home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	26/10/85 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 
			KEBANGSAAN PENGLIBATAN IBUBAPA 
			DALAM PENCEGAHAN DADAH 




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam bahagia. Yang Amat
Berbahagia Dato Seri Datin Paduka Dr. Siti Hasmah, Yang Di-Pertua
BAKTI; Dif-Dif Kehormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Saya mengucapkan terima kasih kepada BAKTI kerana memberi penghargaan
kepada saya untuk menyampaikan ucapan di Majlis ini dan seterusnya
merasmikan Persidangan Kebangsaan Penglibatan Ibu Bapa Dalam Pencegahan
Dadah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

2. Semenjak akhir tahun 1960an, negara kita telah menghadapi masalah
penagihan dadah di kalangan masyarakat terutama golongan remaja. Fenomena
ini merupakan satu perubahan yang amat serius berbanding dengan keadaan
penagihan dadah sebelumnya. Sebelum ini golongan yang terlibat ialah
golongan tua yang menggunakan candu. Yang menyebabkan masalah dadah
menjadi lebih serius dan membimbangkan sekarang ini, ialah kerana golongan
yang terlibat adalah golongan muda dalam lingkungan umur bawah 30 tahun,
yang menjadi harapan bangsa dan negara. Tambahan pula jenis dadah yang
digunakan sekarang ialah heroin, dan lain-lain dadah jenis baru yang bukan
sahaja menjadikan penagih tidak berguna kepada masyarakat tetapi juga
kepada dirinya sendiri. Dadah merosakkan badan dan otak dan membawa maut
dengan lebih awal.

3. Dadah biasa diguna oleh penjajah dahulu untuk melemahkan keupayaan dan
ketahanan sesuatu bangsa. Ini berlaku kerana penagih dadah tidak dapat
mempertahankan diri daripada apa juga penindasan yang dilakukan ke
atasnya. Penagih tidak mempunyai maruah, tidak dapat bekerja kuat, tidak
mempunyai moral, mudah terlibat dengan jenayah, mudah ditindas dan diarah
oleh pengedar untuk membuat apa sahaja. Jika penagih terdiri daripada
anggota angkatan tentera atau polis, maka keselamatan negara tidak lagi
dapat dijamin. Sebahagian besar daripada pendapatan rakyat dan negara akan
lesap kerana pembelian dadah. Keluarga penagih dadah tidak akan hidup
sempurna kerana kerap juga penagih jadi gila, mencuri dari keluarga
sendiri untuk mendapat dadah. Pendek kata, jika penggunaan dadah
berkembang di kalangan rakyat, huru hara akan berlaku, keluarga dan
masyarakat akan menjadi lemah dan akhirnya negara akan hancur atau
dikuasai oleh orang lain.

4. Memandang kepada hakikat inilah maka Kerajaan telah mengambil sikap
yang tegas terhadap pengedaran dadah. Hukuman mati akan dikenakan kepada
sesiapa yang memiliki dadah yang melebihi had tertentu. Siapa juga, sama
ada warganegara Malaysia atau warganegara asing akan dikenakan hukuman
yang sama. Tidak ada tolak ansur bagi mereka yang sebenarnya membunuh
lebih ramai rakyat negara ini secara perlahan-lahan. Pengedar dadah adalah
manusia yang tidak berperikemanusiaan, penjenayah yang kejam dan
pembunuh. Sesiapa yang berminat menjadi pengedar harus ingat bahawa
akhirnya riwayat mereka akan tamat di tali gantung. Harta yang mereka
perolehi dari jenayah mereka itu akan dirampas.

Tiada maaf bagi mereka.

5. Sementara itu Kerajaan telah menambah kemudahan rawatan dan pemulihan
kepada mereka yang terlibat dengan penagihan dadah. Dari tahun 1983 hingga
Ogos 1985, seramai 13,239 orang penagih dadah telah mengikuti program
rawatan dan pemulihan berbanding dengan seramai 9,142 orang sahaja dari
tahun 1980 hingga 1982. Ini cuma sebahagian yang kecil sahaja dari
bilangan penagih. Harus diingat di sini bahawa bukan sahaja wang yang
banyak terpaksa dibelanjakan untuk merawat mereka ini tetapi potensi
bekerja dan daya pengeluaran mereka juga hilang. Namun demikian usaha
masih dibuat untuk menambahkan lagi kemudahan rawatan dan pemulihan serta
meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan program tersebut. Jika
perbelanjaan rawatan dan pemulihan oleh Kerajaan dan masyarakat
dijumlahkan dengan perbelanjaan pembelian dadah oleh penagih, maka
jelaslah bahawa ratusan juta ringgit wang negara hilang tanpa faedah.

