Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 18/09/86
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-37
1. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
kurnia dan izin-Nya dapat kita sekali lagi berkumpul menghadiri
Perhimpunan Agung UMNO yang ke-37 ini. Sebagai Presiden parti, bagi pihak
parti dan Majlis Tertinggi, saya mengucapkan selamat datang kepada para
perwakilan sekalian ke Perhimpunan Agung kita ini. Saya juga
mengalu-alukan wakil-wakil parti-parti komponen Barisan Nasional di
Perhimpunan ini. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala
supaya diberi hidayat dan petunjuk-Nya kepada kita semua bagi menjayakan
Perhimpunan Agung kita ini.
2. Sepertimana kita maklum pergerakan Pemuda dan Wanita telah melaksanakan
tanggungjawab mereka dan meneruskan tradisi demokrasi kita sebagaimana
yang termaktub di dalam Perlembagaan Parti dengan mengadakan pemilihan
pucuk pimpinan masing-masing. Syukur alhamdulillah proses ini telah
berjalan dengan teratur dan penentuan telahpun dibuat oleh para perwakilan
pergerakan tersebut. Saya bagi pihak parti keseluruhannya mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka
yang telah memenangi jawatan masing-masing bagi kedua-dua pergerakan.
3. Pada hari yang bahagia ini kita bersidang sekali lagi untuk mengkaji
pencapaian kita, Parti UMNO, mengenal dan membahas isu-isu semasa dan
membuat garis panduan perjuangan kita pada masa akan datang.
UMNO DAN PILIHANRAYA 1986 _________________________
4. Kali ini kita bersidang selepas pilihanraya dalam mana kita mencapai
kejayaan yang terbaik sekali sejak tertubuhnya UMNO dan sejak pilihanraya
diadakan dalam negara kita. Jika pada tahun 1955, semasa kita masih
dijajah oleh British, UMNO menang 34 daripada 35 kerusi yang kita
tandingi, pada kali ini UMNO menang 83 daripada 84 kerusi yang
ditandingi. Dari segi peratusan, dalam tahun 1955, kita menang 97%
daripada kerusi yang dipertandingkan tetapi dalam tahun 1986 kita menang
hampir 99% daripada kerusi yang kita tandingi. Di peringkat negeri juga
kita mencapai kejayaan yang cemerlang.
5. Kita berhak berbangga dengan kejayaan ini. Tetapi kita tidak boleh
terlalu sangat berbangga dengan kejayaan diri sendiri, atau bersikap
sombong dan angkuh atau begitu berpuas hati sehingga lalai akan
tanggungjawab kita, akan betapa perlunya kita bekerja lebih kuat dan
memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat yang telah memberikan
kepercayaan kepada kita.
6. Kemenangan UMNO sudah tentu akan menambahkan lagi perasaan irihati dan
geram di kalangan musuh kita. Mereka telah membuat berbagai ramalan yang
sebenarnya berasaskan kepada angan-angan dan khayalan mereka. Kononnya
UMNO menghadapi krisis kepimpinan, UMNO telah diserang oleh gejala
berpuak-puak atau factionalisme, UMNO telah terbawa-bawa dengan sentimen
kedaerahan atau menjadi 'parochial'. Ada yang berpendapat bahawa UMNO
sudah menjadi begitu busuk di dalam sehingga tidak dapat dibersihkan lagi.
7. Mereka juga telah menyebarkan berbagai berita angin untuk menghilangkan
kepercayaan rakyat dan ahli-ahli UMNO kepada kepimpinan parti. Kononnya
pemimpin-pemimpin tertentu terlibat dengan rasuah, termasuk melesapkan
duit BMF. Kononnya Perdana Menteri Malaysia adalah seorang Perdana Menteri
yang terkaya sekali dalam dunia dan kononnya perkara ini telah dilaporkan
dalam majalah dagangan Fortune. Apabila tidak sesiapapun boleh mengesahkan
telah membaca rencana ini dalam majalah Fortune, berbagai helah telah
dibuat kononnya keluaran yang berkenaan disekat daripada dijual di
Malaysia, atau sebaliknya bukan Fortune tetapi Business Week atau Forbes
Magazine yang menyiarkan berita ini.
8. Walaupun dibuktikan bahawa semua berita ini tidak benar, fitnah-fitnah
ini terus disebarkan juga sehinggalah sekarang.
9. Sejurus sebelum Pilihanraya, penjualan timah dan kes Makuwasa telah
diheboh-hebohkan seolah-olah sekali lagi pemimpin tertentu dalam Kerajaan
terlibat dengan penyalahgunaan duit Kerajaan dan bukannya berusaha untuk
menyelamatkan ekonomi dan kewangan negara.
10. Demikianlah propaganda musuh UMNO dan penyokong-penyokong mereka dari
luar negeri, termasuk beberapa majalah dan akhbar yang dikuasai oleh
Zionist, sehingga mereka sendiri percaya bahawa apa yang diperkatakan oleh
mereka itu benar dan UMNO akan kalah teruk dalam pilihanraya apabila
pilihanraya diadakan.
11. Penipuan diri juga berlaku dalam parti lawan. Mereka mendewa-dewakan
pemimpin mereka dan puluhan ribu datang dari jauh, untuk mendengar jaguh
ciptaan mereka ini di mana juga beliau berucap. Tetapi puluhan ribu ini
kebanyakannya bukan orang tempatan dan mereka tidak berhak mengundi di
tempat itu. Sebenarnya tidak ramai penduduk tempatan yang menyokong parti
ini. Sebahagian orang tempatan yang hadir adalah orang yang tidak
committed kepada parti lawan atau mungkin juga orang UMNO yang datang
untuk melihat.
12. Kita bersyukur kerana walaupun kadang-kadang kita khuatir akan
sokongan rakyat kepada kita, tetapi umumnya kita ketahui pendirian
rakyat. Kita akui ada sebilangan bumiputera terpelajar di bandar yang
tidak menyokong UMNO. Mereka ini berpendapat kononnya mereka adalah lebih
layak memerintah daripada orang politik tetapi mereka tidak sanggup
mengadu nasib dalam proses demokrasi.
13. Orang-orang yang memang anti- establishment mencari alasan tentang
sebab- sebab mengapa rakyat tidak akan menyokong parti Kerajaan. Seperti
juga dengan parti lawan yang disebutkan tadi, mereka akhirnya percaya
dengan propaganda mereka sendiri dan yakin parti Barisan Nasional akan
kehilangan banyak kerusi, dan tidak lagi akan berkesan apabila menubuhkan
Kerajaan.
14. Setelah mendapati bahawa ramalan mereka tidak menjadi kenyataan,
mereka ini sekarang asyik pula menganalisa keputusan pilihanraya umum
baru-baru ini untuk membuktikan bahawa tekaan mereka adalah tepat dan
Barisan Nasional tidak menang seperti yang dicerminkan dengan bilangan
kerusi yang dimenangi. Mereka sekarang mengubah asas perkiraan
mereka. Hasil usaha menipu diri ini ialah dakwaan mereka bahawa sebenarnya
43% rakyat menyokong parti lawan dan hanya 57% sahaja yang menyokong
Barisan. Ada yang berkata kemenangan BN di tempat-tempat tertentu adalah
begitu kecil seolah-olah kelebihan kecil itu tidak bermakna kemenangan.
15. Parti lawan pun bersetuju dan menggunakan perkiraan ini. Kata DAP
parti lawan mendapat 43% undi. Yang mereka lupai ialah 24 ahli Dewan
Rakyat dari Parti itu tidak mendapat 43%. Ramai daripada 43% pengundi ini
menyokong parti-parti lawan yang lain dan calun-calun bebas yang tidak
secucuk dengan DAP. Sebaliknya BN mendapat 57% dan peratusan ini dicapai
oleh BN tanpa berkongsi dengan parti-parti lain.
16. Ada pula yang berkata bahawa tanpa orang-orang Cina, UMNO tidak
mungkin menang. Mereka mengenepikan konsep kerjasama antara kaum dalam
Barisan Nasional di mana asasnya ialah tolong-menolong. Parti-parti lain
dalam BN menang kerana sokongan orang-orang Melayu. Mereka amat kecewa
kerana chauvinisme DAP jelas kelihatan, tetapi UMNO nyata tidak
chauvinistik. Sebenarnya jika UMNO hendak, UMNO boleh bertanding di dalam
lebih daripada separuh kawasan-kawasan Dewan Rakyat. Tetapi UMNO sanggup
bukan sahaja untuk memberi tempat kepada lain-lain parti komponen Barisan
Nasional, malah sanggup pula menjayakan mereka.
