Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SHAH ALAM, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	09/07/85 
Tajuk/Title  	: 	PEMBUKAAN RASMI KILANG KERETA 
			NASIONAL DAN PELANCARAN PROTON SAGA 




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh; Yang Berhormat-Yang
Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian; 

Saya mengucapkan terima kasih kepada Perusahaan Otomobil Nasional
Sdn. Bhd. (Proton) kerana menjemput saya merasmikan Pembukaan Kilang
Kereta Nasional dan seterusnya melancarkan Kereta Malaysia yang pertama -
PROTON SAGA.

Saya mengucapkan tahniah kepada PROTON kerana telah berjaya membina kilang
dan mengeluarkan PROTON SAGA dalam jangkamasa yang begitu singkat.

2. Saya berasa bangga di atas kejayaan yang dicapai oleh Projek Kereta
Nasional ini yang mana telah mampu membuktikan kebolehan rakyat dan
seterusnya negara kita dalam bidang pembuatan kereta. Usaha yang gigih,
penuh dedikasi serta sanggup pula menghadapi cabaran pasti akan mencapai
matlamat yang dikehendaki.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

3. Di sini ingin saya jelaskan hasrat serta strategi Kerajaan bagi
perusahaan otomobil ini. Yang pertamanya, bukanlah niat Kerajaan untuk
menghancurkan peniaga-peniaga kereta yang ada. Tidak ada faedah bagi
negara jika sesuatu perniagaan yang besar seperti pemasaran kereta
tiba-tiba dimusnahkan. Hasrat Kerajaan memasuki bidang pembuatan kereta
ini ialah supaya perniagaan ini akan berkembang dengan lebih pesat dan
dengan ini peniaga baru dan peniaga kecil akan mendapat peluang memasuki
bidang ini, sementara yang sudah maju, terus maju.

4. Untuk menentukan perusahaan dan perniagaan kereta ini berkembang, maka
perkara yang penting sekali ialah kereta buatan Malaysia ini diterima oleh
pembeli dan laris pula dijual. Tidak ada gunanya bagi peniaga kereta yang
berminat menjadi pengedar kereta nasional jika tidak ada pembeli. Oleh
itu, keutamaan bukanlah untuk menentukan bahawa sesiapa juga yang berminat
menjadi egen atau 'distributor' diberi peluang. Tetapi yang pertama dan
utama ialah menentukan kereta buatan Malaysia diterima baik oleh pasaran
di dalam negeri dan mungkin juga di luar negeri. Cuma apabila kereta ini
diterima baik dan laris dijual, maka baharulah peluang menjadi ejen atau
penjual mempunyai makna. Tidak ada gunanya sama-sekali bagi mereka yang
bermodal kecil, menjadi penjual kereta yang sukar dijual. Sementara yang
bermodal besar boleh menanggung kerugian, yang bermodal kecil akan terus
luput dan tidak mungkin berniaga lagi walaupun di bidang lain.

5. Kilang ini dirancang untuk mengeluarkan sehingga 120,000 buah kereta
setahun. Tidak ada syarikat di Malaysia yang menjual lebih daripada 23,000
buah kereta setahun untuk satu jenis atau model. Kerana 'economies of
scale', jikalau kereta Malaysia tidak dapat dijual dengan banyaknya,
kerugian yang besar akan melanda syarikat PROTON. Kita yakin, jika
pengurusan penjualan dibuat dengan baik, maka kita dapat menjual semua
kereta yang dirancang untuk dikeluarkan tiap-tiap tahun. Ini bermakna
jumlah kereta yang akan dijual akan meningkat kepada satu angka lebih
tinggi daripada yang dipasarkan sekarang. Ini juga bermakna bahawa mereka
yang berminat menjadi wakil pengedar akan mendapat peluang dan peluang ini
mereka akan dapat apabila penerimaan oleh pengguna sudah ditentukan. Jika
pada ketika itu pengedar yang baru mengalami kerugian, tidak ada siapa
yang boleh disalahkan, melainkan diri sendiri.

6. Dasar Ekonomi Baru tetap akan diamalkan oleh PROTON. Sekali lagi buat
permulaan, semasa risiko adalah tinggi, Kerajaan akan menjadi pemegang
amanah bagi bumiputera melalui HICOM. Saham Kerajaan adalah yang
terbesar. Apabila sahaja perniagaan sudah maju, saham-saham Kerajaan akan
diedarkan kepada bumiputera melalui saluran-saluran yang telah
ditentukan. Bagi mereka yang berpendapat bahawa seratus-peratus saham
hendaklah dikhaskan kepada bumiputera, saya ingin mengingatkan bahawa
perniagaan bukan selalunya untung. Perniagaan juga kerap mengalami
kerugian. Jika bumiputera memiliki seratus peratus syarikat PROTON atau
EON, jika ia rugi, bumiputera akan rugi seratus peratus. Dalam perniagaan,
orang yang bijak dan pintar biasanya berkongsi dengan orang lain, terutama
apabila keuntungan belum tentu akan dapat diperolehi.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

7. Keputusan Kerajaan untuk melaksanakan program perindustrian berat di
negara ini adalah bertujuan untuk memperluas dan mengukuhkan asas
perindustrian negara dalam usaha untuk mencapai taraf sebagai sebuah
negara perindustrian. Meskipun negara kita baru sahaja menceburi bidang
perindustrian, ianya akan berjaya dengan sepenuhnya sekiranya kita sanggup
bekerja keras, berdisiplin dan mengurus dengan cekap dan jujur.

8. Pada hari ini, negara kita melangkah setapak lagi ke hadapan ke arah
pembangunan perindustrian. Kilang Kereta Nasional dan pengeluaran PROTON
SAGA adalah bukti kesanggupan kita untuk mencapai objektif-objektif
pembangunan perindustrian negara.

