home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT Tarikh/Date : 19/03/86 Tajuk/Title : MENJAWAB PERKARA-PERKARA YANG DIBANGKITKAN MENGENAI JABATAN PERDANA MENTERI KETIKA PERBAHASAN ATAS TITAH DIRAJA (1986) Tuan Yang Di-Pertua, Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi pandangan, teguran dan syor-syor yang membina terhadap perkara-perkara di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri. Tuan Yang Di-Pertua, 2. Perbahasan Titah Ucapan Di-Raja pada tahun ini nampaknya tidak tertumpu kepada isi kandungan ucapan dasar yang penting itu tetapi lebih tertumpu kepada dua peristiwa yang memikat hati ahli Dewan terutama ahli-ahli dari parti pembangkang. Kerajaan telah mengeluarkan Kertas Putih berkenaan dengan Peristiwa Memali dan Skandal BMF bersama-sama dengan laporan lengkap Jawatankuasa Penyiasat BMF dengan tujuan supaya rakyat dapat maklumat yang sebenar berkenaan dengan kejadian-kejadian ini. Malangnya kebenaran tidak mendapat perhatian. Sebaliknya ahli-ahli parti pembangkang berminat, bahkan asyik dengan mengadakan 'witch-hunt'. Orang yang jelas bersalah tidak dipedulikan. Begitu juga kehilangan duit yang banyak tidak mendapat perhatian. Yang menarik ialah aspek-aspek yang boleh di'politicise'kan untuk tujuan-tujuan tertentu. 3. Cadangan dibuat supaya diadakan Suruhanjaya Di-Raja dan 'Special Prosecution Team'. Ini seolah-olah tidak percaya kepada laporan yang telah dibentang, atau kepada agensi Kerajaan yang bertanggungjawab mendakwa segala jenayah dalam negara kita. 4. Sebenarnya Jawatankuasa Penyiasat telah menyiasat lebih dari bidang tugasnya. Jika Suruhanjaya Di-Raja terlindung dari tindakan undang-undang, Jawatankuasa Penyiasat juga terlindung. Pendapat peguam di Malaysia ialah jika sesiapa berani membuat saman-malu terhadap Jawatankuasa tersebut, ia akan disoal dalam mahkamah sehingga lebih banyak keburukannya akan terdedah. Dia juga boleh dituduh dengan tuduhan palsu kerana kata peguam, 'Defamatory statements made in the interest of the public are privileged.' dan 'This would hold good even if the information contained are false.' Ramai juga yang sanggup mempertahankan Jawatankuasa Penyiasat, jika ia disaman. Tidaklah benar bahawa Jawatankuasa Penyiasat tidak terlindung. 5. Apakah gunanya Suruhanjaya Di-Raja selain dari meneruskan 'witch-hunt' dengan maksud-maksud tertentu. Duit yang telah hilang tidak akan dapat diperolehi semula kerana 'witch-hunt' ini. Tetapi dengan pergolakan dan publisiti berikutnya maka kepercayaan rakyat dan dunia terhadap bank-bank Malaysia dan ekonominya akan terjejas. Pelaburan baik oleh orang tempatan mahupun orang asing akan berkurangan. Seterusnya pemulihan ekonomi negara yang sedang meleset akan menjadi lebih sukar lagi. 6. Kerajaan tidak berniat untuk melepaskan sahaja mereka yang menyamun duit negara. Apa juga tindakan yang perlu diambil telah diambil dan akan diambil. Tetapi walaupun kita ingin mendera orang yang salah, janganlah kita mendakwa siapa sahaja untuk melepaskan geram kita. Setiap tuduhan mesti disiasat dengan rapi supaya tidak sesiapa teraniaya kerana hendak memuaskan selera orang-orang tertentu. 7. Laporan Jawatankuasa Penyiasat bukan 'Investigation Pa- per' Polis kerana Jawatankuasa Penyiasat bukan polis. Siasatannya tidak lengkap dan tidak teliti. Sebab itu surat yang mengandungi tandatangan palsu diterima bulat-bulat sebagai exhibit yang sah dan tuduhan dilempar. Begitu juga surat dari penjenayah, catitan dalam dairi dan surat peribadi - semua diiktiraf sebagai benar. Nampaknya jika seseorang menyebut nama-nama tertentu, maka bagi Jawatankuasa Penyiasat ini bermakna penama itu salah. Jika demikianlah asas pengadilan maka seseorang hanya perlu menulis nama siapa yang ia benci berkenaan dengan sesuatu jenayah maka sasarannya akan didakwa dan dihukum. 