Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DI MELAKA 
Tarikh/Date	: 	20/07/85 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PEMBUKAAN PERHIMPUNAN AGUNG 
			MIC YANG KE-33 




Yang Berhormat Datuk Samy Vellu, Presiden MIC; Ahli-Ahli Jawatankuasa
Pusat MIC; Para Perwakilan; Wakil-wakil Parti-Parti Komponen Barisan
Nasional; Dif-Dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Samy Vellu dan
Jawatankuasa Pusat MIC kerana menjemput saya untuk melakukan upacara
pembukaan Perhimpunan Agung MIC yang ke-33 ini. Saya juga mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bersidang kepada saudara-saudari
sekalian. Saya berharap persidangan ini akan melahirkan rumusan-rumusan
yang akan mengukuhkan lagi parti MIC, Barisan Nasional dan seterusnya
rakyat dan negara.

2. Inilah persidangan parti komponen Barisan Nasional yang pertama saya
hadiri tahun ini dan saya ingin mengambil kesempatan ini bagi menyampaikan
satu-dua pesanan, bukan sahaja untuk MIC tetapi juga untuk semua parti
komponen.

3. Tahun lalu pernah saya menyuarakan di Persidangan MIC tentang tidak
wajarnya membawa apa-apa masalah atau perselisihan pendapat dalam parti ke
mahkamah atau ke pihak ketiga. Kita hendaklah berusaha mencari 'jalan
politik' atau 'political solution' untuk menyelesaikan masalah dalam
parti. Secara ini kita akan dapat mempastikan apabila terdapat
perselisihan pendapat, ianya akan berkisar dalam parti sahaja, dan
tidaklah terdedah segala masalah dan keburukan dalam parti kepada orang
ramai untuk dijadikan bahan cemohan, atau perbualan di kedai-kedai
kopi. Sebaliknya pengadilan di mahkamah walaupun ia mungkin dapat
menentukan siapa benar dan siapa salah, ia tidak dapat menentukan
populariti mereka yang terlibat.

4. Di sini saya ingin mencadangkan bukan sahaja kepada MIC tetapi juga
kepada semua parti komponen Barisan Nasional supaya mengkaji
peruntukan-peruntukan di dalam perlembagaan masing-masing dan membuat
pindaan-pindaan di mana perlu bagi mengelak atau menghalang apa-apa
perselisihan yang berlaku dalam parti daripada dibawa ke mahkamah dengan
sewenang-wenangnya. UMNO juga akan mengambil langkah-langkah bagi berbuat
demikian. Sekiranya ada parti-parti komponen lain yang mengambil langkah
yang sama, mungkin semua parti komponen dapat bersama-sama mengkaji cara
yang sebaik-baiknya diperuntukkan perkara ini dalam perlembagaan
masing-masing supaya gejala ini dapat diatasi. Walaupun demikian sesuatu
kesalahan jenayah dalam parti atau oleh ahli parti tidak terselamat
daripada undang-undang biasa.

5. Ini tidak bermakna saya menyeru parti-parti komponen meniru
UMNO. Tujuan sebenar ialah, pertamanya, bagi mengelak 'gejala ke mahkamah'
yang kita alami bersama yang akhir-akhir ini semakin berleluasa dan
berlanjutan. Banyak parti komponen Barisan Nasional mengalaminya dan sudah
tentu kita tidak mahu mendengar parti-parti komponen dan para pemimpinnya
diburuk-burukkan di luar arena politik. Sekiranya ini berlaku, bukan
sahaja ahli-ahli parti akan berasa bingung terhadap parti-parti komponen
Barisan Nasional, tetapi juga rakyat jelata dan para pengundi akan berasa
gelisah dan hilang kepercayaan terhadap Barisan Nasional. Keduanya,
parti-parti komponen dapat belajar sesama sendiri cara yang sebaik-baiknya
pindaan perlembagaan parti itu harus dilakukan.

