home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL MING COURT, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 12/07/85 Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM PERSATUAN PENIAGA KENDERAAN MALAYSIA Yang Berbahagia Dato' Jaafar Mohd. Ali, Presiden Persatuan Peniaga Kenderaan Malaysia; Dif-dif Kehormat, Tuan-tuan dan Puan-puan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Peniaga Kenderaan Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis ini. 2. Saya difahamkan bahawa saya dijangka memperkatakan tentang industri motor dan masa depannya, terutama mengenai peniaga-peniaga kereta. Sebenarnya saya telahpun memperkatakan hal ini sedikit-sebanyak tiga hari lalu semasa saya membuka kilang Kereta Nasional dan pelancaran Proton Saga. Hasrat dan niat Kerajaan adalah jelas. Kerajaan tidak berniat menghancurkan peniaga-peniaga kereta yang ada, iaitu ahli-ahli Persatuan ini. Saya ulangi sekali lagi bahawa hasrat Kerajaan memasuki bidang pembuatan kereta ini ialah supaya perniagaan ini berkembang dengan lebih pesat. Peniaga baru dan kecil akan diberi peluang memasuki bidang ini, sementara yang sudah maju termasuklah ahli-ahli Persatuan ini akan terus maju. 3. Sebagai peniaga kereta, kedudukan tuan-tuan tidak akan terancam oleh pelancaran Proton Saga sekiranya tuan-tuan dapat membuat 'adjustment' yang diperlukan. Sebaliknya kedudukan tuan-tuan adalah terpulang kepada keputusan yang dibuat oleh tuan-tuan sendiri sama ada menghadapinya secara positif atau secara negatif. Edaran Otomobil Nasional Sdn. Berhad, atau EON, iaitu pengedar Proton Saga telah menyatakan bahawa pemegang-pemegang 'franchise' yang sedang mengedar kereta yang dibekalkan oleh pihak prinsipal masing-masing akan diberi peluang sebagai pengedar atau 'dealer' Proton Saga. Ini bermakna aktiviti perniagaan tuan-tuan tidak akan terjejas. Perbezaannya ialah jenis kereta yang diedarkan sahaja iaitu Proton Saga akan menggantikan jenis dan model kereta yang sedang tuan-tuan edarkan pada masa kini bagi lingkungan kelas kereta Proton Saga. 4. Ingin juga saya menegaskan di sini bahawa bagi ahli-ahli Persatuan yang ingin mengekalkan tradisi perniagaannya seperti sekarang, mereka masih berpeluang berbuat demikian dengan menjual jenis dan model kereta yang tidak bersaing dengan Proton Saga. Adalah perlu bagi tuan-tuan untuk memaklumkan pihak prinsipal masing-masing supaya membekalkan model-model yang tidak bersaing dengan Proton Saga, di mana pasarannya adalah kira-kira 30% daripada jumlah keseluruhan pasaran kereta penumpang di Malaysia pada masa ini. 5. Adalah penting kita semua mempastikan perusahaan dan perniagaan kereta negara ini berkembang dengan baik. Perkembangan atau penjualan yang meningkat sama ada di dalam atau di luar negeri, jika diurus dengan baik bermakna keuntungan. Dengan pasaran yang meningkat dan keuntungan yang lebih barulah Kerajaan dapat memberi peluang yang lebih kepada peniaga-peniaga kereta di negara ini. Saya akui bahawa wujudnya Kereta Nasional memerlukan penyesuaian atau 'adjustments' bagi pihak ahli-ahli Persatuan ini. Tetapi membuat penyesuaian memang menjadi amalan bagi para peniaga yang pintar. Misalannya, kita tidak boleh bergantung kepada penjualan radio apabila zaman televisyen muncul, atau menjual penyapu lidi kelapa di zaman 'vacuum cleaner'. Sebenarnya jenis perniagaan sekarang jauh berbeza dari tahun lima puluhan atau enam puluhan. Kerajaan bertanggungjawab memudahkan penyesuaian ini tetapi maju mundurnya peniaga akhirnya bergantung kepada penerimaan terhadap hakikat mengenai pengaliran zaman. 6. Kerajaan dalam menggubal dasar-dasar negara tidak akan lupa bahawa para peniaga dan pengusaha adalah sebahagian daripada masyarakat negara. Kerugian mereka tidak menguntungkan negara. Ia merugikan kerana bukan sahaja pemodal yang kaya yang terlibat, tetapi juga pekerja mereka turut terlibat. Cukai negara juga akan berkurangan. Justeru itu dalam menggubal dasar Kereta Nasional, Kerajaan memikirkan kepentingan ekonomi dan proses perindustrian keseluruhannya. Pembuatan Kereta Nasional akan membawa berbagai faedah sampingan serta rantaian kepada ekonomi negara, atau 'linkages to domestic economy', yang jauh lebih menguntungkan daripada semata-mata membeli kereta asing atau memasangkannya sahaja. Antara faedah sampingan itu ialah memberi peluang kepada para pengeluar 'components' kereta tempatan meningkatkan pengeluaran mereka dan bagi meningkatkan lagi pemindahan teknologi. Kedua-dua ini akan dapat memberi faedah kepada lain-lain industri. 7. Kepentingan ekonomi negara jangka panjang ini tidak semestinya mengenepikan kepentingan sesuatu sektor atau sekumpulan kecil dalam jangka pendek. Kerajaan akan menimbangkan langkah-langkah yang sesuai supaya penjejasan ke atas sesuatu sektor ekonomi dapat dikurangkan. Peniaga kereta di negara ini yang terjejas dengan perlaksanaan Kereta Nasional telah dan akan dipertimbangkan dengan langkah-langkah yang sesuai supaya penjejasan tersebut dapat dikurangkan. Saya difahamkan Persatuan tuan-tuan akan menemui Menteri Kewangan bagi tujuan yang sama. Kesediaan pihak Kerajaan mengadakan perjumpaan dan perbincangan ini membuktikan bahawa perniagaan tuan-tuan mendapat perhatian Kerajaan yang sewajarnya. 8. Mengenai 'margin' yang akan dinikmati oleh pengedar dan penjual Proton Saga, suka saya menyatakan bahawa dalam menetapkan harga jualan Proton Saga, Kerajaan akan mengamalkan sistem pengawalan harga seperti lain-lain kereta pemasangan tempatan sekarang. Oleh itu pengedar Proton Saga akan menikmati margin yang serupa. Jika para pengedar cekap dan dapat meningkatkan bilangan Kereta Nasional yang dijual, tentulah mereka lebih untung. Oleh kerana Proton Saga lebih murah harganya, saya yakin kemungkinan menjual lebih banyak Proton Saga adalah lebih baik. 9. Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pihak Persatuan haruslah menerima hakikat mengenai Proton Saga ini. Tuan-tuan haruslah mengambil sikap yang positif iaitu bersama-sama berusaha untuk memasarkan Kereta Nasional ini dengan penuh tenaga dan dayausaha seperti yang telah tuan-tuan lakukan bagi jenis dan model yang dibekalkan oleh prinsipal masing-masing. Dalam masa yang sama pihak pengedar hendaklah sentiasa membantu PROTON dan EON dengan memberi pandangan-pandangan yang membina seperti strategi jualan, penerimaan pasaran ke atas Proton Saga, rupa bentuk kereta pada masa akan datang dan kesesuaian daripada segi harga kereta. Tuan-tuan dan puan-puan, 10. Kerajaan telah mengenal-pasti komponen-komponen yang dirancangkan untuk dikeluarkan secara tempatan dan digunakan oleh Proton Saga di bawah rancangan kandungan tempatan atau 'local content programme' yang menjadi matlamat utama projek Kereta Nasional ini. Sudah sampailah masanya bagi pihak Persatuan mengubah-suai aktiviti perniagaan sekarang dengan menerokai juga pengeluaran komponen seperti yang dikehendaki. Saya berpendapat inilah masanya untuk pihak tuan-tuan mempelbagaikan aktiviti perniagaan daripada semata-mata menjadi pengedar dan penjual kereta kepada pengeluar komponen-komponen kereta. Di samping itu janganlah terlalu gopoh. Kita bukan sahaja mengutamakan kebolehan mengeluarkan komponen-komponen tetapi juga mengeluarkannya dengan harga yang rendah supaya ianya tidak meninggikan kos Kereta Nasional. Sudah tentu kualiti barang-barang ini tidak boleh rendah daripada mutu yang telah ditetapkan. 11. Walau bagaimanapun saya yakin ahli-ahli Persatuan ini akan sentiasa memberi kerjasama dan keutamaan dalam menjayakan projek Kereta Nasional ini dengan menyumbangkan sepenuh tenaga dan dayausaha sebagai pengedar, pembuat dan pembekal komponen, ataupun dengan memberi pandangan-pandangan positif dan membina yang difikirkan perlu diambil oleh pihak PROTON dan EON pada masa akan datang. Tuan-tuan dan puan-puan, 12. Saya yakin tuan-tuan telahpun menjiwai satu semangat baru dan saya berharap semangat ini dapat dikekal dan ditingkatkan. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Peniaga Kenderaan Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis ini. Terima kasih. |