home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	CHANGKAT PAVILLION, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	07/12/85 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN EKSPO 
			KEUSAHAWANAN PELAJAR 




 Yang Berhormat Dato' Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pelajaran; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan, Saya bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wataala dan berasa amat besar hati pada hari ini kerana dijemput
untuk berucap dan merasmikan Ekspo Keusahawanan Pelajar '85.

Inilah kali yang pertama Ekspo seperti ini diadakan. Keusahawanan atau
'entrepreneurship' ialah satu perkara yang sangat saya minati kerana saya
yakin sepenuhnya bahawa mutu kehidupan kita keseluruhannya bergantung
kepada keupayaan kita dalam bidang perdagangan. Malahan Nabi besar kita
Muhammad S.A.W. pernah bersabda, yang bermaksud; "sembilan per sepuluh
daripada rezeki kita datangnya daripada perniagaan".

2. Bulan November yang lalu merupakan satu bulan yang penuh dengan
kegiatan-kegiatan yang berhubung rapat dengan usahawan dan
keusahawanan. Satu rombongan usahawan telah mengadakan lawatan ke Oman
untuk membuka jalan bagi perdagangan dengan negara tersebut. Satu
rombongan lagi telah bersama-sama dengan saya semasa saya membuat lawatan
rasmi ke negara China. Satu Seminar Usahawan Bumiputera telah diadakan di
Kuala Lumpur. Telefon buatan Malaysia telah juga dipamerkan di Pusat
Perdagangan Dunia Putra. Sebuah syarikat tempatan telah melancarkan
komputer pertama buatan Malaysia - Accent 2001. Hadiah Usahawan Malaysia
1985 dengan menamakan 10 Usahawan Negara yang terulung telah juga
diadakan. Semuanya itu memberi harapan baik kepada Malaysia. Kita dapat
meyakinkan diri sendiri bahawa ada orang-orang kita yang sanggup dan
berani menjadi peneroka mencuba berbagai-bagai bidang untuk memajukan diri
masing-masing dan negara seterusnya.

3. Pada hari ini pula kita berhadapan dengan satu lagi kegiatan
usahawan; cuma pada kali ini kita berhadapan dengan pelajar-pelajar
sekolah. Namun begitu usaha-usaha yang telah dijalankan bagi mengadakan
Ekspo selama tiga hari ini seharusnya mendapat sokongan dan sanjungan
daripada kita semua. Saya difahamkan Kementerian Pelajaran telah berusaha
sedaya upaya supaya Ekspo ini tidak merupakan satu lagi temasya 'food and
funfair' yang selalu kita saksikan di sekolah-sekolah, ataupun tidak
merupakan satu lagi Pekan Air Hitam di Johor, atau satu lagi Pekan Rabu di
Kedah.

4. Semua kegiatan yang terlibat; dari persiapan awal merangka kertas
kerja, membawa kepada persiapan gerai dan kegiatan jualan, saya percaya
akan memberi satu pengalaman yang amat berkesan kepada pelajar-pelajar
yang mengambil bahagian. Saya berharap daripada kumpulan ini, dan daripada
kumpulan-kumpulan yang akan mengadakan Ekspo di peringkat negeri di
seluruh negara akan lahirlah satu barisan usahawan yang sanggup menghadapi
cabaran-cabaran pada masa yang akan datang kelak.

5. Di sini ingin saya jelaskan sedikit makna usahawan, kerana nampaknya
ramai yang terkeliru antara usahawan dengan 'entrepreneur' yang boleh
ditafsir sebagai peneroka dalam bidang perniagaan atau industri. Usahawan
sebenarnya bermakna 'industrialist', seorang yang melibatkan dirinya
dengan perusahaan termasuk pembuatan barang. Keusahawanan pula ditafsir
sebagai 'entrepreneurship' yang bermakna kebolehan memula atau mencuba
sesuatu perniagaan atau perusahaan. Memandang kepada kekeliruan ini maka
eluklah jika dalam konteks Ekspo ini kita tentukan maksud Keusahawanan.

6. Tafsiran yang perlu kita tentukan ialah Keusahawanan bermakna
'entrepreneurship' atau kegiatan meneroka sesuatu perniagaan, sama ada
berbentuk perdagangan atau pembuatan barang. Daripada tafsiran ini maka
seseorang yang memulakan perniagaan yang berbentuk penerokaan adalah juga
usahawan, walaupun dalam konteks lain usahawan diberi makna 'industri-
alist' iaitu seorang yang mengambil bahagian dalam industri.

7. Pentingnya unsur penerokaan dalam kegiatan keusahawanan atau
'entrepreneurship' ialah seorang entrepreneur bukan sahaja berniaga tetapi
ia meneroka satu jenis atau cara perniagaan yang agak baru. Umpamanya
membuka kedai makan adalah perkara biasa. Tetapi mengadakan rantaian kedai
makan secara 'franchise' dengan jenis makanan yang tetap adalah satu cara
baru di Malaysia. Begitu juga khidmat hantar bungkusan biasanya dibuat
oleh pejabat pos. Oleh kerana khidmat ini tidak memuaskan, maka ada
entrepreneur yang memasuki bidang ini dengan khidmat yang lebih cepat dan
terjamin. Sebuah syarikat di Jepun umpamanya berjanji akan membayar balik
bayaran yang dikenakan jika bungkusan sampai satu minit lewat daripada
yang dijanjikan. Ada peniaga yang memberi khidmat 24 jam sedangkan
biasanya khidmat itu adalah pada waktu siang sahaja. Dahulu hotel diurus
oleh tuan punyanya. Tetapi sekarang wujud peniaga yang bercadang untuk
mengurus dengan baik hotel kepunyaan orang lain. Dalam bidang pembuatan,
ramai entrepreneur yang mengeluarkan barang yang tidak pernah dipasarkan
dahulu, atau menggunakan cara baru seperti Ford dengan sistem 'mass
production' dan lain-lain lagi.

8. Jelaslah bahawa entrepreneur adalah berbeza sedikit daripada peniaga
biasa. Di Malaysia entrepreneur tidak begitu ramai kerana amalan di negara
kita ialah jika seorang menjual buku, maka semua akan jual buku; jika
seorang jual burger, semua jual burger, jika seorang buka bengkel
memperbaiki kereta, semua akan membuka bengkel memperbaiki kereta. Tidak
siapa yang memikir untuk menjual buku cara baru, atau menjual burger cara
baru, atau mengadakan bengkel jenis baru. Kesan daripada kesesakan dalam
satu-satu bidang perniagaan ialah semua peniaga tidak mendapat pelanggan
yang cukup.

9. Di kalangan bumiputera di negara kita terdapat cuma beberapa jenis
perniagaan sahaja. Sebaliknya kita tahu bahawa ada beribu-ribu jenis
perniagaan. Ini berlaku kerana kurang terdapat entrepreneur di
Malaysia. Yang ada ialah peniaga biasa sahaja.

10. Perniagaan mempunyai seribu satu liku dan butiran yang semuanya
memerlukan pengenalan dan kajian. Seorang entrepreneur bukan sahaja akan
mengenali butiran-butiran dengan mendalam tetapi akan dapat mengguna
pengetahuan ini untuk memperbaiki lagi pencapaian perniagaannya. Dengan
perkataan lain seorang entrepreneur akan dapat meningkatkan kecekapan
perniagaannya, supaya ia dapat bersaing dengan peniaga lain dengan lebih
berjaya. Sebab itu syarikat yang lemah boleh berjaya selepas pengurusannya
bertukar tangan. Sebaliknya syarikat yang baik dan untung, jika
pengurusannya diambil-alih oleh seorang yang bukan entrepreneur, akan
gagal.

11. Seorang entrepreneur akan tahu kesan rancangan jangka panjang dan
nilai-nilai yang baik yang diamalkan olehnya. Tidak ada seorang
entrepreneur yang lokek, penipu dan tidak beramanah. Peniaga boleh menipu
dalam jangka yang pendek tetapi tidak lama selepas itu ia akan dikenali
dan nasib yang buruk akan menimpanya.

12. Daripada beberapa perkara yang telah saya sebutkan jelaslah
entrepreneur bukanlah peniaga biasa. Ia adalah peniaga istimewa yang
mempunyai kebolehan dan sifat-sifat yang baik, yang cekap dan
rajin. Seorang peniaga atau pengusaha tidak semestinya menjadi
entrepreneur.

13. Hanya dengan mengetahui bagaimana membuat sesuatu barang belum tentu
akan menjadikan sesaorang itu pengusaha, jauh sekali menjadi
entrepreneur. Barang boleh dibuat dan dijual dan laris pula
jualannya. Tetapi belum tentu ada untung. Belum tentu perniagaan akan
membesar dan berkembang maju. Lebih mungkin ialah dengan bertambahnya
keluaran, bertambah pula hutang, akhirnya mungkin bertambah rugi.

