Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	30/08/85 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN YANG KE-28 
			OLEH YAB PM 




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam
bahagia. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala
kerana dapat kita bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan -- Hari
Kemerdekaan negara -- yang ke-28 esok.

Kita bersyukur juga kepada Allah Subhanahu Wataala kerana kita dapat
menyambut Hari Kebangsaan ini, walaupun tidak begitu meriah seperti biasa,
dalam keadaan aman dan sejahtera.

2. Esok genaplah 28 tahun negara kita bebas daripada cengkaman penjajah
dan 28 tahun sejak jeritan 'merdeka' berkumandang di Stadium Merdeka. Esuk
juga merupakan hari yang sangat bermakna bagi mereka yang menghargai
kebebasan -- kebebasan mentadbirkan negara sendiri, dan kebebasan
menentukan kemajuan agama, bangsa, dan negara.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

3. Dua daripada tiga orang penduduk negara kita adalah terdiri daripada
generasi muda. Mengikut anggaran, hampir 68 peratus penduduk negara kita,
yang berjumlah kira-kira 15 juta orang, adalah di bawah umur 30 tahun. Ini
bermakna 2/3 rakyat negara ini tidak menyaksi perjuangan
kemerdekaan. Walaupun Sabah dan Sarawak merdeka melalui Malaysia enam
tahun kemudian, generasi muda yang berumur 25 tahun ke bawah di
negeri-negeri itu juga tidak dapat menyertai perjuangan kemerdekaan
negara. Dengan itu penduduk negara kita yang telah mengalami hidup dijajah
dahulu, semakin berkurangan jumlahnya dan tahun demi tahun semakin ramai
pula mereka yang meninggalkan kita selama-lamanya. Pemergian mereka bukan
sahaja menyedihkan kerana mereka tidak lagi bersama-sama kita tetapi
kerana kita tidak lagi dapat mengenal dan berkongsi pengalaman mereka yang
begitu penting dalam menyedarkan kita akan makna hidup bebas daripada
belenggu penjajahan.

4. Kenangkan dan fikirkanlah sambutan yang diberi oleh rakyat negara kita
menjelangnya kemerdekaan. Berpuluh ribu menunggu di Melaka untuk menyambut
rombongan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj balik dari London bagi
mengumumkan tarikh kemerdekaan; berpuluh ribu menyaksikan bendera penjajah
diturunkan dan bendera negara dikibarkan di Padang Kelab Selangor, dan
berpuluh ribu juga yang menyahut seruan 'merdeka' di Stadium
Merdeka. Mereka datang sendiri, tidak ramai yang berkereta, tetapi ramai
yang menaiki bas atau berjalan kaki dan sebagainya. Pendek kata,
sambutannya secara spontan, tidak disusun, bersendirian. Semua ini oleh
kerana mereka telah merasai pahit-maung hidup dijajah, hidup ditekan,
dikongkong, bahkan maruah sebagai individu, golongan atau masyarakat
dihina. Apabila kebebasan diisytiharkan, inilah detik dan masa yang paling
bermakna bagi mereka. Apatah lagi kebebasan dicapai berkat perjuangan
mereka dan berkat semangat yang berkobar yang menusuk jiwa mereka --
semangat kebangsaan atau 'nasionalisme'. Nasionalisme inilah yang
melahirkan kemerdekaan negara -- nasionalisme yang tidak
angkuh. Sebaliknya nasionalisme yang menjunjung tinggi maruah dan
kehormatan bangsa.

5. Dengan meningkatnya bilangan mereka yang lahir selepas merdeka, maka
semakin berkuranglah penghargaan terhadap kemerdekaan berbanding dengan
apa yang dirasai oleh generasi yang telah dijajah. Semakin ramai yang
menganggap kemerdekaan sebagai perkara biasa; kalau menyambut Hari
Kebangsaan, ini pun sebagai cuti biasa. Keadaan seperti ini boleh
melalaikan kita dan akan menghalang perjuangan masa depan negara kita.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

6. Apakah pentingnya nasionalisme kepada penduduk sebuah negara yang
merdeka seperti Malaysia? Apakah pentingnya kita mengingatkan sejarah
perjuangan kemerdekaan, terutama kepada generasi muda? Beberapa unsur
dapat kita ketengahkan.

7. Pertamanya, kita mestilah menentukan bahawa sejarah hidup dijajah tidak
berulang lagi. Harus diingat bahawa penjajahan tidak lagi bermakna
penaklukan secara langsung. Dalam dunia yang semakin kecil akibat
perhubungan yang lebih mudah, gejala 'neo-colonialism' telah muncul. Dan
neo-colonialism ini boleh dilakukan melalui penguasaan ekonomi, ideologi
politik atau kongkongan kebudayaan.

8. Kuasa-kuasa baru sudah muncul sebagai 'neo-colonialist' dan mereka
tidak perlu bergantung kepada kekuatan negara mereka. Melalui kebudayaan,
umpamanya, penjajahan boleh dilakukan tanpa penggunaan tentera atau wang.