8. Sebenarnya pihak yang bertanggungjawab dalam Kerajaan, iaitu Peguam Negara dan polis, harus menyiasat dengan lebih teliti sebelum mendakwa sesiapa. Hanya jika pihak mereka berpuas hati ada kes barulah dakwaan akan dibuat. Tidak ada sebab kenapa 'Special Prosecution Team' hendak diadakan melainkan kita ingin belakangkan proses biasa dan menggantinya dengan sebuah Kangaroo Court seperti yang terdapat di beberapa negara komunis dan dictatorship. 9. Seperkara yang agak diketepikan ialah jenayah ini berlaku di Hong Kong dan Kerajaan Malaysia tidak mempunyai jurisdiction di sana. Hanya yang boleh dibuat ialah memberi kerjasama kepada Kerajaan Hong Kong. Dan ini telah dan sedang dibuat. Namun demikian di mana sahaja kita berhak, kita telah mengambil tindakan. Sebab itu harta mereka yang jelas terlibat telah dibekukan atau diambilalih oleh Bank. 10. Percubaan untuk mengekalkan publisiti terhadap Skandal BMF kerana kononnya begitu marah skandal tersebut tidak akan mendatangkan kebaikan kepada negara. Yang perlu sekarang ialah tindakan yang diambil untuk menghukum orang yang salah dan jika boleh mendapat balik sebahagian dari wang yang telah hilang. Semua ini sedang diurus oleh Bank Bumiputra. Jika pihak pembangkang ada maklumat yang boleh menolong Bank Bumiputra, sila sampaikan kepada pihak yang berkenaan. Jika tuduhan umum dibuat yang menarik publisiti, Kerajaan akan anggap ini sebagai helah politik sahaja dan Kerajaan tidak berhajat melayannya. 11. Bagi pihak Kerajaan, saya mengucap terima kasih kepada Tan Sri Dato' Ahmad Noordin dan Jawatankuasanya. Tidak siapa dapat menafikan bahawa laporan yang disediakan adalah comprehensive dan berguna. Pendedahan terhadap kecurangan dan penipuan yang dibuat oleh orang-orang tertentu adalah hasil usaha yang terpuji. 12. Jika tidak kerana beberapa sindiran terhadap orang-orang yang tidak dapat mempertahankan diri dan keghairahan dengan publisiti, laporan ini boleh menjadi satu classical work yang tidak ada bandingannya. Tuan Yang Di-Pertua, 13. Oleh kerana ramai Ahli Yang Berhormat terpikat dengan BMF, Kertas Putih berkenaan dengan Memali tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Sebenarnya Peristiwa Memali tidak kurang buruknya daripada Skandal BMF. Jika BMF ialah cerita penipuan yang besar, Memali mendedahkan jenayah yang paling bahaya kepada negara. 14. Dalam Peristiwa Memali, satu kumpulan fanatik telah mencabar kewibawaan Kerajaan. Mereka tidak akui hak polis untuk menguatkuasakan undang-undang. Mereka mengadakan pasukan kawalan peribadi yang bersenjata yang sanggup membunuh. Mereka melengkapkan diri dengan anika jenis senjata yang tidak pernah diguna di Malaysia -- seperti Molotov Cocktail, anak panah beracun, dan jamong atau firebrand. Mereka memperalatkan wanita tua dan muda dan kanak-kanak sebagai perisai bagi lelaki yang pengecut. Mereka menipu diri dengan kepercayaan mereka kebal. Mereka dilatih untuk melindung dari berbagai alat yang diguna oleh polis. 15. Hari ini peristiwa ini berlaku di Memali. Pihak polis tidak bebas bertindak kerana takut mencederakan orang. Sudah ada kumpulan-kumpulan lain yang berpendapat, jika mereka beramai-ramai menentang polis, maka polis akan menjadi kaku kerana takut mencederakan orang. Oleh itu mencabar polis mungkin dibuat oleh kumpulan-kumpulan lain. 16. Jika polis berasa serba salah dan takut dikatakan bengis, maka polis sebagai agen keselamatan tidak akan berkesan lagi. Dengan itu masyarakat di tempat-tempat tertentu tidak akan berasa selamat lagi. Dalam keadaan ini samseng mungkin bermaharajalela - seperti di zaman dahulu. 17. Inilah bahayanya Peristiwa Memali. Teladan yang buruk telah ditunjuk. Jika pasukan polis yang sanggup mati untuk menjaga keamanan kita tidak dihargai, maka semangat mereka akan menjadi lemah. Alhamdullillah, ini belum berlaku. Tetapi kita tidak boleh terlalu yakin ini tidak akan berlaku. Tuan Yang Di-Pertua, 18. Ahli Yang Berhormat dari Bandau dan Ahli Yang Berhormat dari Rantau Panjang telah membangkitkan masalah di Sabah. Kerajaan merasa bimbang dengan perkembangan yang sedang berlaku tetapi terpaksa berhati-hati dalam mengambil tindakan kerana bukan sahaja soal keselamatan atau 'security' tetapi ada juga banyak penglibatan politik yang terlibat. 19. Keadaan di Sabah adalah tegang. Perniagaan telah terhenti di beberapa buah bandar utama. Sekolah ditutup kerana ibu bapa tidak senang hati untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Penduduk di beberapa buah tempat tidak berani meninggalkan rumah, bahkan ada yang bersiap sedia untuk mempertahankan diri atau mengadakan serang balas. 20. Namun demikian Kerajaan Persekutuan tidak bercadang mengisytiharkan darurat jika ini dapat dielakkan. Kita telah cuba mencari penyelesaian politik. Malangnya ada pihak-pihak yang tidak begitu tertarik dengan cara ini. Mereka mempunyai cara penyelesaian yang tersendiri. 21. Kerajaan Persekutuan berharap cara yang disyorkan oleh pihak ini tidak akan berjaya. Sebagai Kerajaan Persekutuan kita tidak akan memihak kepada mana-mana pihak tetapi akan menentukan keamanan wujud dan pilihanraya diadakan. Pihak polis akan menjalankan tugas mereka seperti biasa, tanpa pilih kasih. 22. Sehingga sekarang polis telah menahan hampir 800 orang. Mereka yang ditahan ini yang bukan warganegara telah dikeluarkan dari Sabah. Tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa juga yang didapati terlibat dengan kegiatan jenayah. 23. Saya ingin menyatakan bahawa walaupun keadaan di Sabah tegang, tetapi keselamatan keseluruhannya adalah terkawal. Pihak polis mampu menjaga keselamatan. Jika perlu pasukan-pasukan tambahan akan dihantar dari Semenanjung. Sementara itu segala usaha akan dibuat untuk mententeramkan keadaan dan memulih semula keamanan supaya pilihanraya baru dapat diadakan. Tuan Yang Di-Pertua, 24. Ahli Yang Berhormat dari Ulu Muda telah membuat satu kenyataan yang memberi implikasi bahawa Peguam Negara, dalam hal tindakan pendakwaan, bertanggungjawab kepada Perdana Menteri dan Kabinet yang pada fahamannya perlu dirujuk dan dirundingi sebelum tindakan dakwaan dibuat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat itu, tanggungjawab Peguam Negara dalam hal-hal pendakwaan adalah mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan itu memberi kuasa kepada Peguam Negara dengan menggunakan budibicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan apa-apa prosiding jenayah. Ini bermakna bahawa dalam hal-hal pendakwaan, Perlembagaan memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk bertindak secara bebas menurut prinsip undang-undang tanpa perlu merujuk atau berunding dengan Perdana Menteri atau Kabinet. 25. Ahli Yang Berhormat dari Tanjung Karang telah menyentuh mengenai usaha-usaha berjimat-cermat dalam perbelanjaan projek-projek pembangunan Kerajaan. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri sentiasa mengkaji semula keutamaan projek-projeknya untuk kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Keempat, terutama projek-projek yang besar yang masih belum dilaksanakan. Dalam hal ini, pelaksanaan projek-projek yang rendah keutamaannya dari segi kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya dan projek-projek yang melibatkan perbelanjaan yang besar terus ditangguhkan untuk disesuaikan dengan keadaan ekonomi negara. Di samping itu, kos dan mutu bagi projek-projek juga akan terus dikawal supaya tidak berlaku pembaziran apabila dilaksanakan. 26. Sebagai langkah penjimatan dan untuk menyelaras bayaran gaji para pekerja awam dengan hasil-hasil pengeluaran mereka, Ahli Yang Berhormat itu jua telah mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah Suruhanjaya khusus untuk menyemak kadar gaji para pekerja awam. Sebenarnya Kerajaan memang telah mengumpul dari semasa ke semasa kadar gaji pekerja-pekerja awam di negara-negara lain di rantau ini dan juga di negara-negara yang telah maju. Data-data ini digunakan untuk kajian perbandingan. Pada masa ini Kerajaan tidak memikirkan perlu satu Suruhanjaya ditubuhkan. Di samping itu, Kerajaan sedang dan akan terus mengambil beberapa langkah penjimatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam. Langkah-langkah ini ialah pembekuan jawatan-jawatan kosong yang tidak begitu penting dan pengswastaan agensi-agensi dan projek-projek Kerajaan yang sesuai. Di samping itu, kajian sedang dibuat untuk mengurangkan saiz perkhidmatan awam dan meningkatkan produktiviti. Tuan Yang Di-Pertua, 27. Ahli Yang Berhormat dari Lambir telah membangkitkan berkaitan dengan kerja-kerja berat yang ditawarkan oleh PETRONAS. Pada tahun 1984 dan 1985, sebanyak 45.8% daripada jumlah nilai kontrak telah diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan. Sungguhpun sebahagian besar daripada kerja-kerja berat seperti fabrikasi telah diberikan kepada syarikat-syarikat asing, PETRONAS telah mengenakan syarat kepada kontraktor-kontraktor berkenaan supaya menggunakan bahan-bahan tempatan melainkan jika bahan-bahan yang diperlukan tidak dikeluarkan di Malaysia. Di samping itu, pembelian bahan-bahan yang diimport hendaklah dibuat melalui syarikat-syarikat tempatan. Tidaklah wajar untuk mensyaratkan supaya semua bahan-bahan yang diperlukan diperolehi didalam negeri kerana sebahagian daripada bahan-bahan tersebut memerlukan spesifikasi teknikal yang tinggi untuk dikeluarkan didalam negeri. 28. Adalah menjadi dasar Kerajaan untuk meningkatkan dari semasa ke semasa penglibatan kontraktor-kontraktor tempatan bagi kerja-kerja berat yang ditawarkan oleh PETRONAS. PETRONAS juga sentiasa mengawasi dari masa ke semasa jenis-jenis kerja yang boleh dijalankan oleh pemborong-pemborong dan pembekal-pembekal tempatan. Di samping itu sekiranya keperluan teknikal dapat dipenuhi, PETRONAS memang berusaha supaya kontrak-kontrak besar dipecahkan kepada beberapa bahagian kecil bagi membolehkan kontraktor-kontraktor tempatan mengambil bahagian. Mengenai usahasama di antara syarikat-syarikat asing dan syarikat-syarikat tempatan, PETRONAS sentiasa menasihati syarikat-syarikat asing ke jalan ini. Malah dibawah peraturan bagi mendapatkan lesen, dibawah Akta Kemajuan Petroleum 1974, sekurang-kurangnya 70% saham haruslah dimiliki oleh rakyat Malaysia dan sekurang-kurangnya 30% dari jumlah saham dimiliki oleh Bumiputera. Tuan Yang Di-Pertua, 29. Masalah ajaran sesat telah disentuh oleh Ahli Yang Berhormat dari Tanjong Karang. Memang ada ajaran sesat yang disebarkan