Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MAKTAB KERJASAMA MALAYSIA, 
			PETALING JAYA 
Tarikh/Date 	:	26/09/85 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN MUKTAMAR MENGENAI KONSEP 
			NEGARA ISLAM 




Bismilllahir rahmanir rahim.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Dato' Dr. Mohd. Yusof Noor, Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri; Yang Berbahagia Dato' Seri Haji Kamaruddin Haji
Mohd. Isa, Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan nikmatNya
dapat kita hadir bersama-sama di Majlis perasmian Muktamar Mengenai Konsep
Negara Islam ini. Saya juga mengucap terima kasih kepada Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia yang telah menjemput saya merasmikan Muktamar ini. Saya
berdoa dan berharap supaya kita dapat mencari satu formula yang boleh
memberi faedah kepada negara kita yang berbilang kaum dan agama.

2. Agama Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w
telah memberi penekanan tentang akal fikiran manusia yang dianugerah oleh
Allah Subhanahu Wataala. Wahyu Al-Quran berulang kali menyebut tentang
akal fikiran seperti "Tidakkah kamu berfikir?", "Mengapa kamu tidak
menggunakan akal?". Semua ini telah membuktikan tentang nilai dan harga
akal fikiran kita.

3. Kemampuan akal fikiran dan budi bicara manusia telah meletakkan
satu-satu bangsa itu di atas mercu kejayaan dan kegemilangannya. Malah
kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. memimpin umat Islam adalah juga berpandukan
kepada akal fikiran, budi bicara dan pelaksanaan secara hikmah dan siasah
yang selaras dengan fitrah atau tabiat semulajadi manusia. Allah Subhanahu
Wataala yang memiliki langit dan bumi dan yang berkuasa dari semua
kekuasaan telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk
mengajak manusia memeluk agama Islam secara berperingkat-peringkat selaras
dengan keadaan, masa dan suasana, padahal Allah Subhanahu Wataala yang
Maha Kuasa boleh melaksanakan semua kehendakNya itu sekali gus sahaja
sepertimana firmanNya di dalam surah Yasin, ayat 82, yang
bermaksud: "Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila ia menghendaki
adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu "Jadilah
engkau", maka ia terus menjadi".

4. Ajaran Islam bukan sahaja turun melalui wahyu secara
berperingkat-peringkat, bahkan ianya juga disampaikan
berperingkat-peringkat seperti tabiat semulajadi manusia. Peringkat
pertama disampaikan kepada isteri, keluarga seisi rumah, sahabat handai
dan akhirnya barulah kepada orang ramai. Nabi kita berdakwah dalam dua
peringkat iaitu peringkat secara rahsia dan peringkat
berterang-terangan. Kita boleh lihat bahawa cara penyampaian wahyu semasa
di Mekah tidak sama dengan penyampaiannya di zaman Madinah. Sudah tentu
ini adalah disebabkan keadaan yang berbeza di antara kedua-dua kota dan
juga keadaan lengkap atau belum lengkap agama Islam pada masa-masa yang
berkenaan.

Tuan-tuan dan saudara-saudara sekalian, 

5. Kejayaan Rasulullah s.a.w. menegakkan negara Islam pun diatur
berperingkat-peringkat. Peringkat pertama memperkenalkan agama Islam itu
kepada orang-orang Arab yang berkunjung ke Kota Mekah, terutama
orang-orang Arab dari Madinah yang datang mengerjakan Haji. Pengenalan
yang melalui fikiran terbuka dan pendekatan secara hikmah dan budi bicara
yang baik itu telah menarik hati kaum Al-Aus dan Khazraj Madinah memeluk
agama Islam secara rela hati. Bilangan mereka yang terpengaruh dalam
peringkat pertama seramai 12 orang itu telah meningkat kepada 73 orang
pada tahun berikutnya. Perkembangannya yang seumpama ini mendorong kaum
Aus dan Khazraj Madinah membuka gelanggang yang lebih luas lagi untuk Nabi
kita berdakwah di sana.