14. Seorang pengusaha perlu tahu bagaimana cara hendak mengurangkan kos ke
tahap yang maksima. Tetapi pengurangan ini mesti ditentukan kepada
bidang-bidang yang tidak akan menjejaskan mutu dan daya penarik barangan
yang dikeluarkan. Jika pengurangan kos dibuat melalui penurunan kualiti
bahan, atau jenis bekas, atau iklan akibatnya mungkin penjualan tidak akan
laris. Pengusaha tempatan kerap kali mencari jalan ini untuk mengurangkan
kos. Sebaliknya barang buatan luar negeri menekankan kualiti bungkusan dan
iklan yang amat menarik. Pengurangan kos oleh pengusaha luar negeri ialah
melalui peningkatan produktivitinya. Kita tidak dapat berbuat demikian
kerana kita suka berniaga bersendirian dengan syarikat kecil yang kurang
modal. Berpuluh-puluh syarikat kecil mengeluarkan cili sos di Malaysia
sedangkan adalah lebih baik kita ada satu dua sahaja yang besar yang cukup
modal dan dapat mengurangkan kos melalui 'economies of scale'.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

15. Satu lagi perkara yang perlu dititik-beratkan ialah peranan pelajaran
berniaga. Ramai yang berpendapat bahawa berniaga tidak perlu
dipelajari. Siapapun boleh berniaga. Ramai daripada millionaire di
Malaysia tidak belajar berniaga, bahkan tidak ada pelajaran
tersebut. Memang benar bahawa ramai juga ahli perniagaan yang tidak
belajar berniaga secara formal. Tetapi ini tidak bermakna bahawa semua
peniaga tidak perlu belajar berniaga. Dalam keadaan ekonomi masyarakat
moden yang begitu kompleks pengurusan tidak lagi mudah. Ia memerlukan
kebolehan dalam bidang pengurusan kakitangan, pengurusan projek,
pengurusan kewangan, fahaman berkenaan dengan bahan, proses dan kos dan
sebagainya. Pengetahuan ini boleh diperolehi melalui pengalaman
semata-mata tetapi pembelajaran boleh memendekkan proses pengalaman.

16. Sebab itulah Kerajaan telah menubuh sebuah universiti khusus untuk
mengajar pengurusan. Tugas Universiti Utara Malaysia ialah untuk
membekalkan negara dengan bakal pengurus yang berkelayakan. Selepas
mendapat ijazah mereka masih memerlukan pendedahan kepada kerja pengurusan
buat beberapa lama untuk mendapat pengalaman. Harapan kita ialah kita akan
mempunyai lebih ramai pengurus yang berkebolehan dalam jangka yang lebih
singkat. Dengan ini mungkin kerugian yang kita alami sekarang baik dalam
syarikat Kerajaan atau swasta dapat dikurangkan.

17. Universiti Utara Malaysia bukanlah institusi tunggal untuk melatih
pengurus. Banyak institusi lain yang terlibat dengan memberi latihan
perniagaan yang tidak kurang pentingnya. Sekali lagi ingin saya tegaskan
bahawa institusi dan kursus tidak dengan sendirinya menjamin
kejayaan. Tidak kurang pentingnya ialah sikap mereka yang mengambil
kursus.

18. Mereka mestilah sedar bahawa kursus itu berguna untuk realiti
kehidupan dalam masyarakat. Kursus bukan bertujuan untuk mendapat sijil
dan ijazah yang cantik yang boleh menghiasi pejabat atau rumah
bersama-sama dengan gambar konvo. Sijil juga bukan sebagai kunci untuk
membuka pintu pejabat supaya kita dapat peluang bekerja dengan gaji
tertentu. Yang penting ialah aplikasi segala ilmu yang telah dipelajari
untuk urusan kerja supaya kerja mendatangkan hasil yang diharapkan. Gaji
yang besar dan pangkat yang tinggi tidak bermakna jikalau kerja yang
dijalankan tidak bermutu dan kerugian dialami sepanjang masa.

19. Bagi bumiputera pula janganlah fikir bahawa semuanya patut dimudahkan
oleh Kerajaan supaya kejayaan tetap tercapai setelah mendapat ijazah dan
kelulusan. Tanggungjawab Kerajaan ialah untuk memberi 'headstart' melalui
bekalan ilmu. Selepas itu menjadi tanggungjawab masing-masing mencari
kejayaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

20. Saya belum pasti apakah maksud dan bentuk Ekspo Keusahawanan Pelajar
ini. Sebagai bakal pengusaha tentulah kita merancang untuk mencari
keuntungan daripada usaha ini. Kita tidak harus berharap kepada derma,
kerana meminta derma bukanlah petanda yang baik bagi bakal pengusaha dan
entrepreneur. Kita sebagai entrepreneur mesti bergantung kepada kecekapan
kita untuk mendapat untung. Kita juga mesti menjaga maruah kita sepanjang
masa.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

21. Saya berdoa supaya Ekspo Keusahawanan ini akan menolong meningkatkan
lagi kecapaian pelajar dalam bidang tertentu. Dengan harapan ini saya
dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Ekspo Keusahawanan Pelajar ini. 
 

 



 
Google