6. Walau bagaimanapun adalah penting perlembagaan parti memperuntukkan
saluran-saluran yang mencukupi bagi seseorang ahli atau pemimpin-pemimpin
di peringkat bawahan mengemukakan bantahan atau apa-apa
kemusykilan. Janganlah sebarang pindaan perlembagaan yang mencegah
ahli-ahli parti membawa perselisihan atau perbezaan pendapat ke mahkamah
menjadikan parti komponen terlalu 'rigid' - sehinggakan wujud pemimpin
yang tidak boleh ditegur atau ditentang sama sekali. Apa yang hendak
diutamakan ialah sebarang bantahan atau kemusykilan dalam parti
diselesaikan dalam parti mengikut semangat berparti, semangat bekerjasama
dan berjuang untuk kepentingan bangsa dan negara. Ini akan mewujudkan
sokongan yang berterusan dan menggalakkan daya usaha yang berterusan bagi
kepentingan parti dan negara.

7. Saya berharap kita akan dapat mengatasi masalah 'gejala ke mahkamah'
ini seberapa cepat yang boleh. Kalau hendak ditafsirkan gesaan ini berkait
dengan pilihanraya umum, itupun tidak ada salahnya. Pilihanraya umum mesti
diadakan sebelum bulan April 1987, iaitu kurang daripada dua tahun
lagi. Sebenarnya gesaan ini saya sampaikan terutamanya bagi menjaga
perpaduan dan keutuhan Barisan Nasional. Walaupun ada masalah-masalah yang
timbul dari masa ke semasa, kita masih kukuh; dan dengan terdapatnya
usaha-usaha mengatasi apa-apa masalah yang kita hadapi nanti, Barisan
Nasional akan bertambah kuat dan utuh.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

8. Baru-baru ini negara kita telah menjadi mangsa berita-berita palsu dan
yang sengaja diada-adakan. Segolongan kecil rakyat kita terpengaruh juga
dan akibatnya mereka mengambil tindakan yang tidak rasional, sehinggakan
kita merasakan juga sedikit-sebanyak akibatnya. Ini termasuklah tekanan ke
atas pasaran saham dan ke atas sektor kewangan. Walau bagaimanapun kita
bertuah kerana segolongan besar rakyat kita masih mempunyai keyakinan
terhadap kekuatan kita, serta keutuhan dan kewibawaan kita
sendiri. Akhirnya berita-berita palsu dan jahat itu berkurangan. Saya
yakin berita-berita jahat itu akan mati dengan sendirinya sekiranya kita
terus bersikap rasional dan lebih meneliti terlebih dahulu berita seumpama
itu.

9. Kita mestilah menyedari bahawa masyarakat yang utuh adalah masyarakat
yang berilmu pengetahuan, menghormati prinsip-prinsip asas dan
bersatupadu. Apa sekalipun gejala-gejala buruk yang diwujudkan oleh
musuh-musuh kita, semua itu tidak akan dapat mempengaruhi rakyat jelata
kalau kita tidak bergopoh-gapah dan bertindak secara melulu.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

10. Politik duitan juga nampaknya semakin menjadi-jadi. Tidak boleh
dinafikan bahawa duit adalah penting dalam menguruskan parti, bahkan tiada
parti politik sama ada yang memerintah atau pembangkang yang boleh
mentadbir pergerakan parti dengan lancar tanpa mempunyai wang yang
cukup. Tetapi kalau duit mengalir dalam parti bagi tujuan pemilihan para
pemimpin, saya ragu perkara ini akan mengikis kepercayaan dan keyakinan
rakyat.

11. Setiap parti komponen Barisan Nasional haruslah berwaspada dengan
gejala ini dan berusaha supaya duit tidak dijadikan alat untuk memancing
pengaruh atau untuk mendapatkan kedudukan dalam parti.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

12. Saya berharap Perhimpunan Agung MIC ini akan membawa manfaat kepada
ahli-ahli parti ini, dan memberi sumbangan kepada keutuhan Barisan
Nasional dan negara. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya membuka
Perhimpunan Agung MIC Yang Ke-33 ini dengan rasminya.

Terima kasih. 
 



 
Google