Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:  
Tarikh/Date 	: 	02/11/85 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN PELANCARAN LOJI 
			RINTIS DIESEL MINYAK KELAPA SAWIT 




Yang Berhormat Dato' Paul Leong, Menteri Perusahaan Utama; Yang Berhormat
Menteri-Menteri; Yang Berbahagia Tan Sri Anuar, Ketua Pengarah
PORIM; Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, 

Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada PORIM kerana memberi
penghormatan kepada saya untuk melancarkan Loji Rintis Diesel Minyak
Kelapa Sawit ini. Sebagai loji rintis yang pertama di dunia yang
mengeluarkan diesel minyak kelapa sawit sebagai bahan bakar untuk tenaga,
ianya meletakkan Malaysia di mata dunia sebagai perintis dalam bidang
penerokaan, pengeluaran dan penggunaan minyak kelapa sawit sebagai sumber
tenaga.

2. Loji yang berharga $2.9 juta ini berupaya mengeluarkan sebanyak 3,000
tan diesel minyak kelapa sawit, yang dikenali sebagai methyl ester,
setahun secara berterusan. Keseluruhan projek ini dalam masa 2 tahun akan
datang akan menelan belanja sebanyak $11.7 juta.

3. Tidak syak lagi bahawa perasmian loji ini memberi petanda baik kepada
pembangunan Malaysia. Ia bukan sahaja kerana negara telah menempa satu
sejarah dalam kemajuan penyelidikan dan pembangunan atau 'research and
development', tetapi juga memberi implikasi yang besar kepada program
perindustrian, ketahanan nasional dan kemajuan ekonomi negara pada
keseluruhannya.

4. Adalah dianggarkan bahawa simpanan sumber petroleum mentah di negara
ini akan kehabisan dalam masa 20 tahun lagi. Jika pada masa itu bekalan
minyak dunia terganggu atau terputus, negara akan mengalami kesulitan
besar. Justeru itu kita harus bersedia dengan sumber tenaga gantian yang
terdapat di dalam negara kita.

5. Diesel minyak kelapa sawit nampaknya memenuhi ciri-ciri ini. Ia sesuai
untuk dijadikan bahan tenaga gantian dari sumber-sumber yang boleh
diperbaharui terutama dalam jangka panjang. Kajian-kajian yang dijalankan
menunjukkan bahawa bahan diesel ini mempunyai skop dan berpotensi untuk
digunakan secara komersial. Penilaian ke atas diesel minyak kelapa sawit
pada enjin kenderaan dan enjin yang tidak bergerak telah memberi hasil
yang menggalakkan dan ciri-cirinya adalah setanding dengan diesel
petroleum.

6. Ujian awalan ke atas beberapa buah teksi dan kenderaan PORIM yang
meliputi semua aspek teknikal dan prestasi memberi petanda-petanda baik
dan menyakinkan untuk digunakan sebagai bahan pembakar. Di antara
hasil-hasil yang menggalakkan ialah keluaran asap eksos yang berkurangan,
jika dibandiangkan dengan diesel biasa. Satu implikasi ke atas alam
sekitar kita ialah ia akan mengurangkan peningkatan lapisan karbon
dioksida di udara yang boleh menyebabkan kenaikan suhu hawa dan pencemaran
alam sekitar.

7. Saya difahamkan bahawa satu lagi kebaikan ialah enjin-enjin diesel yang
sedia ada tidak perlu diubahsuai untuk menggunakan diesel minyak kelapa
sawit. Pemandu-pemandu teksi yang terlibat dalam ujian ini telah
mengesahkan bahawa mereka tidak mengalami apa jua kemerosotan kuasa enjin
yang bermakna pembakaran minyak adalah lebih efisien dari diesel petroleum
biasa. Ini ialah kerana diesel minyak kelapa sawit mempunyai nilai
'cetane' dan 'flash point' yang lebih tinggi dari diesel petroleum. Di
samping itu tidak terdapat peningkatan dalam endapan karbon di dalam enjin
seperti yang berlaku dengan diesel petroleum biasa.

