home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RUMAH UNIVERSITI, UNIVERSITI MALAYA 
Tarikh/Date 	: 	26/04/86 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN SEMINAR BIOGRAFI MALAYSIA 




Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan, Assalamu alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur majlis ini
kerana memberi saya penghormatan untuk merasmikan Seminar Biografi
Malaysia ini dan juga seterusnya melancarkan Projek Kamus Biografi
Malaysia. Kesempatan ini memberikan saya peluang untuk menyatakan
pandangan saya tentang Projek Kamus Biografi ini, di samping berpeluang
pula bertemu dengan para ahli akademik dan tuan-tuan dan puan-puan
sekalian.

2. Saya rasa memang sudah sampailah masanya Malaysia menerbitkan Kamus
Biografinya sendiri. Bukan kerana semua negara maju mempunyai Kamusnya
sendiri, tetapi oleh kerana kita sangat-sangat memerlukan buku rujukan
yang lengkap tentang tokoh-tokoh yang telah menjadikan Malaysia sebuah
negara yang dapat kita banggakan.

3. Saya berharap Kamus Biografi ini nanti akan menjadi bahan rujukan yang
berguna bagi mengkaji tentang tokoh-tokoh penting dalam sejarah
Malaysia. Untuk mencapai mutu yang tinggi saya berharap Kamus Biografi ini
akan merupakan hasil penyelidikan yang mendalam, pertimbangan yang matang
dan penilaian yang objektif. Sebagai satu projek yang bercorak kebangsaan,
dalam erti dikerjakan secara bersama oleh para sarjana dari
institusi-institusi pengajian tinggi tempatan serta badan-badan Kerajaan
yang lain seperti Arkib Negara dan Perpustakaan Negara, maka Kamus
Biografi Malaysia ini mestilah bebas daripada kepentingan perdagangan,
atau kepentingan politik, ataupun kepentingan orang-orang tertentu.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

4. Bangsa dan negara yang besar dan berkebudayaan tinggi adalah bangsa dan
negara yang tahu menghargai jasa pahlawannya -- baik mereka yang berjuang
dengan senjata untuk mempertahankan negara, atau mereka yang berjuang
dengan kepintaran siasah dan akal fikiran untuk mencapai kemerdekaan dan
mengembalikan maruah bangsanya dengan mengorbankan harta-benda, tenaga dan
masa, mahupun mereka yang mengabdikan diri kepada ilmu untuk mendidik anak
bangsanya.

5. Pengorbanan tokoh-tokoh zaman silam ini hendaklah dikenang. Seperti
kita mempelajari aspek-aspek sejarah yang lain, meneliti sumbangan
tokoh-tokoh zaman silam akan memberi pengajaran dan panduan kepada kita
semua bagi membangun negara ini. Sebaik-baik cara mengenang mereka ialah
dengan mengabadikan jasa mereka dalam bentuk buku untuk bacaan umum dan
bahan pelajaran kanak-kanak di sekolah. Dengan itu usaha saudara-saudara
mengumpul, mengkaji, menulis dan menerbitkan riwayat hidup tokoh-tokoh
zaman silam dalam Kamus Biografi Malaysia ini adalah kegiatan yang penting
dan merupakan sumbangan besar dalam usaha mendidik dan memupuk kesedaran
kebangsaan di kalangan rakyat negeri ini, terutama generasi muda.

6. Saya juga berharap maklumat dalam Kamus ini nanti boleh digunakan bukan
saja oleh golongan sarjana dan penyelidik tetapi juga oleh orang awam,
termasuk ahli-ahli politik, pegawai pentadbir, wartawan, penulis dan
kanak-kanak sekolah. Dengan itu perhatian khusus hendaklah diberikan
kepada cara persembahannya supaya sesuai sebagai bacaan umum.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

7. Bagi saya, sejarah adalah lebih daripada hanya sebagai satu sumber
untuk mempelajari masa lampau. Bahkan sejarah menunjukkan arah untuk masa
depan. Hanya dengan mengetahui dan meneliti apa yang kita lakukan hari
semalam, kita tahu apa yang hendak kita lakukan hari ini. Begitu juga,
kita hanya boleh tahu siapa kita kalau kita tahu asal usul kita, nenek
moyang kita. Melalui sejarah, kita mengenal diri kita, keluarga kita, kaum
kerabat kita, jiran tetangga kita, komuniti kita dan bangsa kita. Dan
pengertian ini semua memberikan kita kesedaran berkeluarga, berjiran
tetangga, berkomuniti dan bernegara. Demikianlah sejarah menyedarkan
bahawa kita adalah satu bangsa, dibentuk atas kebijaksanaan pemimpin kita,
dari kaum-kaum yang pada suatu waktu hidup secara bersendiri-sendiri tanpa
rasa persamaan dan tanpa terikat oleh sesuatu destini. Haruslah kita ingat
bahawa sesiapa yang tidak mempelajari sejarah akan didera dengan
mengulangi segala kesalahan berkali-kali.

