home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 28/08/86 Tajuk/Title : HARI PERASMIAN PAMERAN Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Yang Berhormat Dato' Seri Sanusi Junid, Menteri Pertanian, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perayaan Hari Kebangsaan 1986; Yang Berhormat Dato' Seri Najib Tun Razak, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia; Yang Berbahagia Dato' Shahrum bin Yub, Ketua Pengarah Jabatan Muzium; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Pameran ini kerana sudi mengundang saya untuk melakukan upacara perasmian pameran yang bertemakan 'Bangsa Tegas Negara Teguh' pada hari ini. 2. Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana nikmat-nikmatNya yang tidak terhingga banyaknya dicurahkan kepada negara kita ini yang sekarang sudah 29 tahun usianya. Ini adalah sebesar-besar pengurniaan yang harus kita syukuri dan memeliharanya dengan sebaik-baik penjagaan. 3. Dalam masa 3 hari lagi, insya-Allah, kita akan merayakan ulangtahun Hari Kebangsaan Negara kita -- satu-satunya hari yang sangat besar pengertiannya kepada setiap warganegara Malaysia. Kita merayakan Hari Kebangsaan pada setiap tahun bukanlah kerana kita terpaksa merayakannya, tetapi adalah salah satu cara untuk mengingatkan kita akan penjajahan negara dan bangsa kita selama 400 tahun, dan betapa mencabarnya usaha untuk membebaskan semula negara kita. Ketegasan dan keikhlasan serta keutuhan perpaduan pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu merupakan satu hakikat sejarah yang tidak boleh dilupakan. Obor suci perjuangan mereka dahulu seharusnya terus hidup menyala di dalam jiwa generasi sekarang dan menjadi azimat dalam perjuangan mereka untuk mengisi dan mencorakkan kemerdekaan negara ini ke matlamat yang kita hajati. 4. Oleh sebab kita sentiasa berada dalam suasana aman damai, sudah biasa dengan kesenangan dan tidak banyak pergolakan yang mencabar berlaku, sedikit sebanyak akan menjadikan kita terlupa kepada matlamat hidup yang sebenar dan lupa kepada tanah tempat kita berpijak dan langitnya yang kita junjung. Dalam hal ini sukalah saya menegaskan di sini bahawa semangat cintakan nusa dan bangsa hendaklah menjadi titik tolak dan menjadi matlamat pokok dalam apa jua tugas dan perjuangan yang hendak kita tegakkan di negara ini. Tidak ada sesiapa pun yang akan memperjuang dan mempertahankan negara dan bangsa kita melainkan kita sendiri. 5. Para pemimpin masyarakat, cerdik pandai, pegawai-pegawai Kerajaan dan sesiapa juga yang terlibat dalam usaha-usaha untuk membangunkan negara ini mesti tegas dalam perkara ini. Setiap dasar, perancangan dan perlaksanaan projek dan aktiviti-aktiviti mereka hendaklah mempunyai matlamat dan digerakkan ke arah cintakan tanahair dan bangsa. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang tidak ada tolak ansur demi untuk menjaga kedaulatan, keteguhan dan kemakmuran negara dan bangsa kita. Saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian, 6. Dalam sejarah umat manusia yang pernah terakam di dunia ini, kebiasaannya kemunculan keagungan sesuatu tamadun bangsa di sesebuah negara itu terletak kepada kewibawaan dan kebijaksanaan pemerintahnya untuk mentadbirkan negara. Sesebuah Kerajaan yang ideal dapat menegakkan sebuah negara yang kukuh sekiranya didokong oleh lapisan pemimpin bijaksana yang berilmu, tegas dalam pendirian, ikhlas dan mempunyai ciri-ciri keperibadian yang tinggi dan kepemimpinan yang unggul dan terpuji. Negara akan menjadi lemah, pentadbiran negara akan menjadi kucar-kacir dan rakyat akan hilang pedoman sekiranya pemimpin-pemimpin yang diamanahkan untuk mentadbirkan negara lari daripada tanggungjawab sebenar mereka. Maka akan berlakulah seperti apa yang pernah berlaku dalam sejarah kehancuran sesuatu tamadun bangsa atau sesuatu regim pemerintahan dahulu. 