Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL PAN PACIFIC, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	25/04/86 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN DOKTOR
			-DOKTOR PERUBATAN MALAYSIA 




 Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong; dan Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Ampun
Tuanku. Patek telah dijemput untuk memberi sepatah-dua kata di Majlis
Jamuan Makan Malam ini. Dengan itu patek memohon limpah perkenan Duli
Tuanku Berdua untuk membuat ucapan kepada para hadirin sekalian. Ampun
Tuanku.

Yang Berhormat Datuk Mak Hon Kam, Menteri Kesihatan; Dif-dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Doktor-doktor Perubatan
Malaysia kerana sekali lagi menjemput saya suami isteri ke Majlis yang
mulia ini. Seperti tahun-tahun yang lalu saya diminta berucap kepada para
hadirin sekalian. Presiden Persatuan telah pun berucap mengenai beberapa
isu yang berkait rapat dengan perubatan. Dengan itu tidaklah perlu saya
membuat ucapan yang panjang lebar. Walau bagaimanapun saya ingin menyentuh
satu dua perkara dari kaca-mata Kerajaan.

2. Pada umumnya Kerajaan telah berjaya mengadakan kemudahan-kemudahan
perubatan untuk rakyat. Segala projek dan program kesihatan merupakan
pelaburan Kerajaan bagi meningkatkan taraf kesihatan rakyat. Kita percaya
bahawa rakyat yang sihat akan dapat menyumbang kepada pembangunan
masyarakat dan negara. Masyarakat dan negara yang maju pula akan dapat
menyediakan kemudahan-kemudahan untuk meningkatkan lagi kesihatan
rakyat. Nyata sekali bahawa pelaburan Kerajaan mempunyai kesan yang
berlipat-ganda dengan sendirinya.

3. Kesan dari pelaburan ini sudahpun dapat dilihat. Kadar kematian bayi
umpamanya telah berkurangan daripada 19.7 dalam tahun 1980 kepada 17.5
dalam tahun 1984 bagi setiap seribu orang penduduk. Kadar kematian
kanak-kanak pula berkurangan daripada 1.8 pada tahun 1980 kepada 1.5 pada
tahun 1984. Kadar kematian ibu terus berkurangan, begitu juga dengan
kejadian penyakit berjangkit seperti malaria dan batuk kering yang turut
menurun. Di samping itu perkhidmatan perubatan dan kesihatan serta
kemudahan-kemudahan yang lain telah meningkat. Bilangan para doktor pun
bertambah seribu orang dalam masa empat tahun -- daripada 3510 orang tahun
1980 meningkat kepada 4510 pada tahun 1984. Bilangan doktor pergigian juga
bertambah kira-kira 340 orang dalam tempoh yang sama, menjadikan jumlahnya
1,050 orang.

4. Kerajaan akan terus memperluaskan perkhidmatan kesihatan dan perubatan
di negara kita ini. Sejumlah $698 juta telah diperuntukkan bagi
pembangunan dan perkhidmatan kesihatan di bawah Rancangan Malaysia
Kelima. Kebanyakan peruntukan itu akan dibelanjakan untuk pembinaan
hospital-hospital baru dan perkhidmatan kesihatan di luar bandar. Kerajaan
akan terus memberi tumpuan kepada perkhidmatan kesihatan luar bandar bagi
menambahkan kemudahan rawatan kesihatan asas kepada penduduk di
kawasan-kawasan tersebut, serta mengurangkan perbezaan dalam pemberian
rawatan di antara negeri-negeri. Saya yakin usaha-usaha Kerajaan melalui
program dan projek kesihatan akan terus dapat meningkatkan taraf hidup
masyarakat negara ini.

Para hadirin sekalian, 

5. Tatkala membentangkan Rancangan Malaysia Ke-5 di Parlimen baru-baru ini
saya telah menggariskan pentingnya meningkatkan peranan sektor swasta bagi
pembangunan negara pada tahun-tahun yang akan datang. Sektor swasta
dijangka memainkan peranan yang lebih mencabar dalam usaha negara mencapai
pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan memperkukuhkan lagi asas
perindustrian. Ini adalah selaras dengan langkah-langkah memperkukuhkan
kedudukan kewangan sektor awam. Apatah lagi Kerajaan sekarang menghadapi
masalah kewangan sehingga tidak mungkin menyediakan peruntukan kewangan
yang begitu banyak seperti tahun-tahun sebelumnya. Pertumbuhan
perbelanjaan sektor awam akan meningkat dengan kadar yang rendah. Dengan
itu sektor swasta akan memainkan peranan yang semakin luas di bawah
Rancangan Malaysia Kelima. Selaras dengan pendekatan baru ini, Kerajaan
telah juga menggariskan peranan yang lebih penting kepada pihak swasta
bagi menyediakan keperluan perubatan kepada penduduk negara ini.

