home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	24/04/86 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PEMBUKAAN RASMI MUSABAQAH 
			MEMBACA AL-QURAN 
			PERINGKAT KEBANGSAAN 




Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu'alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh. Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan
Menteri; Yang Berbahagia Dato Seri Haji Kamaruddin Mohd. Isa, Pengerusi
Jawatankuasa Pusat Musabaqah Membaca Al-Quran; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan
dan Puan-Puan, 

Saya amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan rahmat
dan limpah kurniaNya kita dapat sekali lagi bertemu di Majlis yang mulia
ini. Kita juga bersyukur kepadaNya kerana dikurniakan kepada kita tenaga
dan fikiran yang sihat bagi meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan
kepada kita, bagi menjunjung dan meninggikan Syiar Islam dan seterusnya
mempraktikkan segala tuntutan Al-Quran di dalam kehidupan kita
sehari-hari.

Muslimin dan Muslimat sekalian, 

2. Kita hendaklah sedar bahawa negara kita pada masa ini sedang menghadapi
masalah iaitu kesan kemelesetan ekonomi dunia dan kejatuhan harga barangan
utama. Pendapatan hasil dari eksport kita jauh lebih rendah jika
dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu. Ini adalah kerana bahan-bahan
eksport utama kita telah mengalami kejatuhan harganya dengan teruk di
pasaran dunia.

3. Kerajaan juga sedar bahawa sebahagian daripada rakyat amat tertekan
dengan kejatuhan harga komoditi-komoditi utama ini. Ramai yang menganggur
atau pendapatan mereka turun dengan banyak. Walau bagaimanapun kita
hendaklah menyedari bahawa suasana yang wujud ini adalah juga satu ujian
daripada Allah Subhanahu Wataala iaitu untuk menguji sejauh manakah
kesabaran dan keimanan kita dalam menghadapi dugaan dan juga untuk melihat
sejauh mana kebijaksanaan hambaNya dalam berusaha mengatasi cabaran ini.

4. Dari itu sambil kita sebagai Umat Islam berdoa kepada Allah dan memohon
pertolonganNya, kita hendaklah mengembelingkan tenaga dan fikiran bagi
mengatasi tekanan yang kita hadapi. Sebagai orang Islam kita tidak boleh
kecewa atau putus asa. Ujian Tuhan tetap mempunyai khasiat tertentu
walaupun kita tidak nampak apa dianya. Bagi Kerajaan pula, beberapa usaha
telah, sedang dan akan diambil bagi menghadapi suasana ekonomi yang lembab
ini, seperti usaha bagi membangunkan kampung-kampung dengan mewujudkan
industri-industri kecil yang menggunakan bahan-bahan mentah tempatan dan
sebagainya.

5. Di samping itu salah satu cara yang penting dan yang sememangnya
dituntut oleh Islam bagi menghadapi suasana ini ialah dengan
berjimat-cermat dan mengelakkan diri daripada segala pembaziran. Sebab
inilah tema Musabaqah kali ini ialah "Berjimat Berkat, Membazir Mudharat".

Muslimin dan Muslimat sekalian, 

6. Kita hendaklah menyedari bahawa tabiat berjimat ini amat disuruh oleh
Islam. Ini adalah kerana kesannya bukan sahaja menjamin keutuhan dan
kekuatan ekonomi kita sendiri, bahkan juga akan dapat menolong
memperkukuhkan ketahanan ummat dan negara. Dengan berjimat kita akan dapat
menyelamatkan diri daripada berbagai tekanan seperti hutang yang tidak
dapat dibayar, kehilangan harta kerana terlebih belanja daripada
pendapatan dan lain-lain lagi. Sebaliknya dengan berjimat-cermat kita
sebagai orang Islam yang tidak boleh mungkir dapat membayar balik segala
hutang kita dan mungkin dapat mengumpul wang untuk dilabur atau untuk
modal perniagaan. Dengan pelaburan yang bijak kita bukan sahaja mungkin
mendapat keuntungan tetapi dapat pula mewujudkan peluang kerja bagi yang
menganggur dan meningkatkan kegiatan jual-beli dan dagangan dalam
masyarakat, yang mana ini semua akan meringankan kesan kemelesetan ekonomi
ke atas anggota masyarakat, termasuk kita orang-orang Islam.

