Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN BANKUET, BANGUNAN PARLIMEN
Tarikh/Date : 06/12/85
Tajuk/Title : UPACARA PENYAMPAIAN DIPLOMA MAKTAB
TURUS ANGKATAN TENTERA
Yang Berbahagia Tan Sri Jeneral Ghazali Che Mat, Penglima Angkatan
Tentera; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Lembaga Maktab Turus Angkatan
Tentera yang telah memberikan penghormatan untuk saya berucap dan
seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah, serta diploma-diploma kepada para
graduan yang telah berjaya menamatkan kursus di Maktab Turus Angkatan
Tentera bagi tahun 1985 ini. Kepada graduan-graduan sekalian, saya ucapkan
tahniah di atas kejayaan saudara-saudara menyempurnakan latihan di Maktab
ini. Adalah diharapkan saudara-saudara akan dapat menyumbang tenaga bakti
dalam meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing serta cuba meninggikan
lagi taraf professional saudara-saudara.
2. Sesungguhnya saya berasa gembira yang Maktab Turus ini telah dapat
melatih pegawai-pegawai daripada negara sahabat, di samping melatih
pegawai-pegawai tempatan. Penyertaan pegawai-pegawai luar negeri merupakan
satu penghormatan dan pengiktirafan di atas sistem latihan tentera kita
dan dengan secara tidak langsung dapat memperkayakan mutu pengajian serta
prestasi Maktab ini ke taraf yang sejajar dengan maktab-maktab turus di
negara-negara yang lebih maju. Persefahaman dan pertukaran pendapat di
antara pegawai-pegawai tempatan dan pegawai-pegawai luar negeri semasa
berkuliah di Maktab ini diharapkan akan dapat memupuk semangat kerjasama
antarabangsa dan hormat menghormati antara satu sama lain.
3. Sehubungan dengan ini, saya suka mengingatkan bahawa tugas utama
Angkatan Tentera adalah mempertahan dan memelihara keamanan, kemerdekaan
dan kedaulatan negara agar penduduknya dapat hidup bebas untuk mengamalkan
cara hidup masing-masing bagi mencapai kemakmuran. Kita tidak boleh
berpuashati dengan kemakmuran dan keamanan yang wujud sekarang
ini. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, kita mesti terus
menyusun benteng pertahanan dan sedia menghadapi segala ancaman dari dalam
atau luar negeri. Saya suka menegaskan bahawa penyusunan sistem pertahanan
yang tidak bersungguh-sungguh akan mendatangkan kekecewaan, penderitaan
dan kemusnahan belaka. Kita telah saksikan keadaan ini berlaku di Vietnam
Selatan dan Kampuchea di mana kegagalan pertahanannya telah mengakibatkan
penderitaan, kehilangan kebebasan hidup, perampasan harta benda dan
kemusnahan industrinya. Untuk melepaskan diri daripada penderitaan, rakyat
Vietnam dan Kampuchea sanggup menyabung nyawa untuk melarikan diri ke
negara-negara lain.
4. Kita, rakyat Malaysia nescaya akan mengalami nasib yang sama seperti
ribuan pelarian-pelarian Vietnam yang mendarat di merata-rata pantai
negara kita, sekiranya kita lalai atau tidak mempunyai sistem pertahanan
yang kukuh. Untuk mengelakkan daripada kekalahan dan menyelamatkan rakyat
jelata daripada kehancuran, kita mestilah menyusun satu sistem pertahanan
dan keselamatan yang berkesan. Sistem ini mestilah berupaya menangkis
segala bentuk ancaman dari dalam mahupun luar negeri. Inilah sahaja cara
kita menjamin keamanan negara kita.
5. Strategi pertahanan kita mestilah sanggup mendokong satu konsep
keselamatan yang menyeluruh yang merangkumi segala aspek kekuatan tentera,
keutuhan ekonomi, kestabilan politik, keteguhan jentera pentadbiran,
ketahanan psikoloji dan perpaduan rakyat. Jika dilihat daripada segi
kepentingan negara, strategi ini adalah berdasarkan kepada cita-cita untuk
menghindari sebarang peperangan, dan sebaliknya pula untuk menjamin hidup
aman, damai, bebas dan berkecuali di samping jiran-jiran yang bersahabat
dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
6. Pembangunan sesuatu sistem pertahanan yang serba moden memerlukan
pelaburan besar daripada segi pembelian senjata dan peralatan. Kita mudah
terperangkap di dalam perlumbaan pasaran senjata yang hanya mementingkan
kemajuan teknologi yang semakin mahal. Sebagai sebuah negara yang sedang
membangun kita tidak mampu memiliki senjata dan peralatan 'state of the
art' yang serba lengkap bukan sahaja disebabkan oleh harganya, tetapi juga
kekerapan ianya diganti dengan sistem yang lebih sofistikated. Sebaliknya
kita mestilah berpandu kepada pemilihan senjata dan alat peralatan yang
sesuai bagi keperluan kita dan seterusnya memperhebatkan daya tempurnya
dengan cara peningkatan pengendalian dan teknik pengerahannya.