8. Berikutan dari kejayaan awal ini, saya difahamkan bahawa satu ujian
luar secara lasak yang melibatkan 200 enjin diesel dan kenderaan akan
dilaksanakan. Ujian di atas kenderaan akan meliputi jarak sejauh 300,000
kilometer untuk tempoh selama 2 tahun selepas loji rintis beroperasi. Saya
berasa gembira diberitahu bahawa pembuat-pembuat enjin yang terkenal dan
agen-agen mereka telah tampil ke hadapan dan bekerjasama untuk mengambil
bahagian dalam ujian lasak ini. Sambutan yang menggalakkan ini menunjukkan
bahawa mereka berkeyakinan dan menaruh harapan tinggi di atas kejayaan dan
potensi diesel minyak kelapa sawit.

9. Tujuan ujian secara besar-besaran ini ialah untuk menilai dengan lebih
mendalam lagi kesan-kesan methyl ester ke atas enjin dan minyak
pelincir. Saya berharap pakar-pakar PORIM akan dapat mengatasi apa-apa
masalah yang timbul. Sekiranya ujian didapati positif, adalah diharapkan
pihak pembuat-pembuat enjin akan memberi jaminan ke atas methyl ester
sebagai salah satu bahan bakar bagi enjin-enjin diesel mereka.

10. Sehubungan dengan projek diesel minyak kelapa sawit ini, satu langkah
lagi yang telah diambil oleh PORIM ialah untuk menggunakan minyak sawit
mentah terus oleh enjin yang direka khas. Enjin yang direka oleh Elko
Lizenza dari Jerman Barat boleh menggunakan sama ada diesel petroleum
biasa atau minyak sayur. Memandangkan bahawa terdapat minyak kelapa sawit
dikeluarkan dengan banyaknya oleh negara ini, PORIM, Mitsui dan Elko telah
membuat kajian di Malaysia untuk menilai kesesuaian enjin ini dengan
minyak kelapa sawit mentah dan juga diesel minyak kelapa sawit. Kita
berharap gabungan teknologi Malaysia, Jepun dan Jerman Barat dapat
digemblingkan untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah tenaga dan
persekitaran.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

11. Sebagai pengeluar dan pengeksport utama minyak kelapa sawit dunia,
kejayaan projek diesel minyak kelapa sawit ini akan mengharumkan lagi nama
Malaysia sebagai perintis dalam penggunaan minyak kelapa sawit sebagai
sumber tenaga baru. Ada pendapat yang menyebut tentang ladang tenaga atau
'energy farm' di mana minyak kelapa sawit ditukar kepada methyl ester
untuk tenaga dan digunakan sebagai pengganti diesel. Berdasarkan kepada
penilaian awal, penggunaan minyak kelapa sawit sebagai bahan bakar adalah
'viable'. Pada masa ini 18% dari jumlah tenaga yang digunakan oleh
industri pengangkutan di Malaysia ialah dari diesel petroleum. Oleh itu
minyak kelapa sawit boleh memainkan peranan yang lebih luas di negara ini,
terutama di waktu harganya rendah akibat persaingan oleh lain-lain minyak
makanan.

12. Saya difahamkan bahawa kajian yang telah dibuat oleh PORIM telah
mengenalpasti beberapa bahan sampingan seperti glycerol dan
komponen-komponen kecil dapat dihasilkan. Bahan-bahan ini amat berguna dan
bernilai tinggi. Penggunaan dan penilaiannya sedang dijalankan dan akan
merupakan 'spin off' yang penting dari projek diesel minyak kelapa
sawit. Semua ini memberi gambaran yang jelas kepada kita bahawa projek
diesel minyak kelapa sawit akan menjadi satu kenyataan.

13. Ekoran dari ini terdapat peluang yang luas dalam bidang-bidang
pengeluaran barangan 'downstream' berasaskan minyak kelapa sawit yang
dapat memberikan nilai tambahan. Misalnya tocopherol yang dijumpai dalam
pati asid lemak sawit boleh mengeluarkan Vitamin E secara komersial, iaitu
vitamin yang penting bagi tubuh manusia. Adalah dianggarkan bahawa
berdasarkan kepada pengeluaran dari pati asid lemak kelapa sawit negara
pada tahun ini, Vitamin E yang bernilai sebanyak $64 juta boleh
dihasilkan.

