home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) Tarikh/Date : 15/09/85 Tajuk/Title : SEMPENA AWAL MUHARAM MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat kita bersama-sama sekali lagi menyambut tahun baru Hijrah 1406 ini. 2. Bahawa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Madinah menjadi permulaan kalendar Islam mempunyai makna yang amat besar. Hijrah berlaku 12 tahun selepas Nabi menerima wahyu untuk menegakkan Islam. Hijrah juga berlaku lebih kurang 11 tahun sebelum agama Islam di sempurnakan dan wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. Penentuan Hijrah sebagai Awal Muharam tentulah bermakna bahawa Hijrah adalah satu peristiwa yang penting dalam sejarah menegak dan mengembangkan Islam. Pada hari yang mulia ini, bersama-samalah kita merenungkan akan hikmat dan panduan dari peristiwa Hijrah. 3. Apakah yang berlaku dalam peristiwa Hijrah? Yang pertamanya, Nabi Muhammad s.a.w. telah meninggalkan kota Mekah yang disayanginya untuk menyelamatkan penganut- penganut Islam, para sahabat serta diri Baginda sendiri dengan berpindah ke Madinah. Perjalanan Nabi amat bahaya dan Baginda diburu oleh musuh dari Mekah. Baginda terpaksa bersembunyi dalam gua pada satu ketika dan Allah Subhanahu Wataala telah menyelamatkan RasulNya apabila musuh datang ke pintu gua. Akhirnya Allah Subhanahu Wataala telah membuka hati orang-orang Yathrib atau Madinah supaya menyambut baik kedatangan Nabi. Orang-orang Muhajirin dari Mekah dan orang-orang Ansar dari Madinah telah menerima masing-masing sebagai saudara dan melupakan apa-apa sengketa antara mereka. Dari tarikh itu, Islam berkembang dengan amat pesat dan segala halangan dari musuh-musuh Islam telah dapat diatasi oleh Rasulullah s.a.w. 4. Hijrah bukan sahaja bermakna 'berpindah' dari satu tempat ke tempat lain, tetapi ianya juga bermakna berpindah atau meninggalkan satu perbuatan atau pekerjaan yang boleh membawa keburukan supaya akhirnya kejayaan dicapai. Berhijrah bererti merancang dengan mengambilkira kelemahan diri sendiri dan tidak berdegil dan mengikut nafsu. Sebelum daripada peristiwa Hijrah orang Islam telah dihantar ke negara Habsyah untuk menyelamatkan diri -- sekali lagi menunjukkan betapa Islam sanggup berundur setapak ke belakang supaya dapat melangkah dua tapak ke hadapan. Jelaslah bahawa peristiwa Hijrah membawa banyak pelajaran kepada orang Islam yang boleh menyelamatkan mereka dan membawa kemajuan bagi mereka. 5. Rasulullah s.a.w. tidak berhijrah semata-mata untuk menyelamatkan diri Baginda. Hijrah Junjungan Besar kita ialah supaya Baginda dapat meneruskan kerja-kerja mengembangkan syiar Islam yang pada ketika itu belum lengkap lagi dan belum selesai bentuknya. Hasil daripada pengunduran sementara ke Madinah ialah agama Islam seperti yang kita tahu hari ini, lengkap dengan fardhu 'ain dan fardhu kifayah dan panduan-panduan hidup yang menyeluruh. 6. Sebenarnya Allah Subhanahu Wataala boleh melindung suruhanNya daripada apa sahaja malapetaka kerana Allah Mahakuasa. Tetapi peristiwa Hijrah menunjukkan walaupun Pesuruh Allah Subhanahu Wataala diberi segala perlindungan, ini tidak bermakna bahawa semuanya harus diserah kepada Allah Subhanahu Wataala semata-mata. Ikhtiar mestilah ada dan penghijrahan Nabi dari Mekah ke Madinah ialah satu ikhtiar dan ikhtiar itu telah dibantu dengan pertolongan Allah Subhanahu Wataala sepanjang waktu. Tentulah orang Islam tidak boleh menyerahkan segala-galanya kepada Allah Subhanahu Wataala tanpa berikhtiar dalam apa juga usaha. Doa dan sembahyang dan lain-lain yang diwajibkan perlu kita amalkan, tetapi ikhtiar dan usaha mesti ada selagi kita hidup, selagi ada orang Islam, masyarakat Islam dan negara Islam. Ikhtiar dan usaha ini pula mestilah dijalankan mengikut rancangan yang mengambilkira kedudukan penganut Islam. 7. Sebelum Junjungan kita berhijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun ke 12 kerasulan, sudah terdapat perhubungan yang rapat antara orang Islam di Mekah dengan kaum Ansar yang sudah ramai memeluk agama Islam, termasuk beberapa orang kenamaan dan pembesar-pembesar mereka. Di samping itu sebelum Rasullullah dan orang Islam Mekah berhijrah ke Madinah, sudah pun ada perjanjian atau sumpah setia orang Islam Madinah menjaga Rasullullah dan penganut-penganut Islam Mekah apabila berhijrah ke Madinah. Inilah yang dipanggil 'Perjanjian Aqabah'. Ketibaan orang Islam Mekah ke tempat baru adalah dengan penuh kerelaan orang-orang Madinah, walaupun yang beragama Islam di antara mereka tidak begitu ramai. Selepas penganut Islam bertambah ramai di Madinah dan selepas terdapatnya satu perjanjian, Rasullullah s.a.w. dan penganut-penganut Islam tidak terburu-buru merancang untuk balik ke Mekah. Mereka bersabar dan berusaha mendirikan Kerajaan Islam di Madinah. Ekonomi Madinah juga diperkukuhkan dan sudah tentu pertahanannya. Beberapa percubaan yang dibuat oleh kaum Jahiliah untuk menawan Madinah telah ditewaskan oleh pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w. Akhirnya, apabila Madinah sudah cukup kuat, maka barulah usaha-usaha dibuat untuk kembali ke Mekah. Di sini kita mendapat panduan bukan sahaja tentang kesabaran tetapi juga tentang pentingnya menentukan kemampuan sebelum sesuatu rancangan diselenggarakan. Sebelum kuat, Rasulullah lebih suka menggunakan diplomasi. 8. Dapat kita rumuskan bahawa Hijrah orang Islam ke Madinah bukan dilakukan dengan terburu-buru tetapi dengan penuh persediaan dan perancangan. Di samping berbagai hikmah dan pengajaran yang boleh kita dapati daripada peristiwa Hijrah, peristiwa itu menonjolkan juga pengajaran tentang betapa pentingnya perancangan yang teliti. 9. Di Malaysia, Kerajaan mengamalkan perancangan jangka panjang dalam semua program atau rancangan pembangunannya. Begitulah juga halnya dalam usaha Kerajaan untuk meninggikan syiar Islam di negara ini. Kita tidak melaungkan sesuatu yang berkaitan dengan Islam bagi tujuan menarik sokongan rakyat kepada Kerajaan. Perancangan Kerajaan mengenai Islam termaktub dalam sistem pelajaran, perancangan pembangunan kita dan beberapa perancangan lain yang sesuai dengan taraf Islam sebagai agama rasmi negara ini. Apabila kita menyebut tentang penerapan nilai-nilai Islam, Kerajaan, mengikut perancangannya, berpendapat bahawa adalah lebih baik usaha-usaha ini dimulakan dahulu di dalam pentadbiran Kerajaan. Nilai-nilai Islam yang kita terapkan ini juga merupakan nilai-nilai universal yang mudah difahami oleh semua rakyat. Oleh sebab itulah maka nilai-nilai ini disambut dan diterima oleh setiap lapisan masyarakat majmuk negara ini. Tujuan kita mengenal dan menerapkan nilai-nilai ini adalah untuk menjamin wujudnya masyarakat Malaysia yang berdisiplin, bermaruah dan bertamaddun, insyaAllah. Masyarakat seperti ini tetap akan menyelamatkan orang-orang Islam dan juga orang-orang lain. 10. Kerajaan juga mengadakan perancangan yang teratur mengenai projek-projek yang berlandaskan prinsip-prinsip Islam. Kita mengambil masa bagi memikir dan merancang sebelum melaksanakan Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan baru-baru ini Syarikat Takaful pula. Sekiranya perancangan tidak diutamakan, mungkin kita terburu-buru melaksanakan apa-apa sahaja yang menggunakan nama Islam yang mungkin mengakibatkan kegagalan akhirnya. 11. Perancangan yang kita buat mengambilkira bukan sahaja keupayaan kita, tetapi juga kelemahan kita yang harus kita akui. Keangkuhan kuasa dan nafsu tidak boleh dibiarkan mempengaruhi rancangan yang kita buat. Perhitungan yang teliti amat perlu jika sesuatu rancangan hendak mencapai matlamatnya. Jika perhitungan ini silap, terutama jika didorong oleh nafsu, maka keburukan yang akan menimpa kita amatlah berat. Para perancang yang bertanggungjawab mestilah mengambilkira semua faktor, walaupun akhirnya yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu perancangan itu ialah Allah Subhanahu Wataala. Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh yang mulia bagi kita dan Hijrah Baginda adalah contoh yang kita harus teladani sebagai umat Islam yang setia. 12. Oleh itu, bersempena tahun baru Hijrah 1406 ini, sewajarnyalah kita mengubah sikap dan memperbaharui azam dengan semangat maju ke hadapan untuk menepati hikmat Hijrah Rasullullah s.a.w. Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |