home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA NEGARA 
Tarikh/Date 	: 	21/06/86 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT 
			PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN DAN 
			BINTANG-BINTANG SERTA PINGAT-PINGAT 




Mengadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Almutawakkil Alallah
Sultan Iskandar D.K., Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ampun Tuanku. Bagi
pihak Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patek sendiri, patek mohon
menyembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia
Tuanku, sempena Majlis Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran
dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat pada hari ini.

2. Sempena hari yang berbahagia ini, patek sekalian berdoa ke hadrat Allah
Subhanahu Wataala, semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan
hidayahNya kepada Duli Tuanku serta Raja Permaisuri Agong. Demikian juga,
patek sekalian berdoa semoga Tuanku berdua sentiasa di dalam kandungan
sihat walafiat, serta memerintah dan memegang teraju tertinggi
pemerintahan negara Malaysia, dengan bertambah daulat dan kemuliaan.

Ampun Tuanku, 

3. Dalam ucapan di upacara yang sama tahun lalu, patek telah memperkatakan
tentang penggubalan Rancangan Malaysia Kelima dan cita-cita Kerajaan untuk
mempastikan objektif- objektif Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan dengan
jayanya. Rancangan Malaysia Kelima telahpun bermula dan ianya
mengambil-kira semua aspek ekonomi negara dan ekonomi
antarabangsa. Kerajaan berasa optimis bahawa sebahagian besar daripada
objektif-objektif Dasar Ekonomi Baru akan tercapai.

4. Ekonomi negara yang meleset akibat kemelesetan ekonomi antarabangsa
telahpun menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Antara tanda-tanda pemulihan
ialah yang terdapat dalam industri elektronik dan industri
pembalakan. Harga minyak petroleum semakin stabil, bahkan ada kemungkinan
ianya akan pulih sedikit-sebanyak dalam masa beberapa bulan lagi. Patek
yakin proses pemulihan ekonomi negara ini akan berterusan walaupun secara
perlahan-lahan, insya-Allah.

5. Di samping itu, kawalan ke atas import dan kawalan kewangan yang ketat
oleh Kerajaan semenjak tahun-tahun berakhir ini telah menampakkan hasil
yang menggalakkan. Salah satu contoh kejayaan kawalan itu ialah
meningkatnya resap atau simpanan luar negeri, iaitu 'external reserves'
negara kita. Simpanan luar negeri Malaysia pada hujung tahun 1985 ialah
bersamaan dengan keupayaan kita membayar import negara selama 4.9
bulan. Ini berbanding dengan keupayaan simpanan luar negeri kita yang
bersamaan dengan hanya 3.5 bulan import pada tahun sebelumnya, iaitu pada
tahun 1984. Dalam pada itu juga Kerajaan telah melaksanakan hanya
projek-projek pembangunan yang penting dan yang patut dilaksanakan dengan
segera. Beberapa projek pembangunan lain lagi dapat dilaksanakan melalui
usaha-usaha penjimatan oleh Kerajaan dan juga pinjaman dalam
negeri. Pinjaman Kerajaan, sama ada daripada dalam negeri atau luar
negeri, adalah hanya untuk projek-projek pembangunan yang mempunyai
pulangan kewangan atau 'financial returns' kepada ekonomi negara. Semua
ini merupakan kejayaan-kejayaan awal ke atas usaha-usaha kawalan import
dan kawalan kewangan Kerajaan.

6. Mengenai perpaduan pula, Kerajaan berbangga dengan tahap perpaduan yang
telah kita capai setakat ini. Namun demikian Kerajaan akan terus berusaha
untuk meningkatkan lagi perpaduan rakyat supaya terbina satu negara yang
teguh lagi makmur. Insya-Allah, bilangan rakyat negara ini yang cintakan
perpaduan, yang rasional dan sentiasa berwaspada tentang pentingnya
perpaduan adalah lebih ramai. Hanya segelintir sahaja yang kadang-kadang
ghairah dengan isu-isu yang boleh meningkatkan perasaan perkauman oleh
kerana kepentingan parti atau kepentingan diri sendiri. Pada
keseluruhannya, dugaan-dugaan kecil ini akhirnya akan menjadikan kita
bertambah kuat dan lebih bersatu.

Ampun Tuanku, 

7. Patek, bersama-sama dengan Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri,
dan sekalian kakitangan Kerajaan, akan terus menumpukan usaha dan tenaga
untuk menyempurnakan tugas dan tanggungjawab patek sekalian dengan penuh
semangat dan tekad bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan kebahagiaan
rakyat dan negara Malaysia.

8. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, bagi pihak diri
patek, Kerajaan dan seluruh rakyat, patek dengan segala hormat dan
takzimnya mohon menyembah ikrar taat-setia yang tidak berbelah bahagi
kepada Duli Tuanku.

Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun
 
 



 
Google