Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA
Tarikh/Date : 27/06/85
Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT
PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN DAN
BINTANG-BINTANG SERTA PINGAT-PINGAT
Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Almutawakkil
Alallah Sultan Iskandar D.K. Yang Di-Pertuan Agong Malaysia.
Ampun Tuanku.
Bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patek sendiri, patek
mohon menyembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Tuanku, sempena Majlis Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah
Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat pada hari ini.
2. Sempena hari yang bahagia ini, patek sekalian berdoa ke hadrat Allah
Subhanahu Wataala, semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan
hidayahNya kepada Kebawah Duli Tuanku serta Raja Permaisuri
Agong. Demikian juga, patek sekalian berdoa semoga Tuanku berdua sentiasa
di dalam kandungan sihat walafiat, serta memerintah dan memegang teraju
tertinggi pemerintahan negara Malaysia, dengan bertambah daulat dan
kemuliaan.
Ampun Tuanku,
3. Kerajaan sedang menggubal dan menyusun rancangan pembangunan negara
bagi Rancangan Malaysia Kelima. Usaha penggubalan ini dilakukan dengan
mengambil kira bahawa ekonomi negara kita masih di dalam proses pemulihan
daripada kesan-kesan kemelesetan ekonomi dunia. Kerajaan Persekutuan akan
menentukan semua projek pembangunan akan memberi manfaat kepada rakyat
jelata.
4. Rancangan Malaysia Kelima ini juga adalah perancangan lima tahun di
bawah Dasar Ekonomi Baru. Kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya bagi
melaksanakan objektif-objektif yang terkandung dalam Dasar tersebut. Walau
bagaimanapun rakyat hendaklah sentiasa memberi sokongan supaya usaha
Kerajaan ini berjaya. Hanya dengan tekad yang bulat dari kedua-dua pihak,
iaitu Kerajaan dan rakyat, maka barulah objektif-objektif Dasar Ekonomi
Baru dapat dipenuhi.
5. Negara kita terpelihara daripada segi keselamatan dan insyaAllah negara
kita akan terus terpelihara daripada gejala-gejala buruk. Walau
bagaimanapun Kerajaan akan terus berhati-hati bagi mempastikan keselamatan
dan ketenteraman negara ini tetap terjamin. Mengenai perpaduan pula,
Kerajaan pada keseluruhannya berbangga dengan hubungan antara kaum yang
rapat dan mesra. Walaupun ada golongan-golongan tertentu yang membawa
unsur-unsur yang boleh membawa kepada perpecahan, negara ini bertuah
kerana majoriti rakyat Malaysia sedar tentang pentingnya perpaduan bagi
kepentingan mereka sendiri dan pembangunan negara.
Ampun Tuanku,
6. Patek, bersama-sama dengan Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri,
dan sekalian kakitangan Kerajaan, akan terus menumpukan usaha dan tenaga
untuk menyempurnakan tugas dan tanggungjawab patek sekalian dengan penuh
semangat dan tekad bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan kebahagiaan
rakyat dan negara Malaysia.
7. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, bagi pihak diri
patek, Kerajaan dan seluruh rakyat, patek dengan segala hormat dan
takzimnya mohon menyembah ikrar taat-setia yang tidak berbelah bagi kepada
Kebawah Duli Tuanku.
Ampun Tuanku,
Sekian, sembah patek harap diampun.
|