7. Sehubungan dengan ini saya suka mengingatkan saudara-saudara sekalian
mengenai pengurusan atau 'management' dalam rangka pemerintahan
moden. Seperti yang saudara-saudara sedia maklum setiap pemerintah
mestilah mempunyai sifat-sifat kepimpinan untuk mendorong orang-orangnya
mengikut arahan, tetapi dalam Angkatan Tentera yang serba moden kuasa dan
kemampuan memimpin sahaja tidaklah cukup. Untuk menjadi seorang pemerintah
yang berkesan saudara-saudara perlu juga mahir dalam bidang
pengurusan. Oleh itu adalah mustahak bagi setiap pegawai yang mempunyai
cita-cita tersebut untuk meningkatkan kecekapan pengurusan.
8. Saudara-saudara sebagai pegawai staf atau pemerintah pasukan yang
terlatih, harus menghayati bahawa keupayaan Angkatan Tentera kita semakin
lama semakin meningkat. Susunan-susunan semula yang dianjurkan oleh
ketiga-tiga perkhidmatan telah menghasilkan sistem pengurusan dan latihan
yang lebih berkesan, sistem penyelenggaraan yang lebih efektif dan mutu
kepimpinan yang lebih tinggi di semua peringkat. Peranan yang akan
saudara-saudara mainkan pasti akan memberi lebih cabaran dalam menentukan
kualiti anggota tentera yang saudara pimpin akan tetap
terjamin. Saudara-saudara perlu juga menjamin bahawa moral, patriotisme
dan kecekapan dalam segala bidang pengkhususannya adalah sentiasa
terkawal. Saya dan pegawai-pegawai atasan saudara mempunyai penuh
keyakinan bahawa saudara-saudara akan dapat memenuhi hasrat ini dan
mencapai kejayaan yang dapat dibanggakan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi sepatah dua kata
kepada pegawai-pegawai dari luar negeri yang berada bersama-sama kita di
Majlis ini. I would like to say a few words to the foreign officers who
have attended the course at the Staff College.
10. I would like to congratulate you all for having successfully completed
the course. I sincerely hope you had had an enjoyable stay in this
country. I am made to understand that during the course of your stay, you
were given ample opportunity to study and understand our Malaysian way of
life. You may have noticed that our system of Government is not far
different from any other free nation although we do have our own
peculiarities. We make no apologies for these peculiarities as we are
convinced that they are essential in a developing multi-racial country.
11. The pace of development in this country since independence has been
unusually fast. We attribute this to political stability and the general
desire of Malaysians to improve their standard of living and to take their
legitimate place in the community of nations.
12. There are the usual discontented people who are only too ready to vent
their personal frustrations by complaining to whoever is prepared to
listen to them. No one should be taken in by them. The best way to judge
is to look around you and see the obvious achievements which contrast
rather glaringly with the claims of the discontented.
13. We are now in the midst of a recession but we are not submitting
passively to it. We will overcome our difficulties in time.
14. We hope that your course and your stay here has helped you understand
Malaysia better. We also hope you have enjoyed your stay and that you will
carry with you good memories of your sojourn here.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15. Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengingatkan kepada
saudara-saudara sekalian bahawa kelulusan daripada Maktab Turus Angkatan
Tentera bukanlah bererti selesainya pendidikan sebagai pegawai staf atau
pemerintah. Asas-asas yang dipelajari di sepanjang kursus ini perlulah
diterapkan dalam amalan harian dan disesuaikan untuk keadaan yang
dihadapi. Kecekapan saudara-saudara menjalankan tugas dan memikul
tanggungjawab yang akan ditetapkan, akan membantu ke arah keberkesanan dan
meningkatkan lagi kecekapan Angkatan Tentera dalam memainkan peranannya.
Terima kasih.
|