9. Penjajahan, baik apa jua jenisnya, tetap akan mencuba menyekat
kebebasan kita. Sebaliknya kita tidak boleh memulaukan diri dari dunia
luar. Kesan neo-colonialism telahpun dirasai oleh kita, walaupun ramai
yang masih tidak sedar. Kemerdekaan yang kita perjuangkan dahulu akan
menjadi sia-sia sahaja jika penjajahan baru ini dibenar menggantikannya.

10. Pendekatan yang paling berkesan menghadapi penjajahan cara baru ini,
ialah melalui penguasaan ilmu pengetahuan dalam semua bidang termasuk
agama dan melengkapkan diri dengan segala kemahiran. Justeru itu, kita
boleh menghalakan nasionalisme kita kepada pencapaian ilmu-pengetahuan dan
segala kemahiran yang bermanfaat bagi mengekalkan kebebasan kita, serta
maruah dan keutuhan agama, bangsa dan negara.

11. Kita akui kita telah maju dan dapat membangun dengan pesat. Taraf
pelajaran, misalannya, telah meningkat dengan tingginya. Tetapi kita masih
lagi jauh ke belakang dibandingkan dengan negara-negara maju. Semoga satu
hari nanti rakyat kita boleh meneroka dasar laut bagi memperolehi hasil
petroleum kita sendiri, semoga rakyat kita dapat mengeluarkan alat-alat
perkilangan, serta menyaksikan keindahan pengwujudan Allah Subhanahu
Wataala di langit dan di bumi. Semoga kita dapat mentafsir dan memahami
ajaran-ajaran agama sehingga tidak ada yang boleh memperdayakan
kita. Dengan itu generasi muda bertanggungjawab memelihara dan mengekal
kemerdekaan negara melalui penguasaan semua ilmu-pengetahuan yang
bermanfaat.

12. Nasionalisme mempunyai unsur-unsur positifnya sendiri. Satu-satunya
unsur itu ialah perpaduan. Rakyat bersatu-padu menentang Malayan Union dan
cara-cara pemerintahan British, bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga
di Sabah dan Sarawak. Mereka bersatu padu menentang kominis sehinggalah
negara dapat menamatkan darurat pada tahun 1960.

13. Dengan itu memang wajarlah sambutan Hari Kebangsaan kita tahun ini
bertemakan 'Nasionalisme Teras Perpaduan'. Penerapan tema ini akan
menebalkan semangat kita menentang perpecahan, pergisiran dan unsur-unsur
negatif. Kita akan cuba mengelakkan sebarang unsur yang membawa kepada
perpecahan. Semua ajaran dan fahaman yang wajar dan semua seruan dan
amalan yang bermanfaat tentulah tidak membawa kepada perpecahan. Kita
haruslah meneliti dua-tiga kali apa-apa seruan, propaganda atau emosi yang
menuduh umat lain buruk, salah dan daif; kita teliti dua-tiga kali segala
tindakan kita yang mungkin membawa kepada perbalahan dan
perpecahan. Banyak liku-liku sejarah yang membuktikan bahawa perpecahan
membawa kepada keruntuhan dan kemunduran. Tidak satu pun kemajuan yang
dapat dicapai oleh satu-satu masyarakat tanpa perpaduan.

14. Inilah pentingnya pengajian atau penelitian ke atas sejarah. Janganlah
diteliti sejarah negara sendiri sahaja. Hendaklah kita kaji sejarah semua
tamadun di dunia ini. Apabila terdapat ketamakan, keutamaan kepada
kepentingan diri daripada kepentingan ramai dan pandai mencari kesalahan
orang lain sahaja dan lain-lain gejala, satu-satu masyarakat itu akan
menjadi lemah dan akhirnya hancur, atau ia akan dijajah semula. Sepanjang
sejarah manusia, proses ini berlaku. Ianya harus menjadi pelajaran kepada
kita. Janganlah kita mendewakan perpecahan, sebaliknya hendaklah kita
menerapkan perpaduan semoga apa yang telah kita capai tidak akan hancur,
bahkan kemajuan yang lebih tinggi dapat dicapai.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

15. Kemuncak sambutan kemerdekaan negara adalah naiknya bendera negara
pada malam merdeka di Padang Kelab Selangor dan perisytiharan di Stadium
Merdeka. Selepas itu selama 27 tahun sambutan seluruh negara berpusat di
Kuala Lumpur. Kita tidak juga lupa peristiwa pengumuman tarikh kemerdekaan
di Bandar Hilir, Melaka, yang merupakan satu lagi detik sejarah kebebasan
negara. Dengan itu, adalah sangat sesuai kita mengadakan sambutan
peringkat nasional Hari Kebangsaan tahun ini di Melaka. Bukan itu sahaja,
Melaka juga merupakan pusat empayar yang utama dalam sejarah
tanahair. Semoga sambutan di Melaka akan menyemarakkan lagi semangat
kemerdekaan dan semangat membela maruah bangsa -- semangat kebangsaan,
semangat nasionalisme.

16. Akhirnya, marilah kita bersama-sama menerapkan semangat tema sambutan
Hari Kebangsaan kita iaitu 'Nasionalisme Teras Perpaduan'. Bersyukurlah
kita dengan pencapaian kita setakat ini, lebih-lebih lagi kita dapat
menyambut hari bahagia ini dengan tenteram dan damai. Saya mengucapkan
selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-28.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
dan selamat sejahtera. 
 

 



 
Google