7. Kalau kita renungkan kembali akan kelahiran kemerdekaan negara ini dahulu nescaya akan tersualah kita dengan barisan pejuang-pejuang bangsa yang begitu gigih berani, tegas dan ikhlas dalam memperjuangkan nasib negara, bangsa dan agama mereka. Barisan pejuang-pejuang kemerdekaan yang bersatu di bawah bendera UMNO dan akhirnya bergabung dalam Perikatan dengan MCA dan MIC dahulu kebanyakannya bukanlah terdiri daripada golongan cendikiawan atau hartawan. Malahan sebilangan besarnya terdiri daripada golongan rakyat biasa yang serba kekurangan, tetapi oleh sebab mereka bersatu, yakin dan tegas dalam perjuangan, serta dipimpin oleh orang-orang yang bertanggungjawab, maka mereka beroleh kejayaan. 8. Tugas mereka dahulu telah selesai dan kita pada hari ini merasa bersyukur dan terhutang budi atas perjuangan mereka yang telah membolehkan kita mengecapi nikmat hidup di dalam sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Tanggungjawab dan perjuangan kita pada hari ini merupakan penerusan daripada apa yang telah diperjuangkan dahulu iaitu memenuhi cita-cita rakyat untuk mencorakkan negara ini mengikut dasar-dasar yang telah ditentukan dan mengekalkan kemerdekaan dan kemakmuran negara ini buat selama-lamanya serta mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi yang ada sekarang. 9. Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang sukar dilaksanakan sekiranya kita tidak cukup persediaan untuk menghadapi ujian dan cabaran yang mesti dihadapi atau tidak sanggup berkorban untuk kepentingan negara ini. Kejayaan pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu yang tidak pernah patah semangat walaupun dalam keadaan serba kekurangan seharusnya menjadi teladan kepada kita khususnya anak-anak muda yang akan mewarisi kepemimpinan negara ini kelak. Saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian, 10. Kita memilih tema 'Bangsa Tegas Negara Teguh' bagi menzahirkan sikap, harapan, tindakan dan pedoman cita-cita kita untuk menjadikan bangsa dan negara kita ini dihormati dan disegani oleh negara-negara lain. Kita tidak mahu negara dan bangsa kita dipandang hina dan menjadi contoh sebagai sebuah negara yang tidak baik. 11. Apa jua dasar yang kita buat dan tindakan-tindakan tegas dalam hal-hal tertentu, seperti menguat-kuasakan undang-undang dalam menghadapi ancaman musuh negara dan penjenayah-penjenayah yang boleh merosakkan rakyat dan negara ini dan sebagainya, adalah semata-mata untuk menjaga kesejahteraan dan keamanan negara. Tindakan tegas ini dilakukan supaya sesiapa juga yang tinggal di negara ini akan merasa aman dan selamat. Ketegasan dan keteguhan pendirian kita dalam tindakan-tindakan seperti ini tidak memberikan pengertian bahawa kita ini adalah satu bangsa yang sombong, angkuh, tidak berbudi bahasa dan tidak boleh bertolak ansur. Tidak ada siapa yang dapat menafikan yang berbudi bahasa dan bersopan santun telah lama diamalkan oleh rakyat negara ini dan telah menjadi identiti bangsa kita. 12. Apa yang seharusnya kita ubah sekarang ialah sikap kita supaya lebih berani, tegas serta teguh pendirian kita dalam menghadapi musuh-musuh negara yang sentiasa berusaha untuk mewujudkan suasana ketegangan dan huru hara di kalangan rakyat dengan menaburkan racun-racun fitnah dalam perkara-perkara yang boleh mencetuskan sentimen dan emosi rakyat. Saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian, 13. Saya berharap Pameran ini akan dapat memberikan gambaran kepada pengunjung-pengunjung bahawa inilah perjuangan, harapan dan cita-cita rakyat Malaysia dalam menghadapi berbagai pergolakan dan cabaran yang berlaku di negara ini. Tuan-tuan dan puan-puan, 14. Sekali lagi saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Muzium Negara dan Jawatankuasa Perayaan Hari Kebangsaan 1986 kerana telah berjaya mengadakan Pameran ini. Dengan ini saya dengan sukacitanya membuka pameran 'Bangsa Tegas Negara Teguh' ini dengan rasminya. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh |