Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	20/10/86 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 
			PERWAKILAN CUEPACS YANG KE 17 




En. Ragunathan, Presiden CUEPACS; Ahli-Ahli Jawatankuasa CUEPACS; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak CUEPACS kerana menjemput saya
untuk merasmikan Persidangan Perwakilan CUEPACS yang ke-17 ini.

2. Saya berasa gembira kerana sekali lagi dapat bersama-sama dengan
tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini untuk berkenal-kenalan dan
seterusnya dapat memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh tuan-tuan dan
puan-puan. CUEPACS, yang mempunyai jumlah ahli kira-kira 150,000 orang
kakitangan Kerajaan, boleh memainkan peranan yang amat penting dalam
menentukan corak dan arah perjuangan kesatuan sekerja dalam sektor awam di
negara ini.

3. Saya berasa bangga kerana CUEPACS sekarang sudah kembali kepada
peranannya sebagai kesatuan sekerja dan tidak lagi menjadi badan politik
atau membenarkan dirinya diperalatkan untuk tujuan politik. Di mana juga
kesatuan sekerja diperalatkan untuk tujuan politik, kita dapati
kepentingan pekerja akan diketepikan. Dan jika parti politik itu berjaya
sehingga menjadi Kerajaan, maka kesatuan dan pekerja akan ditindas
terus. Kita boleh lihat perkara ini berlaku jika kita mengkaji beberapa
buah negara dekat dan jauh di mana parti politik telah memperolehi kuasa
'riding on the backs of trade unions'.

4. Saya percaya sikap kepimpinan baru CUEPACS yang lebih realistik seperti
yang ditunjukkan dalam rundingan baru-baru ini dengan pihak Kerajaan,
adalah kerana CUEPACS dapat melepaskan diri daripada orang-orang yang
mempunyai niat lain. Tidak ada lagi perbuatan bersetuju di dalam dan tidak
bersetuju di luar yang telah menyebabkan kepincangan dan konfrantasi dalam
perhubungan perusahaan di sektor awam. Mungkin ada setengah-setengah
daripada pekerja yang berpendapat bahawa pemimpin kesatuan sekerja tidak
menjadi pemimpin jika ia tidak bermusuh dengan majikan. Saya berpendapat
bahawa anggapan ini tidak berasas. Sementara kita harus mempertahankan hak
dan tuntutan, kita tidak perlu bermusuh. Kejayaan bukan sahaja boleh
dicapai melalui konfrantasi. Sebenarnya sikap adversarial atau
bermusuh-musuhan kerap kali menggagalkan perjuangan.

5. Sekaligus kepimpinan baru CUEPACS mungkin nampak tidak bermaya. Tetapi,
sebenarnya di zaman kemelesetan ini tidak mungkin ada pemimpin yang boleh
membawa kejayaan kepada mana-mana tuntutan kesatuan sekerja dengan
sepenuhnya. Hakikat ini perlu diterima oleh semua pihak. Tuan-tuan dan
Puan-puan, 

6. Ingin saya menyebut secara berterus-terang di sini tentang kedudukan
ekonomi negara dan kedudukan kewangan Kerajaan untuk menjelaskan mengapa
tidak akan ada pemimpin CUEPACS yang boleh menjayakan tuntutan gaji pada
waktu ini.

7. Kerajaan mendapat hasil yang terbesar daripada cukai korporat dan cukai
pendapatan. Asas cukai korporat ialah keuntungan yang diperolehi daripada
perniagaan syarikat. Jika syarikat tidak memperolehi keuntungan, maka
tidak akan ada cukai yang boleh dikutip.

8. Keuntungan ialah lebihan harga jualan daripada kos
keseluruhannya. Apabila kos melebihi harga jualan, tidak ada untung dan
tidak ada cukai yang boleh dikutip.

9. Hari ini kos pengeluaran bijih timah dan kelapa sawit melebihi harga
jualan. Ini bermakna tidak ada cukai yang dapat dikutip melainkan daripada
beberapa syarikat yang tinggi produktivitinya dan masih boleh mendapat
keuntungan. Daripada perusahaan getah dan balak, keuntungan adalah terlalu
rendah sehingga cukai yang didapati oleh Kerajaan cuma sedikit
sahaja. Minyak petroleum masih menguntungkan, tetapi keuntungan ini sudah
berkurangan kerana harganya turun daripada $30 dolar U.S. setong kepada
$10 dolar U.S. setong.

10. Dengan kurangnya penjualan bahan-bahan mentah yang menjadi punca 50%
daripada pendapatan negara, perbelanjaan semua orang yang bergantung
kepada perusahaan-perusahaan ini juga turut berkurangan. Dengan itu
perniagaan-perniagaan lain juga terjejas dan cukai pendapatan yang dibayar
oleh individu dan syarikat turut berkurangan.

