home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN JUBLI PERAK,BGN SULTAN 
			SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALAM 
Tarikh/Date 	: 	10/10/86 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PEMBUKAAN PERHIMPUNAN AGUNG 
			MIC YANG KE-34 




Yang Berhormat Dato' Samy Vellu, Presiden MIC; Dif-dif kehormat; Para
perwakilan MIC; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kerana sekali lagi dijemput oleh
Jawatankuasa Pusat MIC untuk merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti
ini. Saya juga berterima kasih kerana pada kali ini Perhimpunan Agung MIC
disertai dengan Majlis Jamuan Makan Malam dan saya telah dijemput bersama.

2. Sekarang ini nampaknya sudah menjadi tradisi bagi Pengerusi Barisan
Nasional dan Perdana Menteri merasmikan Perhimpunan Agung Parti
MIC. Sebagai pemimpin Barisan Nasional yang percaya kepada konsep Barisan
Nasional saya amat menghargai tradisi ini. Walaupun Barisan Nasional
adalah parti campuran, penghormatan yang diberi oleh MIC kepada Pengerusi
Barisan Nasional merapatkan lagi perpaduan yang diperlukan oleh Barisan
Nasional dan membantu membantu kewibawaan Barisan Nasional sebagai parti
pemerintah.

Tuan-tuan dan puan-puan.

3. Dua bulan lalu kita telah berjaya memenangi pilihanraya umum ketujuh
dengan majoriti yang kita semua boleh berbangga. MIC juga telah memenangi
kesemua enam kerusi Dewan Rakyat yang diperuntukkan kepadanya. Parti ini
hanya mengalami satu kekalahan daripada 13 orang calon bagi Dewan Undangan
Negeri yang diperuntukkan kepada MIC. Marilah kita semua mengucapkan
terima kasih dan penghargaan kepada para pengundi, terutama para penyokong
dari semua kaum, kerana telah memberi kepercayaan dan kemenangan besar
ini.

4. Selepas pilihanraya, tugas kita yang utama ialah berkhidmat kepada
rakyat dan negara. Janganlah kejayaan yang besar ini melalaikan kita semua
daripada tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Saya yakin semua
wakil rakyat Barisan Nasional bersedia menjalankan tugas masing-masing dan
menabur khidmat seperti yang diharapkan oleh rakyat negara ini.

5. Pada pandangan saya, kemenangan besar Barisan Nasional selama ini
sedikit-sebanyak telah melalaikan kita tentang satu-dua aspek. Salah
satunya ialah beberapa orang wakil rakyat, sama ada di Dewan Rakyat atau
Dewan Undangan Negeri, tidak berusaha dan tidak bersungguh-sungguh
mendapatkan pengetahuan tentang peraturan-peraturan majlis mesyuarat atau
'standing orders' dewan perundangan berkenaan dan juga isu-isu dan
implikasi-implikasi sesuatu rang undang-undang yang dibentangkan. Mungkin
juga terdapat seorang-dua yang tidak begitu memahami dasar-dasar Kerajaan
secara mendalam seperti yang diharap daripada wakil rakyat parti yang
memerintah. Kurangnya kefahaman ini kerap membawa kepada perselisihan
pendapat antara parti-parti komponen Barisan Nasional dan menyebabkan
kata-kata yang menyinggung hati kawan.

6. Dengan itu marilah kita -- semua wakil rakyat yang mewakili parti-parti
komponen Barisan Nasional -- sentiasa mempastikan yang kita memahami
dasar-dasar Kerajaan: latarbelakang dan rasionalnya, objektif-objektif,
serta program-program yang terlibat bagi menjayakan sesuatu dasar
itu. Marilah kita bersama-sama berusaha mempastikan yang kita
bersungguh-sungguh dalam memahami setiap rang undang-undang yang
dikemukakan. Ramai daripada kita tidak termasuk dalam kategori mereka yang
sudah alpa ini, tetapi marilah kita mempastikan semuanya berusaha dan
bersungguh-sungguh terhadap tanggungjawab ini. Di samping itu kita
mestilah mengambil tahu dan menjaga kepentingan para pengundi kita. Jika
perkara-perkara seperti ini kita selalu mengambil berat, saya yakin
Barisan Nasional akan sentiasa berjaya dalam memperjuangkan kepentingan
rakyat di negara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

7. Mengenai MIC pula, saya berpendapat ahli-ahli MIC harus berbangga
dengan perkembangan yang telah dicapai oleh MIC setakat ini. Parti MIC
bertambah kukuh kerana ahli-ahlinya bersatu-padu dan memberi sokongan yang
penuh kepada kepimpinannya. Tidak lama dahulu MIC menjadi objek kritikan
kerana sering berlaku peristiwa-peristiwa yang memalukan akibat daripada
rebutan jawatan dan lain-lain. Tetapi sekarang MIC menjadi satu contoh
yang baik kepada lain-lain komponen parti Barisan Nasional.

8. Sementara perkembangan ini dialu-alukan dan menjadikan MIC parti yang
kuat, ada kemungkinan bahawa perasaan kekuatan atau 'a sense of strength'
ini, akan menjadikan MIC lebih aggresif terhadap parti-parti lain,
termasuk parti-parti komponen Barisan Nasional. Demikian diperhatikan
bahawa teguran-teguran yang dibuat terhadap beberapa dasar Kerajaan oleh
beberapa tokoh muda tidak mengambil-kira kesan terhadap perpaduan Barisan
Nasional dan perpaduan kaum. Mungkin ada asas kenapa teguran ini
dibuat. Tetapi sepertimana juga kita berkata bahawa kita bersetuju dengan
dasar tetapi menegur perlaksanaannya, kita juga boleh kata bukan teguran
yang menyinggung tetapi cara teguran itu dibuat.

9. Sebenarnya dalam Barisan Nasional terdapat berbagai saluran untuk
pemimpin-pemimpin parti-parti komponen menyuarakan perasaan tidak senang
mereka terhadap dasar atau perlaksanaan dasar atau lain-lain. Bahkan bagi
Parti-parti besar, Kabinet juga boleh digunakan sebagai saluran. Melalui
cara dan saluran ini pembentukan atau penjelasan yang terperinci boleh
dibuat tanpa menyinggung perasaan parti atau ahli atau pemimpin kecil
komponen Barisan Nasional yang lain. Dengan itu solidarity Barisan
Nasional tidak boleh disyaki atau dipersoalkan dan kesan Barisan Nasional
dalam politik atau ekonomi negara akan menjadi lebih kukuh.

10. Seperkara lagi ialah apabila sesuatu pendapat atau pendirian sudah
diketahui umum, amatlah sukar bagi kita bertolak ansur. Kita akan
mempertahankan juga pendirian kita walaupun sudah jelas asasnya
salah. Kata pepatah Melayu, "kita akan cuba menegak benang yang
basah". Maka akan rugilah kita. Akan rugilah Barisan Nasional dan akan
rugilah negara kerana perbalahan yang tidak berasas dan tidak bermanfaat.

11. Saya mengucapkan tahniah kepada MIC, terutama pemimpin-pemimpin pemuda
dan wanitanya, yang sedar akan saluran yang saya sebutkan tadi dan
kesanggupan mengelak daripada pertikaian pendapat antara parti-parti
komponen Barisan Nasional. Saya mengucapkan tahniah lebih-lebih lagi
kerana pendirian tegas menyokong Dasar Ekonomi Baru dan kesanggupan
menyelesaikan soal-soal Dasar Ekonomi Baru melalui saluran yang ada. Saya
yakin dengan adanya sikap seperti ini dalam Barisan Nasional, kestabilan
negara yang kita semua sayangi ini akan kekal.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

12. Kita semua menjunjung tinggi demokrasi. Dalam parti kita dan di negara
kita Malaysia ini, kita amalkan sistem demokrasi -- sistem yang diasaskan
kepada suara ramai. Tidak siapa boleh menafikan bahawa demokrasi adalah
satu sistem pemerintahan yang baik dan ianya berjaya di Malaysia. Kita
juga tahu bahawa di kebanyakan negara-negara yang mencapai kemerdekaan
selepas perang dunia kedua, demokrasi tidak berjaya. Di kebanyakan
negara-negara ini setelah mencuba sistem demokrasi beberapa tahun atau
beberapa bulan, keadaan politik dan pentadbiran menjadi tidak
stabil. Akhirnya demokrasi terpaksa ditamatkan dan digantikan dengan
sistem kerajaan tentera atau lain-lain cara yang otokratik.

13. Masalahnya bukan demokrasi tidak baik tetapi rakyat atau citizens
tidak tahu mengguna sistem demokrasi, atau lebih tepat lagi tidak tahu
limit demokrasi. Mereka anggap demokrasi sebagai kebebasan membuat apa
sahaja atau apabila mereka mendapat kuasa melalui demokrasi mereka boleh
menyalah-gunakan kuasa ini. Terdapat juga dalam demokrasi
kumpulan-kumpulan yang menganggap diri mereka lebih layak memerintah
daripada pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Mereka ini kerapkali tidak
mencebur diri dalam kegiatan politik secara langsung kerana mereka tidak
yakin boleh mempengaruhi majoriti rakyat untuk menyokong mereka. Oleh itu
mereka cuba memperalatkan hak-hak demokratik untuk menggagalkan
usaha-usaha Kerajaan. Mereka meningkatkan penyalah-gunaan hak demokratik
ini untuk mencabar Kerajaan supaya bertindak terhadap mereka. Dalam
masyarakat majmuk seperti di Malaysia, mereka berpeluang untuk
memperalatkan sentimen perkauman dengan harapan Kerajaan akan bertindak
keras untuk mencegah kegiatan mereka yang boleh mencetuskan
rusuhan. Apabila sahaja Kerajaan bertindak menghalang kegiatan bahaya
mereka, maka berpeluanglah mereka mengecam Kerajaan sebagai tidak
demokratik. Untuk maksud ini, mereka sanggup memburuk-burukkan negara
sendiri kepada orang-orang asing.

14. Strategi yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan ini sering
menghancurkan demokrasi di beberapa negara. Jika di Malaysia demokrasi
masih kekal, sebabnya ialah kerana majoriti rakyat di negara ini faham
akan cara menggunakan demokrasi dan tahu limitnya dan menolak hasutan
kumpulan-kumpulan ini. Demokrasi sebagai satu sistem politik dengan
sendirinya tidak akan menentukan kejayaan dan kestabilan
negara. Sebenarnya yang menjayakan demokrasi ialah pengamal demokrasi. Di
Malaysia yang benar-benar faham sistem demokrasi dan menggunakannya dengan
baik ialah Barisan Nasional. Jika Malaysia tidak mempunyai Perikatan dan
kemudiannya Barisan Nasional, berpuluh buah parti akan bertanding dan
tidak ada satu pun yang akan memperolehi cukup wakil untuk menubuhkan
Kerajaan. Mungkin secara 'marriage of convenience', diadakan Kerajaan
Campuran selepas pilihanraya. Tetapi di kebanyakan negara lain apabila
'marriage of convenience' ini diadakan ianya tidak stabil. Kemudian akan
jatuhlah Kerajaan, atau jika kekal buat beberapa ketika akan menjadi
pemerintah yang tidak berkewibawaan kerana selalu diancam oleh pihak parti
itu dan ini untuk menarik diri. Apabila satu demi satu daripada
parti-parti membentuk Kerajaan minoriti, maka akan bermulalah huru-hara
dalam negara yang baru mencuba demokrasi. Akhirnya, gugurlah demokrasi dan
diganti dengan berbagai jenis autokrasi.

15. Kerana demokrasi di Malaysia adalah hasil kerjasama parti-parti dalam
Barisan Nasional, maka tiap-tiap parti komponen hendaklah sedar akan
tanggungjawabnya serta memelihara dan mengamal sistem demokrasi dengan
baik. Janganlah sesiapa daripada kita melampaui batas-batas demokrasi dan
menyebabkan kehancuran demokrasi di negara ini. Jika kita percaya kepada
suara majoriti, kita mesti patuh kepada majoriti. Kepentingan minoriti
juga terpelihara dalam demokrasi tetapi demokrasi tidak bermakna minoriti
boleh mengguna tektik yang haram atau yang buruk untuk mengganggu
majoriti.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

16. Saya telah mengambil masa sedikit menghuraikan demokrasi kerana
maju-mundurnya negara kita bergantung kepada kefahaman kita terhadap
demokrasi dan kelemahannya. MIC sebagai parti yang demokratik tentu faham
maksud saya. Kita semua bertanggungjawab kerana kita adalah daripada parti
pemerintah. Parti lawan dan kumpulan tertentu tidak mempunyai
tanggungjawab dan kita faham chauvinisme mereka. Kita tidak boleh turut
mereka dan cara-cara mereka menyalah-gunakan demokrasi. Kita mesti amalkan
demokrasi secara baik dan tidak menyalahgunakan hak-hak yang
demokratik. Ingatlah, jika Barisan Nasional berpecah, akan hancurlah
demokrasi di negara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

17. Saya berharap Perhimpunan Agung MIC yang ke-34 ini akan berjalan
dengan baik dan menghasilkan resolusi dan program yang akan menjayakan
bukan sahaja MIC tetapi juga Barisan Nasional dan negara kita Malaysia.

18. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung MIC
1986 ini dengan rasminya. 
 

 



 
Google