home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ANGKASAPURI Tarikh/Date : 02/06/86 Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1406 HIJRAH/1986 MASIHI Bismillahir rahmanir rahim.Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd Syukur Alhamdulillah, sekali lagi kita umat Islam dapat merayakan kemenangan kita -- kemenangan melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan yang mulia. Bulan Ramadan adalah bulan di waktu mana terdapat berbagai dugaan bagi umat Islam. Tetapi sesungguhnya di sebalik dugaan itu, Allah Subhanahu Wataala Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani telah menyediakan bagi kita berbagai-bagai hikmat dan nikmat. Dan dengan limpah rahmat Allah Subhanahu Wataala, kita telah berpuasa dan insya-Allah telah meneguhkan iman kita. 2. Untuk selama sebulan kita telah berjaya melawan lapar dan dahaga dan lain-lain tekanan nafsu. Berpuasa bermakna mengawal segala nafsu yang mempengaruhi gerak-geri kita. Kehidupan manusia merupakan satu pertandingan hebat antara nafsu dengan nilai-nilai yang mulia yang dituntut oleh agama. Walaupun di luar bulan puasa kita boleh makan dan minum mengikut selera, nafsu dan kemampuan kita, tetapi kesederhanaan yang dituntut oleh agama kita serta pengalaman kita melarang kita daripada berbuat demikian. Jika kita berjaya melawan nafsu maka kita akan hidup lebih sihat dan bahagia. Demikian juga, jika kita melawan tabiat dan amalan yang tidak baik seperti memfitnah, memungkir janji, membuat jenayah dan lain-lain perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam. 3. Tetapi pada bulan puasa, kawalan terhadap nafsu kita adalah lebih ketat yang mana ini bukan sahaja akan melindung kita daripada mudarat tetapi juga menjadikan kita manusia yang lebih insaf dan bertimbang rasa. Jika kita kenal dan menginsafi pahit maung yang menjadi kelaziman bagi mereka yang tidak berkeupayaan atau kurang kemampuan, kita akan lebih bersimpati kepada mereka dan akan lebih mudah kita lakukan kerja-kerja kebajikan dalam masyarakat. Agama Islam akan lebih dihormati dan lebih dimuliakan jika orang-orang Islam selalu insaf dan sering tolong menolong. Amatlah memalukan orang-orang Islam kerana apabila ramai umat Islam di Afrika mengalami kebuluran, orang-orang bukan Islam yang lebih aktif menghulurkan bantuan. Apakah kita tidak mempelajari sesuatu daripada ibadat puasa kita? Apakah puasa mengajar kita menjadi penerima bantuan dan bukan pemberi bantuan? Apakah kita menganggap puasa sebagai satu ritual untuk mendapat pahala di akhirat sahaja tanpa apa-apa kesan terhadap tingkah laku kita di dunia? Kita harus bertanya diri kita dengan ikhlas dan menjawabnya dengan jujur. Jika tidak, akan sia-sia sahajalah ibadat kita. Muslimin dan Muslimat sekalian, 4. Keadaan ekonomi negara kita baru sahaja menunjukkan tanda-tanda yang agak menggalakkan. Baru-baru ini permintaan untuk barang-barang keluaran kilang-kilang elektronik kita telah mula bertambah. Peluang-peluang pekerjaan dalam sektor ini nampaknya semakin cerah. Namun demikian, janganlah kita lupa akan pengalaman buruk akibat kemelesetan. Kita yang berpeluang harus ingat bahawa masih ramai yang terus menganggur dan sama ada mereka akan dapat peluang bekerja bergantung kepada prestasi kerja yang ditunjukkan oleh kita. Jikalau prestasi kita tidak baik, pelaburan akan mengalir ke negara lain, di mana mungkin dengan belanja yang lebih rendah, pengeluarannya lebih tinggi. Tidak ada gunanya kita mengeluh kenapa pelabur tidak datang ke negara kita. Lebih baik lagi kita mengenal pasti kelemahan kita dan mengatasinya. 5. Yang ingin mendapat peluang daripada kita bukan sahaja majikan. Ada juga orang yang ingin mendapat peluang daripada adanya para pekerja yang ramai supaya mereka mendapat tempat bagi diri mereka. Sementara yang bekerja harus bertindak menjaga kepentingan mereka, janganlah begitu mudah terpengaruh dengan bayangan pendapatan yang lebih dalam jangka pendek sehingga terjejas nasib jangka panjang. Janganlah kita mengganggu peluang mereka yang masih menganggor dengan terlalu ghairah mementingkan diri kita sahaja. 6. Barangan utama yang penting bagi ekonomi negara kita masih menghadapi pasaran yang lembab. Kerajaan sedang melakukan segala-galanya untuk mengatasi masalah akibat daripada kejatuhan harga ini. Di sini harus kita ingat bahawa yang penting ialah kos pengeluaran hendaklah jauh lebih rendah daripada harga jualan. Jika harga jualan jatuh, kita harus mencari jalan untuk menurunkan kos pengeluaran. Ini memerlukan kecekapan pengurusan dan peningkatan daya pengeluaran oleh para pekerja. Jika kita mengharapkan pihak pembeli untuk menaikkan harga barangan kita, kita tetap akan kecewa. Sebaliknya, jika kos pengeluaran kita rendah, kenaikan harga akan menambahkan lagi keuntungan kita. Sementara menunggu hasil usaha kita, kita hendaklah berjimat cermat dan sanggup menghadapi kehidupan yang kurang selesa daripada dahulu. Muslimin dan Muslimat sekalian, 7. Sempena menjelangnya Hari Raya Puasa ini, marilah kita renungkan akan cabaran dan dugaan yang kita hadapi sekarang. Manusia yang beriman dan tidak mudah kecewa, tidak akan menyerah kalah kepada tekanan yang dihadapi. Sebaliknya, mereka bukan sahaja akan menyusun langkah bagi mengatasi segala cabaran, tetapi menjadi lebih kuat kerana usahanya. Sebenarnya, apa yang dihadapi oleh kita bukanlah seberat yang dihadapi oleh negara-negara lain. Kita harus insaf dan bersyukur kerana ringan benar tekanan terhadap kita. 8. Kerajaan berusaha menghadapi cabaran-cabaran dengan penuh realiti, dengan penuh tekad. Insya-Allah dengan keinsafan dan kesedaran rakyat akan konsep korban yang diajar oleh agama Islam, kita akan bersama-sama mengatasi masalah kita. Tuhan tidak akan mengubah nasib kita melainkan kita sendiri berusaha mengubahkannya. Inilah pegangan Kerajaan dan ini jugalah pegangan rakyat, terutamanya umat Islam. Dengan ini maka bertambahlah hasil ibadat puasa kita, kerana kita akan menjadi umat yang lebih taqwa dan faham akan dugaan Allah. 9. Berjaya atau tidaknya sesuatu masyarakat tertakluk kepada nilai hidup yang diamalkannya. Kita telah memilih nilai-nilai Islam sebagai panduan dan pegangan kita. Janganlah sesiapa mengkhianati pilihan kita ini dengan melemparkan fitnah yang boleh melemahkan penerimaan nilai-nilai Islam kerana kita tahu nilai-nilai ini akan membawa manfaat kepada kita. Jika kita gagal, sebabnya ialah kerana orang yang mengkhianati kita telah berjaya menyekat penerapan nilai-nilai Islam dalam amalan kita. Justeru itu, hendaklah kita perangi penghasut dan penghalang ini demi menentukan kejayaan kita dan mengukuhkan lagi iman kita. Muslimin dan Muslimat sekalian. 10. Umat Islam pada zaman ini banyak menghadapi cabaran. Cabaran-cabaran yang dihadapi pula sangatlah mendesak. Kelemahan yang terdapat pada umat Islam hari ini dieksploitasikan dengan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang memang merancang untuk memecah-belahkan masyarakat Islam dan menggugat lagi ketahanan umat Islam. Rancangan mereka menjadi bertambah mudah kerana negara-negara Islam seluruhnya banyak bergantung kepada negara-negara yang mempunyai musuh Islam. Negara-negara Islam yang sedang membangun juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran. Dengan cara halus dan tidak langsung, mereka menghasut rakyat di negara-negara ini supaya mengancam kestabilan, yang mana kestabilanlah yang menjamin kemajuan serta ketahanan sesebuah negara. Dengan tidak disedari orang-orang Islam telah diperalatkan, maka berjayalah musuh Islam mencapai hasrat mereka. Oleh itu, sedarilah dan jauhilah sengketa sesama sendiri jika orang-orang Islam ingin mencapai kejayaan. Muslimin dan Muslimat sekalian. 11. Musuh kita tidak kenal Hari Raya. Pada hari yang mulia ini pun mungkin mereka berusaha menyerang kita. Oleh itu, terpaksalah pasukan-pasukan keselamatan kita meneruskan tugas-tugas mereka walaupun pada Hari Raya. Kita tidak boleh lupakan anggota-anggota pasukan keselamatan kita dan pengorbanan yang mereka lakukan. Kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan Selamat Berhari Raya di mana-mana juga mereka berada. Kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala melindungi mereka semasa mereka dengan penuh kecekapan menjalankan tugas-tugas mereka di Hari Raya ini. 12. Kepada saudara-saudari kaum Muslimin, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga kita semua mendapat hidayat. Kepada saudara-saudari yang bukan Islam, rayakanlah hari kebesaran ini bersama-sama dengan rakan-rakan Islam anda. 13. Akhir kata, saya serta keluarga saya memohon maaf, zahir dan batin, di atas apa juga kesilapan yang mungkin kami telah lakukan selama ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd. |