Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	JALAN BUKIT BINTANG, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	31/10/85 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN 
			LEMBAGA TABUNG ANGKATAN TENTERA 




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan.

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
kurniaNya dapat kita hadir di Majlis Pembukaan Rasmi Bangunan Lembaga
Tabung Angkatan Tentera pada petang ini. Saya mengucapkan berbanyak terima
kasih kepada pihak Lembaga Tabung ini yang telah menjemput saya ke Majlis
ini.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak Tabung kerana telah berjaya
mendirikan bangunan yang sungguh indah ini. Bangunan ini bukan sahaja
dapat memberikan ruang pejabat yang selesa bagi kakitangan Tabung tetapi
juga dapat memberikan hasil yang tetap dalam bentuk sewaan ruang pejabat
kepada pencarum-pencarumnya. Saya difahamkan semua ruang pejabat bangunan
ini telahpun dapat disewakan.

3. Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera sebentar tadi menyebut bahawa
Bangunan LTAT yang indah ini telah direka-bentuk berdasarkan tiga patah
perkataan iaitu functional, practical and economical'. Saya rasa tiga
patah perkataan seperti yang disebutkan itu adalah tepat dan sesuai
diamalkan bukan sahaja dalam merancang dan membina bangunan-bangunan
tinggi tetapi juga untuk semua jenis pekerjaan yang dilakukan, baik untuk
pentadbiran dan pengurusan mahupun untuk kegiatan-kegiatan ekonomi dan
perniagaan.

4. Selaku Menteri Pertahanan saya mengikuti dengan rapi perkembangan dan
kemajuan Lembaga Tabung Angkatan Tentera dalam usahanya untuk
mempertingkatkan sumbangan dan khidmatnya kepada anggota-anggota Angkatan
Tentera yang menjadi pencarum-pencarumnya.

5. Saya berasa gembira dengan rancangan-rancangan Tabung untuk
mempelbagaikan kegiatan-kegiatan pelaburannya seperti menanam modal dalam
pembinaan bangunan ini, sebagai satu cara untuk melindungi nilai duit
pencarum-pencarumnya daripada menurun akibat kemelesetan ekonomi. Melalui
perancangan yang teliti dan perlaksanaan program-program secara teratur
dan kemas, pihak pentadbiran Tabung telah berjaya mencatatkan prestasi
yang baik dari setahun ke setahun dan menambahkan faedah dan berbagai
kemudahan kepada pelabur-pelaburnya. Saya berharap usaha-usaha ini dapat
ditingkatkan lagi. Di samping itu pula, amalan sikap bersih, cekap dan
amanah hendaklah dikekalkan oleh pihak Tabung dan saya berharap
kepercayaan yang telah diberikan untuk melaksanakan tugas dan
tanggungjawab itu tidak akan diabaikan.

Tuan-tuan dan puan-puan.

6. Wakil-wakil Tabung yang dilantik sebagai pengarah syarikat-syarikat di
mana Tabung memiliki equiti atau wang pelaburan, telah banyak
menyumbangkan masa dan tenaga untuk memastikan syarikat-syarikat yang
berkenaan dapat menghasilkan keuntungan di dalam bentuk dividen yang
tinggi kepada Tabung. Mereka telah dilantik kerana dipercayai boleh
memelihara kepentingan Tabung dan menyumbang ke arah kemajuan operasi dan
syarikat berpandukan kepada pengalaman dan pengetahuan mereka di dalam
bidang-bidang tertentu.

7. Saya berharap kerjasama yang lebih rapi akan dapat diadakan di antara
wakil-wakil Tabung ini dengan pihak pengurusan Tabung supaya terjalin
persefahaman bukan sahaja daripada segi strategi bahkan juga dalam jurusan
dasar pelaburan Tabung. Tujuan muktamad ialah supaya pihak Tabung dapat
memelihara kepentingan pencarum-pencarum khususnya dan Tabung Angkatan
Tentera amnya.

8. Kepada pencarum-pencarum pula, saya suka mengambil kesempatan ini untuk
menyeru kepada saudara-saudara supaya menghargai tujuan utama Tabung ini
ditubuhkan. Tabung ini sebenarnya ditubuhkan untuk mewujudkan satu sekim
persaraan dan simpanan khusus untuk perajurit-perajurit dan
pegawai-pegawai Angkatan Tentera dan merupakan satu alternatif kepada
sekim persaraan biasa. Tidak seperti syarikat-syarikat kerjasama, koperasi
atau bank perdagangan dan simpanan, wang caruman yang disimpan di Tabung
ini tidak boleh dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya ataupun pada
bila-bila masa sahaja. Sebaliknya, ia adalah simpanan jangka panjang yang
memberi faedah yang stabil dan terjamin kepada pencarum-pencarum.

9. Di bawah sekim ini anggota-anggota Angkatan Tentera dikehendaki membuat
sejumlah caruman kepada Tabung sebagai satu persiapan untuk membantu
mereka mengatasi masalah kewangan apabila mereka bersara daripada
berkhidmat dengan angkatan tentera kelak. Kepada caruman yang dibuat itu,
Kerajaan menyumbangkan sejumlah lagi dan ini dikreditkan kepada akaun
mereka pada tiap-tiap bulan. Saya percaya apabila anggota Angkatan Tentera
meninggalkan Perkhidmatan Angkatan Tentera, jumlah wang caruman yang
dikreditkan di atas nama mereka dalam Tabung akan membolehkan mereka
membuat persediaan untuk menceburi lapangan baru dalam kehidupan awam.

Tuan-tuan dan puan-puan.

10. Saya difahamkan bahawa Lembaga Tabung Angkatan Tentera akan mengadakan
berbagai skim dan kegiatan baru bagi menambahkan faedah-faedah kepada
pencarum-pencarumnya. Umpamanya, Tabung telah menubuhkan dua buah
Perbadanan untuk menambah faedah-faedah yang dapat diberikan bukan sahaja
kepada pencarum-pencarumnya bahkan juga kepada semua anggota Angkatan
Tentera Malaysia. Perbadanan yang pertama ditubuhkan ialah Perbadanan
Perwira Niaga Malaysia, ringkasnya PERNAMA. PERNAMA ditubuhkan untuk
mengambil-alih operasi NAAFI di Malaysia dan memberikan perkhidmatan
menjual barang-barang keperluan pengguna kepada anggota-anggota Angkatan
Tentera dan keluarga mereka dengan harga yang berpatutan. Perbadanan kedua
yang ditubuhkan pula ialah Perbadanan Perwira Harta Malaysia yang
berfungsi, antara lain, untuk membantu membina rumah-rumah kediaman untuk
kakitangan Kementerian Pertahanan dan membina rumah- rumah kos rendah dan
sederhana supaya dapat dijual balik kepada pencarum-pencarum Tabung dengan
harga yang berpatutan. Di samping itu juga, Tabung dengan bantuan aktuari
Kerajaan sedang membuat kajian mendalam untuk menentukan sama ada
pencarum-pencarumnya boleh mengeluarkan sebahagian daripada wang mereka
untuk tujuan membeli rumah.

Tuan-tuan dan puan-puan.

11. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan satu lagi sekim
Tabung yang bertujuan untuk menambahkan faedah yang diberikan oleh Tabung
kepada pencarum- pencarumnya. Sekim ini diberi nama Sekim Kematian dan
Hilang-upaya. Di bawah sekim ini setiap pencarum yang mencarum kepada
Tabung, sama ada pencarum wajib atau pencarum sukarela, adalah dengan
otomatis menerima satu lagi faedah tanpa apa-apa bayaran tambahan. Faedah
ini merupakan sejumlah bayaran yang akan dibuat kepada waris pencarum jika
pencarum meninggal dunia semasa berkhidmat dengan Angkatan Tentera atau
kepada pencarum sendiri jika beliau diberhentikan daripada Perkhidmatan
Angkatan Tentera atas sebab-sebab hilang-upaya atau akal.

12. Bayaran ke atas Sekim Faedah Kematian dan Hilang-upaya ini tidaklah
menjejaskan jumlah caruman dan keuntungan seseorang pencarum yang sedia
tersimpan dalam Tabung Angkatan Tentera. Malahan bayaran daripada sekim
ini adalah bayaran tambahan kepada waris atau pencarum yang kurang
bernasib baik di samping bayaran caruman serta keuntungan yang sedia
tersimpan. Sekim Faedah Kematian dan Hilang-upaya ini akan dikendalikan
daripada sejumlah kumpulan wang yang diperuntukkan daripada keuntungan
pelaburan Tabung setiap tahun. Sekim ini akan berkuatkuasa mulai esok
1hb. November, 1985.

13. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Lembaga
Tabung Angkatan Tentera kerana menjemput saya ke Majlis ini. Dengan ini
saya dengan sukacitanya membuka Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera
ini dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

 



 
Google