17. Kita akui bahawa memang benar hanya 57% daripada rakyat yang mengundi
Barisan Nasional sedangkan BN dapat empat per lima daripada kerusi Dewan
Rakyat. Apakah ini ganjil dalam demokrasi? Berapa peratuskah daripada
rakyat yang mengundi yang menyokong Kerajaan-Kerajaan yang sekarang
memerintah di negara-negara demokratik di Eropah dan Amerika
Utara? Tahukah mereka bahawa di Amerika Syarikat, setiap negeri atau
'state' diberi dua kerusi dalam Senat yang begitu berkuasa di Amerika
Syarikat. Misalnya penduduk New Jersey yang hanya 5 juta mendapat dua
kerusi, sementara penduduk California yang berjumlah 22 juta mendapat dua
kerusi juga. Ini bermakna orang-orang New Jersey mempunyai empat setengah
undi bagi setiap satu undi di California.
18. Di Amerika Syarikat juga negeri atau 'state' yang merupakan desa atau
rural yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada para petani yang
bilangannya tidak ramai, tetapi mendapat dua kerusi Senat juga. Jelaslah
bahawa di Amerika Syarikat juga terdapat rural weightage atau diskriminasi
yang memberi keutamaan kepada kawasan luar bandar dan petani. Sebenarnya
pembahagian kerusi yang berat ke kawasan luar bandar adalah satu amalan
yang universal dalam demokrasi.
19. Sungguhpun BN mendapat 57% daripada undi dan 4/5 daripada kerusi, ini
adalah perkara biasa. Negara yang memberi keutamaan kepada peratusan undi
akan menghadapi masalah jika lebih daripada dua parti bertanding. Malaysia
akan mengekalkan sistem yang memberi weightage kepada kawasan luar bandar
kerana sistem ini adalah yang terbaik bagi kestabilan politik dan
pembangunan yang seimbang.
HUBUNGAN KAUM _____________
Saudara-saudari sekalian,
20. Malaysia adalah negara majmuk. Di negara majmuk apakah kedudukan
minoriti yang bukan bumiputera? Di negara-negara yang baru merdeka
biasanya jika bumiputera menjadi majoriti, mereka menindas minoriti
daripada kaum bukan bumiputera. Ada yang terpaksa menggugurkan nama asal
mereka, ada yang tidak boleh belajar bahasa asal mereka, ada yang tidak
dibenarkan berniaga di kawasan-kawasan tertentu. Ada juga yang tidak
dibenarkan mengamal barang-sedikit pun kebudayaan mereka.
21. Apakah ini tidak berlaku di negara maju seperti di Amerika dan
Eropah? Di Britain, warganegara bukan kulit putih menjadi rakyat kelas
dua. Sementara yang kulit putih boleh berkahwin dengan orang asing dan
membawa balik isteri, warganegara bukan kulit putih tidak dibenarkan
membawa isteri dari luar negeri, bahkan terpaksa mendapatkan visa bila ke
luar negeri. Warganegara Komanwel berkulit putih boleh keluar masuk dengan
bebas. Hasil Kerajaan tidak boleh digunakan untuk sekolah yang menggunakan
bahasa yang bukan Inggeris. Sekolah yang diakui dan dibiayai oleh Kerajaan
adalah sekolah Inggeris sahaja.
22. Dalam bidang politik walaupun lebih daripada 10% penduduk Britain
terdiri daripada orang-orang yang berasal dari India, Pakistan,
Bangladesh, Caribbean dan Afrika, mereka tidak mempunyai wakil rakyat
dalam Parlimen. Kalau adapun seorang menjadi ahli Majlis Bandaran, ini
diheboh-hebohkan.
23. Warganegara British yang bukan Inggeris ini kerapkali dipukul,
kadang-kadang sampai mati. Mereka adakan 'Paki-bashing' iaitu memukul
rakyat British keturunan Pakistan.
24. Sebenarnya Britain akan menjadi bankrap hari ini jika tidak kerana
usaha dan kerajinan warganegara British berketurunan Asia, Afrika dan
Caribbean. Tetapi mereka ini tidak ada suara dan menjadi warganegara kelas
dua.
25. Demikian juga di Amerika Syarikat di mana terdapat lebih daripada 20%
warganegara yang terdiri daripada orang-orang kulit hitam dan
Hispanics. Tidak mungkin orang-orang ini dapat memegang pangkat tertinggi
dalam Amerika Syarikat. Sebabnya ialah diskriminasi ras. Di negara yang
bukan demokratik amalan diskriminasi kaum memanglah berlaku.
26. Sebaliknya di Malaysia kaum minoriti keturunan orang-orang yang datang
ke negara ini di zaman British dahulu diberi layanan yang lebih baik
daripada layanan di lain-lain negara di dunia ini -- sama ada yang baru
merdeka atau yang sudah maju.
27. Ada bukti yang menunjukkan bahawa di beberapa buah negara apabila
orang mendatang pula sudah menjadi majoriti, maka mereka tidak akan
memberi peluang atau apa-apa layanan kepada orang tempatan yang sudah
menjadi minoriti. Di negara ini pun sudah ternampak trend seperti ini
berlaku di mana mereka menjadi majoriti, umpamanya di bandar-bandar
tertentu. Mereka menolak persahabatan orang-orang tempatan dan dengan
lantang mengecam mereka seolah-olah orang tempatan tidak berhak sama
sekali.
28. Lim Kit Siang dari DAP baru-baru ini menyeru supaya langkah-langkah
diambil untuk mencegah polarisasi kaum. Aneh sekali seruan ini datang
daripadanya, sedangkan DAPlah yang menentang segala usaha perpaduan. DAP
adalah parti anti-Melayu yang tebal yang menggunakan isu-isu yang boleh
membangkitkan kebencian orang-orang Cina terhadap orang-orang Melayu
sebagai asas popularitinya. Selepas membakar hati orang-orang Cina
terhadap orang-orang Melayu dan menolak konsep kerjasama antara kaum
anjuran Barisan Nasional, Kit Siang kononnya mahu polarisasi kaum
dikurangkan.
29. Apakah perwakilan DAP dalam Dewan Rakyat mencerminkan kedudukan
kaum-kaum di Malaysia? Siapakah wakil Melayu di Parlimen dari DAP? DAP
memperingati kita bahawa 43% dari rakyat menyokong parti-parti
lawan. Dengan tidak seorang pun dari wakil rakyat DAP di Dewan Rakyat
terdiri daripada orang Melayu, apakah bagi DAP tidak ada orang Melayu di
Malaysia ini?.
30. Jika DAP hendak bercakap berkenaan dengan perkauman, lebih baik DAP
tumpukan kepada parti PAS yang tebal perkauman Melayunya. UMNO sanggup
bekerjasama dengan orang-orang bukan Melayu sehingga dalam kawasan di mana
orang Melayu merupakan majoriti pun, kita sanggup menyokong calun bukan
Melayu daripada parti komponen Barisan Nasional sehingga menang. Kalau
hari ini setelah pilihanraya diadakan terdapat orang-orang Melayu, Iban,
Kadazan, dan lain-lain kaum bumiputera di samping orang-orang Cina dan
India di sebelah Kerajaan dan dalam Kabinet, sebabnya ialah kerana ada
Barisan Nasional dan kerana Barisan Nasional disertai oleh UMNO.
31. Di negara-negara lain racialists, racists dan chauvinists dikecam
hebat oleh akhbar-akhbar luar negeri. Di Malaysia, akhbar-akhbar yang sama
menyokong parti racialist dan racist seperti DAP dan PAS. Kita hairan
kenapa? Apa hubungan DAP dan PAS dengan akhbar-akhbar asing ini? Ataupun
mungkin DAP dengan PAS dianggap sebagai alat untuk menghancurkan negara,
satu-satunya negara yang orang Islam berkuasa dan demokratik serta stabil.