6. Pengetahuan, kefahaman dan kesedaran mengenai bahaya dan ancaman dadah
kepada masyarakat adalah perlu untuk mengelakkan lebih ramai lagi anggota
masyarakat daripada terlibat dengan penagihan dadah. Oleh itu, Kerajaan
telah melancarkan kempen anti dadah di seluruh negara secara meluas dan
kempen ini akan berterusan. Program-program pendidikan dan pencegahan
telah dipergiatkan khususnya untuk melindungi golongan remaja kita supaya
tidak terlibat dengan dadah dan menanamkan sikap benci dadah di kalangan
mereka.

7. Dalam usaha menentang dadah, nilai-nilai budaya kita yang lama patut
dihidupkan semula. Kita telah menyaksikan bagaimana dalam masyarakat Barat
perkembangan penagihan dadah mempunyai kaitan dengan keruntuhan moral dan
penolakan agama. Dengan demikian kita harus menolak aspek kebudayaan barat
yang boleh menghakis nilai-nilai budaya kita yang murni itu. Usaha-usaha
menerapkan semula nilai-nilai budaya kita seperti adat bersopan-santun,
menghormati ibubapa, orang tua dan keluarga oleh generasi muda boleh
menolong membendung merebaknya masalah dadah di kalangan masyarakat
kita. Kita juga hendaklah berpegang teguh kepada ajaran agama. Sekiranya
tidak, kita akan hanyut mengikut arus aliran nilai semasa yang merosakkan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

8. Tanggungjawab untuk memerangi masalah dadah di negara ini bukan hanya
menjadi tanggungjawab Kerajaan dan agensi-agensinya semata-mata. Tindakan
anti dadah yang berkesan memerlukan penglibatan semua golongan
masyarakat. Masalah dadah ialah masalah yang menular di dalam masyarakat
dan dengan demikian setiap anggota masyarakat mempunyai peranan yang
penting dalam membantu usaha-usaha Kerajaan dalam memerangi wabak
ini. Saya sedar bahawa beberapa pertubuhan di negara ini, terutamanya
PEMADAM, terlibat dalam beberapa kegiatan membantu usaha-usaha kerajaan
dalam bidang pencegahan, khususnya. Walaupun begitu, saya percaya bahawa
usaha-usaha yang telah dijalankan selama ini boleh dipertingkatkan lagi,
memandangkan banyak pertubuhan dalam masyarakat yang masih belum lagi
menyertai dan melibatkan diri dalam usaha-usaha memerangi dadah. Semua
golongan masyarakat hendaklah tampil ke hadapan untuk bersama-sama
memperhebatkan tindakan menentang musuh negara ini.

9. Jika kita soal diri kita kenapakah dahulu tidak ada masalah dadah di
kalangan muda mudi kita tetapi sekarang ada, tidak dapat tidak kita akan
akui bahawa sedikit sebanyak masalah ini disebabkan oleh perubahan
kebudayaan dan adat resam kita. Dahulu anak muda kita lebih terkawal dan
mereka terdedah semata-mata kepada kebudayaan bangsa sendiri dan tunjuk
ajar ibu bapa. Sekarang anak muda kita lebih bebas, terdedah kepada
bermacam-macam kebudayaan asing dan tidak sebegitu mudah dididik oleh ibu
bapa. Dalam keadaan ini mereka mudah terperangkap dengan kegiatan-kegiatan
luar yang tidak sihat. Mereka lebih mengutamakan pandangan rakan dan kawan
daripada ibubapa dan keluarga. Untuk disanjung oleh kawan rakan, mereka
mudah menunjuk kononnya keberanian mereka dengan menghisap rokok dan
dadah. Sekali mereka bermula maka amat sukar bagi mereka memberhentikan
amalan buruk ini kerana takut disindir oleh kawan. Tidak lama selepas itu
maka mereka sudah menagih dadah dan tidak dapat lagi memberhentikan tabiat
buruk itu. Semangat mereka menjadi luntur dan jika mereka diubati sehingga
pulih sekalipun, kerap kali mereka balik kepada tabiat menagih
dadah. Pendek kata, sekali mereka menjadi penagih maka amat sukar bagi
mereka melepaskan diri. Justeru itu adalah penting mereka dikawal dari
awal lagi supaya tidak bermula.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

10. Tugas mengawal anak kita tentulah bermula di rumah. Mereka harus
dididik daripada kecil lagi bahawa dadah itu najis dan tidak boleh
disentuh. Jika ini dapat ditanam dalam hati sanubari anak-anak kita
daripada awal-awal lagi maka sebahagian daripada kejayaan mencegah dadah
akan tercapai. Ibubapa juga harus mengawal gerak-geri anak-anak mereka
supaya peluang mereka bercampur-gaul dengan kumpulan-kumpulan yang tidak
terkawal tidak berlaku. Sebaliknya anak-anak harus ada di rumah pada
waktu-waktu tertentu.

11. Saya yakin jika ibubapa dapat menyemai nilai-nilai yang baik dan
mengawal sedikit kebebasan anak remaja, penagihan dadah di kalangan mereka
dapat dikurangkan. Berilah dorongan kepada kegiatan sukan. Tubuh badan
kita adalah kurniaan Tuhan dan sebaik-baiknya tanda penghargaan kita
kerana kurniaan ini ialah dengan memelihara tubuh badan kita daripada
menjadi rosak. Sukan boleh menyegarkan tubuh badan. Sebaliknya dadah akan
merosakkan tubuh badan. Oleh itu, masa lapang anak muda hendaklah dipenuhi
dengan kegiatan-kegiatan membina seperti sukan. Ibubapa hendaklah memberi
perhatian kepada perkara ini.

12. Selain daripada didikan dan pemeliharaan anak sendiri, ibubapa sama
ada yang terlibat atau tidak, hendaklah mengambil bahagian dalam gerakan
anti dadah. Mereka akan lebih mengetahui masalah ini dan pengetahuan ini
berguna dalam usaha kita untuk membasmi atau mengurangkan penagihan dadah
dalam masyarakat kita.

13. Kita harus sedar bahawa apa sahaja yang kita lakukan ke arah
pencegahan dadah pada hari ini adalah untuk menyelamatkan generasi muda
dan mewujudkan satu bangsa yang bermaruah dan dihormati. Saya sedar bahawa
usaha-usaha untuk menyelamatkan generasi muda daripada terjerumus dalam
perangkap dadah bukanlah satu usaha yang mudah. Memandangkan masalah ini
telah melibatkan semua kaum, semua golongan masyarakat dan semua negeri di
Malaysia, maka adalah menjadi tanggungjawab semua kaum untuk bersatu dan
bersama-sama berganding bahu menentang ancaman ini secara
bersungguh-sungguh dan berterusan.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

14. Saya mengucapkan syabas kepada BAKTI yang telah mengambil inisiatif
untuk menghimpunkan semua pertubuhan-pertubuhan, persatuan-persatuan,
badan-badan dan kesatuan-kesatuan yang terdiri daripada berbagai kaum dan
agama di seluruh negara untuk mengemblingkan tenaga masyarakat ke arah
membantu usaha-usaha Kerajaan dalam mengawal dan membenteras dadah. Ini
membuktikan bahawa BAKTI sentiasa sensitif terhadap masalah yang dihadapi
oleh negara. Saya percaya daya usaha yang dipelopori oleh BAKTI ini akan
dapat menanamkan kesedaran kepada masyarakat dan menentukan peranan yang
benar-benar berkesan dapat dilakukan, khususnya oleh ibubapa secara
individu dan secara kumpulan dalam membantu usaha-usaha pencegahan dadah
di negara kita.

15. Dengan ini, saya dengan segala sukacitanya membuka Persidangan
Kebangsaan Penglibatan Ibubapa Dalam Pencegahan Dadah dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

 



 
Google