home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PADANG KAWAD, KEMENTAH Tarikh/Date : 07/05/86 Tajuk/Title : UPACARA PENUTUP MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA 1986 Yang Berhormat Dato' Abang Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan; Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato' Mohd Ghazali, Panglima Angkatan Tentera; Yang Berbahagia Tan Sri Dato Mohd Yusof Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat hadir bersama-sama pada malam ini untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya melakukan upacara penutup musabaqah membaca Al-Quran Angkatan Tentera bagi tahun ini. 2. Musabaqah membaca Al-Quran telah menjadi amalan bagi masyarakat kita pada setiap tahun. Upacara yang mulia ini merupakan salah satu daripada usaha-usaha kita untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran dan ajaran Islam yang terkandung di dalamnya. Dengan itu kita akan menjadi umat Islam yang lebih beriman dan kukuh dan kita akan dapat menangkis ajaran-ajaran yang karut yang dikaitkan dengan Islam. Pada setiap tahun kita mengadakan musabaqah, kita tidak ketinggalan menyediakan tema-temanya yang tersendiri dan yang diambil daripada Al-Quran yang boleh memandu kita dalam menghadapi perkembangan-perkembangan semasa. Malahan kita mengambilkira serta mempastikan supaya tema-tema musabaqah pada tiap-tiap tahun ada berhubungkait antara satu dengan yang lain. Ini adalah satu usaha yang kita lakukan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran individu dan juga masyarakat terhadap perkembangan Islam dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat ketika itu. 3. Tema 'Kesederhanaan Menurut Al-Quran' adalah ungkapan yang kita anggap paling sesuai bagi musabaqah membaca Al-Quran peringkat Angkatan Tentera pada tahun ini. Kesesuaian yang kita ambilkira pada tema itu ialah kedudukan kita sebagai umat Islam, dan penghidupan di dalam suasana sekeliling kita, di dalam masyarakat yang berbilang kepercayaan dan keturunan. Memang Allah Subhanahu Wataala menggalakkan kita berlaku sederhana dalam semua gerak-geri kita. Allah Subhanahu Wataala tidak suka kepada orang yang suka mencetuskan huru-hara dalam masyarakat. Bagi Angkatan Tentera, kesederhanaan tidaklah bermakna tidak berperang melawan musuh dengan penuh semangat dan kekesanan, tetapi kesederhanaan juga bermakna tidak membuat perkara-perkara yang keji yang tidak ada kaitan dengan pencapaian matlamat perjuangan. Tuan-tuan sebagai anggota tentera tentu lebih maklum, bahawa di dalam peperangan menentang musuh-musuh Allah dan negara, kita perlukan kesungguhan dan kegigihan untuk menewaskan musuh tanpa membenarkan nafsu dan dendam menguasai fikiran dan tindak-tanduk kita. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, 4. Kita harus faham mengenai kesederhanaan yang dikehendaki oleh Islam, yang telah digariskan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud: "Dan demikianlah sebagaimana Kami (Allah) telah memimpin kamu ke jalan yang lurus, Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pertengahan (sederhana), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada seluruh manusia (mengenai yang benar dan yang salah)"...... Dari ayat itu jelas konsep sederhana yang menyeluruh bagi apa jua aspek hidup harian. Dalam usaha menyebarkan ajaran Islam, hanya mereka yang bersikap sederhana dan tidak melampau sahaja yang mampu memikul tanggungjawab tersebut. 5. Sikap sederhana adalah penting di dalam hidup bermasyarakat, lebih-lebih lagi dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama. Kita tidak mahu keamanan, perpaduan dan pembangunan dihancur atau dimusnahkan oleh mereka yang bersikap melampau, bersikap tidak mengambilkira pendapat dan pandangan daripada saudara-saudara kita yang lain. Sikap sederhana dan menerima pandangan dari kawan dan saudara kita, adalah cara yang baik untuk membina dan memupuk perpaduan umat Islam dan perhubungan kita dengan bukan Islam. Tuan-tuan dan puan-puan, 6. Selain daripada mengukuhkan perpaduan ummah, falsafah dari ayat itu juga boleh dijadikan panduan dalam usaha-usaha kita menerapkan nilai-nilai mulia ini di dalam kehidupan harian masyarakat Malaysia seluruhnya. Kesederhanaan merupakan pendekatan yang dapat melahirkan sikap positif penganut-penganut semua agama ke arah hasrat kita itu supaya beroleh kejayaan, kerana kita memang maklum bahawa ajaran dan nilai-nilai Islam adalah sejagat, yang dapat diterima oleh sesiapa sahaja di dunia ini. 7. Walau bagaimanapun ianya memerlukan kesungguhan dan kegigihan daripada setiap anggota masyarakat Islam sebelum kejayaan daripadanya dapat sama-sama kita nikmati. Ketentuan dari Allah itu adalah berkait rapat dengan daya usaha serta tanggungjawab manusia. Dengan itu, kita umat Islam di Malaysia harus bersama-sama memikul tanggungjawab ini. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 8. Kor Agama Angkatan Tentera yang akan diadakan nanti, saya yakin akan dapat meningkatkan lagi perkembangan kesedaran Islam dalam angkatan tentera kita di samping menghindarkan ajaran-ajaran dan fahaman yang sesat atau bertentangan dengan agama Islam yang maha suci. Wabillahitaufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |