home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	04/02/86 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN MUZAKARAH KESEDARAN 
			ISLAM PEGAWAI- PEGAWAI KERAJAAN 




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato Dr. Yusof
Nor, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat kita
berkumpul dan hadir bersama-sama di Majlis Perasmian Muzakarah Kesedaran
Islam ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia yang sudi menjemput saya merasmikan Muzakarah ini. Saya
berdoa dan berharap mudah-mudahan Muzakarah ini akan membuka jalan kepada
kefahaman ajaran Islam yang lebih luas lagi di kalangan pegawai-pegawai
Kerajaan.

2. Islam bukan sahaja satu kepercayaan atau agama seperti yang dimaksudkan
dengan agama-agama yang lain. Islam adalah cara hidup - satu agama yang
menyeluruh, yang bukan sahaja bermakna kepercayaan kepada Allah Subhanahu
Wataala, Malaikat, Rasul dan Hari Kiamat, atau ibadat sembahyang, puasa,
zakat dan mengerjakan ibadat haji tetapi setiap gerak-geri penganut Islam
tertakluk kepada hukum-hukum tertentu. Islam tidak ada kecacatan. Jika
semua ajaran Islam dituruti, maka nescaya kehidupan seseorang atau sesuatu
masyarakat akan menjadi bahagia dan berjaya. Sudah tentu jika semua
pegawai dan kakitangan Kerajaan mengikut panduan Islam dalam menjalankan
tugas, kita akan memperolehi Kerajaan yang adil dan berkesan.

3. Malangnya, tafsiran dan tekanan terhadap ajaran Islam dibuat oleh
manusia biasa. Walaubagaimana alim seseorang pengajar atau pengembang
agama Islam, ia adalah seorang manusia biasa dan sebagai manusia biasa ia
tidak sunyi daripada kesilapan. Oleh kerana ini, kita dapati umat Islam
juga tidak terlepas daripada hidup merana, miskin, tidak berilmu, tidak
dapat menyediakan pertahanan sendiri, sering berperang sesama Islam dan
sebagainya. Ini semua disebabkan oleh tafsiran, ajaran dan amalam Islam
yang salah atau penolakkan ajaran Islam oleh orang Islam sendiri.

4. Kita dapati bahawa Kerajaan-Kerajaan Islam pun lemah, tidak cekap,
diserang oleh berbagai jenayah, bertentangan antara satu sama lain dan
sering diperalatkan oleh musuh-musuh umat Islam. Kekayaan yang ada pada
orang Islam disalah-gunakan, atau dikuasai oleh orang yang bukan Islam,
sehingga kadang-kadang diguna untuk membiayai gerakan anti Islam termasuk
memerangi orang-orang Islam.

5. Semua ini berlaku kerana ajaran Islam yang sebenar tidak dipatuhi,
terutama ajaran berkenaan dengan nilai-nilai yang mulia yang diwajibkan
oleh agama Islam. Nilai-nilai ini amatlah penting kerana daripada
pengamalan nilai-nilai inilah akan datang segala kebaikan kepada umat
Islam.

6. Nabi Muhammad s.a.w. menanam nilai-nilai yang mulia bukan sahaja
melalui ajaran tetapi juga melalui teladan. Kita tentu tahu bahawa Nabi
Muhammad s.a.w. dikenali dengan gelaran Al-Amin kerana Baginda adalah
orang yang beramanah. Apa juga yang ditugaskan kepada Baginda, Baginda
melakukannya dengan penuh tanggungjawab. Harta orang dijaga sama seperti
harta sendiri olehnya. Hasil daripada ajaran dan amalan inilah maka bukan
sahaja agama Islam berkembang, tetapi penganut Islam memperolehi kejayaan
dan kebahagiaan di zaman Nabi dan Khulafah Rashidin, iaitu sebelum terlalu
ramai manusia yang membuat tafsiran tentang ajaran Islam.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

7. Apabila Kerajaan mengisytiharkan dasar penerapan nilai-nilai Islam
dalam pentadbiran Kerajaan, maksud Kerajaan ialah nilai-nilai yang mulia
seperti amanah, kejujuran, kesetiaan, kerajinan, dan lain-lain
lagi. Nilai-nilai ini juga dimuliakan oleh orang yang bukan Islam. Hanya
dengan kerana orang bukan Islam juga memuliakan nilai-nilai ini tidak
bermakna orang Islam tidak boleh memuliakannya. Apa yang dimuliakan oleh
orang Islam akan terus dengan kemuliaannya, walaupun orang lain juga
mempunyai pendapat yang sama. Sebaliknya oleh kerana nilai-nilai ini juga
diterima oleh orang-orang bukan Islam, maka adalah lebih mudah bagi semua
kakitangan Kerajaan tanpa mengira kaum dan agama mengamalkannya.

8. Kesedaran berkenaan dengan pandangan Islam terhadap sesuatu yang kita
lakukan amatlah penting. Di sini harus kita ingat bahawa agama Islam bukan
agama yang negatif, yang cuma menyenaraikan apa yang kita tidak boleh
buat. Sebaliknya lebih banyak yang positif daripada
larangan-larangan. Jika ada larangan, tujuannya ialah untuk mencegah
kegiatan yang boleh membinasakan orang Islam, dan bukan untuk menyekat
kemajuan. Tetapi malangnya umat Islam telah menyalah-ertikan larangan ini
dan terlalu memberi tumpuan kepadanya sehingga kurang membuat apa yang
diseru oleh Islam. Akibatnya ialah masyarakat Islam menjadi mundur dan
lemah.

9. Dewasa ini, desakan agama Islam supaya menguasai ilmu, supaya
menyediakan pertahanan ummat, mencari rezeki di dunia, memerhati dan
memahami segala kejadian Allah Subhanahu Wataala dan lain-lain lagi yang
positif sudah tidak diberi perhatian lagi. Sebaliknya terdapat usaha untuk
mengharamkan berbagai kegiatan yang dituntut oleh agama Islam. Di samping
itu, tekanan diberi kepada perkara titik-bengik yang sengaja diada-adakan.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

10. Kesedaran terhadap Islam cuma bermakna jika ajaran Islam yang sebenar
difaham dan diamalkan. Kesedaran tidak akan mempunyai makna jika diasaskan
kepada ajaran yang sempit atau salah. Sebab itu, Kerajaan memberi
perhatian bukan sahaja kepada kesedaran tetapi juga kepada ajaran Islam
yang sebenar. Jika tidak, kesedaran cuma akan membawa masalah.

11. Dalam Islam bukan semua ajaran atau hukum-hukumnya sama wajib atau
sama setaraf. Ada hukum yang tegas atau wajib dipatuhi oleh semua umat
Islam. Ada yang sunat dipatuhi dan ada pula yang diletak di antara sunat
dan wajib. Sekarang sudah ada aliran untuk menjadikan yang sunat itu
wajib.

12. Sebab itu, apabila Kerajaan berusaha untuk menerapkan nilai-nilai
Islam, ada di antara mereka yang melaksanakannya tidak memberi perhatian
secara serius kepada nilai-nilai yang mulia yang begitu penting untuk
pembangunan umat Islam. Bersih, cekap, amanah, disiplin, kesetiaan, rajin
dan tekun dan lain-lain lagi tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam
penyedaran tentang agama Islam.

13. Sepertimana kita sedia maklum, tidak ada paksaan dalam Islam. Jika
nilai-nilai yang mulia ini hendak diserapkan, caranya ialah dengan
pujukan, teladan dan penerangan. Menekan pendapat seseorang berkenaan
dengan amalan ajaran Islam dengan cara tekanan sosial atau pergaulan
bukanlah cara yang disuruh oleh agama Islam. Kegemaran kepada cara ini
dalam pejabat-pejabat Kerajaan hendaklah dihentikan.

14. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dalam usaha kita menyedarkan
anggota-anggota Kerajaan supaya kesedaran itu diasaskan kepada ajaran
Islam yang sebenar. Kita tidak mahu melihat satu 'backlash' akibat
daripada tindakan kita. Kita tidak mahu sesiapa menjauhkan diri daripada
Islam, kerana penggunaan paksaan menyebabkan reaksi yang
negatif. Ketua-Ketua Jabatan dan mereka yang diberi tugas untuk memandu
anggota Kerajaan dalam hal agama Islam, hendaklah berhati-hati supaya niat
baik Kerajaan tidak membawa masalah kerana pelaksanaan tidak seperti yang
dikehendakki oleh agama Islam.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

15. Pegawai dan kakitangan Kerajaan adalah pelaksana dasar dan rancangan
Kerajaan. Sama ada dasar dan rancangan-rancangan mencapai maksud dan
matlamatnya bergantung kepada kebolehan dan dedikasi pegawai dan
kakitangan. Sebagai manusia biasa, semua pegawai dan kakitangan Kerajaan
mempunyai berbagai kelemahan. Di samping itu, kita juga tahu bahawa
kelemahan ini boleh dikurangkan melalui berbagai cara. Pelajaran, latihan
dan pengalaman adalah di antara cara-cara yang berkesan bagi mengatasi
kelemahan. Tetapi sifat-sifat yang ada pada pegawai dan kakitangan juga
memainkan peranan yang penting.

16. Untuk membentuk sikap yang baik dan berkesan, tidak ada jalan yang
lebih baik daripada kesedaran keagamaan dan kefahaman terhadapnya. Sebagai
sebuah negara Islam, amatlah tepat kita memilih Islam sebagai panduan kita
ke arah yang baik. Sebab itulah penyedaran agama Islam dianggap penting
bagi mendirikan Kerajaan yang baik dan berkesan.

17. Saya berharap Muzakarah ini akan berjaya menyedarkan kakitangan
Kerajaan tentang Islam dan ajaran-ajarannya. Jika ajaran yang disampaikan
adalah ajaran Islam yang sebenar, maka bukan sahaja Kerajaan akan mendapat
khidmat yang lebih baik tetapi individu itu sendiri akan mencapai
kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Tidak syak lagi bahawa negara yang
mendapatkan khidmat daripada kakitangan Kerajaan yang amanah, jujur, rajin
dan lain-lain lagi nilai yang baik, akan menjadi negara yang kuat dan
kukuh dengan penduduk yang bahagia. Demikianlah harapan kita terhadap
Muzakarah Kesedaran Islam ini.

18. Saya berdoa semoga tujuan dan cita-cita yang mulia ini akan kita
capai.

19. Dengan doa ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Muzakarah Kesedaran
Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia ini. Wabillahi taufik
walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.  
 
 



 
Google