Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RUMAH MALAYSIA, JALAN AMPANG, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	01/08/85 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN SYARIKAT TAKAFUL 
			MALAYSIA SDN. BHD. 




 Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Berhormat Menteri-Menteri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan
sekalian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
kurniaNya kita dapat berkumpul di majlis pelancaran Syarikat Takaful
Malaysia Sdn. Bhd. Syarikat ini adalah sebuah syarikat yang pertama kali
ditubuhkan di negara ini, bahkan di rantau ini, yang akan menjalankan
perniagaannya dengan menyediakan perlindungan-perlindungan insurans secara
yang diizinkan oleh Islam.

2. Kira-kira dua tahun yang lalu, kita telah melancarkan Bank Islam, iaitu
sebuah bank perdagangan Islam yang pertama ditubuhkan di negara ini. Pada
hari ini pula, kita sekali lagi bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu
Wataala kerana dengan taufik dan hidayahNya, kita dapat melancarkan sebuah
lagi institusi induk dalam sistem kewangan Islam, iaitu syarikat takaful
untuk menyediakan perlindungan-perlindungan insurans secara Islam. Dengan
ini kita melangkah setapak lagi, bersama-sama dengan umat Islam di
negara-negara lain, dalam penerokaan bagi meletakkan asas-asas untuk
membina sistem kewangan Islam.

3. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi khidmat bakti dan
sumbangan bagi menjayakan penubuhan Syarikat Takaful ini, khususnya kepada
Badan Perunding Islam, yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Encik Anwar
Ibrahim, dan kepada Badan Petugas, yang dipengerusikan oleh Yang
Berbahagia Datuk Professor Ahmad Ibrahim.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

4. Apabila umat Islam bersembahyang, berpuasa, mengeluarkan zakat,
menunaikan fardhu haji dan seumpamanya, mereka adalah melaksanakan
hukum-hukum Islam dalam bidang "ibadat". Bagi membolehkan kita
melaksanakan amalan-amalan ibadat ini, kita perlu mempelajari dan
mengetahui hukum-hukum mengenainya. Kita bersyukur kerana ramai daripada
umat Islam mengetahui hukum-hukum itu dengan baiknya. Inilah sebabnya dari
segi pelaksanaan hukum-hukum Islam mengenai amal ibadat, umat Islam secara
amnya tidak menempuh banyak masalah. Terdapat sedikit sebanyak perbezaan
dalam amalan ibadat, tetapi perbezaan ini tidaklah sehingga menjadikan
ibadat sukar ditunaikan.

5. Tetapi apabila umat Islam berjual-beli, pinjam-meminjam, sewa-menyewa,
upah-mengupah, menjalankan aktiviti eksport-import, berjual-beli matawang
asing, menjalankan aktiviti pelaburan dan seumpamanya, mereka adalah
bergerak dalam bidang muamalah, atau pun bidang perniagaan. Dalam bidang
ini mereka tidak dapat tidak akan terlibat dengan sistem kewangan seperti
perniagaan insurans, urusan bank, pengurusan pelaburan, khidmat-khidmat
kewangan mengenai eksport-import dan seumpamanya. Sama seperti bidang
ibadat, agama Islam juga mempunyai hukum-hukumnya sendiri dalam bidang
muamalah.

6. Malangnya, berbeza daripada pencapaian dalam bidang ibadat, umat Islam
di seluruh dunia telah gagal menjayakan hukum-hukum Islam dalam bidang
muamalah selepas zaman Rasulullah S.A.W. dan zaman kegemilangan
Islam. Kegagalan ini amat ketara sekali dalam sistem kewangan, terutama
dalam zaman moden ini. Kegagalan ini bukanlah disebabkan oleh umat Islam
tidak mengetahui hukum-hukum Islam dalam bidang muamalah. Hukum-hukum ini
sememangnya diketahui. Bahkan ianya diajar, dikaji, diselidiki, dan
seterusnya diabadikan dalam beratus malahan beribu buah kitab dan buku.

7. Kegagalan melaksanakan hukum-hukum muamalah ini, adalah kerana
ketiadaan pengalaman dan kepakaran di kalangan umat Islam mengenai
aktiviti-aktiviti tersebut. Bagi melaksanakan hukum-hukum Islam dalam
sistem kewangan di zaman moden ini, ilmu pengetahuan mengenai hukum-hukum
Islam yang bersangkutan sahaja adalah tidak memadai. Bagi menubuh dan
menjalankan syarikat takaful, kita juga berkehendakkan kepada ilmu
pengetahuan dan kepakaran mengenai selok-belok perniagaan insurans itu
sendiri. Selain daripada itu, kita juga memerlukan ilmu pengetahuan dan
kepakaran dalam bidang-bidang seperti pengurusan syarikat, pengurusan
tenaga manusia, perakaunan, perundangan dan penggunaan alat-alat moden
bagi membolehkan kita menjalankan syarikat takaful itu dengan
sempurna. Adalah jelas bahawa semua ilmu ini ada kaitan yang rapat dengan
amalan ajaran Islam. Tidak akan berjaya dan sempurna masyarakat Islam jika
selain daripada membuat ibadat mereka tidak ada kebolehan.

8. Di negara kita kaum Bumiputera, yang merupakan bilangan pemeluk agama
Islam yang terbesar sekali, baru sahaja berpeluang mendapat ilmu dan
pengalaman dalam bidang-bidang pengurusan dan kewangan. Melalui Dasar
Ekonomi Baru kita sekarang mempunyai pegawai-pegawai yang memahami
hukum-hukum Islam dan juga cara dan sistem kewangan yang diperlukan untuk
menjayakan insurans Islam.

9. Keadaan yang sama juga terdapat di negara-negara Islam yang
lain. Hanyalah setelah ada orang-orang Islam yang berpengetahuan dan
berpengalaman untuk menjalankan institusi-institusi kewangan dalam tempoh
sepuluh-dua-puluh tahun yang lalu, barulah usaha-usaha untuk melaksanakan
hukum-hukum Islam dalam sistem kewangan mula menampakkan hasil. Saya rasa
ramai orang Islam dalam negara ini yang tidak begitu sedar mengenai
hakikat yang sebenarnya tentang perkara ini. Syarikat takaful bagi
menyediakan perlindungan-perlindungan insurans secara Islam hanya dapat
ditubuhkan buat pertama kali oleh umat Islam dalam tahun 1979. Syarikat
Takaful di Malaysia akan merupakan salah sebuah syarikat insurans Islam
daripada tidak sampai pun sepuluh buah pada masa ini di seluruh dunia.

10. Tentulah jelas bahawa usaha umat Islam di beberapa buah negara bagi
melaksanakan hukum-hukum Islam dalam bidang muamalah, khususnya yang
menyentuh aktiviti-aktiviti sistem kewangan, adalah merupakan usaha
peringkat awal dan penerokaan. Apabila syarikat yang ditubuhkan itu
memulakan perniagaannya, pada peringkat inilah keupayaan melaksana
hukum-hukum Islam itu sebenarnya diuji. Kata pemutus akan hanya dapat
ditentukan apabila syarikat yang ditubuhkan itu terbukti mempunyai
daya-hidup dan daya-maju -- iaitu mencapai tahap viabiliti dan terus
berkembang maju.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

11. Di Malaysia, Kerajaan sememangnya berusaha melaksanakan
prinsip-prinsip perniagaan mengikut lunas-lunas hukum Islam. Tetapi ini
bukanlah bermakna bahawa apabila kita berniaga atas landasan hukum Islam,
perniagaan kita secara otomatik akan berjaya. Berjaya atau tidaknya
perniagaan bergantung kepada kecekapan pengurusan sesuatu perniagaan
itu. Saya berharap kita tidak membuang tenaga melaungkan slogan-slogan
yang enak didengar, tetapi kosong isinya; sebaliknya kita melangkah
setapak demi setapak ke arah pelaksanaan hukum-hukum muamalah ini. Tidak
ada gunanya kita mengecam sistem-sistem lain. Yang penting dan berkesan
ialah kita membuktikan kemampuan sistem Islam untuk memenuhi keperluan
bukan sahaja umat Islam tetapi masyarakat keseluruhannya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