8. Sekarang ini, sungguhpun kesedaran perkauman masih ada, mungkin masih
tebal di setengah-setengah golongan, tetapi kita semua sedar bahawa kita
tidak dapat elak daripada meneruskan hidup ini secara bersama. Kita
sama-sama berpeluang menentukan sama ada mahu hidup dalam aman dan damai
antara satu sama lain atas dasar saling memahami dan menghormati antara
satu sama lain, atau mahu hidup terus menerus dalam keadaan tidak aman dan
tenteram yang tidak mungkin menguntungkan sesiapa.

9. Menoleh ke belakang menyedarkan kita betapa jauh kita sudah berjalan
bersama-sama untuk membentuk suatu bangsa Malaysia. Titik-titik hitam
sepanjang perjalanan itu memberikan kita panduan untuk membezakan
nilai-nilai yang baik dengan yang buruk, yang hendak dipelihara dan
diteruskan dan yang hendak dilenyapkan.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

10. Biografi adalah sebahagian daripada pengkajian sejarah. Melalui
biografi kita boleh belajar banyak pengalaman bangsa dengan meneliti
kehidupan tokoh-tokoh pentingnya. Pada pandangan saya, biografi menarik
kerana dua sebab. Pertama, kerana kita selalu digalakkan oleh rasa ingin
tahu tentang perwatakan dan kehidupan peribadi manusia yang terkenal, apa
lagi kalau tokoh itu memang pujaan kita. Keduanya, hanya melalui biografi
kita dapat membaca apa yang sebenarnya berlaku di balik tabir, di belakang
pentas dan dalam fikiran tokoh-tokoh yang terlibat. Sejarah lebih
membicarakan hal-hal yang luaran. Bijak pandai mengatakan sejarah hanya
boleh masuk atau boleh sampai di balairong seri istana-istana, ruang tamu
kediaman rasmi dan kamar kerja Presiden dan Perdana Menteri
sahaja. Sedangkan biografi boleh masuk lebih jauh ke dalam, kadang-kadang
sampai ke kamar tidur tokoh yang dibicarakan. Sejauh manakah pengintipan
ini boleh dijalankan adalah soal moral yang perlu saudara-saudara
putuskan. Saya hanya berharap batasan itu tidak melampaui tata-akhlak yang
dapat diterima oleh bangsa kita.

11. Memang selalu ada jurang di antara imej tokoh yang rasmi, sesuai
dengan jawatan yang disandangnya, dengan wataknya yang sebenar sebagai
manusia. Dalam sejarah, kita membaca tentang sesuatu keputusan yang dibuat
dan sebab-sebab yang rasmi mengapa keputusan itu dibuat. Di dalam biografi
kita berpeluang menjengok kepada sebab-sebab yang sebenarnya.

12. Kadang-kadang memang terdapat jurang di antara pendapat peribadi kita
dengan pendapat rasmi jawatan yang dipegang. Semua mereka yang memegang
jawatan awam yang penting pasti pernah mengalami ini. Ini selalu benar
berlaku walaupun kita menjadi kapten yang menentukan nasib anak buah kita.

13. Sungguhpun biografi adalah bahan bacaan yang menarik, agak aneh juga
tidak begitu banyak hasil karya biografi di Malaysia terutama dalam Bahasa
Malaysia. YTM Tunku Abdul Rahman Putra banyak sekali menulis tentang
pengalaman beliau di masa silam. Saya percaya tulisan beliau mendapat
sambutan yang hangat dari pembaca. Beberapa tokoh politik lain, seperti
En. Abdul Aziz Ishak, Tan Sri Datuk Dr. Mohamad bin Mohd. Said dan
Allahyarham Ahmad Boestamam ada menuliskan riwayat hidup mereka sesudah
mereka bersara dari politik. General Tan Sri Ibrahim bin Ismail menuliskan
'Have You Met Mariam' dari pengalamannya sebagai anggota tentera. Saya
percaya menulis riwayat hidup sendiri merupakan profesion kedua yang
memuaskan bagi mereka yang telah lama berkhidmat dalam sektor awam. Maka
itu saya ingin menggalakkan saudara-saudari dan tokoh-tokoh dalam semua
bidang kehidupan supaya menuliskan kisah-kisah menarik dari kehidupan
masing-masing.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

14. Saya gembira mendapat tahu yang Seminar Biografi Malaysia ini dibiayai
sepenuhnya oleh New Straits Times. Ini satu lagi tanda kejayaan konsep
Persyarikatan Malaysia. Saya berharap lebih banyak lagi pihak swasta akan
tampil untuk membantu projek yang seperti ini. 'Dictionary of American
Biography' setebal 20 jilid telah dibiayai oleh sebuah syarikat akhbar di
negara itu, manakala 'Dictionary of National Biography' di Great Britain,
setebal 22 jilid, adalah atas usaha dan dimiliki oleh seorang dermawan.

15. Saya ingin menyeru kepada hartawan dan dermawan kita untuk tampil ke
muka dan mengambil projek ini sebagai anak angkatnya. Saya yakin ini
adalah sumbangan yang besar ertinya kepada sejarah, ilmu dan negara.

16. Dengan itu, saya dengan sukacita merasmikan Seminar Biografi Malaysia
ini dan melancarkan Projek Kamus Biografi Malaysia.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

 



 
Google