6. Keputusan Nabi Muhammad s.a.w. membuat perjanjian dengan orang-orang
kafir Yahudi Madinah ini adalah bertujuan hendak mewujudkan suasana aman
dan tenteram, kerana keadaan yang huruhara dan tidak tenteram tidak akan
membolehkan sesebuah negara yang sempurna dan kukuh diwujudkan. Sebaliknya
di dalam suasana keselamatan yang terjamin, dapatlah disebarkan dakwah
Islamiah dan risalah Islam kepada semua orang-orang Arab dan seterusnya ke
seluruh dunia. Hasil dari ikatan perjanjian dengan orang-orang kafir di
Madinah itu wujudlah kerjasama dan solidariti di kalangan penduduk
Madinah, sekalipun terdapat berbagai kaum dan agama, kerana tiap-tiap
seorang itu diberi hak menentukan agama yang dipilihnya. Tiap-tiap seorang
itu bebas dengan fikiran dan pendapatnya. Mereka sama-sama berjanji
mempertahankan Kota Madinah, dan mereka hidup dengan rukun damai di bawah
pimpinan junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya setelah Kerajaan
Islam menjadi kuat dan kukuh iaitu apabila orang-orang Yahudi belot, maka
barulah mereka diusir dari Madinah.

Tuan-tuan dan saudara-saudara sekalian, 

7. Dari satu peristiwa lain, mari kita lihat sikap Nabi Muhammad
s.a.w. menghadapi krisis perundingan mengenai perjanjian damai dengan
orang-orang kafir Quraish Mekah dalam tahun 5 Hijrah yang terkenal dengan
'Sulhul Hudaibiah' atau "perjanjian damai Hudaibiah". Marilah kita
sama-sama mengulang-kaji sejarah ini untuk diambil iktibar. Dalam surat
perjanjian itu, Nabi kita Muhammad s.a.w. mencadangkan supaya ditulis atas
nama dirinya sendiri Muhammad Rasulullah, maka wakil kafir Quraish telah
membantah dengan katanya: "Kalau kami percaya yang engkau itu Rasulullah,
tentulah kami tidak berperang dengan kamu". Selepas itu Rasulullah
bersetuju supaya ditulis atas nama dirinya sahaja tanpa menyebut perkataan
Rasulullah. Ramai daripada sahabat-sahabat Nabi membantah. Nabi Muhammad
menjawab bahawa Baginda lebih mengetahui kerana Allah Subhanahu Wataala
telah mengutus Baginda menjadi Rasul.

8. Dua peristiwa sejarah penting di dalam sirah Nabi Muhammad s.a.w. tadi
perlu diambil pengajaran dan iktibar. Peristiwa-peristiwa itu menunjukkan
bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w. menggunakan kebijaksanaan bagi
menghadapi cabaran. Sejarah telah menunjukkan bagaimana Rasulullah
s.a.w. menghadapi orang-orang kafir Quraish Mekah yang ganas dan yang
hendak mengusirnya keluar dari Mekah. Baginda menghadapinya dengan penuh
tabah hati, sabar, berani dan membuat keputusan yang mengambil-kira
kepentingan jangka panjang. Perjanjian perdamaian dengan kaum Quraish
Mekah, yang membawa gencatan senjata selama sepuluh tahun, telah memberi
peluang kepada Baginda untuk menyebar dakwah Islamiah ke seluruh pelusuk
Semenanjung Arab. Pada akhirnya, kaum Quraish yang keras kepala itu
mengikhtiraf Nabi Muhammad sebagai Rasulullah.

9. Dalam kesempatan ini, marilah kita bersama-sama meninjau kedudukan
dunia pada masa itu. Dalam zaman kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., dunia
Eropah termasuk Roma dan Greece berada di zaman gelap. Serangan oleh
orang-orang Barbarians telah menghancurkan Empayar Roma dalam abad ke-IV
hingga ke-VII. Dalam keadaan tidak tenteram dan penindasan, pelajaran dan
kebudayaan tidak berkembang dan tidak maju. Dalam zaman gelap ini
ternampak satu nur kecil memancar dan berkembang sedikit demi sedikit. Nur
atau cahaya mula masuk ke Eropah apabila peradaban Islam berkembang di
Sepanyol dan Asia Minor yang kemudian diikuti dengan apa yang dikenali
dalam sejarah Eropah sebagai 'The Renaissance' iaitu kelahiran semula.

10. Apabila orang Islam sampai ke Sepanyol, seluruh Semenanjong Iberia itu
terus menempuh zaman yang paling gemilang. Cardova atau Qurthubah di bawah
perintah Abdul Rahman Ketiga menjadi lebih besar dan lebih maju dari
sekarang. Terdapat di kota ini lebih daripada enam ratus masjid, berpuluh
hospital, sekolah dan khutub khanah. Orang-orang Islam mengajar orang
Kristian dan Eropah bukan sahaja cara menenun kain dan membuat air wangi,
tetapi pelajaran hisab tinggi yang dicipta oleh Islam. Kebolehan menulis
dan membaca terdapat di kalangan petani sama seperti orang berada.

11. Bahasa Arab berkembang menjadi Bahasa Sastera dan Sains. Banyak
istilah ilmiah telah dicipta oleh ulamak-ulamak berbagai ilmu, malah
mereka juga memberi sumbangan ilmu pengetahuan yang sangat banyak seperti
Abdullah Ibn. Sina dalam bidang ilmu perubatan, Muhammad Ibni Rushd dalam
bidang perubatan dan undang-undang, Muhammad bin Musa Al Khawarizmi dalam
bidang Ilmu Hisab dan lain-lain tokoh seperti Al Biruni, Ibnu Khaldum,
Ibnu Batuta dan lain-lain. Buku-buku yang ditulis oleh ahli sains Islam
telah mempengaruhi fikiran Barat. Sistem 'binary' yang digunakan sekarang,
terutama dalam sains komputer, mungkin tidak dapat diwujudkan jika sistem
'Arabic numerals' tidak ada terlebih dahulu. Demikianlah kesan Islam dalam
bidang pelajaran seluruh dunia sejak abad keempat belas masihi.

12. Sungguhpun orang-orang Islam telah sampai kepada kemuncak kemajuan dan
tamadun Islam yang tinggi, tetapi malangnya ada di kalangan pemimpin dan
ulama Islam yang telah bermusuh sesama sendiri, hingga akhirnya bidang
ilmu pengetahuan diabaikan. Khazanah ilmu pengetahuan itu berpindah dari
tangan orang Islam ke tangan orang-orang Eropah dan kekal hingga hari ini
di tangan mereka. Pemimpin-pemimpin Islam terus mempertikaikan
perkara-perkara kecil sehingga membawa kekeliruan kepada orang ramai.

13. Pemimpin-pemimpin Islam pada masa ini hanya pandai melaung-laungkan
kemegahan sejarah Islam di masa lampau tetapi apakah usaha yang dibuat
untuk mengembalikan zaman keemasan dan kemegahan itu? Jeritlah beribu kali
sekalipun zaman kemegahan itu tidak akan datang semula. Zaman kegemilangan
itu akan kembali semula ke tangan orang Islam apabila kita merancang
dengan penuh teliti dan melaksanakannya melalui hikmah dan budi-bicara
yang tinggi. Liku-liku yang susah itu hendaklah dilalui dengan penuh sabar
dan teliti.

Tuan-tuan sekalian, 

14. Saya ingin mengajak tuan-tuan sekalian meneliti kedudukan Islam di
negara kita. Daripada sebuah negara yang dijajah di mana kepentingan Islam
telah diketepikan, Malaysia yang merdeka telah mengisytiharkan Islam
sebagai agama rasmi dan tenaga Kerajaan telah digunakan untuk
Islam. Masjid dan surau, sekolah dan fakulti di universiti, biasiswa dan
jawatan, malah berbagai jenis kemudahan telah diadakan untuk Islam.