14. Oleh itu saya ingin menyeru semua pihak terutama ajensi-ajensi R&D,
baik di sektor awam mahupun swasta, supaya memberi tumpuan penyelidikan
yang lebih untuk mencipta teknologi-teknologi baru supaya kita dapat
mengambil seberapa banyak faedah daripada bahan mentah keluaran
tempatan. Kegiatan R&D adalah penting jika kita mahu mengamalkan konsep
tanpa pembaziran atau 'zero waste' ke atas hasil dan keluaran kelapa sawit
dan minyak kelapa sawit.

15. Research and Development adalah satu usaha yang penting untuk
mengeksploitasi sepenuhnya sesuatu bahan. Sehingga kini Malaysia
memperuntukkan cuma 0.64% dari Keluaran Negara Kasar atau GNP untuk
R&D. Ini amatlah rendah berbanding dengan negara-negara maju. Justeru itu
kajian hendaklah dibuat untuk meningkatkan peruntukan untuk R&D di
Malaysia.

16. Di sini ingin saya bercakap sedikit berkenaan dengan pemindahan
teknologi. Kita tidak berhenti-henti mendengar tentang keengganan orang
asing memindah teknologi kepada kita. Tetapi kita tahu bahawa banyak
negara membangun yang sudah mendapat taraf negara-negara perindustrian
baru atau Newly Industrialising Countries telah dapat menguasai teknologi
baru. Kenapakah mereka boleh, tetapi kita tidak boleh, sedangkan punca
teknologi adalah sama? 

17. Jawabnya ialah kita menunggu untuk diserah bulat-bulat teknologi
asing. Kita tidak mengejar teknologi. Kita menganggap proses penyerahan
teknologi ini adalah tanggungjawab orang lain dan bukan kita.

18. Sebab itu walaupun kita sudah lama mengeluarkan sabun dengan cap yang
terkenal dari kelapa sawit, seluar jeans cap yang terkenal di dunia, radio
dan calculator kecil, kita cuma tahu memasang komponen sahaja. Setengah
para jurutera kita tidak pun tahu meneliti dan mengkaji 'circuit board'
supaya dapat mengeluarkan sendiri radio dan calculator. Sebaliknya para
jurutera di beberapa negara seperti Korea, Jepun dan Taiwan akan faham
apabila melihat sahaja 'circuit board' dan lain-lain. Tidak lama dari itu
melalui 'reverse-engineering', mereka dapat meniru dan kemudian
merekabentuk barangan mereka sendiri. Kebanyakan dari jurutera kita lebih
suka menjadi pentadbir dengan pangkat yang tinggi daripada mencipta
sesuatu yang diminati oleh orang ramai.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

19. Dengan pelancaran loji rintis diesel minyak kelapa sawit pada hari
ini, ujian selanjutnya akan dapat dilaksanakan untuk menguji keupayaan
proses yang digunakan untuk mengeluarkan diesel minyak kelapa sawit secara
komersial di samping menjalankan kajian kemungkinan serta penilaian secara
mendalam tentang kesesuaian bahan ini dijadikan sebagai bahan
bakar. Kajian-kajian ini dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua
tahun.

20. Kejayaan kita mencipta proses dan kaedah menukarkan minyak kelapa
sawit kepada diesel, memberi kita satu contoh bahawa kemampuan Malaysia
dalam bidang sains dan teknologi tidaklah terlalu ketinggalan. Dalam
hubungan ini, saya berbangga mendapat tahu bahawa PORIM telah mengemukakan
permohonan untuk mendapatkan 2 'patent' di Britain. Kejayaan-kejayaan
seperti ini apabila dimajukan sepenuhnya akan menjadi 'intellectual
property' negara kita. Saya berharap banyak lagi teknologi baru ciptaan
tempatan akan dapat dihasilkan supaya hasrat Kerajaan untuk muncul sebagai
sebuah negara perindustrian menjadi kenyataan dalam masa yang
sesingkat-singkatnya.

21. Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya melancarkan Loji
Rintis Diesel Minyak Kelapa Sawit serta Projek Enjin Elko ini dengan
rasminya. 
 
 



 
Google