12. Manusia tidak dapat meramal atau menentukan secara tepat masa
depannya. Segala perancangan dan usaha yang dibuat oleh manusia cuma akan
tercapai dengan izin Allah. Namun demikian ini tidaklah bermakna bahawa
kita tidak boleh atau tidak perlu merancangkan setiap kegiatan dan
tindakan kita. Setiap hari kita tidak dapat mengelakkan diri daripada
membuat sesuatu rancangan. Setiap hari kita berharap dan berdoa supaya
kita selamat daripada bahaya. Setiap hari kita membuat pelaburan untuk
masa depan kita. Bahkan kita juga membuat persediaan untuk akhirat dengan
mengerjakan amal ibadat dan hidup sebagai seorang Islam. Tetapi sebagai
orang Islam, kita tahu dan kita terima bahawa apa yang dirancangkan oleh
kita belum tentu akan terlaksana. Terlaksana atau tidaknya rancangan kita,
ditentukan oleh Allah Subhanahu Wataala. Demikian juga jika kita tidak
merancang, tidak mengatur langkah, sengaja cuai untuk menjaga diri, maka
kemungkinan kita menerima akibat yang buruk adalah lebih besar. Meskipun
demikian jika tidak ditentukan oleh Allah Subhanahu Wataala maka
terselamat juga kita dari bahaya.

13. Demikian jugalah dengan insuran Takaful ini. Kita cuma merancang dan
mengambil langkah untuk menjaga diri kita, atau anak isteri kita daripada
sebarang kemungkinan di masa depan. Belum tentu lagi kita atau anak isteri
kita akan terpelihara. Tetapi alangkah buruknya jika kita tidak berusaha
menjaga diri kita dan dengan itu membesarkan kemungkinan sesuatu yang
buruk berlaku kepada kita. Janganlah kita salahkan takdir apabila sesuatu
malapetaka berlaku kepada kita terutama apabila kita tidak berusaha untuk
mengelakkan diri daripadanya.

14. Walau bagaimanapun khidmat-khidmat yang disediakan oleh syarikat ini
bukanlah terhad kepada orang Islam semata-mata, tetapi terbuka juga kepada
mereka yang bukan Islam. Dalam bidang muamalah, Islam mempunyai
nilai-nilai sejagat atau 'universal' untuk kebaikan dan kebajikan umat
manusia, sama ada yang beragama Islam atau yang bukan beragama
Islam. Orang-orang bukan Islam tidak boleh dipaksa mematuhinya, tetapi
mereka tidak disekat, bahkan dialu-alukan jika mereka sendiri memilih
untuk mengikuti prinsip-prinsip Islam itu.

15. Saya suka mengingatkan semua bakal-bakal pelanggan Syarikat Takaful
ini supaya menghayati nilai-nilai Islam. Perjanjian atau akad antara pihak
Syarikat dan pihak pelanggan atau peserta adalah penting ditunaikan. Islam
memandang berat pelaksanaan syarat-syarat yang telah dipersetujui dan
dimetrikan dalam sesuatu perjanjian. Perjanjian antara dua pihak hendaklah
dilaksanakan dengan jujur, amanah, dan bertanggungjawab. Justeru itu,
janganlah ada antara bakal-bakal pelanggan Syarikat ini yang cuba memberi
keterangan palsu semasa mengisi borang cadangan, atau mungkir membuat
bayaran sumbangan bulanan, atau pun mengemukakan tuntutan-tuntutan tipu
muslihat. Perbuatan-perbuatan seumpama ini semuanya dikutuk oleh Allah
Subhanahu Wataala.

16. Pihak pengurusan pula mestilah beramanah kerana perniagaan ini
diasaskan kepada duit dan harta orang lain yang diamanahkan kepada
syarikat. Penyelewengan dan penyalah-gunaan modal pelanggan samalah dengan
pencurian. Janganlah kita burukkan agama Islam dengan perbuatan keji kita.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

17. Akhirnya, saya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga
syarikat ini akan mendapat hidayah dan rahmatNya.Dengan nama Allah yang
Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya dengan sukacitanya melancarkan
Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd ini dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh. 
 

 



 
Google