Saudara-saudari sekalian,
32. Walaupun UMNO kecewa dengan aliran chauvinistik di kalangan ramai
orang-orang Cina di kawasan-kawasan bandar dalam pilihanraya baru-baru
ini, UMNO tidak akan membalas dengan menjadi racialist Melayu. UMNO
percaya dan menyokong kerjasama antara kaum di Malaysia. Sebab itu
walaupun parti-parti Cina dalam Barisan Nasional tidak memenangi kerusi
yang sepatutnya, bilangan Menteri dan Ketua Menteri yang bukan Melayu
tidak dikurangkan. Dengan UMNO memenangi 83 daripada 84 kerusi, UMNO
sepatutnya mendapat tambahan jawatan menteri kabinet. Hakikat ini tidak
akan disebut oleh orang-orang lain di luar UMNO kerana mereka takut
jikalau mereka berbuat demikian, ini bererti mereka mengiktiraf kejujuran
dan kemurahan hati UMNO. Tetapi ini tidak mengapa kepada UMNO. Kita bukan
membuat sesuatu untuk dipuji atau untuk orang lain terhutang budi kepada
kita. Kita membuat sesuatu kerana perbuatan itu baik dan adil.
33. Kita teruskan dasar berbilang kaum dan kerjasama antara kaum ini tanpa
mengambil kira segala kata-kata kesat yang dilemparkan terhadap
kita. Pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO akan
terus menegakkan keadilan antara kaum. Dasar mengimbangkan pembangunan
kaum-kaum di Malaysia akan diteruskan.
DASAR EKONOMI BARU __________________
Saudara-saudari sekalian,
34. Dasar Ekonomi Baru memberi kepada bumiputera hanya 30% kekayaan negara
ini, sedangkan lebih daripada 50% daripada penduduk negara ini terdiri
daripada bumiputera. Nisbah ini menggambarkan bahawa pembahagian ini akan
membuat bumiputera terus lebih miskin daripada bukan bumiputera walaupun
DEB tercapai. Kita tidak akan menuntut lebih walaupun kita
berhak. Kerajaan Barisan Nasional akan meneruskan Dasar ini sehingga ia
tercapai, kerana Dasar ini sudahpun mencerminkan kesanggupan kita
bertolak-ansur dan mengutamakan bukan bumiputera.
35. Jangan sesiapa fikir oleh kerana kita senyap apabila hak kita dicabar,
maka ini bermakna bahawa kita berasa tersalah atau kita lemah. Orang-orang
Melayu tidak berjuang untuk mencapai kemerdekaan bersama supaya
orang-orang Melayu menjadi golongan yang miskin dalam negara sendiri.
36. Kita tidak berniat untuk merampas hak sesiapa. Tetapi jangan sesiapa
cuba merampas hak kita. Kita lihat di negara-negara lain, kaum yang
memiliki kuasa politik dan kuasa ekonomi tidak pernah memberi layanan
kepada kaum yang ketinggalan dan tidak mampu. Di Malaysia bumiputera
memiliki kuasa politik sahaja. Kita tidak ada kuasa ekonomi tetapi kita
masih juga melayan kepentingan orang-orang lain.
37. Janganlah menunjuk kepada Kerajaan sahaja apabila memperhitungkan
ketidakseimbangan. Tunjuk juga kepada swasta di mana peluang-peluang
berkerja bagi bumiputera terhad kepada jawatan rendah atau jawatan yang
tidak mempunyai tanggungjawab tetapi baik untuk imej.
38. Kerajaan yang kita sertai dan pimpin bersedia untuk memperbaiki
kedudukan kaum dalam Kerajaan. Soalnya apakah pihak swasta bersedia untuk
berbuat demikian?
39. Kalau pihak swasta berkata bahawa bumiputera tidak mempunyai kebolehan
atau kecekapan, jangan kecam Kerajaan apabila Kerajaan memberi keutamaan
kepada bumiputera untuk belajar dan berlatih.
40. UMNO sedar bahawa Malaysia sudah menjadi negara berbilang kaum. Kita
terima akan pentingnya kerjasama antara kaum. Jika tidak, UMNO tidak akan
menyertai Barisan Nasional.
41. Jika Malaysia ingin maju, semua kaum mesti mendapat tempat. Dan UMNO
akan berusaha dengan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk menentukan
semua mendapat tempat yang sepatutnya. Walaupun orang-orang Cina di
bandar-bandar telah membuktikan chauvinisme mereka dan menolak tangan
persahabatan kita dalam pilihanraya baru-baru ini, UMNO tidak akan
mengubah sikapnya. Kita sanggup bekerjasama dengan semua kaum untuk
menegakkan Malaysia yang lebih maju. Kita menolak racialisme yang sempit
sama ada daripada orang-orang Melayu atau daripada orang-orang Cina atau
daripada orang-orang India.
42. Kita sedar tentang percubaan yang dibuat oleh satu gabungan
badan-badan politik, badan-badan perkauman dan lain-lain untuk
menghancurkan kestabilan negara kita Malaysia. Apabila kita mengadakan
kempen melawan rasuah, mereka memfitnah dan membuat tuhmah bahawa Kerajaan
sendiri terlibat dengan rasuah. Mereka membesar-besarkan penyelewengan
dalam BMF bukan dengan niat untuk memulihkan keadaan atau mendapat balik
wang yang hilang tetapi untuk memburukkan nama Kerajaan, untuk mendapat
political mileage.
43. Jika Kerajaan hendak menjadi popular Kerajaan boleh dengan mudah
menjadikan BMF sebagai isu politik. Kita boleh melupakan sahaja ribuan
juta yang hilang dan sebaliknya mengadakan tangkapan dan perbicaraan
walaupun kita tidak berkuasa ke atas jenayah yang berlaku di luar negara
kita. Dengan ini Kerajaan akan nampak tegas.
44. Tetapi Kerajaan tidak semata-mata melihat daripada sudut keuntungan
politik. Kita berasa bertanggungjawab terhadap wang yang begitu banyak
yang telah hilang. Justeru itu, kita utamakan usaha untuk mendapat balik
wang ini. Jika tindakan terhadap penjenayah tidak diambil, ini adalah
kerana undang-undang negara ini tidak boleh dikuatkuasakan di Hong Kong di
mana jenayah itu berlaku.
45. Sebenarnya pihak Kerajaan Hong Kong pun tidak dapat mengambil tindakan
serta merta kerana proses mendapat bukti tetap memakan masa. Adalah
dianggarkan bahawa proses undang-undang akan mengambil masa
sekurang-kurangnya lima tahun sebelum hukuman dijatuhkan. Dan apabila
hukuman dijatuhkan wang yang hilang tidak akan didapati balik.
46. Sekarang ini kes timah pula dibangkitkan. Kerajaan mengaku kita telah
cuba menyelamatkan perniagaan timah dengan memasuki pasaran dan membeli
timah. Memang benar Kerajaan tidak boleh memasuki pasaran timah tetapi
penipuan yang besar dibuat dalam London Metal Exchange (LME) pada ketika
itu yang merugikan kita.
47. Pada ketika itu sekumpulan ahli LME telah sengaja menekan turun harga
timah dengan menjual forward, iaitu untuk dibekal pada masa hadapan,
dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran ketika itu. Mereka
ini tidak memiliki walau satu paun pun timah. Harapan mereka ialah
tindakan mereka akan mengurangkan pembelian semasa yang akan menurunkan
harga timah. Apabila harga timah turun, mereka akan membeli timah untuk
membekal pelanggan mereka apabila genap tempoh yang dijanjikan.
48. Untuk menstabilkan harga, Kerajaan, melalui broker yang berdaftar
dengan LME (tidak ada orang Malaysia yang boleh menjual-beli timah dalam
LME), telah membeli timah yang dijual forward oleh ahli-ahli LME untuk
mempertahankan harga tinggi dalam pasaran.
49. Melalui cara ini, apabila genap masanya untuk timah dibekalkan kepada
pembeli, pilihan yang boleh dibuat oleh ahli-ahli LME yang berjudi dengan
pasaran timah, ialah membeli timah dengan harga mahal dari kita untuk
membekal kepada pembeli forward mereka atau mereka terpaksa mungkir janji
dan menerima tindakan kerana breach of contract.
50. Tetapi LME telah menipu dengan menukar aturan-peraturan jual beli
apabila sampai masanya bagi ahli-ahli mereka menunai janji. Mereka berkata
bahawa janji itu tidak perlu ditunaikan. Dengan itu terselamatlah
ahli-ahli mereka dan harga timah pun turun dengan mendadak.
51. Kerana tindak-tanduk LME, Kerajaan rugi dalam operasi ini yang
diluluskan oleh Kabinet dalam tahun 1980. Tetapi kita bercadang mengganti
balik kerugian ini dengan penjualan timah yang ada pada Kerajaan dan
perniagaan tertentu yang akan dibuat oleh sebuah syarikat yang dimiliki
100% oleh Kerajaan yang diberi nama Makuwasa. Sebenarnya saham KWSP yang
dipindahkan kepada Makuwasa bukanlah hak KWSP. Saham ini ialah saham yang
dikhaskan untuk bumiputera yang harganya memang rendah daripada harga
pasaran. KWSP tidak pernah diberi saham untuk bumiputera kerana ia bukan
badan bumiputera yang diiktiraf. Walau bagaimanapun agihan kepada KWSP ini
dibuat semata-mata untuk dipindahkan kepada Makuwasa yang mana
keuntungannya akan didapati oleh Kerajaan.
52. Adakah sesiapa dari Kerajaan mendapat untung daripada operasi
ini? Tentulah jelas bahawa tidak sesiapapun yang mendapat apa-apa untuk
diri sendiri. Apa yang dibuat oleh Kerajaan adalah bertujuan menyelamatkan
perniagaan timah. Ramai daripada pelombong-pelombong yang sepatutnya sudah
bankrap lebih awal lagi telah terselamat kerana operasi Kerajaan ini. Dan
Kerajaan pula dapat mengutip hasil yang lebih tinggi kerana, buat beberapa
waktu, harga timah kekal di paras yang tinggi. Jika tidak kerana penipuan
yang dibuat di London yang mana aturan-peraturan dipinda untuk melindungi
ahli-ahli LME, Kerajaan tidak akan rugi dan soal penglibatan Kerajaan
dalam mempertahankan harga bijih timah tidak akan dibangkitkan sama
sekali.
53. Saya sedar pihak DAP ingin menjadikan perkara ini sebagai satu lagi
skandal. Jika DAP mempunyai bukti bahawa terdapat pemimpin atau pegawai
Kerajaan terlibat dengan rasuah, silalah buat aduan. Jika tuduhan tidak
berasas, sila sanggup pula menerima tindak balas.
54. Tak usah sebut tentang Suruhanjaya Siasatan. Kita tahu apabila sahaja
Suruhanjaya ditubuhkan, satu kempen akan diadakan untuk menentukan
Suruhanjaya itu menari mengikut gendang dan irama pihak tertentu.
55. Ahli Suruhanjaya akan begitu ghairah dengan publisiti dan keinginan
menjadi hero sehingga tidak dapat bersikap berkecuali dan objektif
lagi. Berbagai hadiah akan diberikan kepada ahli Suruhanjaya semasa
menjalankan tugas supaya tindakannya berat sebelah kepada pihak tertentu.
56. Jika kita tidak suka kepada orang tengah yang mirip kepada Kerajaan,
kita juga sepatutnya tidak suka kepada orang tengah yang mirip kepada
pihak anti-Kerajaan. Di sini letaknya keadilan.
57. Sementara BMF dan Makuwasa dijadikan isu dan skandal, perbuatan
beberapa orang banker dari Malaysia, yang bukan dari Bank Bumiputra, yang
menyalahgunakan wang dua buah bank di Hong Kong tidak pula diberi
perhatian. Kerana mereka ini, nama orang Malaysia menjadi begitu busuk di
kalangan masyarakat banker dan financier di luar negeri. Demikian juga
dalam peristiwa Carrian. Hampir seratus buah bank lain kehilangan wang,
termasuklah sebuah bank yang terbesar yang mempunyai cawangannya di
Malaysia. Semua pihak membisu seribu bahasa, berkenaan bank-bank ini baik
di Hong Kong ataupun di Malaysia. Mengapakah Bank Bumiputra
diheboh-hebohkan? Kerana skandal atau kerana bumiputera? Kerana tidak suka
melihat bumiputera berjaya? Kerana seronok melihat kegagalan bumiputera?
58. Bank Bumiputra kerugian dua-ribu juta ringgit. Tetapi skandal
Pan-Electric menyebabkan kerugian enam-belas ribu juta ringgit, bukan duit
Kerajaan, bukan semua duit tauke, tetapi duit pelabur kecilan di Malaysia,
hampir kesemua mereka terdiri daripada orang-orang Cina Malaysia. Soal
siapakah yang bersalah tidak perlu kita bincangkan. Tetapi kerana Pan-El,
buat kali pertamanya dalam sejarah pasaran saham Malaysia, pasaran saham
terpaksa ditutup. Kerana Pan-El semua saham jatuh harga. Kerana Pan-El
ramai peniaga dan syarikat bankrap. Kerana Pan-El hutang bank tidak dapat
dibayar oleh ramai pelanggan bank dan bank-bank rugi. Kerana Pan-El harga
bangunan, harta dan saham jatuh sehingga rendah daripada nilai cagaran di
bank. Kerana Pan-El ekonomi negara terjejas.
59. Tetapi reaksi terhadap kes Pan-El tidak seperti dengan kes
BMF. Mengapa tidak begitu dihebohkan oleh pencipta skandal daripada
parti-parti lawan? Mungkinkah kerana tidak dilakukan oleh bumiputera? Pada
pandangan saya, bukan kehilangan duit yang penting kepada mereka. Yang
menggerak dan mendorong kritikan mereka ialah perasaan chauvinisme,
perasaan perkauman yang tebal.
60. Demikian juga dengan Pasaran Komoditi di mana harga minyak kelapa
sawit telah mengalami manipulasi sehingga musnah pasaran itu. Dan sekarang
Koperasi pula. Ratusan juta daripada duit rakyat dilesapkan oleh
orang-orang tertentu yang menguasai koperasi ini.
61. Akibat daripada semua ini, ekonomi negara merosot dan kepercayaan
orang asing kepada negara ini tergugat. Perniagaan-perniagaan kecil dan
besar sudah tidak ada pelanggan lagi. Modal untuk pelaburan baru sudah
tidak ada. Bangunan-bangunan yang didirikan tidak mendapat penyewa.
62. Siapakah yang menyebabkan semua ini berlaku? Orang kampungkah? Dasar
Ekonomi Barukah? Atau orang-orang di bandar-bandar -- orang-orang yang
begitu senang mengecam Kerajaan, orang yang selalu menyalahkan Kerajaan,
orang yang begitu marah sehingga ingin melihat BN kalah.
PENTINGNYA KESTABILAN _____________________
Saudara-saudari sekalian,
63. Malaysia perlukan kestabilan dan keamanan supaya rakyat hidup bahagia,
supaya rakyat dapat bergerak dan mencari nafkah, selamat daripada sebarang
ancaman, supaya ekonomi tumbuh dengan baik untuk memberi keuntungan kepada
peniaga dan pengusaha, serta peluang-peluang pekerjaan kepada ratusan ribu
yang keluar dari sekolah-sekolah dan institusi-institusi pelajaran tinggi
setiap tahun dan supaya Kerajaan memperolehi hasil dan cukai yang cukup
untuk membayar gaji, mentadbir dan membangunkan negara.
64. Malaysia perlukan kestabilan dan keamanan supaya pelabur dan peniaga
asing dapat melabur dengan selamat dan mendapat keuntungan yang
sewajarnya, di samping menolong mengembangkan ekonomi negara dan
mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi penduduk negara
kita. Pelabur-pelabur asing amat sensitif dan mereka mempunyai pilihan
yang luas kerana banyak negara-negara lain juga mempelawa mereka.
65. Pelabur-pelabur asing tidak memegang semata-mata kepada janji Kerajaan
atau kelonggaran syarat-syarat melabur, tetapi mengambilkira semua aspek
iklim pelaburan. Mereka menghantar pakar-pakar perisik komersial untuk
memerhati, menyoal-selidik dan menganalisa sebarang kejadian, laporan
akhbar, cakap-cakap di kedai-kedai kopi dan di kelab-kelab dan
berita-berita angin.
66. Dengan perasaan bertanggungjawab terhadap kebahagiaan rakyat dan
negara, Kerajaan cuba sedaya-upaya mengelak dari membuat apa-apa atau
mengeluarkan kata-kata yang boleh disalahertikan atau boleh memberi
gambaran bahawa terdapat unsur-unsur ketidakstabilan atau ketegangan di
negara kita. Saya sendiri tidak membuat apa-apa komen atau menyatakan
pendapat saya, jika komen itu mungkin disalah-tafsirkan dan memberi
gambaran ketidak-stabilan atau ketegangan dalam negara kita.
67. Rupa-rupanya penghargaan yang tinggi yang diberi oleh Kerajaan, dan
kita UMNO umumnya, terhadap stabiliti negara ini, telah dilihat oleh
pihak-pihak tertentu sebagai peluang untuk mereka menggugat kedudukan
Kerajaan, orang-orang Melayu dan bumiputera, peluang untuk mereka menuntut
itu dan ini.
68. Sepanjang masa parti-parti perkauman bukan Melayu telah sengaja
membuat kenyataan-kenyataan dan ugutan-ugutan yang menghalang usaha
Kerajaan untuk menyelamatkan rakyat. Sementara kita berdiam, mereka
sengaja menjolok isu-isu perkauman.
69. Mereka mengecam DEB dan pelaksanaannya. Mereka memberi gambaran yang
tidak tepat berkenaan dengan hasil DEB. Mereka sengaja membisik bahawa
keadaan perhubungan kaum di Malaysia tidak baik sehingga mungkin meletup
bila-bila sahaja.
70. Mereka cuba menggambarkan kedudukan Kerajaan sebagai tidak kukuh,
sebagai Kerajaan yang tidak mendapat sokongan daripada rakyat lagi,
sebagai Kerajaan yang korap dan akan tumbang pada bila-bila masa sahaja.
71. Dengan dibantu oleh akhbar-akhbar asing yang dimiliki oleh Zionist,
mereka sedikit sebanyak berjaya menghilangkan kepercayaan para pelabur
asing terhadap kestabilan negara kita.
72. Kerana ingin menghapuskan dakwaan bahawa Kerajaan tidak mendapat
sokongan rakyat dan dasar-dasarnya tidak diterima oleh rakyat, Kerajaan
dan Barisan Nasional telah mengadakan pilihanraya. Keputusan pilihanraya
menunjukkan bahawa sebenarnya sokongan kepada Kerajaan tidak merosot
walaupun bertukar corak sedikit. Tetapi usaha untuk mengurangkan
kepercayaan kepada Malaysia diteruskan juga supaya ekonomi terus terjejas.
JANGAN SALAHKAN DEB ___________________
Saudara-saudari sekalian,
73. Sejurus selepas pilihanraya, beberapa pihak telah membuat analisa
kononnya beberapa aspek keputusan pilihanraya disebabkan oleh pelaksanaan
DEB. Kononnya DEB baik, tetapi pelaksanaannya tidak betul. Kononnya DEB
hanya berjaya mewujudkan beberapa jutawan Melayu.
74. Apakah dakwaan ini benar? Apakah DEB semata-mata bermakna pembahagian
saham atau peluang berniaga? Apakah pelaksanaannya tidak betul? Apakah
yang sebenarnya berlaku?
75. Pertamanya DEB bukan semata-mata pembahagian saham atau kontrak. DEB
meliputi segala kegiatan ekonomi dan sosial. Sebelum DEB, anak Melayu dan
bumiputera yang berpelajaran tinggi amat berkurangan. Semenjak DEB ramai
daripada anak orang kampung, anak pekerja mahir dan tidak mahir, anak
orang miskin sudah mendapat pelajaran dan sekarang menjadi orang-orang
professional. Malang sedikit, kadang-kadang mereka ini sendiri tidak sedar
bahawa mereka adalah hasil program-program DEB. Lalu mereka menyahut
tuduhan bahawa DEB cuma menambah jurang perbezaan antara bumiputera dengan
bumiputera. Maka lebih gembiralah pengkritik DEB daripada parti-parti
pembangkang.
76. Jika tidak ada DEB dapatkah kita melihat begitu ramai bumiputera dan
Melayu menuntut di universiti-universiti di dalam dan di luar negeri? Jika
mereka semua anak orang-orang kaya, maka bermaknalah DEB sudah berjaya
mewujudkan ramai orang kaya bumiputera, bukan sahaja segelintir jutawan
Melayu. Tetapi kita tahu ramai daripada mereka adalah anak-anak orang
miskin, dan ini bermakna bahawa DEB memberi manfaat kepada bumiputera yang
miskin.
77. Soal jutawan bumiputera! Berapa ramaikah mereka? Kita nampak mereka
kerana mereka adalah orang kaya baru yang memang suka menunjuk-nunjukkan
kekayaan mereka. Mereka menggunakan Rolls-Royce, kot Pierre Cardin,
berumah besar dan ke sana-sini dengan designer brief-case, berjalan first
class. Cuba tanya pula, berapa ramaikah jutawan bukan bumiputera? Kita
tidak tahu, sehinggalah seseorang yang memakai singlet sahaja dicolek dan
mampu membayar berjuta-juta ringgit sebagai tebusan. Ketika itu barulah
kita tahu yang ianya seorang jutawan. Dan kita tahu ramai yang terkenal
sebagai jutawan, sama ada baru atau lama. Bagi setiap orang jutawan
bumiputera, kemungkinannya ialah terdapat sekurang-sekurangnya sepuluh
orang jutawan bukan bumiputera. Jadi, apakah yang dihebohkan bahawa DEB
kononnya hanya mewujudkan jutawan bumiputera?
78. Salahkah kalau bumiputera menjadi jutawan? Kita bukan sosialis. Kita
amalkan sistem free enterprise, sistem bebas. Siapa yang mempunyai
kepintaran dan inisiatif boleh menjadi kaya. Tidak bolehkah seorang
bumiputera menjadi kaya di antara sepuluh, mungkin seratus orang kaya yang
bukan bumiputera? Apakah kita hendak melihat bumiputera cuma miskin atau
middle-class atau golongan pertengahan sahaja? Selagi kita bukan sosialis
atau komunis, selama itulah akan terdapat orang-orang yang kaya dalam
masyarakat kita. Apakah mereka semua mesti terdiri daripada orang-orang
bukan bumiputera?
79. Benar, kebanyakan bumiputera yang mendapat sedikit kekayaan adalah
kerana mendapat kontrak atau bantuan Kerajaan. Kenapa? Sebab kontraktor
bumiputera tidak boleh bermimpi akan mendapat kontrak daripada pengusaha
atau peniaga kaya yang bukan bumiputera. Sementara kontraktor bukan
bumiputera boleh mendapat kontrak daripada bumiputera, kontraktor
bumiputera tidak pernah diberi kontrak oleh bukan bumiputera. Kononnya
tidak cekap, tidak layak. Bila nak cekap? Bila nak layak jika tidak diberi
peluang kerja?
80. Apakah kontraktor bukan bumiputera tidak dapat kontrak langsung
daripada Kerajaan, tidak dapat menjadi jutawan kerana tidak dapat membekal
dan membina itu dan ini untuk Kerajaan? Apakah DEB memberi keuntungan
kepada bumiputera sahaja?
81. Sila semak hutang dari bank. Sila semak bilangan ahli-ahli profesional
bumiputera. Sila bandingkan bilangan peguam bumiputera, dan bandingkan
dengan nisbah kaum di negara ini. Kalau kerana, kononnya, tumpuan kepada
satu kaum, penganut satu agama sahaja, terdapat keadaan yang begitu tidak
seimbang antara kaum dalam semua bidang selain daripada politik, apakah
nisbah yang akan terdapat di dalam negara ini jika pelaksanaan DEB dibuat
mengikut kemahuan para pengkritik yang begitu lantang mengecam DEB,
mengecam pelaksanaan DEB?
82. Cukuplah UMNO diarah supaya jangan bangkitkan isu-isu yang boleh
menjejas kestabilan negara. Saya sendiri membisu supaya iklim pelaburan
tidak tergugat. Kita cuba melayan bermacam-macam tuntutan. Kita pinda
syarat-syarat Industrial Coordination Act (ICA). Kita benarkan tarian
singa. Kita berdailog dengan peniaga-peniaga tertentu dan bersabar apabila
mereka mengecam Kerajaan. Kita berdiam apabila kata-kata kesat digunakan
dalam akhbar, apabila beberapa chauvinis bercakap seolah-olah orang Melayu
tidak berhak di negara ini, seolah-olah ini bukan asalnya negeri Melayu,
sebaliknya adalah sebahagian daripada negara asing.
83. Kita berdiam apabila mereka berkata mereka tidak suka kepada perkataan
bumiputera, tidak mahu dengar DEB disebut, tidak mahu apa-apa rancangan
bagi menentukan nasib orang bumiputera dan Melayu selepas DEB.
84. Mereka tahu bahawa matlamat DEB tidak akan tercapai apabila genap masa
yang ditentukan untuk Dasar ini. Mereka tahu bahawa sebenarnya pencapaian
mereka telah melebihi 40%, walaupun sebelum tamat DEB. Mengikut projection
yang dibuat, pada tahun 1990 sebahagian daripada kuota bumiputera dan
kuota orang-orang luar akan terdapat kepada orang-orang bukan
bumiputera. Tetapi awal-awal lagi mereka mengugut bahawa ketegangan akan
berlaku jika ada usaha untuk mencapai matlamat DEB setelah genap tempohnya
pada tahun 1990.
85. Rancangan DEB diasaskan kepada pertumbuhan ekonomi sebanyak 7% hingga
8%. Sekarang tidak ada pertumbuhan dan dengan itu target bagi bumiputera
tidak mungkin dicapai. Tetapi yang ditonjolkan ialah tarikh dan bukan
imbangan ekonomi antara kaum sebagai objektif DEB. Sedangkan kita tahu
sebabnya DEB dibentuk ialah kerana terdapat perbezaan yang ketara dalam
pembahagian kekayaan antara kaum di negara ini. Pada masa DEB dibentuk,
pertumbuhan ekonomi amat baik, dan mengikut perhitungan tahun 1970, kita
memerlukan dua puluh tahun sahaja untuk mencapai objektif 30% bagi
bumiputera yang berjumlah 52% daripada penduduk negara ini. Kita menerima
nisbah ini kerana kita tidak tamak. Perancangan pada tahun 1970 tidak sama
sekali menyangka bahawa ekonomi akan merosot dan matlamat DEB tidak akan
tercapai dalam masa 20 tahun. Jelas sekali DEB bukan menekankan jangkamasa
tetapi imbangan pembahagian kekayaan.
86. Kita tidak mahu menekan atau membahaskan perkara ini dahulu kerana
kita tidak mahu memberi gambaran bahawa kaum-kaum di Malaysia tidak
sepakat. Kita percaya bahawa jika ada masalah antara kita, maka eloklah
jika kita bincangkan dalam keluarga terutama bagi anggota Barisan
Nasional. Kita tidak suka terseret dalam perbahasan terbuka kerana ini
tetap akan mencetuskan ketegangan dan menakutkan para pelabur, sama ada
dari dalam atau luar negeri. Kita tidak mahu pertumbuhan ekonomi negara
terjejas kerana pertengkaran antara kita, antara kaum-kaum di Malaysia. Di
mana-mana juga kita pergi, kita sebutkan tentang kestabilan dan keamanan
di Malaysia sebagai satu asset untuk menarik para pelancung dan para
pelabur.
87. Kita sedar ada masalah kadang-kadang dalam pelaksanaan DEB. Mungkin
ada pegawai yang over-zealous. Tetapi ini semua boleh dirunding tanpa
diheboh-hebohkan dan ia boleh dibetulkan.
88. Malang sekali sikap kita ini ditafsir sebagai pendirian orang yang
salah, orang yang lemah. Justeru itu ugutan secara terbuka dibuat. Mereka
sengaja mengancam harmoni dan kestabilan negara untuk memaksa supaya DEB
tidak dilaksanakan, tidak dicuba supaya tercapai matlamatnya.
Mereka sengaja membuat interpretasi yang tidak betul kepada orang luar dan
pelabur asing untuk menjejas pertumbuhan ekonomi.
Saudara-saudari sekalian, 89. Kita mahu harmoni. Kita mahu
kestabilan. Kita mahu pertumbuhan ekonomi. Kita sedar pertumbuhan ekonomi
penting untuk kesejahteraan kita dan juga untuk negara.
90. Tetapi, NOT AT ANY COST. Kita tidak akan menggadai maruah kita. Kita
tidak akan memperdagangkan kehormatan kita sehingga anak cucu kita tidak
dapat memanggung kepala.
Kita tidak akan menyondol-nyondol hanya kerana terpikat dengan kekayaan
kebendaan.
91. Sudah banyak pengorbanan yang telah kita buat. Kita terima bahawa kita
sudah menjadi salah satu kaum dalam negara yang berbilang kaum. Nampaknya
bangsa Melayu sudah hilang. Yang tinggal hanya kaum Melayu bangsa
Malaysia.
Kita akui kaum-kaum lain mempunyai hak untuk mengekalkan identiti
mereka. Kita tidak protes melihat semakin banyak kekayaan negara
diperolehi oleh orang lain. Kita tidak protes apabila dalam bidang swasta
diskriminasi dikenakan kepada kita.
Saudara-saudari sekalian,
92. Sebaliknya kita sanggup membendung ke-melayuan kita dalam
politik. Untuk bersahabat dengan kaum-kaum lain di negara ini, kita
berlawan habis-habisan dengan ekstrimis di kalangan kaum kita sendiri. Di
kawasan-kawasan di mana kita mempunyai majoriti yang absolute, kita
sanggup bertanding sesama kita sehingga kalah-menang kita bergantung
kepada pengundi kaum lain. Kita terima calon-calon bukan daripada kaum
kita di kawasan-kawasan di mana kita ramai dan kita tentukan mereka
mendapat kemenangan.
93. Semua ini kita buat kerana kita percaya kepada kerjasama antara kaum
dan pembahagian kuasa antara kaum. Dan kita masih percaya kepada konsep
ini. Kita masih ingin melihat negara ini stabil dan aman. Kita masih
bersedia untuk menghulur tangan persahabatan kepada kaum-kaum lain. Tetapi
'Don't take us for granted'. Kesabaran kita bukan tidak terhad.
UMNO - TERAS PEMERINTAHAN _________________________
Saudara-saudari sekalian,
94. UMNO masih merupakan tulang belakang Barisan Nasional dan tulang
belakang Kerajaan. Justeru itu, UMNO perlu merintis jalan serta menjadi
contoh dan teladan dalam semua bidang. Sekarang ini kita menghadapi
masalah kemelesetan ekonomi. Kita tidak boleh harap orang lain menolong
mengatasi masalah ini. Kita juga tidak boleh bergantung kepada Kerajaan.
95. Harga getah, harga kelapa sawit, harga minyak mentah, harga lada,
harga kayu balak tidak akan naik walaupun Kerajaan membuat undang-undang
supaya harga naik. Harga barangan ini ditentukan oleh pasaran dunia dan
kita tidak berkuasa ke atas pasaran dunia. Kita juga tidak mampu melawan
negara-negara kaya yang memberi subsidi yang banyak untuk menurunkan harga
barangan mereka supaya dapat bersaing dengan jayanya dengan barangan kita.
96. Kita hanya mempunyai satu cara sahaja untuk mengatasi masalah
kemelesetan ekonomi akibat daripada kejatuhan harga barangan eksport
kita. Caranya ialah dengan mengurangkan kos pengeluaran, supaya apa yang
dikeluarkan oleh kita lebih murah daripada apa yang dikeluarkan oleh orang
lain, dan dengan itu barangan kita lebih laris dijual.
97. Apakah peranan kita untuk mengurangkan kos pengeluaran? Apakah dengan
menurunkan gaji kita? Bagi eksekutif meman inilah menjadi satu daripada
cara-caranya. Gaji di sini bukan bermakna gaji sahaja tetapi segala elaun
dan kemudahan atau perks, yang didapati. Bahawa jumlah semua gaji, elaun
dan perks eksekutif, yang bilangannya tidak ramai, tidak banyak, tidaklah
boleh dijadikan alasan mengapa ia tidak boleh dikurangkan. Di masa
kecemasan semua pihak mesti memikul beban supaya ianya menjadi ringan. Dan
sekarang ini kita menghadapi kecemasan ekonomi.
98. Saya ingin menyebut bahawa kita telah memotong gaji menteri-menteri
lebih daripada 10% semenjak tahun 1982. Tetapi saya tahu bagi yang sinis,
mereka akan berkata menteri boleh potong gaji kerana mereka rasuah,
terutama perdana menteri. Mereka yang berkata demikian dusta. Kalau tidak
mahu berkorban sendiri, janganlah memperkecil dan memfitnah tentang
pengorbanan orang lain untuk melindungi kebakhilan diri sendiri.
99. Bagi pekerja yang gaji rendah, pengurangan gaji tidak dapat
dibuat. Tetapi peningkatan hasil kerja mesti dibuat. Untuk ini satu
rancangan latihan besar-besaran akan diadakan terutamanya bagi yang
menganggur. Rancangan latihan ini tidak akan tertumpu kepada kemahiran
sahaja tetapi juga kepada sikap dan sifat yang akan menjamin
daya-pengeluaran yang tinggi.
100. Pusat-pusat latihan akan diadakan bagi memupuk nilai-nilai yang baik
untuk membantu meningkatkan etika kerja. Kerja-kerja yang berkesan akan
ditekankan. Peserta akan terdiri daripada mereka yang rela menghadapi
cabaran latihan yang intensif dan hebat. Mereka yang lulus dan menunjuk
bukti bahawa sikap mereka terhadap kerja sudah berubah dan boleh
meningkatkan tanggungjawab dan hasil, mereka ini akan diutamakan apabila
ada peluang kerja, baik dalam Kerajaan atau dalam bidang swasta.
101. Semua kaum akan berpeluang mendapat latihan ini. Tatanegara juga akan
diajar supaya para lulusan kursus ini tidak begitu tebal perkaumannya dan
mempunyai sifat-sifat patriotisme terhadap negara. Ini ialah kerana kita
percaya bahawa masa hadapan negara ini bergantung kepada pengurangan
polarisasi kaum dan pembangunan yang seimbang antara kaum selain daripada
kerajinan, disiplin, inisiatif dan lain-lain nilai murni masyarakat yang
boleh meningkatkan keupayaan kita bersaing dengan orang lain.
102. UMNO sebagai parti politik yang ulung akan menyokong usaha ini dengan
menggalakkan ahli-ahli UMNO menyertainya. Jika orang lain tidak mahu
mempercayai niat baik Kerajaan, tidak mahu menyertai rancangan ini,
ahli-ahli UMNO dari golongan muda akan menyertainya. Walau apa sekalipun
tuduhan dibuat, rancangan ini akan diteruskan. Pemulihan ekonomi negara
ini dan pembangunannya adalah tanggungjawab istimewa UMNO, tanggungjawab
kita yang setia kepada parti walau apa pun fitnah yang dilempar kepada
kita.
DASAR LUAR NEGERI _________________
Saudara-saudari sekalian,
103. Kita baru sahaja membentuk Kerajaan yang baru dan eloklah jika kita
tegaskan semula dasar-dasar kita, termasuk dasar luar negeri. Kerajaan
pimpinan UMNO ini akan terus mengutamakan ASEAN sebagai satu pakatan jiran
se wilayah walaupun matlamat pasaran bersama belum tercapai.
104. Kita akan meneruskan kerjasama kita dengan Indonesia, Thailand,
Brunei dan Singapura. Jarak perhubungan kita dengan Filipina akan
ditentukan selepas mereka selesai menggubal perlembagaan baru negara
mereka.
105. Singapura meminta pertolongan kita berkenaan dengan bekalan
air. Sebagai jiran, kita sedia menimbang permohonan ini dengan
wajarnya. Sementara kita sedar akan pentingnya air bagi Singapura, kita
tidaklah dapat membelakangkan kepentingan kita sendiri.
106. Keutamaan kita selepas ASEAN ialah Pertubuhan Negara-Negara Islam
atau OIC. Kita berminat dengan kerjasama dunia Islam walaupun
negara-negara Islam tidak lagi kaya seperti dahulu, dan mereka sering
berkelahi antara satu sama lain. Di samping itu, terdapat nationalisme
Arab yang begitu ekstrimis sehingga membelakangkan Islam. Ada juga yang
Marxist atau sekurang-kurangnya menjadi client state kepada komunis atau
kepada Amerika Syarikat. Ada pula yang suka menimbulkan kekacauan di
negara-negara Islam yang lain, bahkan sanggup cuba mempengaruhi politik
dalam negara kita. Semua ini kita tahu tetapi kita masih ingin mengadakan
kerjasama dengan negara-negara dan orang-orang Islam di mana juga mereka
berada.
107. Keutamaan kita yang ketiga ialah Pertubuhan Negara-Negara
Berkecuali. Kita tidak mungkin mendapat apa-apa pertolongan daripada
negara-negara ini tetapi sebagai third force mereka mengimbangkan
pertandingan antara blok Timur dan Barat. Sebagai sebuah negara kecil,
kita tidak mahu menyebelahi mana-mana blok. Sebaliknya, kita memerlukan
kawan yang setaraf dengan kita dan bukan kuasa besar yang memandang kita
hanya sebagai client state iaitu pelanggan mereka sahaja.
108. Di antara pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di dunia ini, kita hanya
menyokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan beberapa agensinya. Jika
perlu kita bercakap kepada dunia keseluruhannya, kita akan gunakan forum
Bangsa-Bangsa Bersatu. Demikianlah dengan masalah dadah. Kita akan
menyertai perjumpaan-perjumpaan anjuran Bangsa-Bangsa Bersatu dalam usaha
menentang bahaya dadah kerana dadah bukan masalah kita sahaja tetapi
adalah juga masalah dunia.
109. Satu kajian terperinci akan dibuat berkenaan dengan pertubuhan
Komanwel untuk mengetahui faedah daripada keahlian kita dalamnya dan
membandingkannya dengan perhubungan antara Britain khususnya dengan
beberapa negara bukan Komanwel. Ada perbezaan yang jelas di antara ahli
yang kulit putih dengan ahli yang bukan kulit putih dalam Komanwel dan
butir-butir berkenaan aspek ini perlu diketahui. Kita juga tahu bahawa
sementara penuntut-penuntut dari Eropah dan Amerika Syarikat yang bukan
ahli Komanwel mendapat layanan istimewa, penuntut-penuntut kita dikenakan
yuran pelajaran yang begitu tinggi sehingga secara tidak langsung kita
membantu penuntut Inggeris dan lain-lain.
110. Dasar Pandang ke Timur akan diteruskan. Kebudayaan dan moraliti
bangsa-bangsa di Timur lebih secucuk dengan kita. Di samping itu cara-cara
mereka membangunkan negara mereka membawa lebih banyak kejayaan, dan kita
tidak mahu meniru orang yang gagal. Sekarang ini terdapat ramai pekerja
dan eksekutif Barat pergi ke Jepun untuk belajar teknik-teknik pembuatan
dan etika kerja. Jelaslah bahawa bangsa-bangsa Barat pun sedang memandang
ke Timur dan mengikut jejak langkah kita. Tidak ada satu sebab mengapa
kita perlu menolak dasar Pandang Ke Timur ini.
MARUAH BANGSA _____________
Saudara-saudari sekalian,
111. Manusia sanggup berperang bermati-matian kerana tidak suka
dihina. Orang-orang Melayu adalah sama daripada segi memelihara
maruah. Jika kita berjuang selama 400 tahun untuk kebebasan negara kita,
sebabnya ialah kerana sebagai satu bangsa kita tidak sanggup diperhambakan
oleh sesiapa.
112. Di zaman ini penjajahan secara langsung sudah hampir
luput. Sebenarnya kebanyakan daripada saudara-saudari tidak pernah merasai
kehinaan sebagai orang yang dijajah. Justeru itu, penghargaan terhadap
kebebasan bangsa yang merdeka tidak sebegitu tebal. Ketidaksedaran ini
akan melalaikan kita, terutama apabila penjajahan secara tidak langsung
diusahakan.
113. Melalui ekonomi, melalui kebudayaan, penjajahan indirect ini sedang
berlaku. Kita amalkan sistem free enterprise kerana ianya lebih baik
daripada sistem feudal. Kita sedar bahawa ekonomi negara-negara di dunia
tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain. Tetapi kita tidak
begitu bebas kerana harga barangan kita dikuasai oleh orang-orang
lain. Hari ini kita merasai kesan penjajahan ekonomi ini apabila harga
barangan kita ditekan turun sehingga meleset ekonomi negara kita.
