Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MASJID KEMENTAH 
Tarikh/Date 	: 	20/09/85 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN MASJID KEMENTAH 




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat
Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri; Tuan Yang Terutama
Duta-Duta dan Wakil-Wakil Negara Asing; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan
puan-puan.

Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurniaNya, maka dapat kita hadir di
upacara pada pagi yang mulia ini dan diikuti pula dengan sembahyang
berjumaah sebagai pengabdian kita kepada suruhan dan ajaran Tuhan Yang
Maha Esa.

Saudara-saudara sekalian, 

2. Masjid ini akan ditadbirkan oleh sebuah Jawatankuasa yang terdiri bukan
sahaja daripada pegawai-pegawai kanan awam dan tentera, tetapi juga
wakil-wakil kariah kawasan Datuk Keramat. Saya yakin bahawa masjid ini
akan dapat merapatkan perhubungan kakitangan Kementerian Pertahanan dengan
masyarakat sekeliling. Masjid KEMENTAH ini akan dapat digunakan oleh semua
umat Islam yang bertugas dan bermastautin di kawasan ini khasnya.

3. Sebagai satu masyarakat yang menganuti agama yang sama, pemopokan
persaudaraan di antara ahli masyarakat adalah menjadi satu kewajipan kita
bersama, tidak kira sama ada kita golongan tua, atau muda, awam atau
tentera, di bandar atau di desa. Apa yang harus kita ingat ialah bahawa
menerusi perpaduan kita akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang teguh
dan bermaruah. Sebaliknya jika terdapat perpecahan di kalangan kita, maka
ini akan merugikan kita sendiri di samping menerima kutukan dari Allah
Subhanahu Wataala.

4. Perpaduan dan saling faham memahami di antara ahli atau anggota
masyarakat harus dijadikan sebagai satu penekanan dalam syarahan, kuliah
atau perjumpaan di kalangan cerdik pandai orang-orang Islam. Kita semua
maklum bahawa unsur perpaduan adalah juga ajaran Islam agar masyarakat
tidak berbelah bahagi. Perpaduan harus dijadikan satu amalan dan ianya
patut dipuji dan diberi sanjungan tinggi. Khidmat yang berasaskan
perpaduan membuktikan keinsafan kita untuk menegak dan meninggikan syiar
Islam serta kesanggupan kita untuk menghayati ajaran Tuhan Yang Maha Esa
agar kita dilimpahkan kebahagiaan serta kesejahteraan hidup.

5. Unsur perpaduan ini perlu disemaikan kepada kanak-kanak di bangku
sekolah dan juga kepada mereka yang datang belajar agama di surau dan
masjid. Mereka harus dididik dengan nilai-nilai yang baik sepanjang masa
sebagai mengingatkan supaya mereka sentiasa faham akan tujuan nilai-nilai
itu. Cara ini akan menjadi satu kuasa perkembangan dari peringkat ke
peringkat, dari kecil ke dewasa, dari muda ke tua.

Saudara-saudara sekalian, 

6. Kita hendaklah sentiasa berwaspada terhadap syarahan dan kuliah yang
dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Kita hendaklah dapat
membezakan yang benar daripada yang salah supaya mereka itu tidak dapat
mempengaruhi pemikiran kita untuk menimbulkan dakyah dan ajaran yang tidak
betul serta menyeleweng dari kehendak agama kita yang sebenarnya.

7. Kita mengetahui bahawa banyak laporan telah dibuat mengenai perkara
seperti ini yang telah berlaku, yang masih berlaku dan mungkin akan terus
berlaku jika tidak diawasi. Oleh itu, marilah kita bersama-sama sentiasa
berjaga-jaga agar pengetahuan yang disampaikan itu adalah daripada mereka
yang bertanggungjawab dan bertauliah serta berlandaskan kepada lunas-lunas
keagamaan yang suci dan tidak diselubungi dengan putar belit untuk sesuatu
muslihat.

Saudara-saudara sekalian, 

8. Angkatan Tentera kita bukan sahaja berjuang untuk mempertahankan sebuah
negara yang diduduki oleh kita. Angkatan Tentera kita juga berjuang
mempertahankan satu sistem Kerajaan yang memberi perlindungan kepada agama
Islam. Musuh kita adalah orang-orang yang tidak percaya kepada Islam,
bahkan tidak percaya adanya Tuhan. Walau apapun yang dikatakan oleh
mereka, hakikatnya ialah mereka anti agama, lebih-lebih lagi agama
Islam. Justeru itu, amatlah tepat jika kita katakan bahawa bagi
anggota-anggota Angkatan Tentera kita yang beragama Islam, mereka berjuang
untuk mempertahankan agama Islam. Jika kita gagal, maka kedudukan Islam di
negara ini akan mengalami nasib yang sama dengan nasib agama Islam di
negara-negara yang ditawan oleh komunis, terutamanya yang berada di Asia
Tengah berdekatan dengan Afghanistan. Kalau hari ini mereka cuba memberi
gambaran bahawa mereka membenarkan ajaran Islam bebas di negara mereka,
ini adalah kerana kepentingan politik mereka sahaja. Oleh itu, kita lihat
begitu banyak negara Islam yang telah menerima ideologi sosialisma yang
tidak memberi tempat kepada agama Islam.

9. Pokok pangkalnya ialah Angkatan Tentera kita mempertahankan Islam. Jika
ada sesiapa yang berkata ini tidak benar, maka mereka sebenarnya
menyebelahi musuh Islam dan mengkhianati perjuangan Islam dengan cuba
melemahkan semangat anggota Angkatan Tentera kita. Berhati-hatilah apabila
mendengar syarahan-syarahan yang kononnya syarahan agama tetapi sebenarnya
ialah propaganda musuh. Janganlah ada pegawai dan anggota Kor Agama
Angkatan Tentera kita terperangkap dengan dakyah musuh dan secara tidak
langsung mengurangkan ketahanan Angkatan Tentera kita.

10. Kita lihat sekarang ini ada orang-orang Islam yang terperangkap dengan
nafsu mereka dan berperang sesama sendiri. Beratus ribu menjadi korban
peperangan ini. Dan kuasa-kuasa besar serta Israel mengambil peluang
membekalkan senjata, cukup untuk peperangan diteruskan tetapi tidak cukup
untuk menentukan kemenangan bagi mana-mana pihak. Dengan itu, maka
peperangan sesama orang-orang Islam berterusan dan ramai yang menjadi
mangsa serta ramai pula yang akan terkorban. Jika kuasa-kuasa ini melihat
sesuatu pihak itu akan kalah, maka mereka akan membekalkan lebih banyak
senjata supaya pembunuhan orang-orang Islam terus berlaku.

11. Tidak guna kita salahkan orang lain. Sebagai musuh Islam, mereka
bertindak untuk menjayakan hasrat mereka. Yang salah ialah orang Islam
yang semuanya tahu akan keburukan berperang sesama sendiri, tetapi tidak
mahu memberhentikan peperangan mereka.

12. Demikianlah kesan nafsu di kalangan orang Islam. Apabila mereka harus
hentikan peperangan, mereka teruskan. Tetapi apabila mereka harus
pertahankan diri mereka dari serangan musuh-musuh Islam, ada di antara
orang Islam yang sengaja melemahkan semangat pertahanan kerana taksub
dengan pengaruh politik pecah-belah dan perasaan hasad dengki.

Saudara-saudara sekalian, 

13. Masjid KEMENTAH, seperti juga lain-lain masjid, boleh memainkan
peranan yang penting bagi menyampaikan ajaran Islam yang tidak terpengaruh
dengan kepentingan-kepentingan lain. Masjid ini juga memberi peluang untuk
menguatkan semangat Angkatan Tentera kita dalam tugas mereka
mempertahankan negara dan kedudukan Islam di negara ini. Kita harus ingat
bahawa kita dijajah dahulu kerana kita lemah dan kita serahkan pertahanan
negeri-negeri Melayu kepada askar upahan. Sesuatu bangsa yang tidak
sanggup mempertahankan negaranya sendiri, tidak akan kekal dengan
kemerdekaannya. Mereka akan dijajah dan diperhambakan.

14. Sekarang ini kita berpeluang menentukan nasib kita sendiri. Janganlah
sesiapa menghalang dan melemahkan semangat pertahanan kita. Janganlah
sesiapa menderhaka kepada bangsa, agama dan tanahair.

Saudara-saudara sekalian, 

15. Saya suka menyatakan bahawa salah satu daripada tujuan utama Kerajaan
menubuhkan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia, atau KAGAT, ialah untuk
meningkatkan lagi kesedaran anggota tentera kita tentang penghayatan nilai
Islam serta menguatkan iman. Saya yakin KAGAT akan dapat memainkan
peranannya untuk memberi pendidikan rohani kepada anggota tentera kita,
seimbang dengan latihan jasmani ketenteraan yang mereka terima. Dengan
adanya keadaan ini, insya-Allah, disiplin, ketabahan dan kecekalan hati
serta keimanan tentera kita akan menjadi lebih kuat. Semangat keperwiraan
dan ketahanan nasional serta pengabdian kepada agama, bangsa dan negara
akan menjadi amalan biasa.

16. Akhirnya dengan lafaz "Bismillahir rahmanir rahim", saya dengan
sukacitanya membuka Masjid KEMENTAH ini dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
- 
 

 



 
Google