7. Nabi pernah bersabda yang bermaksud: "Tangan di atas adalah lebih baik
dari tangan di bawah"; riwayat oleh al-Bukhari, daripada Hakim Ibn
Hazam. Hadis ini menunjukkan bahawa Islam amat menggalakkan umatnya supaya
menjadi orang yang mempunyai keupayaan memberi dan menolong orang
lain. Sebaliknya, Islam tidak menggalakkan umatnya sentiasa bergantung dan
mengharap belas kasihan orang lain kerana amalan bergantung kepada orang
lain tanpa apa-apa usaha sendiri, akan menjatuhkan maruah umat Islam.

8. Suruhan berjimat ini bukan sahaja terhad kepada kegiatan ekonomi, atau
pada masa ekonomi mendesak. Kita harus berjimat-cermat sepanjang masa
dengan semua yang ada pada kita. Kita harus berjimat dengan masa. Kita
harus berjimat dengan semua harta milik sementara kita, dengan kesihatan
kita, dengan persaudaraan keluarga dan rakan kita dan persaudaraan
keIslaman kita, dengan keamanan masyarakat kita -- dengan semua
kebahagiaan yang sebenarnya adalah anugerah Tuhan kepada kita. Insya-Allah
dengan berjimat-cermat ini kita akan perolehi ketenangan dan kebahagiaan
baik di masa biasa atau di masa-masa kecemasan. Sudah tentu semua amalan
baik ini akan menjadi bekalan kita untuk akhirat.

9. Jika Kerajaan menyeru supaya kita berdisiplin, bekerja
bersungguh-sungguh, mempertingkatkan daya pengeluaran kita, sebabnya ialah
kerana semua ini adalah sebahagian daripada amalan berjimat-cermat yang
dituntut oleh agama Islam. Dengan perkataan lain, seruan ini secucuk
dengan penerapan nilai-nilai Islam. Sebaliknya mereka yang mempersendakan
seruan Kerajaan atau sengaja tidak menghiraukannya, pada hakikatnya mereka
menentang penerapan nilai-nilai Islam. Begitu juga jika kita
membelakangkan seruan ini dengan menumpukan kepada perkara-perkara kecil
yang dicipta untuk membeza-beza dan membahagikan orang Islam.

Muslimin dan Muslimat sekalian, 

10. Di samping Islam menyuruh umatnya berjimat-cermat, Islam juga melarang
melakukan perbuatan membazir. Al-Quran telah memberi ingatan bahawa orang
yang membazir ini adalah saudara kepada syaitan. Allah berfirman di dalam
Al-Quran pada surah Al-Isra' Ayat 27, yang bermaksud: "Sesungguhnya
orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan
syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya". Dalam
ayat 67 surah Al-Furqan, Allah juga berfirman yang bermaksud: "Dan juga
mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan
tidak pula bakhil kedekut; (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul
sederhana di antara kedua-dua cara itu". Kedua-dua ayat ini menunjukkan
kepada kita bahawa sementara Islam melarang kita berlaku bakhil dan
kedekut, Islam tidak menggalakkan umatnya membelanjakan wang ringgit yang
melampaui batas ataupun keterlaluan.

Muslimin dan Muslimat sekalian, 

11. Hari ini kita dapat menunaikan fardu Haji dengan mudah dan
murah. Dengan menggunakan kapalterbang kita dapat pergi ke Mekah dan
Madinah dalam sekejap masa. Dengan itu ramailah yang dapat mengerjakan
fardu Haji di mana di masa dahulu cuma pada umumnya sebilangan orang-orang
yang kaya sahaja dapat melakukan rukun Islam yang kelima ini oleh kerana
tambang yang mahal dan perjalanan yang agak sukar.

12. Penjimatan masa dan belanja ini adalah hasil ilmu sains dan
teknologi. Demikian juga kapal laut, keretapi, bas dan sebagainya adalah
hasil kajian sains dan keupayaan teknologi. Jelaslah daripada ini sains
dan teknologi telah menolong kita menjimatkan masa dan belanja dalam
membuat ibadat. Hakikat ini sahaja pun mencukupi bagi kita memahami nilai
sains dan teknologi dalam Islam. Kita tidak menafikan pentingnya lain-lain
ilmu termasuk yang berkaitan dengan aqidah dan ibadah. Tetapi, amatlah
bercanggah dengan ajaran Islam kalau kita mengenepikan ilmu sains dan
teknologi kerana jika sains dan teknologi diguna secara tidak angkuh dan
dengan penuh kesedaran akan kebesaran Tuhan, kita akan dapat berjimat
dengan segala apa yang ada pada kita.

13. Justeru itu, sementara kita mengukuhkan lagi iman dan mendalami ajaran
agama Islam, kita juga perlu menguasai ilmu-ilmu lain termasuk bidang
sains dan teknologi. Janganlah kita ketinggalan dalam bidang ini sehingga
terpaksa bergantung sepanjang masa kepada orang lain yang mungkin
mempunyai niat dan muslihat lain.

Muslimin dan Muslimat sekalian, 

14. Kemiskinan sesaorang manusia ialah kerana tidak berjimat-cermat tetapi
sebaliknya membazir. Tiap seorang manusia yang dilahirkan mempunyai
kekayaan jika ia sedar apa yang ada padanya. Sebab itu kita dapat lihat
orang yang lumpuh anggota pun dapat mengguna akalnya untuk belajar sesuatu
ilmu dan tangannya untuk menulis, mengukir dan sebagainya. Sebenarnya
orang yang tidak cukup pancainderanya menunjukkan kebolehan yang luar
biasa dengan anggotanya yang tidak cacat. Orang yang buta mempunyai
pendengaran yang tajam dan jarinya begitu sensitif sekali. Sebaliknya
orang yang bisu boleh melihat dengan terang. Tuhan yang Maha Kaya
mengurniakan kebolehan ini sebagai imbangan kepada kekurangan yang semula
jadi. Apatah lagi orang yang tidak cacat -- mereka kaya dengan kebolehan
tiap anggota.

15. Hanya yang diperlukan ialah kita tidak membazirkan kekayaan semula
jadi kita ini. Kita tidak seharusnya mengeloh selagi ada kekayaan
ini. Sebenarnya jika kita berkata kita miskin, kita sepatutnya menyoal
apakah kita sudah guna sepenuhnya kekayaan yang dikurniakan oleh Tuhan
sebagai modal bagi kita. Jika tidak maka kita sudah tidak bersyukur kerana
membazir dan tidak berjimat-cermat. Janganlah kita guna mata yang buta
sebagai modal untuk meminta sedekah sedangkan tangan kita, telinga kita
dan akal kita masih baik dan boleh diguna untuk mencari rezeki secara
halal.

16. Rezeki ada di mana-mana sahaja. Hanya yang diperlukan ialah kita tidak
membazir dan kita gunakan modal kurniaan Tuhan secara tersusun dan teratur
dengan berjimat-cermat. Dengan tidak mudah kecewa, dengan tekun dan
disiplin, insya-Allah kita akan menghasilkan kekayaan. Sama ada kekayaan
itu lumayan atau tidak, sekali lagi bergantung kepada jimat cermat
kita. Manusia yang terkaya sekali menjadi miskin jika ia belanja lebih
daripada pendapatannya. Sebaliknya, manusia yang kurang berada adalah kaya
kalau ia berjimat-cermat dan berbelanja kurang daripada
pendapatannya. Diri sendirilah yang patut disoal jika kita miskin atau
kaya. Kita tidak boleh ragu-ragu kerana Tuhan sudahpun mengurniakan modal
yang cukup bagi tiap seorang daripada kita. Soalnya ialah apakah kita
sudah menggunakan modal ini dengan sepenuhnya atau kita
membazirkannya? Dan jika memperolehi pendapatan dari modal kita, apakah
kita bercermat atau membazir? 

Muslimin dan Muslimat sekalian, 

17. Ayat-ayat Al-Quran yang akan dibacakan sepanjang Musabaqah ini akan
menjelaskan pengajaran dan panduan Quran terhadap sikap mulia berjimat dan
buruknya pembaziran. Marilah kita bersama-sama menerap nilai-nilai dan
pengajaran Al-Quran ini semoga kita dapat manfaatnya di dunia dan juga di
akhirat.

18. Akhirnya, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi
penghargaan kepada Jawatankuasa Pusat Musabaqah dan para anggota petugas
lain yang telah bekerja keras bagi menjayakan musabaqah tahun ini. Saya
berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga Musabaqah ini akan memberi
manfaat yang berterusan.

19. Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya
membuka Majlis Musabaqah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini dengan
rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 




 
Google