114. Penjajahan melalui kebudayaan dapat dilihat apabila kita simpan
rambut panjang, kita pakai jeans walaupun ke majlis perkahwinan, kita
menari macam orang gila tanpa segan silu di Rock konsert, lelaki pakai
subang, atau sengaja suka pakaian yang kotor dan koyak. Adat resam, sopan
santun bangsa kita sudah hampir luput dan kita hampir kehilangan identiti.
115. Bukan semua peniruan kebudayaan asing membuktikan penjajahan oleh
bangsa asing. Ada amalan yang baik yang sepatutnya kita tiru dengan mata
terbuka. Tetapi penjajahan kebudayaan berlaku apabila kita terbawa-bawa
dengan kebudayaan asing sehingga tidak mempedulikan akan kesan buruk
daripadanya.
116. Kita juga dijajah melalui dadah. Kita tidak mengeluarkan dadah di
negara ini. Amalan ini bukan sebahagian daripada kebudayaan kita. Tetapi
hari ini majoriti yang mengisap dan menyuntik dadah adalah belia-belia
Melayu. Mereka ini tidak boleh mempertahankan maruah bangsa kita.
117. Dalam bidang media-massa pula, pada mulanya hanya media-massa asing
sahaja yang brainwash kita. Sedikit demi sedikit nilai-nilai kita
berubah. Akhirnya ada wartawan dan akhbar kita sendiri yang telah
dibrainwashkan. Tidak perlu lagi akhbar asing subvert nilai hidup dan
kebudayaan kita. Kita sendiri sudah mengambil-alih peranan brainwashing
ini. Kadang-kadang yang memburukan imej negara kita ialah orang-orang
Malaysia sendiri. Mereka tidak peduli bahawa mereka sendiri akan menjadi
mangsa keburukan itu. Mereka sudah begitu objektif, kononnya. Tetapi
sebenarnya mereka telah diperalatkan oleh penjajah.
Saudara-saudari sekalian,
118. Sebenarnya UMNO sahaja yang terdaya mempertahankan maruah kaum kita,
maruah bangsa Malaysia kita dan maruah negara kita. Kalau kita desak
supaya UMNO mengutamakan perpaduan dan berdisiplin, sebabnya bukanlah
kerana ini memudahkan kerja pemimpin tetapi kerana perpaduan dan disiplin
sahaja yang menjadikan parti kita berkesan dan dihormati dan layak
memimpin dan menjadi teladan kepada lain-lain penduduk di Malaysia, baik
Melayu, baik bukan Melayu.
119. Perpaduan, disiplin dan kesetiaan kepada parti menentukan kemenangan
kita dalam pilihanraya dan pembentukan Kerajaan yang berkesan. Wakil-wakil
rakyat yang menang, menang kerana disiplin dan ketaatan ahli dan
pemimpin-pemimpin kepada parti. Jikalau kita mendapat kebahagiaan daripada
sifat-sifat ini janganlah apabila kita tidak bertanding lagi, kita lupakan
akan jasa-jasa orang lain kepada kita dahulu. Janganlah kita bertukar
haluan dan bersikap berkecuali dan kononnya objektif apabila kita tidak
perlu lagi sokongan parti. Taat setia bukanlah untuk mendapat tempat. Taat
setia adalah sifat kita ahli UMNO, sifat yang kita junjung sepanjang hayat
kita, kerana taat setia inilah yang memberi kejayaan kepada kita. Oleh itu
teruskanlah sokongan kita kepada UMNO terutamanya di waktu pilihanraya,
walaupun kita tidak bertanding lagi.
120. Cerah atau gelapnya masa depan orang Melayu dan agama Islam
khususnya, bangsa Malaysia, negara Malaysia bahkan kaum-kaum lain yang
berada di Malaysia bergantung kepada UMNO. Parti-parti lain adalah
ekstrimis atau chauvinis atau terlalu kecil untuk memelihara negara ini
dan menghadapi berbagai cabaran. UMNO adalah binding force atau kuasa yang
mengikat, kuasa yang menarik semua parti yang bersikap sederhana supaya
bekerjasama. Sikap ini adalah pilihan UMNO sendiri. Jika tidak, akan
berpecahlah rakyat negara ini seperti yang terjadi di negara-negara lain
yang mempunyai berbagai kaum. Sistem demokrasi dengan sendirinya tidak
menjamin keadilan dan kebahagiaan. Yang benar-benar menjamin kedua-dua
nikmat ini ialah pengamalan demokrasi yang ikhlas dan jujur. Dan UMNO
adalah pengamal demokrasi yang ikhlas dan jujur.
121. Jelas sekali bahawa tanggungjawab kita, ahli-ahli UMNO, adalah
berat. Kita mesti memikul tanggungjawab ini dan kita mesti menentukan
kestabilan dan keadilan bagi semua rakyat di negara ini. Kita mesti
menghulur tangan persahabatan setiap masa.
122. Di waktu kemelesetan ini, di waktu wang sukar dicari dan Kerajaan
sendiri menghadapi masalah kewangan, ahli-ahli UMNO perlu menunjukkan
kesabaran dan sanggup berjimat cermat dengan wang ringgit dan harta yang
ada kepada kita. Kita tidak boleh meneruskan cara hidup yang biasa kita
amalkan di zaman mewah dahulu. Sebaliknya kita harus menerima kesan
kemelesetan ekonomi ke atas kehidupan kita dan kita menyesuaikan diri kita
dengan keadaan ini.
SYIAR ISLAM ___________
Saudara-saudari sekalian,
123. Kita bersyukur negara kita bukan sahaja masih aman dan sejahtera,
tetapi juga agama Islam yang kita anuti terus berkembang dan
terpelihara. Kita berdoa semoga umat Islam negara ini akan terus berpegang
kepada tali Allah dan bersatupadu.
124. Perpaduan ummah negara ini telah terancam semasa pilihanraya umum
yang lalu. Kita seharusnya mencuba supaya perpaduan yang tergugat itu
dapat dipulihkan semula. Apa-apa perbezaan pendapat dan apa-apa salah
faham sesama sendiri janganlah dibiarkan berpanjangan. Bersama-samalah
kita menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup kita. Kita
patutlah mengutamakan sifat-sifat yang lebih luhur dan sederhana supaya
kita tidak bersikap keterlaluan atau ekstrim. Kita harus yakin akan
kesederhanaan yang dituntut oleh agama Islam yang bukan sahaja dapat
mengekalkan perpaduan di kalangan ummah, tetapi juga dapat mengembangkan
lagi syiar Islam. Ia juga akan membolehkan kita bekerjasama dengan
kaum-kaum lain, bahkan memberi perlindungan kepada mereka.
125. Kita telah membuktikan tekad Kerajaan mengembangkan syiar Islam
dengan melaksanakan beberapa projek dan dasar. Saya tidak bercadang
menyenaraikan apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan kerana umum
mengetahuinya. Kita harus bertekun untuk melaksanakan apa sahaja yang
boleh dilakukan untuk mengembangkan syiar Islam.
126. Di sini harus kita berhati-hati kerana dalam iklim politik yang
terdapat di negara ini, amat mudah kita memperkata atau membuat sesuatu
bukan kerana agama tetapi kerana terbawa-bawa dengan arus tekanan
politik. Orang yang membenarkan kepentingan politik sendiri mempengaruhi
tindakan keagamaannya akan membawa kepada penyelewengan dan mungkin
merosakkan akidah. Oleh itu setiap kali kita bertindak atau membuat
cadangan, bertanyalah diri terlebih dahulu sama ada ianya didorong oleh
agama atau kerana perasaan riak. Hanya dengan bersikap jujur dalam
menjawab soalan ini baharulah agama Islam terselamat.
PENUTUP _______
Saudara-saudari sekalian,
127. Perjuangan UMNO belum tamat. Kita masih mempunyai banyak kerja yang
perlu dibuat, banyak matlamat yang perlu dicapai.
128. Dengan izin Allah Subhanahu Wataala, kita telah sekali lagi diberi
kuasa mentadbirkan negara yang kita cintai ini. Marilah kita memperbaharui
azam dan tekad, marilah kita rapatkan barisan dan dengan tegasnya kita
menghadapi segala masalah dan rintangan dalam perjuangan mempertahan dan
meningkatkan maruah kaum dan bangsa, agama dan negara kita. Insya-Allah.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|