home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:  
Tarikh/Date 	: 	16/09/85 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PUSAT 
			ISLAM MALAYSIA 




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuan Yang Terutama Tuan Maumoon Abdul Gayoom, Presiden Republik Maldives
dan Puan Nasreena Gayoom; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan, Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu
Wataala kerana dengan izinNya kita dapat bertemu di Majlis yang permai ini
bagi meraikan perasmian bangunan Pusat Islam Malaysia. Kita semua
bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana memberikan kita semangat
dan kesungguhan bagi menjayakan cita-cita umat Islam di negara ini iaitu
menjalankan berbagai-bagai usaha untuk mempertinggikan syiar Islam.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

2. Hasrat Kerajaan untuk mempertinggikan syiar Islam di dalam negara ini
adalah nyata. Strategi yang paling mustahak dan besar dalam meninggikan
syiar Islam ialah memperkukuhkan kedudukan umat Islam di dalam negara
ini. Kukuh dari segi ekonomi, dari segi pengetahuan dan pencapaian ilmu,
keupayaan membangunkan diri dan ketahanan dari segala ancaman yang
berbentuk fizikal, atau yang bukan fizikal, termasuk pengaruh
kefahaman-kefahaman yang negatif, arus pemikiran liar dan lain-lain lagi.

3. Negara-negara yang mempunyai penduduk beragama Islam dikurniakan oleh
Allah Subhanahu Wataala dengan berbagai sumber alam semulajadi. Ini
termasuklah negara kita Malaysia: kesuburan tanah untuk perusahaan
pertanian, cuaca yang sederhana dan berbagai bahan galian yang sangat
tinggi harganya dan besar manfaatnya. Pendek kata, orang Islam di dunia
ini dianugerah oleh Allah Subahanu Wataala nikmat yang sangat
besar. Tetapi, kita selalu tertanya diri kita sendiri mengapakah
sumber-sumber alam semulajadi yang besar itu tidak memberi manfaat yang
besar kepada umat Islam sendiri. Di kebanyakan tempat, mereka seolah-olah
menjadi penonton sahaja kepada kegiatan-kegiatan bagi mendapat manfaat
daripada sumber-sumber alam itu dan sebahagian kecil sahaja nikmat itu
dikecapi oleh mereka.

4. Setelah negara-negara Islam mencapai kemerdekaan politik, persoalan itu
telah cuba dijawab dan berbagai-bagai aktiviti dan perancangan dibuat bagi
mengatasi persoalan-persoalan yang timbul di sekitar isu tersebut. Namun
begitu, percubaan-percubaan yang dilakukan kurang memberi natijah yang
memuaskan.

5. Apabila direnung kepada sejarah tamadun manusia, maka adalah jelas
kepada kita bahawa Islam telah memainkan peranan yang penting sebagai
penggerak kepada manusia untuk mencapai kemajuan bagi kehidupan manusia
dan akhirnya kemajuan yang dicapai itu membentuk satu tamadun yang
tinggi. Gesaan dan gerakan yang ditonjolkan oleh Islam begitu kuat sekali
hingga ternyata kejayaan dan pencapaian yang besar diperolehi oleh
penganut-penganutnya. Sejarah membuktikan bahawa dalam zaman
sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., orang-orang Islam dapat menundukkan
kekuasaan Roma di sebelah Barat dan kekuasaan Parsi di sebelah
Timur. Dengan semangat yang berkobar-kobar, orang-orang Islam telah
berjaya memperluaskan pengaruh dan wilayahnya beribu-ribu batu dari
Semenanjung Arab.

6. Di dalam kurun yang kedua dan ketiga Hijrah, kegiatan ilmiah yang
sangat tinggi mutunya dan besar faedahnya bagi umat manusia dijalankan
dengan begitu pesat sekali oleh orang-orang Islam. Kegiatan ilmiah itu
bermula dengan kerja-kerja penterjemahan buku-buku falsafah dan buku-buku
ilmu pengetahuan daripada Bahasa Greek ke Bahasa Arab. Kemudian
orang-orang Islam menjadi mahir di dalam ilmu-ilmu tersebut seperti
perubatan, pelayaran, astronomi, kajihayat dan lain-lain. Orang-orang
Islam telah menjadi penyambung bagi ilmu-ilmu tamadun manusia. Oleh kerana
orang-orang Barat pada ketika itu masih menganggap semua ilmu terutama
ilmu sains sebagai satu jenis sihir, maka mereka terus berada dalam
kegelapan. Sebab itulah semasa zaman kegemilangan Islam, dunia Barat
berada dalam zaman kegelapan atau 'Dark Ages' seperti disebutkan oleh
ahli-ahli sejarah Barat.

7. Kita pada zaman ini mesti bertanya mengapa umat Islam pada zaman itu
boleh mengambil sikap demikian rupa sehingga mereka dapat menempa kemajuan
yang begitu besar, terutama berbanding dengan dunia barat di zaman yang
sama. Jawapan yang kita perolehi ialah mereka didesak oleh
tuntutan-tuntutan dan gesaan-gesaan Islam supaya umatnya berusaha mencari
ilmu pengetahuan dan membuat penerokaan-penerokaan yang perlu bagi
menunaikan tanggungjawab yang besar kepada manusia dan alam ini, iaitu
berusaha membawa kemakmuran kepada alam dan kebahagiaan kepada umat
manusia. Mereka sanggup mencari ilmu pengetahuan walaupun sumbernya ialah
dari orang-orang bukan Islam. Mereka menjelajah jauh untuk mencari ilmu
pengetahuan. Pendek kata, mereka betul-betul menyambut seruan Rasulullah
s.a.w. supaya mencari ilmu walaupun di negeri China.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

8. Di zaman itu, seperti juga di zaman sekarang, golongan yang mempunyai
pandangan yang sempit telah muncul dan mengecam ke atas tuntutan ilmu yang
tidak khusus berasaskan agama. Puak tersebut akhirnya berjaya dan segala
ilmu yang diterokai oleh orang Islam digugurkan. Akibatnya orang Islam
menjadi lemah dan dijajah oleh orang-orang Barat yang telah menguasai ilmu
yang digugurkan itu. Kecewa dengan kelemahan mereka, ramai orang-orang
Islam yang mengambil sikap bahawa berusaha memakmurkan bangsa dan negara
tidaklah termasuk di dalam tuntutan Islam. Mereka menjadi keliru tentang
usaha mereka sehari-hari dalam kontek hubungan mereka dengan Islam.

9. Alhamdulillah, sekarang ini satu kesedaran baru telah muncul. Di
Malaysia walaupun ada pihak-pihak tertentu yang cuba menghalang, kesedaran
baru ini telah mendorong ke arah usaha membentuk sistem pendidikan yang
mengimbangkan tekanan antara pelajaran agama dan tuntutan lain-lain ilmu
yang boleh menguatkan umat Islam bagi menghadapi cabaran-cabaran dunia
moden. Sistem pendidikan kita tepat menghayati kehendak agama seperti yang
terdapat dalam Al-Quran, Surah Al-Qasas, ayat 77 yang menyatakan bahawa
kita hendaklah mencari kebahagiaan hari akhirat dan sebaliknya janganlah
kita melupakan bahagian atau keperluan kita di dunia. Pendidikan itu
memberi kesedaran kepada kita bahawa Islam perlu dijadikan teras kepada
perjuangan bagi pengukuhan dan pembangunan ummah.

10. Usaha Kerajaan bagi meninggikan syiar Islam dalam aspek memberi
kesedaran terhadap Islam hampir telah mencapai matlamatnya dan kita telah
memperolehi banyak manfaat daripadanya. Ramai umat Islam di Malaysia sudah
mempunyai sikap yang 'committed' terhadap Islam dan rela menerima Islam
sebagai asas hidup matinya. Di samping itu orang-orang bukan Islam di
negara ini tidak berasa curiga dengan penerapan nilai-nilai Islam dan
mereka lebih faham akan pandangan Islam terhadap soal-soal kemasyarakatan
dan lain-lain. Justeru itu mereka tidak menunjuk apa-apa bantahan, malah
ada di antara mereka yang memberi sokongan secara terbuka. Hal ini
mendorong Kerajaan untuk mengambil langkah yang lebih positif bagi
melaksanakan usaha yang berkesan ke arah menjayakan syiar Islam di dalam
negara kita ini. Maka dengan itu, kita di Malaysia terpelihara daripada
berbagai masalah yang sering timbul di negara-negara majmuk di mana orang
Islam merupakan sebahagian sahaja daripada penduduknya.

11. Objektif di sebalik dasar penerapan nilai-nilai Islam ialah supaya
nilai-nilai murni dan sikap-sikap positif mengenai kehidupan dan pekerjaan
yang dianjurkan oleh Islam dipraktik dan diamalkan bagi memperbaiki taraf
hidup dan mencapai hasil yang maksima dari segala sumber kemakmuran yang
diberi oleh Allah Subahanahu Wataala kepada kita. Kita mahu Islam menjadi
penggerak bagi umat Islam di negara ini untuk mengambil segala peluang
yang ada bagi memperkukuhkan kedudukan kita. Ajaran-ajaran Islam yang
dipegang dan diyakini selama ini perlulah dihayati mengikut suasana dan
kontek yang ada di sekeliling kita. Misalnya, sifat membazir adalah
dilarang oleh Islam, tetapi tafsiran membazir setakat ini terhad kepada
penggunaan wang yang berlebihan. Sepatutnya membazir hendaklah ditafsirkan
bagi merangkumi sikap membiarkan potensi-potensi kekayaan dan kemakmuran
dengan tidak diusahakan; seperti membiarkan tanah pertanian tanpa ditanam
dengan apa-apa yang boleh memberi hasil. Sedangkan tanah ini di negara
kita dijadikan Tuhan sangat subur dan boleh mendatangkan hasil yang baik.

12. Nilai-nilai Islam juga perlu dalam semua aspek perkhidmatan dalam
negara kita termasuk perkhidmatan secara terus kepada orang ramai dan juga
perkhidmatan yang melibatkan pertahanan negara. Nilai Islam dan keimanan
yang mantap akan membuat seseorang itu menunaikan tugasnya dengan penuh
disiplin dan dedikasi kerana iman adalah pendesak dari dalam bagi
seseorang untuk menunaikan tugasnya dengan sempurna. Iman akan membuat
seseorang itu sentiasa sedar bahawa Allah mengetahui apa yang ia lakukan.

13. Di dalam dunia moden hari ini, kita dapat lihat banyak bangsa yang
kuat dari segi persiapan material tetapi lemah dari segi ketahanan di
dalam diri. Maka bangsa yang kuat itu menjadi lemah dan tidak dapat
menjaga kestabilan dan keutuhannya. Umat Islam pada hari ini menghadapi
kelemahan kedua-dua aspek -- aspek persiapan material dan aspek ketahanan
di dalam diri. Kita tidak rela hal ini berlanjutan bahkan kita mestilah
mengorak langkah bagi memperkuatkan kedudukan kita.

14. Satu langkah yang penting yang mesti diambil ialah memperkuatkan
ketahanan diri. Dalam hal ini tidak ada jalan lain bagi kita selain
daripada memperkuatkan pegangan terhadap Islam. Nilai-nilai murni yang
diajar oleh Islam mestilah disuburkan di dalam jiwa setiap individu.

15. Janganlah kita terpesong dengan rupabentuk yang dikatakan Islam
sehingga kita lupa akan pentingnya persaudaraan dalam Islam. Allah dalam
Surah Al-Hujuraat Ayat 11 menyeru orang-orang yang beriman supaya jangan
mencemuh dan merendah-rendahkan puak lain oleh kerana mungkin puak lain
itu lebih baik daripada puak yang mencemuh.

Tuan-tuan dan puan-puan.

16. Satu perkara yang hangat diperbincangkan sekarang ialah Kerajaan
Islam. Tafsiran tentang Kerajaan Islam berbeza-beza dan tiada siapa yang
boleh berkata bahawa tafsirannya sahaja yang tepat. Pada hemat saya,
sehingga kiamat akan terdapat perbezaan tafsiran tentang Kerajaan Islam
kerana pentafsir bukan pesuruh Allah, walaupun ia amat arif dalam bidang
agama.

17. Memandang kepada hal ini, kita tidak boleh berpegang kepada satu-satu
tafsiran sehingga kita bermusuh dengan orang Islam yang lain yang tidak
menerima tafsiran yang kita pegang. Jika kita berbuat demikian maka akan
berlakulah sengketa, bahkan peperangan sesama kita. Hanya jika sesuatu
tafsiran itu jelas melanggar Rukun-Rukun Islam dan ini disahkan pula
selepas kajian yang teliti dan mendalam oleh orang-orang yang ditugaskan,
barulah dapat kita menolak tafsiran berkenaan. Oleh itu, janganlah mudah
menuduh sesuatu pemerintahan sebagai tidak Islam semata-mata kerana kita
berpegang kepada tafsiran mengenai Kerajaan Islam yang berlainan dengan
tafsiran orang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

18. Hasrat Kerajaan mengembangkan syiar Islam dipertanggungjawabkan kepada
semua jabatan dan agensi Kerajaan. Tetapi Pusat Islam merupakan agensi
utama. Di sini ditempatkan orang-orang yang ahli dalam hal-hal
keIslaman. Harapan Kerajaan dan harapan negara ialah mereka yang diberi
kepercayaan ini tidak akan menghampakan harapan ini dan sudah tentu tidak
akan menggunakan kemudahan yang mereka perolehi untuk tujuan-tujuan
lain. Ikrar orang Islam tidak boleh dianggap ringan.

19. Saya menyeru semua pihak agar sama-sama mengembeling tenaga berusaha
untuk memperkukuhkan umat kita seperti mana yang dikehendaki oleh
Islam. Satu aspek yang penting dalam pengukuhan umat Islam ialah perpaduan
di kalangan umat itu sendiri. Maka di sini saya menyeru kepada semua pihak
agar memberi sumbangan ke arah penyatuan umat. Di samping itu, kita
hendaklah berusaha menjauhkan segala anasir yang boleh memecah-belahkan
umat Islam di negara kita.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

20. Sebelum saya akhiri ucapan ini izinkan saya mengucapkan sepatah-dua
kata berkenaan pembangunan fizikal Pusat Islam yang akan dirasmikan pada
hari ini. Semenjak Bahagian Agama ditubuhkan di Jabatan Perdana Menteri
atas desakan rakyat melalui UMNO, kegiatan Bahagian ini telah meningkat
bukan sahaja dari segi bilangan kakitangan, tetapi juga dari segi
bidang-bidang tertentu yang berkaitan dengan urusan agama Islam dalam
negara kita.

21. Kita telah membina sebuah bangunan sebelum ini untuk Bahagian Agama
tetapi ia tidak dapat menampung keperluan ruang semasa untuk Bahagian
ini. Ia juga tidak sejajar dengan taraf Islam sebagai agama rasmi
negara. Justeru itu sebuah Pusat Islam yang sesuai bentuknya dan mempunyai
ruang yang mencukupi telah dirancangkan. Para akitek daripada Kumpulan
Senireka Sdn. Bhd., terutamanya Datuk Nik Mohamad bin Nik Mahmud, telah
dipilih untuk mereka-bentuk bangunan yang diperlukan yang mengandungi
unsur-unsur reka-bentuk Islam. Saya amat bangga dengan hasil kajian pihak
akitek yang berjaya memenuhi kehendak kita untuk membina sebuah bangunan
yang yunik dan indah, yang mencerminkan sekumpulan hasil karya akitek
Islam dalam sejarah di samping memenuhi segala keperluan sebuah Jabatan
yang begitu penting dalam pentadbiran agama Islam dan negara kita. Saya
mengucapkan tahniah kepada pihak akitek yang telah juga menyelia pembinaan
Pusat ini dengan sempurna.

22. Pusat Islam ini dilengkapi dengan segala kemudahan yang moden termasuk
oditorium dan halaman atau 'courtyard' yang luas yang boleh digunakan
untuk berbagai perjumpaan. Walaupun Musabaqah Membaca Al-Quran dalam
'courtyard' ini didapati tidak begitu memuaskan, usaha masih boleh dibuat
untuk menyesuaikan halaman ini.

23. Satu perhiasan kompleks ini ialah dua keping 'stained glass' yang
mempunyai design yang sesuai dengan kehendak Islam yang dipasangkan di
pintu besar. Sepertimana kita semua maklum tingkap di Masjid Nabawi di
hadapan Makam Nabi telah dipasang dengan 'stained glass'. Demikian juga
dengan Masjid Zahir di Alor Star.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

24. Keindahan alam sekitar adalah kurniaan Allah Subhanahu Wataala. Begitu
juga ciptaan sesuatu yang indah adalah hasil daya pemikiran yang
dikurniakan oleh Allah. Dalam Islam kebersihan dan kecantikan memang
dituntut. Oleh itu marilah kita menjaga kebersihan Pusat ini dan
sekitarnya supaya tidak hilang keindahan yang dikurniakan oleh Allah. Kita
semua yang akan menggunakan Pusat Islam ini, sama ada sebagai pekerja atau
sebagai pelawat, mestilah menjaga kebersihan dan keindahannya.

25. Kebersihan dengan ibadat tidak dapat dipisahkan. 'Alnazafatu
Minal-Iman'. Ibadat tidak dapat diamalkan tanpa kebersihan. Oleh itu
jagalah kebersihan di mana-mana juga kita berada. Jagalah kebersihan Pusat
Islam ini kerana kebersihan adalah satu daripada nilai-nilai yang mulia
dalam Islam.

26. Akhirnya, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
saya dengan sukacitanya membuka Pusat Islam Malaysia ini dengan rasminya.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 




 
Google