Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JABATAN PENGAJIAN ISLAM,FAKULTI
SASTERA & SAINS SOSIAL,UM
Tarikh/Date : 21/09/85
Tajuk/Title : PEMBUKAAN RASMI SEMINAR PENGAJIAN
ISLAM PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA
PERAYAAN JUBLI PERAK
Assalamu'alaikum warahamatullahi wabarakatuh; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan
dan puan-puan sekalian;
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana pada
hari ini kita dapat bersama hadir diperasmian Seminar Pengajian Islam
Peringkat Kebangsaan ini. Seminar ini diadakan sempena perayaan Jubli
Perak Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Malaya. Dengan itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan
tahniah kepada seluruh kakitangan Jabatan ini yang merupakan Jabatan yang
tertua dalam bidang Pengajian Islam di peringkat universiti di negara
ini. Sekarang kita mempunyai banyak Jabatan atau Unit Pengajian Islam di
setiap institusi pengajian tinggi, malah kita telah dapat menubuhkan
Universiti Islam Antarabangsa. Semuanya secara tidak langsung berkait
rapat dengan kejayaan penubuhan Jabatan Pengajian Islam Universiti Malaya
pada bulan Mei 1959.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Apa yang dimaksudkan dengan "pengajian Islam" pada umumnya merupakan
berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan yang berdasarkan risalah Islamiah
kepada umat manusia. Ianya berkait rapat dengan konsep ilmu di dalam Islam
itu sendiri yang mengandungi berbagai bidang pelajaran termasuk sejarah
Islam, undang-undang, kebudayaan Islam dan lain-lain lagi. Semua ini
termasuk dalam pengertian tamadun Islam. Orang-orang Islam harus
mengetahui sedikit-sebanyak mengenai tamadun Islam. Tetapi hendaklah ada
daripada kalangan mereka, orang yang mempelajari dan mengkaji bidang ini
dengan lebih khusus lagi supaya segala nikmat dan panduan yang terdapat
dalam tamadun Islam diperolehi oleh orang-orang Islam sendiri.
3. Kita umat Islam dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu Wataala
untuk menuntut ilmu pengetahuan yang tinggi. Tugas ini amat berat bagi
kita memikulnya dewasa ini sekalipun umat Islam di masa silam telah
membuktikan kemampuan mereka. Mereka telah membina tamadun Islam yang
menjadi kemegahan di Barat dan di Timur. Ibn Sinna dengan kepakarannya di
dalam ilmu perubatan, Abu Bakar a-Razi dengan ilmu fizik, Muhammad
al-Khawarizmi dengan teori logarisme, Ibn Rusyd dengan ilmu falsafah dan
lain-lain. Mereka menjadi bahan pujian di segenap lapisan masyarakat. Ini
tidak lain kerana mereka mempunyai keilmuan yang lebih tinggi daripada
umat manusia yang lain.
4. Pentingnya pengajian Islam ialah kerana ia memperkenalkan kesan Islam
terhadap tamadun manusia. Sebelum dari kedatangan Islam, sejarah telah
memperlihatkan berbagai tamadun seperti tamadun China, Parsi, Greek, Roma
dan lain-lain. Tetapi kedatangan Islam telah menguasai fikiran manusia dan
melahirkan satu tamadun yang mempunyai kesan yang berkekalan. Namun
demikian, orang-orang Islam sendiri tidak mendapat nikmat sepenuhnya
daripada tamadun Islam kerana pendapat yang sempit telah menjadikan mereka
lemah dan tidak berkeupayaan menimba hasil-hasil kajian yang dibuat di
zaman kegemilangan Islam.
5. Sebaliknya hasil-hasil penerokaan oleh ahli-ahli sains dan falsafah
Islam telah diambilalih oleh orang-orang Barat dan mereka meneruskan
pengkajian dalam bidang-bidang tersebut sehingga hasilnya terdapat kepada
mereka. Lebih daripada itu mereka telah menidakkan karya ahli-ahli fikir
Islam dengan menukar nama-nama mereka sehingga tidak dapat dikenal
lagi. Cuma di zaman ini sahaja baharulah kita sedar akan pengasas-pengasas
kajian dalam bermacam ilmu yang berasal dari orang Islam dan tamadun
Islam.
