home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT LATIHAN POLIS (PULAPOL) JALAN 
			GURNEY, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	17/05/86 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PENUTUP MUSABAQAH MEMBACA 
			AL-QURAN, POLIS DI-RAJA MALAYSIA 




 Yang Berbahagia Tan Sri Haniff Omar, Ketua Polis Negara; Pegawai-Pegawai
Kanan Polis; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Assalamu
alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
dengan taufik dan hidayahNya dapat kita bersama-sama di Majlis Penutup
Musabaqah Membaca Al-Quran Pasukan Polis Di-Raja Malaysia pada malam ini.

2. Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada semua pihak yang terlibat
dalam menyelenggara dan menjayakan Majlis Musabaqah membaca Al-Quran
ini. Kepada Qari dan Qariah yang berjaya, saya mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah dan kepada yang belum berjaya, saya juga memberi sanjungan yang
tinggi di atas sikap dan semangat mereka menyertai Musabaqah ini. Tujuan
sebenarnya kita mengadakan musabaqah membaca Al-Quran bukanlah kerana
hadiah yang boleh didapati oleh pemenang, tetapi supaya kita dapat
merapatkan diri dengan Al-Quran dan meningkatkan lagi kelancaran
membacanya. Kita tidak akan mengetahui sama ada peningkatan berlaku atau
tidak tanpa pertandingan secara tersusun. Pemenang diberi hadiah kerana
peranannya dalam mencapai matlamat peningkatan kebolehan membaca dan
merapatkan kita kepada Al-Quran. Tidak siapa boleh menafikan bahawa sejak
kita mengadakan pertandingan membaca Al-Quran, kita semua lebih mengetahui
isi kandungannya dan cara membaca yang terbaik.

3. Tema Musabaqah Polis Di-Raja Malaysia pada tahun ini adalah sama dengan
tema Hari Polis tahun ini iaitu 'Profesionalisme Teras Perkhidmatan
Polis'. Salah satu kekuatan pasukan polis di mana-mana negara jua pun
ialah pandangan umum terhadap tahap profesionalisme yang diamalkan oleh
setiap anggota pasukan polis. Antara lain, profesionalisme bermaksud
tumpuan kepada tugas tulen dengan mutu yang tinggi yang tidak dipengaruhi
oleh kepentingan diri atau yang lain daripada bidang kerja yang
berkenaan. Ini memerlukan disiplin dan dedikasi yang tidak berbelah-bahagi
serta kesetiaan yang tahan dicabar. Bagi polis, ini bermakna taat setia
kepada negara dan perlembagaan dengan semua isi kandungannya. Kecekapan
dan prestasi perlu ditingkatkan sepanjang masa supaya bukan sahaja pasukan
polis berkesan tetapi dihormati oleh semua pihak.

4. Peranan pasukan polis sesungguhnya amat rumit dan mencabar. Peranan ini
adalah bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Al-Quran sendiri. Ini
dijelaskan dalam Surah A-li 'Imraan, ayat 104, yang bermaksud: 'Dan
hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebaikan dan
menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala
yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah
orang-orang yang berjaya'. Dalam usaha untuk mencegah jenayah dan
menguatkuasakan undang-undang, pasukan polis sentiasa menjadi sasaran
penjenayah dan mereka yang tidak endahkan undang-undang. Di antara mereka
ini terdapat pelampau agama yang sudah jauh lari daripada ajaran Islam
sehingga sanggup membunuh anggota polis yang hanya menjalankan tugas untuk
menjaga keselamatan negara. Mereka telah lupa betapa anggota polis
menghadapi cabaran dan bahaya untuk keselesaan hidup mereka. Di samping
itu pula, polis terpaksa menangkis dan membendung gerakan komunis di
hutan. Dalam operasi-operasi polis menentang pengganas komunis, banyak
kejayaan dicapai. Tetapi kerana kepentingan penerusan operasi, kejayaan
ini tidak diisytiharkan sehingga orang ramai tidak mengetahui akan
kejayaan polis dan betapa keselamatan rakyat terpelihara.

5. Kerana tidak mengetahui peranan yang dimainkan oleh polis, ada golongan
masyarakat yang menjadikan pasukan polis sebagai sasaran atau tumpuan
kritikan apabila timbul isu-isu semasa yang melibatkan keluhuran
perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara. Namun
demikian, saya berasa bangga dan bersyukur kerana anggota-anggota pasukan
polis tidak mudah dipengaruhi dan dilemahkan semangat oleh dakyah-dakyah
palsu itu. Anggota-anggota polis telah menunjukkan sifat-sifat ketakwaan,
kesabaran dan keberanian dalam menghadapi segala cabaran.

6. Sebenarnya, sebagai sebuah negara yang demokratik dan berperlembagaan
yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi, tidaklah ada ruang di
mana penindasan atau pemerasan dapat dilakukan oleh pihak pemerintah atau
agensi-agensinya seperti pasukan polis. Pasukan polis di negara ini adalah
pasukan yang bertanggungjawab apabila menjalankan amanah negara dan
rakyat. Dalam menguatkuasakan undang-undang, polis tidak membezakan antara
kaum dan agama atau fahaman politik. Saya percaya pasukan polis akan dapat
memikul tanggungjawab mereka dengan memuaskan jika sifat-sifat ketakwaan,
kesabaran dan keberanian itu dikekalkan di samping meningkatkan mutu
disiplin, kecekapan serta akhlak.

Para hadirin sekalian.

7. Islam mahukan umatnya hidup aman dan selamat di dunia dan di
akhirat. Keselamatan dan ketenteraman hanya dapat diteruskan apabila kita
bersatu-padu, bekerjasama, bermuafakat dan menghindarkan permusuhan. Islam
amat mementingkan perpaduan di kalangan umatnya. Allah Subhanahu Wataala
berfirman dalam Surah Al-Ma'idah, ayat 2, yang bermaksud: 'Dan hendaklah
kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah
kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan'. Pertikaian
yang timbul dari sikap benci membenci, hasad dengki dan salah faham boleh
menjejaskan perpaduan dan keselamatan. Menurut riwayat Muslim, ini
dijelaskan oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang bersabda: 'Jangan
benci membenci, jangan berhasad dengki dan jangan bermasam muka,
sebaliknya jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara, dan tidak harus bagi
seseorang Islam memulaukan saudaranya melebihi tiga malam'.

8. Yang menyulitkan kita pada hari ini ialah keselamatan dan kedamaian
adalah begitu sukar untuk dipelihara. Perbelanjaan untuk keselamatan
menjadi terlalu tinggi. Beribu-ribu juta ringgit dibelanja bagi menambah
kekuatan polis dan tentera. Perbelanjaan ini dapat diselamatkan dan diguna
untuk lain-lain keperluan rakyat jika rakyat sendiri berdisiplin dan
berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar iaitu beramanah, lurus
dan melaku kebaikan serta menolak perbuatan yang mungkar. Sebab itulah,
Kerajaan menganjurkan penerapan nilai-nilai Islam dan menggalakkan
pembacaan Al-Quran dengan mengadakan musabaqah. Masyarakat Malaysia bukan
sahaja akan menjadi lebih bahagia tetapi akan lebih dihormati kerana
keadaan sentiasa aman dan selamat tanpa terlalu banyak kawalan oleh polis
dan sebagainya.

9. Di dalam usaha membangunkan negara, setiap orang daripada kita
mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing. Setiap satunya
hendaklah dilihat sebagai amanah daripada Allah Subhanahu Wataala kepada
kita. Kebijaksanaan kita melaksanakan tanggungjawab dan kuasa itu akan
dinilai oleh Allah Subhanahu Wataala. Kerja yang kita lakukan untuk
kebaikan diri dan masyarakat adalah sebahagian daripada ibadat kita, dan
kita akan menerima ganjaran dan pahala daripada Allah Subhanahu Wataala.

10. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada
Polis Di-Raja Malaysia kerana berjaya menganjurkan Musabaqah ini. Semoga
Allah memberi taufik dan hidayahNya kepada kita semua.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 
 



 
Google