Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN
TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 31/12/85
Tajuk/Title : PERUTUSAN TAHUN BARU 1986
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
rahmatNya kita telah sama-sama melalui tahun 1985 dan dalam sekejap masa
lagi kita akan memasuki tahun baru 1986.
2. Tahun 1985 merupakan satu tahun yang penuh dengan cabaran, tetapi
Alhamdulillah kita telah berjaya melaluinya dengan sabar dan
tabah. Keadaan ekonomi dunia yang meleset turut melibatkan negara kita
juga. Harga barangan mentah seperti getah, bijih timah, minyak kelapa
sawit dan lain-lain bahan mentah yang mana negara kita banyak bergantung
kepadanya untuk mendapatkan pertukaran wang asing telah jatuh ke paras
yang paling rendah. Akibat daripada kejatuhan harga barangan mentah ini,
ramai pekerja di sektor swasta kehilangan mata pencarian mereka. Kerajaan
sangat mengambil berat terhadap perkara ini dan sentiasa memikirkan
tentang cara-cara bagaimana masalah ini dapat diatasi.
3. Berbagai langkah telah dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk
meringankan bebanan yang dihadapi oleh rakyat. Setiap kementerian, jabatan
dan agensi-agensi Kerajaan telah diarah supaya mengambil kira keadaan
kedudukan kewangan negara dalam setiap projek yang sedang dan akan
dirancangkan.
4. Dalam menghadapi keadaan ini, yang penting ialah penerimaan hakikat
bahawa cara kehidupan kita hendaklah selaras dengan pendapatan
kita. Apabila pendapatan kita menurun, maka kita hendaklah mengurangkan
perbelanjaan kita. Dengan perkataan lain, di waktu susah kita mestilah
mengikat perut dan berbelanja setakat yang kita mampu sahaja. Ini bukan
sahaja perlu dibuat oleh Kerajaan tetapi juga oleh setiap sesaorang
daripada kita. Jika kita berhutang untuk mengekalkan taraf hidup yang
tinggi, maka apabila keadaan pulih, beban membayar hutang akan melambatkan
proses pemulihan kita. Oleh itu, di waktu kemelesetan ini
bersabarlah. Insya-Allah kita akan dapat kebahagiaan daripadanya.
5. Sementara itu, untuk mengatasi kesan kemelesetan, kita semua mestilah
meningkatkan daya pengeluaran kita. Peningkatan daya pengeluaran bermakna
pengeluaran hasil kerja yang lebih banyak berbanding dengan
perbelanjaan. Dengan itu barangan yang dikeluarkan akan menjadi lebih
murah dan dapat dibeli oleh lebih ramai rakyat dalam negeri, dan dapat
pula bersaing dengan lebih berjaya di luar negeri. Angka-angka yang
didapati menunjukkan bahawa semua barangan keluaran Malaysia adalah lebih
mahal daripada barangan-barangan yang sama daripada negara-negara asing,
sama ada yang membangun atau yang maju. Sebabnya ialah kerana daya
pengeluaran kita rendah.
6. Dalam arena politik pula, walaupun terdapat pergolakan politik yang
mencabar, namun negara kita tetap stabil dan tenteram. Perasaan
tanggungjawab yang menjadi sebahagian daripada sifat rakyat Malaysia telah
membolehkan masalah parti-parti politik diselesaikan dengan cara yang adil
dan demokratik. Beberapa masalah yang sedang berlaku akan dapat
diselesaikan melalui proses rundingan. Yang penting ialah di negara kita
ini yang menang tidak terlalu tamak dan membolot semua untuknya. Dengan
sifat ini maka kerjasama dan persefahaman dapat dijalin semula, walaupun
sebelumnya pertentangan yang hebat telah berlaku.
7. Memanglah senang bagi seseorang ahli politik atau sesebuah parti
politik dalam negara majmuk mendapat sokongan ramai dengan menggunakan
isu-isu perkauman dan agama. Tetapi, perbuatan ini amat merbahaya dan
tetap akan membawa keburukan bukan sahaja kepada masyarakat umum tetapi
juga kepada mereka yang menggunakan isu-isu tersebut.
8. Dari itu, kita di Malaysia hendaklah berhati-hati dalam apa jua ucapan
dan tindakan kita. Kita hendaklah sentiasa mengambil-kira sensitiviti
masyarakat majmuk kita. Kita hendaklah sentiasa bersikap sederhana dan
toleran dalam segala kegiatan kita. Kita boleh mengkritik, kita boleh
menyuarakan pandangan kita secara terbuka, tetapi kita mestilah mengetahui
akan batasan-batasannya. Sepertimana kebebasan berucap tidak bermakna kita
boleh membuat fitnah dan melempar tuduhan dengan sewenang-wenangnya,
begitu juga kita tidak boleh begitu bebas bercakap sehingga tercetus
rusuhan dalam masyarakat.
9. Setiap anggota masyarakat secara tidak langsung terikat dengan
perjanjian kemasyarakatan atau 'social contract'. Perlindungan yang diberi
kepadanya oleh masyarakat mestilah dibalas dengan menghormati aturan dan
undang-undang masyarakat. Tidak sesiapa pun yang boleh mengecapi nikmat
hidup bermasyarakat tanpa memikul tanggungjawabnya kepada masyarakat.
10. Dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia, tidak sesiapa pun yang
boleh mendapat semua kehendak hatinya. Kita telah tentukan hak dan bentuk
masyarakat kita dan kita tidak harus mempersoalkan lagi persetujuan yang
telah dicapai. Perbuatan membuka semula soal-soal lama akan membawa reaksi
yang akan mengancam keamanan dan kestabilan masyarakat kita. Kerajaan
tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap sesiapa yang mengancam
kestabilan dan keamanan negara ini.
11. Baru-baru ini satu kejadian yang amat menyedihkan telah berlaku di
negara kita. Kejadian di Memali merupakan satu perbuatan yang mencemarkan
nama baik negara kita. Akibat daripada ajaran bahawa darah orang-orang
tertentu dan kakitangan Kerajaan adalah halal bagi pengikut Ibrahim
Mahmood serta pemakaian tangkal-tangkal yang kononnya menjadikan
pengikutnya kebal, maka kumpulan Ibrahim telah menyerang polis dengan
senapang patah dan lain-lain senjata.
12. Tembakan-tembakan pertama yang dimulakan oleh pengikut-pengikut
Ibrahim telah membunuh dan mencederakan beberapa orang polis yang tidak
menyangka akan serangan hendap terhadap mereka. Orang-orang yang menembak
dan membunuh ini bukanlah penjenayah biasa tetapi telah menjadi pembunuh
kerana ajaran dan hasutan oleh Ibrahim. Kemudian daripada itu, beberapa
orang pengikut Ibrahim pula terbunuh dan tercedera. Pengikut-pengikut
Ibrahim telah menjadi mangsa kerana ajaran Ibrahim. Sia-sia sahajalah
kematian pengikut-pengikut Ibrahim kerana mereka tertipu dengan ajaran
karut oleh Ibrahim. Demikianlah kesan buruk yang berpunca daripada
kafir-mengkafir dan penggunaan agama Islam untuk kepentingan politik dan
diri sendiri.
13. Sebagai sebuah negara yang demokratik, kita tidak boleh membenarkan
golongan-golongan seperti ini melakukan kehendak hati mereka dan
mempengaruhi dan menganiayakan orang ramai dengan dakyah sesat. Kerajaan
akan terus bertindak tegas dan akan mengambil langkah-langkah yang
sewajarnya bagi membanteras sebarang kegiatan jenayah dan sebarang
kegiatan yang boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan
negara. Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan sesiapapun yang
menggunakan kekerasan untuk mencabar undang-undang dan memaksa pendapat
atau pandangan mereka diterima oleh orang ramai.
14. Negara tidak akan selamat dan tenteram sekiranya undang-undang negara
tidak dihormati dan dipatuhi. Kita semua sebagai warganegara yang cintakan
negara ini, iaitu tanah tumpah darah kita, mestilah sentiasa mendokong
undang-undang negara. Pendapat bahawa seseorang boleh membuat, mentafsir
dan menguat-kuasakan undang-undangnya sendiri akan mencetuskan huru-hara
dalam negara. Tiada siapapun akan selamat kerana tiada siapapun yang akan
tahu apakah undang-undang dan siapakah yang berkuasa. Apa juga
undang-undang yang dikuatkuasakan oleh sesebuah negara mestilah dibentuk,
ditafsir dan ditadbirkan dengan teratur. Inilah yang kita lakukan di
negara kita Malaysia, baik bagi undang-undang am atau undang-undang Islam.
15. Sempena Tahun Baru ini, saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia
memperbaharui azam dan tekad untuk meningkatkan lagi kerjasama dan
persefahaman di antara satu sama lain. Walaupun benar kita masih lagi
menghadapi berbagai masalah, tetapi ini tidak seharusnya digunakan sebagai
alasan untuk tidak bekerjasama dan tidak bersatu-padu. Memang ada
golongan-golongan dan pihak-pihak tertentu yang cenderung menggunakan
masalah yang kita hadapi ini untuk memecah-belahkan kita. Kita haruslah
ingat bahawa tujuan golongan-golongan ini bukanlah untuk menyelesaikan
masalah tersebut, tetapi hanya untuk menggunakan masalah ini bagi
kepentingan sempit mereka.
16. Kita juga harus ingat bahawa kita telah menghadapi lebih banyak lagi
masalah dan cabaran di masa-masa yang lalu. Kita telah berjaya mengatasi
cabaran-cabaran tersebut hasil daripada perpaduan yang erat, persefahaman
yang kukuh dan kerjasama yang sepadu di kalangan masyarakat majmuk di
negara ini. Dengan adanya perpaduan, persefahaman dan kerjasama ini, kita
telah mencapai berbagai-bagai kejayaan baik daripada segi politik,
ekonomi, sosial dan sebagainya. Kita telah dapat menikmati kemajuan, taraf
hidup dan pertumbuhan ekonomi yang menjadi sebutan dan pujian oleh
pakar-pakar ekonomi antarabangsa.
17. Janganlah kerana tidak puas hati terhadap sesuatu, kita sanggup
melakukan perkara-perkara yang boleh menghancurkan segala apa yang telah
kita capai dengan susah-payah semenjak berpuluh-puluh tahun yang
lalu. Saya mempunyai penuh kepercayaan bahawa rakyat Malaysia yang
cintakan keamanan dan cintakan negara ini tidak mudah dipengaruhi oleh
sesiapapun untuk tujuan jahat mereka.
18. Sempena menyambut tahun baru 1986 ini, marilah kita bersama-sama
memperbaharui azam untuk terus meningkatkan lagi perpaduan, persefahaman
dan kerjasama dan bersama-sama berganding bahu serta bergerak sebagai satu
pasukan menghadapi cabaran tahun 1986 dan tahun-tahun yang akan
datang. Insya-Allah kita akan berjaya.
19. Kepada semua rakyat Malaysia, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|