15. Dari orang yang ditindas dan dijajah, orang Islam di Malaysia sudah
bebas dan berkuasa. Kita berbeza sekali dari orang Islam minoriti di
negara lain. Sepatutnyalah kita bersyukur dan sepatutnyalah kita berpegang
teguh kepada tali Allah Subhanahu Wataala - kita bersaudara. Malangnya di
Malaysia terdapat mereka yang tidak bersyukur kepada nikmat Allah
Subhanahu Wataala dan sebaliknya berusaha dengan percakapan dan perbuatan
untuk memecah-belahkan ummah. Kelemahan umat Islam di zaman ini mudah
ditentukan iaitu kita tidak mengikut ajaran Islam dan tidak menjadikan
Islam sebagai pegangan hidup kita yang menyeluruh. Buktinya kesalahan ini
adalah jelas. Di samping Islam menyuruh kita berpegang kepada tali Allah
Subhanahu Wataala dan jangan kita bercerai-berai, kita juga disuruh
bersaudara. Sebaliknya, kita dapati orang Islam bukan sahaja tidak
bersaudara malahan terus bermusuh-musuhan sesama sendiri dan ada pula
orang Islam dengan berani menyuruh kita berpecah-belah, tidak memberi
kedudukan yang istimewa kepada Islam sebagai agama rasmi negara, kononnya
kerana ini tidak adil dan saksama.

Tuan-tuan yang dihormati sekalian, 

16. Islam melarang kita membuat fitnah. Dalam Al-Quran jelas disebut
bahawa fitnah itu lebih merbahaya dari membunuh. Tetapi sedihnya perbuatan
fitnah sudah menjadi amalan bagi sebahagian dari kita sehingga ada yang
berusaha memburukkan imej negara dan Kerajaaan dengan memberi maklumat
palsu kepada orang Islam lain dan menyuruh mereka mengancam dan mengecam
Kerajaan Malaysia. Ini adalah sebahagian sahaja daripada bukti-bukti yang
menunjukkan bahawa ramai juga di antara kita yang tidak mengikut ajaran
Islam. Kelemahan orang Islam dan negara-negara Islam hari ini adalah
disebabkan oleh perbuatan orang-orang Islam sendiri. Selagi kita tidak
mahu mengakui hakikat ini, selama itulah kita akan lemah dan akan dikuasai
oleh orang lain.

17. Matlamat menegakkan negara Islam tidak boleh disamakan antara satu
benua dengan satu benua lain, antara satu negara dengan satu negara lain
kerana ada negara yang penduduknya 100% Islam, ada yang 90%, ada 75%, ada
50% dan ada yang 10%. Matlamat yang berbeza-berbeza ini tidak mungkin
tercapai dengan mudah atau dalam masa yang singkat. Ia akan mengambil masa
bertahun-tahun, mungkin berpuluh-puluh tahun. Yang penting bagi kita di
Malaysia ialah menyediakan asas dengan menjadikan Islam sebagai agama
rasmi. Dalam hal ini marilah kita mengambil pengajaran daripada Nabi
Muhammad s.a.w. Sebagaimana kita semua tahu, Baginda mengambil masa selama
23 tahun untuk menyampaikan keseluruhan wahyu yang diturunkan, seterusnya
perkembangan Islam itu berjalan secara tabii sedikit demi sedikit, bukan
secara sekali gus. Dan ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. walaupun Allah
Yang Maha Berkuasa boleh menjadikan sesuatu dalam sekelip mata dan Nabi
Muhammad s.a.w. adalah pesuruhNya.

18. Walaupun agama Islam sudah lengkap dan panduan hidup terdapat dalam
Al-Quran dan Hadith Nabi yang sahih , ini tidak bermakna bahawa akal
fikiran kita tidak perlu digunakan lagi. Sebab itulah tafsiran oleh alim
ulamak masih diperlukan berkenaan dengan hukum-hukum Islam. Sebab itulah
tafsiran juga diperlukan berkenaan dengan bermacam-macam masalah harian
dan kerja-kerja yang patut dikaji, dan oleh itu ilmu masih
diperlukan. Itulah sebabnya Allah Subhanahu Wataala mengurniakan kepada
umat manusia akal fikiran dan menyuruh kita berfikir. Apabila kita berada
di dalam sesuatu keadaan, kita hendaklah berfikir dengan waras dan
berhati-hati, terutama dalam menyusun langkah ke arah mencapai matlamat
Islam yang menjadi hasrat kita. Janganlah kerana tidak berfikir, kerana
dorongan nafsu, kita membuat sesuatu dengan bergopoh-gapah dan tidak
berhati-hati sehingga kita gagal dan terlepas terus peluang
kita. Janganlah kita sia-siakan peluang yang ada pada kita selepas 400
tahun kita dijajah. Ingatlah, jika kita tidak menyusun langkah dengan
cermat, tidak membuat perhitungan yang teliti, tidak merancang, peluang
kita akan terlepas, maka mungkin kita tidak akan dapat peluang sekali
lagi. Ingatlah, kuasa yang ada pada kita masih boleh terlucut jika kita
tidak berjaga-jaga.

