home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT LATIHAN POLIS, JALAN GURNEY, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	29/03/86 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERBARISAN HARI POLIS 




Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Y.B. Tan Sri Haniff Omar,
Ketua Polis Negara; Pegawai-Pegawai dan seluruh anggota Pasukan
Polis; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian; 

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
rahmatNya dapat saya bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian
pada pagi ini di upacara perbarisan Perayaan Hari Polis tahun ini. Saya
mengucapkan tahniah kepada semua ahli Pasukan Polis Di-Raja Malaysia
sempena dengan perayaan ulang tahunnya yang ke-179 ini, dan saya juga
mengucapkan terima kasih kerana diberi penghormatan untuk menerima tabek
hormat serta memeriksa perbarisan.

2. Saya berasa amat bangga melihat satu perbarisan yang kemas dan segak
yang tuan-tuan dan puan-puan tunjukkan sebentar tadi, dan ini menunjukkan
mutu disiplin dan ketertipan yang tinggi. Saya percaya dan yakin bahawa
semua ahli Pasukan Polis Di-Raja Malaysia dapat mengekalkan mutu disiplin
dan ketertipan yang tinggi ini semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab
terhadap masyarakat, kerana disiplin dan ketertipan merupakan akar tunjang
kepada perkhidmatan Polis Di-Raja Malaysia.

3. Saya dimaklumkan bahawa tema Hari Polis pada tahun ini ialah
'Profesionalisme Teras Perkhidmatan Polis'. Masyarakat Malaysia hari ini
adalah masyarakat yang adil dan progresif, dibentuk dan dicipta berasaskan
Rukunegara. Untuk menjaya serta meneruskan pembentukan masyarakat yang
adil dan progresif ini, setiap jentera Kerajaan mestilah memainkan peranan
masing-masing.

4. Pasukan Polis Di-Raja Malaysia adalah salah sebuah dari jentera
tersebut, dan adalah menjadi kewajipan setiap ahli polis menjayakan
cita-cita murni ini. Masyarakat yang adil dan progresif memerlukan satu
pasukan polis yang bertanggungjawab untuk menguatkuasa dan mengendalikan
undang-undang negara dengan adil, teratur dan sempurna. Pandangan
masyarakat atau pendapat umum atau 'public opin- ion' terhadap pasukan
polis adalah penting sekali. Dalam konteks ini, untuk mencapai
objektifnya, setiap anggota polis perlulah menitik-beratkan tema perayaan
Hari Polis tahun ini.

5. Perhubungan polis dengan masyarakat mempunyai banyak implikasi kepada
kesejahteraan pasukan polis sendiri. Adalah menjadi tanggungjawab pasukan
polis untuk menentukan bahawa perhubungannya dengan masyarakat sentiasa
baik. Ini akan membolehkan polis melaksanakan tanggungjawabnya dengan
licin dan memuaskan. Masyarakat akan bersimpati dan bekerjasama dengan
polis dalam usaha-usaha menentang musuh-musuh negara, mencegah jenayah dan
lain-lain lagi. Apabila menemui kerumitan dan sebagainya, masyarakat akan
lebih sanggup memberi maklumat-maklumat terhadap kejadian-kejadian yang
berkenaan yang berguna kepada polis.

6. Disiplin yang tinggi akan membuat pasukan polis dihormati dan disanjung
tinggi oleh masyarakat dan akan meyakinkan masyarakat terhadap kerja-kerja
yang dibuat oleh Pasukan Polis Di-Raja Malaysia.

7. Saya percaya dan yakin apa yang saya ucapkan ini dapat dilaksanakan
agar tugas-tugas tuan-tuan dan puan-puan di dalam memberi perkhidmatan
kepada masyarakat mendapat sambutan yang lebih positif daripada
masyarakat. Dan yang penting sekali, negara Malaysia dapat menikmati
kestabilan, keselamatan dan keamanan. Hanya dalam suasana ini sahajalah
negara dapat meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial, yang mana ini
akan dinikmati juga oleh keluarga polis.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

8. Sambil kita bergembira menyambut hari yang bersejarah ini, kita tidak
seharusnya melupakan jasa-jasa mereka yang terkorban dan yang cedera
kerana menguatkuasakan undang-undang, melawan penjenayah dan umumnya
mempertahankan kedaulatan negara. Rakyat dan negara sentiasa menjunjung
tinggi jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka. Marilah
kita berdoa semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan di
tempatkan di kalangan orang-orang yang salih.

9. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih atas penghormatan
yang diberi kepada saya pada pagi ini, dan saya berdoa semoga Tuhan
memelihara keselamatan semua anggota Polis Di-Raja Malaysia.

Wabillahi taufik walhidayah wasaalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 




 
Google