6. Dalam pembangunan perkhidmatan kesihatan, Kerajaan telah merangkakan
supaya sektor awam dan swasta memainkan peranan yang saling melengkap atau
'complementary roles' bagi menjayakan dasar perubatan negara. Pengamal
perubatan swasta atau 'private practices', sama ada perseorangan atau
kumpulan, rumah-rumah rawatan atau rumah-rumah bersalin, telah membuktikan
keupayaan untuk berkembang dengan pesat sepanjang tahun-tahun lapan
puluhan ini. Di samping itu, sehingga pada tahun 1984, 54 peratus daripada
jumlah bilangan doktor di negara ini terdapat di sektor swasta. Justeru
itu saya yakin perkhidmatan perubatan swasta keseluruhannya mempunyai
kemampuan untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam memenuhi
keperluan-keperluan perubatan bagi rakyat negara ini.

7. Walaupun kita bangga dengan perkembangan seperti ini, seperkara yang
kurang memuaskan ialah perkembangan perubatan swasta ini tertumpu di
kawasan-kawasan bandar, lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan bandar di
negeri-negeri yang berpendapatan tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Perkembangan kemudahan perubatan
swasta di bandar-bandar kecil tidaklah begitu memuaskan, apatah lagi di
luar bandar yang mengalami perkembangan perubatan swasta yang sangat
perlahan. Dengan itu Kerajaan mungkin terpaksa juga meneliti dan memberi
penekanan selanjutnya kepada perubatan kepada penduduk-penduduk luar
bandar.

8. Walaupun begitu Kerajaan berharap Persatuan Doktor-doktor Perubatan
Malaysia akan membantu Kerajaan mencari langkah bagi mengalakkan lebih
ramai lagi pengamal perubatan swasta atau institusi-institusi perubatan
swasta yang telah wujud mengembangkan kemudahan-kemudahan perubatan mereka
ke bandar-bandar kecil. Dengan usaha bersama ini, saya yakin kita akan
berjaya meningkatkan kemudahan-kemudahan perubatan swasta ke bandar-bandar
kecil secara berperingkat.

9. Satu lagi dasar Kerajaan yang melibatkan juga perkhidmatan perubatan
ialah penswastaan. Kerajaan telahpun mengenalpasti beberapa perkhidmatan
yang mungkin diswastakan. Setakat ini terdapat beberapa perkhidmatan bukan
perubatan seperti dobi, penyediaan makanan dan penyelenggaraan hospital
tertentu yang telah diswastakan. Bahkan Hospital Lady Templer di Kuala
Lumpur ini telah dipajakkan kepada sebuah syarikat swasta. Walaupun
baru-baru ini hospital ini menimbulkan keraguan, saya berharap masalah itu
akan dapat diselesaikan.

10. Untuk beberapa tahun yang akan datang Kerajaan akan meneliti
kemungkinan memajak sebahagian atau keseluruhan hospital awam kepada
sektor swasta. Kerajaan juga akan mengkaji kemungkinan membenarkan doktor
swasta bekerja di hospital awam mengikut jadual tertentu. Kerajaan akan
mengalakkan penubuhan organisasi pengurusan kesihatan atau 'health
management organisations' sebagai satu langkah bagi meningkatkan kecekapan
pengendalian serta menyusun sektor perubatan swasta supaya ianya berkesan
membantu kemudahan-kemudahan kesihatan awam.

11. Apa yang saya katakan tadi jelas menunjukkan cita-cita Kerajaan untuk
memberi galakan kepada sektor perubatan swasta untuk memainkan peranan
yang lebih kepada penduduk negara ini pada masa hadapan. Terpulanglah
kepada doktor perubatan swasta untuk membuktikan bahawa mutu perkhidmatan
perubatan negara ini bukan sahaja dapat dipertahankan tetapi
ditingkatkan. Di samping itu saya berharap para doktor perubatan swasta
akan memberi perhatian supaya perkhidmatan-perkhidmatan perubatan dapat
dinikmati oleh seberapa ramai penduduk negara ini, termasuklah mereka yang
berpendapatan rendah. Kita tidak boleh melupakan perlunya perkhidmatan
Kerajaan kepada mereka yang berpendapatan rendah termasuklah mereka yang
kurang bernasib baik. Saya mempunyai keyakinan bahawa MMA pun sentiasa
memikirkan perkara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

12. Dengan harapan ini saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih
kepada Persatuan Doktor Perubatan Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis
Makan Malam ini. Ampun Tuanku, sembah patek pohon diampun.

 
 



 
Google