9. Kejayaan Projek Kereta Nasional membawa erti yang besar terhadap
ekonomi negara kita. Ini akan membawa banyak kemajuan kepada industri
kereta di Malaysia. Projek ini dengan keupayaan yang lebih besar akan
dapat menikmati faedah ekonomi daripada pengeluaran yang lebih
besar. Dengan alat kelengkapan yang moden serta tenaga pekerja yang
terlatih di PROTON, mutu dan daya pengeluaran dapat dipertingkatkan. Di
samping itu, ia juga akan dapat meninggikan lagi teknologi, pengetahuan
dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan.

10. Di samping kita berbangga dapat mengeluarkan kereta sendiri, projek
ini akan menjadi nadi penggerak bagi pertumbuhan dan pembangunan industri
sampingan. Melalui projek ini industri membuat komponen boleh mencapai
taraf kemampuan kejuruteraan dan penyerapan teknologi yang lebih
tinggi. Di samping itu juga, sektor pembuat komponen akan membuka
peluang-peluang pelaburan dan pekerjaan. Industri kereta juga menggalakkan
pembangunan industri sampingan yang lain seperti industri logam, industri
berasaskan getah dan plastik.

11. Di sini saya ingin menyeru kepada industri komponen kereta supaya
mempertingkatkan lagi mutu dan kecekapan pengeluaran mereka supaya ianya
bukan sahaja dapat membekalkan pasaran tempatan malahan hendaklah juga
dapat menembusi pasaran luar negeri. Usaha-usaha hendaklah dibuat dalam
bidang kemajuan barangan atau 'product development' supaya mutu barangan
yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar tempatan sentiasa dijaga. Selain
daripada itu industri-industri komponen hendaklah juga melabur dan memberi
perhatian yang berat kepada usaha-usaha penyelidikan dan
pembangunan. Dengan cara ini industri-industri tersebut bukan sahaja dapat
mengeluarkan barangan yang bermutu tetapi juga dapat mengikis sikap
negatif di setengah-setengah kalangan orangramai terhadap apa juga
barangan yang dibuat di negara ini.

12. Menyentuh bidang penyelidikan dan pembangunan, saya gembira kerana
PROTON telah menitikberatkan perkara ini dengan menubuhkan Jabatan
Penyelidikan dan Pembangunan sungguhpun PROTON masih muda
usianya. Penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan adalah amat penting
kepada kemajuan industri negara kita. Kebanyakan daripada
syarikat-syarikat di negara ini kurang memberi perhatian kepada aspek
penyelidikan dan pembangunan kerana faedahnya, biasanya mengambil masa
yang lama. Saya berharap syarikat-syarikat perkilangan yang lain dapat
menyontohi PROTON dengan menjalankan kegiatan penyelidikan dan
pembangunan.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

13. Sepertimana yang kita maklum, Kerajaan telah melancarkan kempen
Membeli Barangan Buatan Malaysia. Tujuan utama kempen ini ialah untuk
meningkatkan pembelian barangan tempatan dan seterusnya akan mengurangkan
barangan yang diimpot. Bayaran yang berkurangan ke atas impot akan
mengurangkan aliran keluar tukaran asing. Pengaliran keluar tukaran asing
yang berkurangan akan menjadikan imbangan bayaran negara bertambah
kukuh. Di sini, saya merasa bangga kerana pengeluaran PROTON SAGA ini
sangat tepat pada masanya.

14. Saya juga ingin menyeru kepada semua rakyat negara ini supaya
menyokong projek ini dengan membeli kereta PROTON SAGA. Kereta ini adalah
setaraf dengan kereta-kereta yang dibuat di luar negeri.

15. Kerajaan sedar bahawa syarikat pemasangan kereta tempatan merasa
terjejas dengan perlaksanaan Projek Kereta Nasional. Di sini, ingin saya
menjelaskan bahawa Kerajaan telah memberi peluang kepada syarikat-syarikat
pemasangan kereta yang ada supaya sama-sama memberi sokongan dengan
menjual kereta PROTON SAGA apabila ianya dipasarkan tidak berapa lama
lagi. Langkah ini diambil bukan sahaja untuk mengurangkan kesan terhadap
syarikat pemasangan kereta tetapi juga adalah untuk menentukan supaya
terdapat rangkaian wakil-wakil jualan di setiap tempat di negara
ini. Dengan cara ini, adalah mudah bagi pengguna-pengguna membeli
kereta-kereta PROTON SAGA. Kejayaan pemasaran adalah amat penting kepada
kejayaan Projek Kereta Nasional. Kita mestilah melibatkan semua kaum dalam
usaha mengendalikan penjualan kereta PROTON SAGA ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

16. Perlu ditegaskan di sini bahawa walau apa sekalipun objektif, strategi
dan program-program yang dirancang dan diatur, kejayaan tidak akan
tercapai sekiranya orang ramai tidak menyokong usaha-usaha itu. Dalam hal
ini saya berharap Projek Kereta Nasional ini akan mendapat sokongan dan
mencapai kejayaan dan seterusnya mencatatkan negara Malaysia sebagai
sebuah negara pengeluaran kereta di dunia.

17. Beberapa buah negara telah menunjukkan minat untuk mengimpot PROTON
SAGA. Ini membuktikan bahawa negara-negara asing mempunyai keyakinan
terhadap negara kita sebagai pengeluar kereta sendiri. Saya berharap
PROTON dapat mengekspot kereta buatan Malaysia tidak lama lagi.

18. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PROTON
kerana menjemput saya ke majlis ini. Dengan ini, saya dengan sukacitanya
membuka Kilang Kereta Nasional dan seterusnya melancarkan Kereta PROTON
SAGA dengan rasminya.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
 

 



 
Google