Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : BANGUNAN PARLIMEN Tarikh/Date : 24/10/85 Tajuk/Title : SEMPENA MENYAMBUT PERAYAAN ULANG TAHUN YANG KE-40 PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU Yang Berhormat Menteri-Menteri; Tuan Yang Terutama Wakil-Wakil Negara Asing di Kuala Lumpur; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur upacara sambutan kerana sudi menjemput saya berucap di upacara ini. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia atas penubuhannya baru-baru ini. 2. Tema sambutan perayaan ulangtahun ini ialah "For a Better World" dan sempena dengan sambutan ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan tahun 1986 sebagai Tahun Damai Antarabangsa atau "International Year of Peace". Saya berpendapat tema dan pengisytiharan Tahun Damai itu sebagai bersesuaian. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Tuhan semoga negara-negara di dunia ini lebih damai lagi pada tahun-tahun yang akan datang. 3. Bersempena dengan sambutan ini marilah kita bertekad menghormati prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, dan sambutan ini seharusnya membolehkan kita mengenang kembali kejayaan dan kegagalan badan dunia ini semenjak empat puluh tahun yang lalu, serta juga memikirkan masa depannya. Empat puluh tahun yang lalu, ahli-ahli utama yang mengasaskan penubuhan badan dunia ini bercita-cita membela nasib generasi akan datang daripada malapetaka dan keazaban berlakunya satu lagi perang dunia. Piagam badan dunia itu memperuntukan prinsip-prinsip yang mempastikan keamanan, hak-hak asasi, keadilan dan keutuhan undang-undang, serta pembangunan ekonomi di kalangan negara-negara yang bebas daripada jajahan dan cengkaman. 4. Walaupun kita telah menyaksikan pertelingkahan dan peperangan, kita harus juga berbangga bahawa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu, kita telah dapat mengelakkan perpecahan atau peperangan yang besar seperti Peperangan Dunia Pertama dan Kedua. Daripada aspek ini kita harus berasa bangga dengan peranan yang telah dimainkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 5. Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa gejala yang menyedihkan dalam perhubungan negara-negara yang menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini. Sekarang ini negara-negara anggota secara tidak langsung dibahagikan kepada negara-negara kaya dan miskin, yang lemah dan yang kuat, bahkan pembahagian kepada negara-negara maju dan negara-negara mundur. Dengan pembahagian atau perbezaan itu, akhirnya negara-negara di dunia ini telah tidak dapat mengelakkan dirinya daripada ketegangan dan perbalahan. Justeru itu kita mestilah menyedari hakikat bahawa di samping kita berbangga dengan kemajuan teknologi, kemajuan sistem perhubungan dan kemajuan dalam beberapa bidang lagi, kita gagal mengatasi kemiskinan dan kebuluran yang masih lagi berleluasa di beberapa buah negara anggota badan dunia ini. 6. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencatatkan beberapa kejayaan serta beberapa kegagalan dalam menyelesaikan krisis-krisis sepanjang empat puluh tahun ini. Walau bagaimanapun, satu sikap dan pandangan yang baru hendaklah kita abadikan terutamanya bagi mengatasi krisis-krisis antarabangsa di masa akan datang. Negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertanggungjawab bagi mempastikan badan dunia ini terus berfungsi pada masa depan, dan kita mestilah berusaha supaya badan dunia ini tidak lumpuh. Sokongan yang berterusan adalah unsur penting bagi badan dunia ini mencapai kemajuan. Saya berpendapat sekiranya badan dunia ini gagal dalam segala usahanya bagi menjamin keamanan dan keharmonian di dunia, kita patut menyalahkan negara-negara anggota yang tidak sanggup berpegang kepada piagam Bangsa-Bangsa Bersatu dan tidak mahu menerima keputusan yang dibuat olehnya. 7. Perkembangan yang kurang menyenangkan dalam arena politik, ekonomi dan bidang sosial antarabangsa telah memberatkan lagi beban tanggungjawab yang dipikul oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kakitangannya. Di sini saya mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada beliau dan semua kakitangan badan dunia itu, kerana dengan dedikasi, mereka dapat menjalankan tanggungjawab dan telah mencapai beberapa kejayaan. Kami di Malaysia ingin memberi jaminan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai sokongan kita kepada apa sahaja usaha badan dunia itu yang mendatangkan manfaat bersama. Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua agensi-agensi khas Bangsa-Bangsa Bersatu atas program teknikal, kebudayaan, sosial, sains dan teknologi mereka yang telah banyak membawa manfaat kepada negara-negara anggota. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 8. Kita di Malaysia telah menerima bantuan teknikal dari UNDP atau Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi projek-projek pertanian, perhutanan dan perikanan. Kita juga telah menerima bantuan perkhidmatan kesihatan dan pelajaran daripada UNICEF, manakala Pertubunan Kesihatan Sedunia atau WHO telah membantu Malaysia melatih kakitangan dalam bidang perubatan dan penyelidikan penyakit-penyakit tropika. UNESCO pula telah membantu kita dalam beberapa projek sekolah dan telah membekalkan kepakaran teknikal dalam bidang haiderologi dan sains. Di samping itu UNESCO juga telah membantu kita mengendalikan satu kajian mengenai kebudayaan Melayu di Asia Tenggara. 9. Malaysia menghargai juga bantuan yang telah diberikan oleh UNHCR dalam menempatkan semula orang-orang pelarian Vietnam ke negara-negara ketiga. Kita juga berbangga dengan Tabung Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pengawalan Penyalah-gunaan Dadah atau "United Nations Fund for Drug Abuse Control" kerana memberi bantuan kewangan yang diperlukan oleh kita bagi membanteras penyalah-gunaan dadah di Malaysia, yang sekarang ini sudah menjadi satu ancaman keselamatan yang utama. 10. Di samping kita menerima bantuan, negara ini berbangga kerana dapat menghulurkan bantuan teknikal kepada beberapa buah negara membangun yang kecil seperti yang termaktub di dalam Program Kerjasama Teknikal Malaysia. Kita berharap kerjasama dan bantuan setakat yang kita mampu ini akan memperkukuhkan lagi hubungan rapat antara negara-negara anggota yang terlibat. 11. Sebelum saya menamatkan ucapan ini, Kerajaan ingin merakamkan penghargaan khas kepada anggota-anggota angkatan tentera kita yang telah berkhidmat di Kongo pada tahun 1965 sebagai sebahagian daripada pasukan bersenjata Bangsa-Bangsa Bersatu. Perkhidmatan dan pengorbanan mereka sentiasa tercatat di dalam sejarah negara kita. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 12. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur yang menjemput saya hadir di upacara ini. Dengan itu, saya dengan bangganya membuka Perayaan Ulangtahun Yang Ke-40 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan rasminya. Terima kasih.