Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 25/08/86
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN SEMINAR KEBANGSAAN
KEBAJIKAN MASYARAKAT
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera Yang
Berhormat Dato' Shahrir Samad, Menteri Kebajikan Masyarakat; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
kurnia dan izinNya dapat kita hadir di Majlis ini. Saya juga mengucapkan
terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur kerana menjemput saya untuk
menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan Seminar Kebangsaan
Kebajikan Masyarakat yang julung-julung kalinya pernah diadakan di negara
kita ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Kerja-kerja kebajikan di negara kita hari ini telah berkembang dengan
begitu pesat. Pertubuhan-pertubuhan kebajikan memberi perkhidmatan kepada
orang tua, kanak-kanak, orang cacat, wanita yang teraniaya, penagih dadah
dan sebagainya. Saya amat gembira melihat perkembangan ini oleh kerana
ianya menunjukkan kesedaran masyarakat kita terhadap golongan-golongan
yang kurang bernasib baik dan juga yang kurang berkeupayaan.
3. Penglibatan sebegini juga akan dapat membantu Kerajaan supaya beban dan
tanggungjawab terhadap golongan yang kurang bernasib baik dapat dipikul
bersama. Peranan yang dimainkan oleh pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan
sukarela ini akan memberikan lebih kekesanan sekiranya mereka dapat
memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain dalam mewujudkan
kesejahteraan dan keharmonian hidup untuk golongan yang dimaksudkan
itu. Persaingan-persaingan yang positif perlu diwujudkan untuk memberi
satu perkhidmatan yang baik dan bermutu tinggi. Penglibatan badan-badan
sukarela perlulah dilipat-gandakan di dalam menjayakan sesuatu program
kebajikan. Melalui cara ini, banyak masa, kewangan dan sumber dapat
dijimatkan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4. Walaupun Kerajaan mengambil berat terhadap kebajikan rakyat, tetapi
adalah menjadi cita-cita Kerajaan untuk mewujudkan satu masyarakat
Malaysia yang berdikari -- satu masyarakat yang tidak sentiasa bergantung
kepada Kerajaan atau institusi-institusi tertentu. Sedikit sebanyak
masyarakat kita telah dimanjakan dengan subsidi dan berbagai rupa bentuk
bantuan. Kerajaan secara beransur-ansur akan mengurangkan pemikiran
subsidi atau 'dole-mentality' ini demi kebaikan masyarakat sendiri.
5. Justeru itu Kerajaan telah menegaskan pendiriannya bahawa segala
bantuan yang diberikan hanyalah setakat untuk membantu seseorang itu dapat
memulakan usaha yang produktif. Ini telah digambarkan melalui sikap
Kerajaan mengenai subsidi yang sebelum ini telah dihulurkan kepada para
petani, nelayan dan sebahagian daripada penduduk luar bandar. Sekarang ini
bentuk subsidi akan dikaji semula supaya tidak mewujudkan tabiat suka
bergantung kepada subsidi di kalangan segolongan rakyat kita. Begitu juga
dengan sikap Kerajaan di sektor-sektor lain, di mana bantuan bukan diberi
sehingga seseorang atau segolongan rakyat itu menjadi lemah dan bergantung
sangat kepada bantuan Kerajaan.
6. Untuk aktiviti-aktiviti dan program kebajikan masyarakat pula, Kerajaan
tidak menggalakkan bantuan dihulurkan sehingga menjadikan seseorang itu
bergantung kepada bantuan Kerajaan untuk meneruskan hidupnya pada masa
depan. Ini tidak bermakna bahawa Kerajaan tidak mempunyai sikap kebajikan
untuk membantu seseorang yang benar-benar harus dibantu sepanjang
hayatnya. Sebaliknya, untuk kepentingan jangka panjang negara dan
kepentingan mereka yang perlu dibantu, Kerajaan akan menentukan supaya
bantuan yang dihulurkan akan membolehkan mereka meneruskan hidup mereka
dengan berdikari, ataupun meneruskan hidup mereka dengan bantuan yang
paling minima dari pihak Kerajaan.
7. Mereka yang selalu bergantung kepada bantuan Kerajaan mungkin nampak
segar untuk seketika, tetapi semangat mereka akan menjadi lemah dan terus
luput dalam jangka panjang. Mereka tidak akan mempunyai inisiatif untuk
berdikari, untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang memberi manfaat kepada
mereka dan keluarga, untuk berikhtiar menegakkan maruahnya tanpa
mengharapkan bantuan orang lain ataupun Kerajaan; tidak bersemangat untuk
membantu diri mereka sendiri. Itulah pendirian yang menyeluruh oleh
Kerajaan hari ini mengenai pemberian bantuan dalam apa bentuk sekalipun.
8. Saya sedar pemberian bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik
mungkin tidak boleh disamakan sepenuhnya seperti pemberian subsidi kepada
para petani, peladang dan segolongan penduduk yang miskin. Kerajaan sedar
mereka yang kurang bernasib baik ini adalah terdiri daripada mereka yang
cacat, buta, kanak-kanak dan wanita yang teraniaya dan sebagainya. Tetapi
kelemahan tertentu ini tidak bermakna mereka tidak boleh berusaha sama
sekali. Mereka yang bersemangat tetap dapat menolong diri mereka
sendiri. Di sinilah terletaknya peranan pertubuhan-pertubuhan kebajikan
kerana merekalah yang patut menolong melatih orang yang kurang bernasib
baik ini supaya berjaya memulih maruah mereka dan tidak menjadi beban
kepada sesiapa. Kerajaan akan membantu hanya sewaktu berlatih. Demikian
juga pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Apabila orang-orang yang mendapat
bantuan ini sudah dapat menolong diri mereka sendiri, maka wang dan tenaga
hendaklah disalurkan kepada orang lain pula yang memerlukan
pertolongan. Dengan cara ini baharulah keadilan sosial dicapai.
9. Sementara yang cacat ini perlu diberi bantuan, kita harus ingat bahawa
sebagai orang Timur, kita masih menghargai sistem berkeluarga besar atau
'extended family'. Keluarga tidak boleh melepas tangan dan berharap
Kerajaan atau pertubuhan kebajikan sahaja berusaha memberi
pertolongan. Sementara Kerajaan dan pertubuhan kebajikan boleh memberi
bantuan, mereka tidak boleh memberi kasih sayang seperti yang didorong
oleh kekeluargaan. Justeru itu janganlah kita lupa akan kebudayaan Timur
kita dan melepaskan tangan daripada kerja-kerja memelihara dan merawat
ahli-ahli keluarga kita yang tidak bernasib baik. Janganlah kita ketepi
dan lupakan mereka apabila sahaja mereka mendapat pertolongan orang lain.
10. Walaupun mungkin terdapat beberapa golongan mereka yang kurang
bernasib baik ini dibantu dengan diberikan kemahiran yang diperlukan,
Kerajaan juga mengakui bahawa terdapat juga satu-dua golongan yang
memerlukan pertolongan yang lebih lama. Kerajaan akan berikhtiar memberi
bantuan yang diperlukan sehingga ke peringkat mereka dapat berdiri di atas
kaki sendiri -- dapat membantu dan mencari rezeki sendiri. Ini adalah
panduan kasar sahaja dan terpulanglah kepada tuan-tuan dan puan-puan,
serta kakitangan Kerajaan yang lain yang terlibat dengan kerja-kerja
kebajikan, untuk menentukan peringkat atau garis pembahagian yang saya
sebutkan tadi.
11. Di samping itu Kerajaan akan terus menggalakkan rakyat negara ini,
melalui badan-badan sukarela, memberi bantuan kepada mereka yang kurang
bernasib baik. Di sini pun Kerajaan berharap supaya harapan bagi
mengelakkan timbulnya masyarakat yang berfikiran subsidi atau bergantung
kepada kebajikan, akan diteliti juga oleh badan-badan sukarela.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pekerja-pekerja
kebajikan di negara ini kerana telah sudi mengorbankan masa, tenaga dan
kepakaran demi kepentingan golongan yang kurang bernasib baik. Walau
bagaimanapun, ada di antara pekerja-pekerja kebajikan sukarela yang masih
berkurangan di dalam pengetahuan ikhtisas dan cara-cara menjalankan
kerja-kerja kebajikan dengan lebih berkesan. Memandangkan bahawa negara
semakin hari semakin maju dan masalah sosial pula semakin hari semakin
kompleks, maka perlulah pertubuhan kebajikan mengambil tindakan bagi
mengadakan kumpulan pekerja-pekerja yang mahir dan professional dengan
memberi mereka kursus atau latihan.
13. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih di atas inisiatif
pihak penganjur mengadakan Seminar ini dan juga berharap bahawa Seminar
ini akan benar-benar memberi faedah kepada para peserta sekalian. Dengan
harapan yang sedemikian, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar
Kebangsaan Kebajikan Masyarakat ini.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|