19. Kita perlu ingat bahawa untuk menjayakan sesuatu tujuan kita perlu
mempunyai projek atau rancangan-rancangan yang disusun dengan kemas dan
yang dapat dilaksanakan. Untuk melaksanakannya pula, ia bergantung kepada
banyak faktor, termasuklah faktor tabiat manusia dan
kemudahan-kemudahan. Tetapi, yang paling penting daripada semua
faktor-faktor ini ialah faktor tabiat manusia iaitu kesanggupan dan
kemampuan manusia yang akan menjalankan rancangan itu dan yang akan
menerimanya.

20. Sebagai contoh, untuk mengadakan sebuah rumah atau tempat kediaman,
kita bergantung kepada kebolehan tukang yang mendirikan rumah itu dan
kesediaan tuan punya rumah untuk membiayai dan menanggung
perbelanjaan. Demikian juga halnya dengan cita-cita kita untuk
melaksanakan ajaran Islam yang menyeluruh di dalam masyarakat kita. Ini
semua bergantung kepada faktor-faktor tadi, terutamanya masyarakat dan
pengikut-pengikutnya, ketua-ketua dan rakyat jelata yang diperintah oleh
mereka. Dalam hubungan ini, cita-cita untuk menegakkan ajaran Islam,
bergantung bukan sahaja kepada keinginan tetapi juga kepada kemampuan
pemimpin-pemimpin dan kebolehan mereka yang diberi tugas untuk mencapai
matlamat ini. Malangnya pada masa ini, ada kumpulan-kumpulan tertentu di
Malaysia yang berusaha membawa masuk fikiran-fikiran dari luar negeri dan
memaksa rakyat kita mengikutnya. Fikiran ini tidak sesuai dengan negara
kita yang berbilang kaum dan agama. Perkara ini perlu direnung oleh kita
semua.

Tuan-tuan dan saudara-saudara sekalian, 

21. Sekali lagi saya mengalu-alukan usaha Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
yang mengundang para alim ulamak, pemimpin-pemimpin badan dakwah, para
cendiakawan dan tokoh-tokoh agama untuk bertukar-tukar fikiran dan
berbincang mengenai konsep negara Islam. Saya berharap perbincangan
mengenai konsep negara Islam, dan perkara-perkara mengenainya, hendaklah
mengambil-kira kedudukan negara kita yang berbilang kaum dan agama. Kita
juga tidak boleh menyalah-gunakan kuasa yang Allah Subhanahu Wataala telah
amanahkan kepada kita untuk memerintah negara ini. Hukum Allah Subhanahu
Wataala mestilah dilaksanakan dengan hikmah dan bijaksana selaras dengan
siasah syariah yang kita semua maklum. Saya percaya para peserta yang
terdiri daripada alim ulamak dan cerdik pandai Islam kita, akan menjadikan
Muktamar ini satu manfaat kepada umat Islam di Malaysia. Mudah-mudahan
muktamar ini akan dapat memberi manfaat yang diharapkan dan semoga usaha
yang dilakukan dengan ikhlas ini mendapat limpah berkat dari Allah
Subhanahu Wataala.

22. Dengan kesucian nama Allah Subhanahu Wataala dan dengan nama Allah
Yang Maha Kuasa dan Maha Mengasihani, saya membuka Muktamar Mengenai
Konsep Negara Islam ini dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.



 
 



 
Google