oleh orang luar. Oleh kerana kemasukan mereka ini bukan sebagai pendakwah adalah sukar untuk mengawal kemasukan mereka. Walaupun begitu, Pihak Berkuasa Agama Islam Kerajaan Negeri mempunyai kuasa yang mencukupi untuk mencegah penyebaran ajaran sesat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap orang yang menyebar atau menyebar untuk mengajar agama Islam tanpa kebenaran dan orang yang menyebarkan ajaran salah. Walau bagaimanapun, kumpulan orang yang berzikir dan berhijrah dari masjid ke masjid bukanlah penganut ajaran songsang atau ajaran sesat. 30. Ahli Yang Berhormat dari Kinta mendakwa bahawa pelaksanaan beberapa dasar Kerajaan oleh pegawai-pegawai Kerajaan telah banyak membawa kesan yang buruk dan menyebabkan peningkatan polarisasi kaum. Kenyataan ini terlalu umum. Dasar-dasar manakah yang dikatakan telah menimbulkan kesan yang buruk dan meningkatkan polarisasi kaum itu? Dasar-dasar utama Kerajaan telah digubal dan dilaksanakan dengan tujuan untuk mewujudkan perpaduan, bukan sebaliknya. Pelaksanaan dasar-dasar ini dalam masyarakat majmuk kita sudah semestinya memerlukan masa yang agak panjang. Yang penting kita ingatkan ialah rakyat Malaysia dari semua keturunan telah menikmati hasil daripada pelaksanaan dasar-dasar tersebut khususnya Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Oleh itu, tidaklah adil bagi kita terlampau mempersoalkan pelaksanaan dasar-dasar itu seolah-olah dasar-dasar itu membawa keburukan sahaja kepada rakyat negara ini tanpa apa-apa kebaikan. 31. Perkara rasuah selalu sangat diperkatakan oleh orangramai seperti Ahli Yang Berhormat dari Petaling oleh kerana bercakap mengenainya lebih mudah daripada mengambil tindakan untuk menghapuskan. Sebenarnya amalan rasuah negara kita adalah terkawal. Badan Pencegah Rasuah sentiasa melipatgandakan usaha-usaha memerangi rasuah terutamanya dari segi siasatan, perisikan dan juga pencegahan. Sebagaimana yang telah ditegaskan beberapa kali di Dewan yang mulia ini, usaha-usaha menghapuskan rasuah bukanlah satu kerja yang mudah kerana ianya memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua anggota masyarakat. Kerjasama anggota-anggota masyarakat untuk tampil ke hadapan memberikan keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang secukupnya adalah perlu kerana kes-kes rasuah selalunya susah untuk dibuktikan di Mahkamah. Tuan Yang Di-Pertua, 32. Berhubung dengan kegiatan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Ulu Muda, sukalah saya menjelaskan bahawa ISIS telah ditubuhkan pada 8hb April, 1983, untuk memberi idea-idea dan pandangan kedua mengenai isu-isu semasa yang penting dan berkaitan dengan dasar-dasar Kerajaan. Selaras dengan tujuan tersebut, ISIS telah mengaturkan beberapa kegiatan yang meliputi persidangan kolokium, forum, perbincangan umum dan lain-lain bentuk penyelidikan yang berkaitan dengan kepentingan nasional. Suka saya memaklumkan bahawa hal-hal berkaitan dengan ekonomi sememangnya menjadi satu perkara yang diberi perhatian oleh ISIS. Adalah menjadi amalan ISIS untuk mengemukakan hasil-hasil kajian kepada Kerajaan dari masa ke semasa. Tuan Yang Di-Pertua, 33. Akhirnya saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan teguran, pandangan dan syor-syor yang menyentuh perkara-perkara dibawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri. Dimana saya tidak dapat menjawab ataupun menyentuhnya dan menyebut Ahli-ahli Yang Berhormat yang membangkitkannya saya memohon maaf, walau bagaimanapun segala perkara yang ditimbulkan itu telah dicatat dan diberi perhatian. |