6. Tetapi, walaupun kita sudah ketahui akan asal usul ilmu zaman moden
ini, kita tidak juga memberi penumpuan atau penekanan ke atas mempelajari
ilmu-ilmu ini. Jika kita pelajarinya sekalipun, ianya tidaklah secara
mendalam. Tidak banyak kajian asli yang dibuat oleh kita dan sudah tentu
kita tidak menggunakan pengetahuan yang kita dapati dengan
sepenuhnya. Sebaliknya, kita lebih asyik membincang dan menghalusi, bahkan
mendebat dengan penuh perasaan soal-soal yang kecil berkenaan dengan
tafsiran agama. Dengan itu kita jadikan agama Islam sebagai satu beban
yang berat dan semua tenaga dan fikiran kita digunakan untuk memikulnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7. Jika kita tahu sejarah perjuangan Nabi dan perkembangan Islam di zaman
kegemilangan Islam melalui pengajian Islam maka kita akan dapat panduan
hidup cara Islam yang boleh membawa balik tamadun Islam yang
dahulu. Inilah gunanya pengajian Islam yang sebenar. Tetapi, janganlah
kita terlalu asyik dengan sejarah kegemilangan kita sehingga kita lupa
bahawa di zaman kita ini cahaya Islam dan tamadun Islam sudah menjadi
pudar. Ianya menjadi pudar kerana bukan sahaja kita kurang mengkaji,
tetapi juga kita tidak mempelajari daripada unsur-unsur sejarah yang kita
kaji itu.
8. Islam sebagai 'Ad-deen' akan diterima sebagai cara hidup yang lebih
baik bukan dengan kita berkata ianya lebih baik, dan bukan dengan memaksa
seseorang jangan membuat sesuatu yang kita anggap tidak Islam. Islam
sebagai 'Ad-deen' akan diterima oleh semua pihak jika kita dapat
membuktikan kepada masyarakat bahawa kehidupan cara Islam adalah lebih
bahagia, lebih mudah dan lebih melegakan hati nurani kita. Malangnya kita
tidak dapat membuktikan kejayaan dan kebaikan Islam itu oleh kerana dunia
Islam lemah, berpecah-belah dan terpaksa mencari pertolongan orang lain,
dengan aneka jenis perbalahan sehingga berlaku peperangan dan
bunuh-membunuh sesama sendiri. Islam juga dibayangkan sebagai satu beban
yang menghalang kejayaan kerana penuh dengan bermacam-macam larangan.
9. Sebenarnya mengamalkan ajaran agama Islam itu mudah. Tetapi tumpuan
diberi semata-mata kepada larangan dan masalah yang
diperbesar-besarkan. Apabila orang Islam pertama kali menjadi angkasawan,
perbincangan ditumpukan tentang bagaimana ia hendak melakukan solat dalam
keadaan harinya pendek iaitu siang-malamnya 3 jam sahaja dan kapal angkasa
tidak menetap di sesuatu tempat. Sebenarnya, tidak ada masalah oleh kerana
apa yang berlaku ialah kenderaan sahaja yang bergerak dan Allah Subhanahu
Wataala menyuruh kita melaksanakan ibadat mengikut apa yang terdaya. Oleh
kerana kita terpikat dengan ibadat yang tidak sepatutnya menjadi masalah
tetapi telah kita jadikannya sebagai satu masaalah, maka peluang menimba
ilmu yang original telah terlepas. Maka beruntunglah orang lain.
10. Demikianlah kita dalam kehidupan harian. Asyik dengan perkara-perkara
kecil dan keangkuhan kuasa, kita tertinggal dalam semua bidang. Ingatlah,
bangsa atau masyarakat yang tidak mampu menguasai ilmu dan kecekapan yang
penting bagi kehidupannya di sesuatu zaman akan dijajah oleh orang. Hari
ini seluruh umat Islam dijajah dan secara tidak sedar dipaksa berperang
dan membunuh sesama sendiri. Itulah hasilnya daripada tumpuan kepada
perkara remeh-temeh. Itulah juga hasil keangkuhan mereka yang mempunyai
pelajaran yang cetek dan sempit dan tidak nampak dunia yang lebih luas.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11. Saya berharap kesedaran baru ini disuburkan di kalangan cerdik-pandai
Islam. Adalah menjadi tanggungjawab mereka yang mengkhusus dalam bidang
pengajian Islam memberi panduan yang bermakna dan membina kepada
masyarakat Islam. Bersikap positiflah supaya Islam benar-benar menjadi
agama manusia untuk sepanjang masa dan bukan semata-mata untuk masyarakat
Arab di kurun ketujuh.
12. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya membuka Seminar Pengajian
Islam Peringkat Kebangsaan ini dengan rasminya.
Wabillahi taufik walhidayah Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|