebongkakan inilah yang selalu
membawa tamadun atau keutuhan sesuatu masyarakat itu kepada
kemusnahan. Mereka mengutamakan kepuasan nafsu dalam jangka pendek,
walaupun mereka akan mengalami kesan buruk dalam jangka
panjang. Tindak-tanduk mereka selalu mencetuskan masalah dan perpecahan.
7. Rasullullah sallallahu alaihi wassalam dalam hadisnya yang diriwayatkan
oleh Imam At-Tardmizi menyatakan usaha mendamai di antara dua orang yang
bersengketa adalah lebih utama daripada solat, puasa dan
sedekah. Rasullullah bersabda sesungguhnya kebinasaan yang ditimbulkan
oleh persengketaan itu adalah laksana menghancur-leburkan umat itu
sendiri. Begitulah pentingnya perdamaian dan perpaduan. Sebagai golongan
terbesar yang suka kepada persaudaraan dan perpaduan, marilah kita
menghulurkan tangan persahabatan kepada mereka yang suka kepada sengketa
dan menyeru supaya mereka insaf dan bersyukur dan kembali kepada
persaudaraan yang dituntut oleh Islam. Insya-Allah, usaha ini akan
diberkati Allah Subhanahu Wataala.
8. Kerajaan walau bagaimanapun berasa bersyukur oleh kerana majoriti
rakyat dan majoriti ummah di negara ini sedar tentang pentingnya perpaduan
sebagai asas untuk mencapai kemajuan di dunia dan di akhirat. Dengan
perasaan syukur itulah Kerajaan akan tetap berusaha menjamin kebebasan
beribadat bagi rakyat negara ini. Kita bersyukur majoriti para pemimpin --
baik pemimpin politik atau pemimpin dakwah -- masih bertenaga bagi
memperjuangkan masa depan agama, negara dan rakyat. Semoga dengan
kesyukuran itu kita akan diberkati dengan lebih banyak keredaan Allah
Subhanahu Wataala. Begitu juga, marilah kita sama-sama bersyukur kerana
dengan adanya perpaduan sebagai penjamin keamanan dan ketenteraman, kita
dapat menjalankan segala ibadat yang dituntut oleh Allah Subhanahu
Wataala. Pada Hari Raya Puasalah seharusnya kita mendidik perasaan syukur
ke atas semua nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wataala.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Semasa kita menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini, sebahagian
daripada anggota pasukan keselamatan serta lain-lain khidmat sedang
menjalankan tugas mereka di perbatasan. Mereka tidak dapat bersama-sama
dengan keluarga mereka untuk menyambut Hari Raya ini. Di samping kita
bersyukur kerana dapat merayakan hari yang mulia ini bersama-sama
keluarga, marilah kita berdoa semoga pejuang-pejuang tanahair yang berada
diperbatasan sentiasa selamat. Rakyat tidak lupa dan memang menghargai
pengorbanan anggota-anggota pasukan keselamatan kita.
10. Kepada saudara-saudari kaum Muslimin, saya mengucapkan Selamat Hari
Raya Aidilfitri dan semoga kita semua mendapat hidayat. Kepada
saudara-saudari yang bukan Islam, rayakanlah hari kebesaran ini
bersama-sama dengan rakan-rakan Islam anda.
11. Akhir kata, saya serta keluarga saya memohon maaf, zahir dan batin, di
atas apa jua kesilapan yang mungkin telah kami lakukan selama ini. Selamat
Hari Raya Aidilfitri.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd.
|