11. Dalam keadaan ini pendapatan Kerajaan daripada semua punca sudah
berkurangan. Sebaliknya, perbelanjaan mengurus meningkat tiap-tiap tahun
kerana kenaikan tahunan atau yearly increment dan pencen yang terpaksa
dibayar.

12. Untuk mengurangkan perbelanjaan, kita telah menghentikan pengambilan
kakitangan yang baru. Ini bermakna mereka yang tidak berpeluang bekerja,
terpaksa mengorbankan peluang mereka untuk membantu Kerajaan membayar gaji
kepada yang sudah bekerja. Kita juga telah mengurangkan belanja
pembangunan yang mana ini bermakna rakyat terpaksa mengorbankan
kepentingan mereka untuk menolong Kerajaan membayar gaji dan elaun
kakitangannya.

13. Tetapi pendapatan Kerajaan masih juga menurun dan akan sampai kepada
peringkat yang kita mesti berhutang untuk membayar gaji. Inilah yang
dimaksudkan dengan defisit dalam akaun semasa atau deficit in the current
account. Siapa juga faham bahawa jika kita berhutang untuk belanja yang
hangus, lambat laun kita akan menjadi papa dan abdi kepada orang yang
memberi hutang. Sebagai sebuah negara, kebebasan kita akan terjejas dan
kita akan terpaksa mengikut telunjuk bank-bank di dunia dan negara-negara
yang kaya mengenai pengurusan ekonomi kita. Dalam usaha mereka mendapat
balik wang mereka, tekanan akan ditumpukan kepada pengurangan perbelanjaan
kita. Tidaklah mustahil jikalau mereka menyuruh kita mengurangkan belanja
mengurus dengan menurunkan gaji atau memberhentikan sebahagian daripada
kakitangan Kerajaan. Ini telah mereka paksakan ke atas beberapa negara di
Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Jika kita tidak mahu tunduk kepada
arahan mereka, maka mereka tidak akan memberi pinjaman lagi kepada
kita. Jika kita tidak dapat berhutang, kita terpaksa mengurangkan belanja,
termasuk belanja mengurus -- mungkin juga dengan mengurangkan gaji atau
memberhentikan sebahagian daripada kakitangan Kerajaan.

14. Inilah masalah yang kita hadapi selagi kita tidak dapat mengeksport
barangan kita dengan harga yang memberi keuntungan kepada kita. Kita tidak
dapat lihat dalam jangkamasa yang pendek dan sederhana, atau short and
medium term bahawa barangan utama kita akan pulih seperti dahulu. Justeru
itu, kita perlu berusaha, pertamanya mengurangkan perbelanjaan, dan
keduanya meningkatkan daya pengeluaran. Kita perlu berkorban sekarang
untuk masa depan yang lebih baik. Sesuatu tindakan oleh mana-mana pihak
yang akan mengganggu pemulihan ekonomi negara hanya akan melambatkan
pemulihan pendapatan diri kita sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

15. Masalah yang kita hadapi adalah masalah kita bersama. Ia bukan masalah
Kerajaan atau masalah majikan atau masalah pihak swasta atau pekerja
swasta. Semua kita terlibat dan bertanggungjawab dan kita harus
bekerjasama. Sebab itu Kerajaan sanggup mendengar dan menimbang pendapat
pekerja. Untuk ini, kita telah menubuhkan Majlis Bersama Kebangsaan dan
Majlis Bersama Jabatan.

16. Saya berharap jentera ini digunakan sepenuhnya. Pada masa ini Kerajaan
sedang mengambil langkah-langkah untuk mempergiatkan lagi perjalanan
Majlis Bersama Jabatan di peringkat Jabatan dan mengadakan mesyuarat
Majlis Bersama Kebangsaan dengan lebih kerap. Saya menganggap penubuhan
Majlis Bersama Jabatan ini sebagai penting dan saya berharap semua
Ketua-Ketua Jabatan mengambil pandangan yang sama supaya pendapat-pendapat
pihak pekerja dapat digemblingkan sepenuhnya dalam usaha kita memperbaiki
mutu perkhidmatan awam.

17. Dengan kelima-lima Majlis Bersama Kebangsaan aktif semula dan lebih
banyak lagi Majlis Bersama Jabatan ditubuhkan, kita berharap perhubungan
antara Kerajaan dengan pekerja akan lebih rapat. Maka dengan itu
masalah-masalah pihak pekerja akan dapat dikenal-pasti pada peringkat
awal-awalnya supaya tindakan-tindakan sesuai dapat diambil untuk mengatasi
masalah-masalah itu.

18. Saya telah difahamkan bahawa pada masa ini terdapat saranan daripada
setengah-setengah pihak pekerja untuk menubuhkan satu Majlis Bersama
Kebangsaan bagi keseluruhan perhidmatan awam. Dengan lain-lain perkataan,
kelima-lima Majlis Bersama Kebangsaan yang ada pada masa ini akan
disatukan menjadi Majlis Bersama Kebangsaan yang tunggal.

19. Sebenarnya keputusan Kerajaan menubuhkan lima Majlis Bersama
Kebangsaan itu adalah dibuat setelah mengkaji dengan mendalam dan
mengambilkira pendapat serta kehendak-kehendak daripada keseluruhan pihak
pekerja sendiri. Kerajaan berpendapat bahawa kelima-lima Majlis Bersama
Kebangsaan ini akan dapat menjadi saluran untuk dijadikan alat perhubungan
antara pihak Kerajaan dengan pekerja bagi menentukan bahawa
kehendak-kehendak pihak pekerja daripada berbilang sektor dan perkhidmatan
awam dapat dipenuhi. Kerajaan menyedari bahawa terdapat banyak perbezaan
kehendak di dalam berbagai sektor pekerja. Oleh yang demikian maka
sewajarnya ditubuhkan lima Majlis Bersama Kebangsaan bagi memenuhi
kehendak-kehendak tersebut. Walau bagaimanapun untuk rundingan kepentingan
bersama, kelima-lima Majlis ini bolehlah mengambil bahagian, yang mana ini
akan bertindak hampir sama dengan Majlis Bersama Kebangsaan.

20. Saya sedar bahawa daripada segi bidang tugas dan fungsi Majlis Bersama
Kebangsaan yang ada sekarang hanya bersifat sebagai satu saluran di mana
pihak pekerja boleh memberi pendapat-pendapat untuk Kerajaan
menimbangkannya. Agaknya, sebab itulah sekarang ini tuan-tuan dan
puan-puan ingin mendapatkan hak berunding seperti di sektor
swasta. Berhubung dengan perkara ini, sektor awam tidaklah boleh disamakan
dengan sektor swasta. Kerajaan bukan satu syarikat untuk mencari
keuntungan bagi beberapa orang yang memilikinya. Kerajaan ditubuhkan untuk
memelihara kepentingan rakyat dan negara keseluruhannya. Jika Kerajaan
terhalang daripada meneruskan pentadbiran negara, maka yang akan menderita
dan mengalami kerugian ialah rakyat dan negara. Dan mereka yang menghalang
adalah juga rakyat yang akan rugi apabila negara rugi, sekurang-kurangnya
dalam jangka panjang.

21. Jika tawar menawar dibenarkan di dalam jentera perundingan Kerajaan,
maka Kerajaan akan terpaksa berdepan dengan kesatuan-kesatuan sekerja dan
ketegangan akan berlaku. Dalam zaman moden ini perhubungan antara majikan
dengan pekerja sepatutnya merupakan perhubungan antara dua rakan atau
partners. Kerajaan yang sentiasa diugut atau diserang oleh
tindakan-tindakan perusahaan tidak akan dapat menjadi Kerajaan yang
berkesan. Tanpa Kerajaan yang berkewibawaan dan berkesan, bermacam-macam
perkara yang tidak diingini, termasuk tergugatnya keselamatan rakyat dan
negara akan berlaku.

22. Saya mempunyai penuh keyakinan bahawa jentera yang ada sekarang ini
boleh kita praktikkan demi kepentingan kita bersama, dengan syarat kita
sama-sama jujur di dalam memainkan peranan kita masing-masing. Tuan-tuan
dan puan-puan mempunyai peranan yang tersendiri dan Kerajaan juga
mempunyai peranannya di dalam usaha kita bersama-sama mencorakkan arah
pembangunan negara yang kita cintai ini.

23. Saya meminta maaf kerana terpaksa berterus-terang dalam ucapan
ini. Keadaan ekonomi negara dan pendapatan Kerajaan tidak mengizinkan saya
mencari populariti dengan membayangkan sesuatu yang tidak mungkin. Jika
kita ingin memulihkan ekonomi negara ini, kita perlu membulatkan tenaga
untuk menjayakan rancangan kita. Jika kita khayal dan asyik dengan sikap
dan tindakan seolah-olah keadaan adalah seperti dahulu, maka yang akan
menjadi mangsa yang sebenarnya ialah kita semua.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

24. Tahun ini CUEPACS akan memilih kepimpinannya yang baru. Saya ingin
menyatakan di sini bahawa Kerajaan sanggup dan akan bekerjasama dengan
CUEPACS sebagai gabungan kesatuan sekerja. Kerajaan juga berharap satu
jalinan perhubungan dapat dipupuk berasaskan kepada perkongsian antara
pihak pekerja dengan Kerajaan.

25. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada CUEPACS
kerana menjemput saya ke majlis ini. Dengan ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Persidangan Perwakilan CUEPACS Ke-17 ini.

Terima kasih. 
 
 



 
Google