home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL PAN PACIFIC, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 28/06/86 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM PERTUBUHAN JURUKUR MALAYSIA Yang Berbahagia Encik Mohd Faiz, Presiden Pertubuhan Jurukur Malaysia; Ahli-ahli Jawatankuasa Pertubuhan Jurukur Malaysia; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Pertubuhan Jurukur Malaysia, kerana menjemput saya dan isteri saya ke Majlis Makan Malam ini. Sempena dengan sambutan Jubli Perak Pertubuhan ini, saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli semoga Pertubuhan ini akan bertambah kuat dan aktif lagi bukan sahaja untuk menjaga kepentingan ahli-ahlinya tetapi juga untuk memberi sumbangan kepada pembangunan negara kita. 2. Yang Berbahagia Presiden Pertubuhan dalam ucapannya telah membangkitkan beberapa perkara. Kita akan memberi pertimbangan yang sewajarnya ke atas perkara-perkara yang dibangkitkan itu. Walau bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kerana pandangan tersebut. Tuan-tuan dan Puan-puan, 3. Seperti yang kita semua maklum hampir semua profesion di negara ini mempunyai pertubuhan-pertubuhan atau badan-badan untuk menjaga kepentingan anggota-anggota profesion masing-masing. Selain daripada Pertubuhan Jurukur ini, terdapat juga badan-badan yang mewakili para doktor, jurutera, arkitek, peguam dan sebagainya. Telah dibuktikan bahawa penubuhan badan-badan seperti ini adalah sangat berfaedah pada keseluruhannya. Badan-badan seperti ini dapat menjaga kepentingan profesion, kebajikan ahli-ahli dan meningkatkan taraf profesionalisme di kalangan ahli-ahli di samping menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan. 4. Walau bagaimanapun, sekali-sekala timbul gejala kepentingan individu serta ketamakkan seseorang ahli yang menjejaskan nama baik profesion yang mereka wakili. Gejala-gejala ini sudah pasti melanggar etika atau nilai-nilai yang dianjurkan oleh semua profesion. Profesion yang saya menjadi anggota, iaitu perubatan, juga tidak terkecuali daripada gejala ini. Justeru itu setiap institusi yang mewakili satu-satu profesion hendaklah sentiasa berwaspada dan bersikap bertanggungjawab melindungi dan membersihkan profesion dan pertubuhan daripada penyakit ini. Saya berharap Pertubuhan Jurukur Malaysia akan meningkatkan usaha supaya gejala-gejala buruk seperti ini tidak berlaku. Janganlah ahli-ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap disiplin membenarkan pengaruh atau kepentingan lain menghalang tindakan yang perlu diambil. 5. Di Malaysia Kerajaan sentiasa menyedari pentingnya institusi yang mewakili para profesional, termasuklah jurukur-jurukur di negara ini. Justeru itu jurukur keseluruhannya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap nilai harta-harta di negara ini terutama harta-harta tidak alih atau 'immovable properties'. Anggota-anggota Pertubuhan ini boleh mempengaruhi 'cost of living' atau sara hidup di negara ini. Sebagai contoh harga rumah dan bangunan-bangunan lain telah melambung dengan tingginya semenjak lima atau enam tahun yang lalu. Pada pendapat saya satu daripada sebab meningkatnya kos ialah sistem fees atau bayaran yang diasaskan kepada peratusan kos projek. Sudah tentu jika kos projek tinggi maka bahagian fees bagi ahli-ahli profesional juga meningkat. Adalah lebih baik daripada segi kawalan kos jika fees diasaskan kepada quantity of work atau man/hour basis. Kerajaan menganggap penting penurunan semua kos -iaitu sara hidup keseluruhannya supaya negara kita menjadi lebih bersaing atau competitive di pasaran dunia. Sekarang ini semua kos pengeluaran barangan di Malaysia adalah lebih tinggi daripada kos pengeluaran di negara-negara lain yang bertanding dengan kita. Satu daripada sebabnya ialah kos perkhidmatan profesional dan kesan sistem fees kepada peratusan kos projek. Jika kita tidak dapat mengurangkan kos kita, 'we will be priced out of the market'. Satu daripada sebab kenapa perniagaan perkhidmatan profesional merosot sekarang ialah kerana bangunan-bangunan di Kuala Lumpur umpamanya terlalu mahal sehingga tidak dapat memberi pulangan kepada pihak pemaju apabila glut atau keadaan berlebihan berlaku. Dengan itu mereka bukan sahaja tidak dapat mengadakan projek-projek yang baru tetapi juga mereka mungkin tidak dapat membayar hutang mereka. Tuan-tuan dan Puan-puan, 6. Kerajaan dalam usahanya untuk membangunkan negara dan memberi manfaat kepada rakyat negara ini telah menyediakan berbagai insentif dan galakan bagi menarik minat pelabur-pelabur asing supaya cenderong untuk menanam modal di Malaysia. Rancangan-rancangan pembangunan Malaysia yang telah digubal semuanya bertujuan untuk mencapai hasrat murni ini. Walau bagaimanapun segala usaha yang dirancangkan oleh Kerajaan tidak akan begitu berkesan jika kurang mendapat sambutan yang positif daripada kalangan pihak swasta. Apa yang saya maksudkan dengan sambutan positif di sini ialah pihak swasta juga mesti memainkan peranan untuk mewujudkan suasana yang sesuai dan menggalakkan bagi pelabur-pelabur asing. Kerajaan telah berusaha meningkatkan mutu dan kecekapan perkhidmatan Kerajaan. Sebenarnya banyak kejayaan telah dicapai daripada segi khidmat Kerajaan ini. Malangnya orang-orang yang bersikap negatif dan berkepentingan, sengaja tidak mahu mengakui kenaikan prestasi khidmat pegawai dan kakitangan Kerajaan. Mereka ini lebih suka mencari-cari kes-kes kegagalan untuk didedahkan. Tujuan mereka ialah politik tetapi akibat daripada komen mereka yang buruk ini ialah kekecewaan di kalangan kakitangan Kerajaan. Dengan itu semangat kakitangan Kerajaan pun pudar dan hasrat Kerajaan untuk mengadakan khidmat yang bersih, cekap dan amanah pun terganggu. Akibatnya ialah rakyat dan negara juga mengalami kerugian. 'Give credit where credit is due'. Takkanlah kita tidak nampak sedikitpun perubahan ke arah kebaikan dalam khidmat pegawai dan kakitangan Kerajaan sekarang ini. Ahli-ahli profesional seperti tuan-tuan dan puan-puan patutlah memberi penghargaan kepada kakitangan Kerajaan apabila kena pada tempatnya. Bagi Kerajaan, ia tidak akan kecewa walaupun usahanya tidak dihargai. Tuan-tuan dan Puan-puan, 7. Saya sangat berbangga dengan peningkatan bilangan para profesional di negara ini. Keahlian kumpulan-kumpulan atau institusi-institusi profesional yang berdaftar seperti institusi untuk arkitek, jurutera, doktor, akauntan dan jurukur telah meningkat melebihi 26,000 orang pada tahun 1984. Ini merupakan pertumbuhan atau peningkatan kira-kira 11% setahun sejak beberapa tahun yang lalu. Kerajaan berharap supaya bilangan para profesional di negara ini terus meningkat. Specialisation yang berpunca daripada perkhidmatan profesional akan membantu meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat Malaysia. Di sini kita patut ingat bahawa standard atau taraf harus disesuaikan dengan keupayaan masyarakat. Jika kita cuba mengenakan atau impose standard masyarakat yang sudah maju ke atas masyarakat yang sedang membangun, maka anggota masyarakat itu terpaksalah membayar kos yang amat tinggi. Akhirnya mereka tidak akan dapat apa-apa manfaat. 8. Negara kita mungkin kaya dengan sumber-sumber ekonomi, tetapi kekayaan itu tidak membawa manfaat yang banyak kalau tidak diusaha, diolah dan dikilangkan sehingga menjadi barangan yang diperlukan oleh para pengguna. Di sinilah terletaknya peranan ahli-ahli profesional. Ilmu mereka hendaklah diperalatkan supaya kita dapat memperolehi hasil yang maksima daripada sumber-sumber yang ada di negara kita. Namun demikian para profesional perlu ingat bahawa kelulusan sebagai jurukur, atau jurutera, atau doktor tidak bermakna mereka boleh berjaya sebagai pelabur, pengurus atau peniaga. Oleh itu janganlah anggap bahawa kita cuma boleh jadi boss sahaja. Anggapan inilah yang menyebabkan Malaysia mempunyai banyak perusahaan atau perniagaan yang kecil-kecil yang tidak dapat 'benefit from economies of scale'. Tuan-tuan dan Puan-puan, 9. Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pengajian yang membolehkan lebih ramai rakyat kita menjadi para profesional dan pekerja-pekerja mahir dalam berbagai lapangan. Kita harap kita akan dapat mempastikan bahawa kekayaan sumber-sumber ekonomi negara kita akan terus diusahakan dengan baik. Bahkan sumber-sumber yang tidak ekonomik dewasa ini boleh dijadikan sumber-sumber yang menguntungkan kalau para pengusaha dan para profesional dapat menggemblingkan tenaga dan fikiran untuk mengatasi segala masalah. Dengan itu Kerajaan akan terus mengutamakan bidang pelajaran ke arah profesionalisme dan kemahiran. 10. Sebelum saya menamatkan ucapan saya ini izinkan saya merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa dan para ahli Pertubuhan Jurukur Malaysia yang sudi mengurniakan 'Fellowship Kehormat' kepada saya. Ini bermakna bertambah satu lagi 'fellowship' yang diberikan kepada saya. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 11. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Institut Jurukur serta ahli-ahli yang lain atas kesudian menjemput saya dan isteri saya ke majlis ini. Sempena sambutan Jubli Perak Pertubuhan ini, saya mengucapkan tahniah. Terima kasih. |